SN201 – DI SEBALIK GHAIBNYA ENJIN F-5E
Sesungguhnya isu kehilangan enjin ini amat serius dan bukan perkara main-main yang boleh disorokkan atau dibiarkan begitu sahaja oleh kerajaan mahupun pihak polis. Kita bukanlah mahu campurtangan dengan siasatan polis, tetapi kita mahu kes seserius ini disiasat dengan telus, rapi dan mendalam, kerana ia melibatkan rahsia ketenteraan dan pengkhianatan terhadap umat. Ini kerana tentera, polis dan kerajaan adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan menjaga rakyat, bukannya merosakkan negara atau menipu rakyat dengan rasuah dan penyelewengan atau pelbagai skandal lainnya. Pihak yang bersalah mestilah dihukum, tidak kiralah dari kalangan rakyat biasa, tentera mahupun menteri. Dengan terbongkarnya kes kehilangan enjin pesawat F-5E ini, maka terdapat beberapa fakta yang memberikan maklumat baru kepada kita berhubung aspek dan ciri-ciri keselamatan negara yang berada di tangan kerajaan, imigresen, polis dan juga tentera. Hal ini tidak seharusnya dilihat dari aspek tercalarnya ‘maruah’ negara semata-mata, yang sememangnya telah banyak tercalar pun selama ini, tetapi kita hendaklah memahami bahawa ini adalah persoalan pentadbiran dan pemerintahan, khususnya melibatkan ‘struktur perang’ negara. Ia adalah persoalan bagaimana pemimpin dan jentera pemerintahannya menguruskan negara. Ia adalah persoalan ‘amanah’ yang Allah letakkan di bahu mereka untuk menjaga negara dan rakyatnya. Dan ia adalah persoalan dosa dan pahala di atas penyelewengan yang mereka kerjakan. Mereka adalah golongan yang sewajibnya menjaga negara dan rakyat, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sekiranya kita harapkan pagar dan pagar memakan padi, maka sudah semestinyalah pagar ini ditukar kepada pagar yang lain.
Amerika Juga Turut Sibuk, Kenapa?
Di dalam kekecohan isu kehilangan enjin ini diperbincangkan di dalam negara, tiba-tiba sahaja dilaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) ‘meminta’ Malaysia menyediakan laporan lengkap berhubung perkara ini. Mengapa AS begitu ‘berminat’ untuk campur tangan? Kenapa AS begitu prihatin dengan negara sekecil Malaysia? Akhbar menyebut bahawa AS ingin mendapatkan laporan lengkap ini atas alasan mereka adalah negara pengeluarnya. Menjawab kepada ‘permintaan’ negara kafir tersebut, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa laporan kehilangan dua tahun lalu itu akan diperincikan secara kronologi dan dihantar melalui Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis [UM 26/12/09]. Sungguh cepat Menteri Pertahanan Malaysia ini berusaha untuk menyiapkan laporan lengkap kepada Washington, walaupun siasatan dalam negara masih belum selesai. Apa nak buat, ‘tuan’ telah minta laporan penuh! Baru sahaja AS ‘berdehem’, maka pemimpin Malaysia terus patuh menjawab ‘yes boss’ dan bersedia berkhidmat! Sungguh hina apabila melihat pemimpin umat Islam bersegera tunduk kepada permintaan kuffar Amerika. Ini satu hal, namun yang lebih penting, jika Zahid Hamidi benar-benar memberi laporan lengkap kepada AS, ini bermakna satu lagi pengkhianatan besar telah berlaku terhadap umat Islam secara terbuka. Walaupun terdapat unsur pengkhianatan atau pecah amanah dalam kes kehilangan enjin ini, namun kes ini adalah rahsia ketenteraan yang tidak sepatutnya terbongkar (apatah lagi diserahkan secara sukarela) kepada pihak musuh. Siasatan hendaklah dilakukan di peringkat dalam mahupun luar negara, tetapi tidaklah sampai ke tahap ‘mendedahkannya’ kepada pihak musuh!
Sebagai sebuah negara super power, kenapa AS perlu kecoh dengan kehilangan dua enjin teknologi 30 tahun lepas itu? Apakah dua buah enjin tersebut boleh menggugat kuasa AS? Apa sebenarnya yang AS mahukan? Atau apakah kedudukan politik di sebalik semua ini..? Inilah isu yang akan dikupas di dalam Sautun Nahdhah pada kali ini, di mana secara umumnya kebanyakan negara umat Islam, sejak runtuhnya Daulah Khilafah hingga kini, berada di bawah kuasa dan kawalan puak kuffar dari segi bekalan persenjataan. Majoriti negara umat Islam masih gagal dan tidak berupaya berdiri sendiri untuk memiliki industri dan teknologi ketenteraan. Kebanyakan dari pemimpin umat Islam masih melutut kepada negara kuffar untuk mendapatkan bekalan persenjataan, walhal perkara ini adalah suatu keharaman. Jika ada pun negara umat Islam yang mempunyai teknologi ketenteraan sendiri seperti Pakistan dan Irak, pemimpinnya adalah sekutu dan agen kepada Barat. Sungguh malang keadaan ini, di mana pemimpin umat Islam mengambil musuh sebagai sahabat, malah mengharapkan dan menggunakan senjata perang dari musuh untuk melawan musuh. Para pemimpin umat Islam kini sudah tidak ada kesedaran dan keghairahan untuk berusaha memiliki teknologi ketenteraan sendiri. Mereka masih bergantung kepada musuh dan tunduk kepada kecanggihan senjata perang musuh, malah tunduk kepada ketetapan musuh.
Negara Islam Wajib Ada Industri Senjata
Islam sebagai sebuah deen (akidah dan cara hidup) yang sempurna telah mengajar umatnya bagaimana untuk mengatur hal-ehwal ketenteraan, bahkan tentera itu sendiri merupakan salah satu struktur Daulah Islam yang berada di bawah kepimpinan Amirul Jihad. Selain itu, Negara Islam juga memiliki satu lagi struktur yang dikenali sebagai Da’irah As-Sina’ah (Bahagian Perindustrian) iaitu suatu bahagian yang mengurusi semua masalah yang berhubungan dengan perindustrian, baik yang berhubungan dengan industri berat seperti industri mesin dan peralatan, pembuatan dan pemasangan alat transportasi (kapal terbang, kapal selam, kereta dan sebagainya), industri bahan mentah dan industri elektronik; mahupun yang berhubungan dengan industri ringan, baik industri itu berupa kilang-kilang yang menjadi milik umum ataupun kilang-kilang milik peribadi. Pelbagai jenis industri ini hendaklah dibangunkan atas asas politik peperangan. Ini kerana, jihad dan perang memerlukan pasukan (angkatan tentera), sementara pasukan, agar mampu berperang, mestilah memiliki persenjataan. Manakala persenjataan itu pula, bagi memenuhi keperluan pasukan hingga ke tahap optimum, tentunya harus ada industri persenjataan di dalam negara, khususnya industri perang. Ini kerana, hubungan kesemua itu adalah begitu erat dengan jihad. Justeru, bagi memastikan Negara Islam memiliki kawalan ke atas semua hal-ehwal peperangan dan militer serta tidak berada di bawah kawalan negara asing dalam masalah tersebut, Negara Islam mestilah mendirikan industri persenjataan sendiri dan hendaklah mampu mengembangkan persenjataannya sendiri.
Hanya dengan cara ini, Daulah Islam akan memiliki kendali atas dirinya sendiri demi mengukuhkan kekuatan dan kedudukannya. Daulah juga harus berusaha memiliki dan menguasai persenjataan yang paling canggih dan paling kuat, tidak kiralah bagaimana bentuk dan rupanya. Dengan begitu, barulah Daulah mampu menggentarkan musuh-musuh Allah, baik musuh yang nyata mahupun musuh yang belum nyata. Demikianlah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT,
“Dan persiapkanlah oleh kalian untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan apa sahaja yang kalian mampu dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian dan orang-orang selain mereka yang tidak kalian ketahui sedangkan Allah mengetahuinya” [TMQ al-Anfal (8):60].
Menggentarkan musuh itu tentunya tidak akan terealisasi kecuali dengan adanya persiapan sementara persiapan itu memestikan adanya industri. Jadi ayat tersebut telah menunjukkan wajibnya mendirikan industri ketenteraan. Hal ini dapat dipahami menurut dalalah al-iltizam atau berdasarkan kaedah ma la yatimmu al-wajib illa bihi fahua wajib (suatu kewajiban yang tidak akan sempurna kecuali dengan adanya sesuatu maka sesuatu itu wajib hukumnya). Demikian pula, dalil-dalil mengenai kewajiban jihad -melalui dalalah al-iltizam– menunjukkan wajibnya mendirikan industri. Dengan persiapan perang yang paling hebat dan paling mampu ini, barulah Daulah Islam dapat mengendalikan dan memenuhi keperluannya sendiri tanpa dipengaruhi atau bergantung kepada negara lain. Daulah bukan sahaja dapat mengeluarkan sendiri persenjataan yang diperlukan, malah dapat mengembangkan dan terus memperhebatkan semua bentuk persenjataan hingga mampu menguasai persenjataan yang paling canggih dan paling hebat berbanding negara kufur.
Atas dasar memenuhi tuntutan ayat ini, maka wajib bagi negara untuk mendirikan industri persenjataan sendiri. Pemerintah tidak boleh (haram) untuk bergantung kepada persenjataan dari negara luar, sebab hal ini akan menjadikan negara-negara pengeksport senjata dapat menekan serta mengawal kehendak dan persenjataan negara, termasuk menentukan ‘kebolehan perang’ negara. Realiti yang kita saksikan di dunia saat ini menunjukkan bahawa negara-negara yang menjual persenjataan (seperti AS) kepada negara lain tidak akan menjual kesemua persenjataannya, khususnya persenjataan canggih. Negara tersebut juga tidak akan menjual persenjataan kecuali disertai dengan syarat-syarat tertentu, termasuk tatacara penggunaan senjata yang dijualnya. Negara tersebut juga tidak akan menjual persenjataan kecuali dalam jumlah yang sesuai menurut pandangannya, bukan menurut permintaan negara yang ingin membeli persenjataan tersebut. Inilah yang menjadikan negara pengeksport senjata sebagai pengendali dan penentu negara pembeli senjata. Hal-hal ini juga memungkinkan negara penjual senjata mengawal kehendak negara pembeli, apatah lagi ketika negara pembeli itu sedang berada dalam situasi perang, yang mana negara tersebut akan memerlukan tambahan persenjataan, alat ganti, peluru dan sebagainya.
Semuanya itu menjadikan ketergantungan negara pembeli terhadap negara penjual persenjataan semakin bertambah dan ketundukan negara tersebut pada kehendak negara penjual juga semakin besar. Hal inilah yang membuat posisi negara penjual semakin kuat sehingga dapat mengendalikan negara pembeli dan menekan serta mengawal kehendak negara pembeli. Sedangkan Allah SWT mengharamkan kita tunduk atau dikuasai oleh orang-orang kafir. FirmanNya,
“Dan Allah sekali-kali tidak memberi jalan kepada orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141].
Dengan tidak mempunyai industri persenjataan sendiri, negara pembeli (seperti Malaysia dan lain-lain negara umat Islam) telah tunduk dan ‘menggadaikan’ dirinya sendiri, menggadai kehendaknya, peperangannya dan institusi negaranya kepada negara yang menjual persenjataan kepadanya. Ini semua berlaku kerana pemimpin negara telah memaksiati Allah dengan tidak menunaikan perintahNya seperti ayat di atas. Semua ini tidak berlaku di masa wujudnya negara Khilafah, di mana Khilafah adalah sebuah negara super power dengan persenjataan yang paling kuat dan paling canggih di dunia sehingga digeruni oleh kawan dan lawan. Ini kerana, para Khalifah menunaikan perintah Allah di dalam menyediakan pasukan untuk berjihad di jalan Allah, tidak seperti mana pemimpin sekular sekarang.
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan umat Islam mendirikan industri manjaniq dan dababah. Al-Baihaqi telah menyebutkan riwayat dari Abu Ubaidah ra yang berkata,
“Kemudian Rasulullah SAW mengepung penduduk Thaif dan menggempurnya dengan manjaniq selama 15 hari…”.
Abu Daud juga telah mengeluarkan hadis di dalam Al-Marasil dari Makhul,
“Rasulullah SAW pernah mengempur pendududuk Thaif menggunakan manjaniq”.
Diriwayatkan bahawa Salman adalah orang yang bertanggungjawab dalam industri manjaniq tersebut di mana beliau membuatnya dengan tangannya sendiri.
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, wajib bagi Negara Islam membangun sendiri semua industri persenjataannya dan segala hal yang diperlukan termasuk alat ganti (spare part)nya. Hal itu tidak akan tercapai kecuali negara mewujudkan dan menjaga industri beratnya. Jika Daulah Khilafah berdiri dalam masa terdekat nanti, untuk langkah pertama, Khalifah harus membangun perindustrian berat, baik industri berat militer mahupun non-militer. Khilafah juga harus memiliki kilang-kilang untuk memproduksi persenjataan nuklear, pesawat pengintip, peluru-peluru berpandu, satelit-satelit, pesawat tempur, kereta kebal, artileri, kapal selam, kereta perisai, anti peluru dengan pelbagai jenisnya, serta pelbagai persenjataan lainnya baik senjata berat mahupun senjata ringan. Selain itu, Daulah Khilafah juga wajib memiliki industri yang berkaitan dengan kepemilikan umum dan industri-industri ringan yang mempunyai kaitan dengan industri ketenteraan. Semua itu merupakan bentuk-bentuk persiapan yang wajib dipenuhi oleh pemerintah kaum Muslimin dalam rangka memenuhi seruan Allah dan RasulNya demi menegakkan agama Allah di muka bumi.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sudah sekian lama kita menyaksikan kepincangan dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Muhasabah dari rakyat sudah lama tidak dihiraukan oleh pemerintah, malahan mereka dari masa ke semasa semakin rakus mengejar keuntungan dengan kedudukan dan kuasa yang ada pada mereka. Malahan dalam perkara yang melibatkan keselamatan negara sekalipun, seperti pembelian pesawat pejuang, kapal selam, peluru dan apa sahaja peralatan perang, ia tidak dilakukan atas dasar untuk berjihad di jalan Allah tetapi atas dasar mendapatkan habuan duniawi. Hilangnya enjin jet pejuang yang tidak pernah digunakan untuk berjuang ini memanifestasikan hilangnya amanah dari orang yang memikulnya. Justeru, wajar sahaja apabila rakyat mendesak agar menteri yang bertanggungjawab meletak jawatan atas apa yang berlaku. Namun, perlu diingat wahai kaum Muslimin, jika menteri yang ada sekarang meletak jawatan, naiknya menteri yang baru tidak akan mengubah situasi selama mana sistem yang diterapkan tetap sistem sekular, bukannya sistem Islam. Sememangnya menteri yang berkenaan wajib bertanggungjawab dan menyiasat dengan serius untuk menyelesaikan kes ini, dan jika mereka perlu meletak jawatan, ia bukanlah kerana hilangnya enjin pesawat F-5E, tetapi kerana hilangnya amanah Allah dalam diri mereka kerana tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan. Itulah sebabnya mereka perlu berundur dan digantikan dengan seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum dari Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Wallahu a’lam.