SN567 – Jijiknya Sistem Demokrasi, Rakyat Terus Dikhianati

SN567

13 Mac 2020 M / 18 Rejab 1441 H

Setelah sekian lama merancang, akhirnya pihak-pihak yang merancang berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kini mereka telah mengambil alih Putrajaya dengan gabungan yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional. Selama lebih kurang seminggu Malaysia berada dalam kekosongan pemerintahan yang menyaksikan kemuncak sikap hipokrasi dan pengkhianatan para politikus di gelanggang demokrasi, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Selama seminggu rakyat menyaksikan hilangnya segala maruah dan tersingkap segala aib pada diri politikus, dan yang tersisa hanyalah kepentingan diri dan parti masing-masing. Terbuka segala pekung dan konspirasi, dan ia bukannya dibuka oleh orang lain, melainkan oleh mereka sendiri. Benarlah sabda Rasulullah (saw) bahawa orang yang sudah tidak tahu malu akan melakukan apa sahaja!

‘Tragedi politik’ yang menimpa negara sejak tiga minggu lepas telah memahat satu sejarah tersendiri, yang dipenuhi dengan pelbagai teori konspirasi. Apa yang pasti ialah demokrasi dan para pemainnya telah mempamerkan wajah sebenar mereka. Kepada mereka yang selama ini melihat demokrasi dengan penuh kecantikan, naratif terbaru ini telah menanggalkan segala ‘makeup’ yang selama ini menutupi wajah hodoh demokrasi sehingga segala kudis dan kurap telah jelas kelihatan. Politikus demokrasi yang selama ini sering melaungkan mantera demokrasi iaitu pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, ternyata telah membohongi dan mengkhianati rakyat secara terbuka. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat tumbang setelah 22 bulan berkuasa, tumbang bukan kerana kehendak rakyat dan bukan atas pilihan rakyat, tetapi kerana permainan golongan atasan yang kononnya mewakili rakyat. Kini Malaysia diperintah oleh parti yang kalah, yang telah ditolak rakyat sebelum ini. Atas nama demokrasi, rakyat telah dipermainkan oleh elit politik, atau dalam bahasa mudahnya – rakyat dah kena game!

Kejijikan Demokrasi

Selain untuk menghalang kebangkitan Islam dan penerapan hukum Allah (swt), demokrasi merupakan satu sistem yang didesign oleh Barat yang membolehkan manusia menjadi munafik. Penipuan, konspirasi, pengkhianatan, tikam belakang, cakap tak serupa bikin, main kayu tiga dan segala bentuk kemunafikan dibenarkan oleh demokrasi. Tidak ada hukuman untuk siapa sahaja yang melakukan segala keburukan tersebut dalam sistem demokrasi. Tidak ada salahnya bagi mana-mana ahli politik untuk mengisytiharkan sokongan kepada si A dan mengutuk si B di pagi hari, manakala pada petangnya dia mengisytiharkan sokongan kepada si B dan mengutuk si A. Demikian juga tidak salahnya apabila pada malamnya mereka menukar semula sokongan kepada si A dan mengutuk semula si B, dan tidak ada salahnya apabila mereka bangun keesokan paginya lalu menarik balik sokongan kepada si A dan mengisytiharkan sokongan kepada si B. Semua ini tidak salah dalam sistem demokrasi!

Begitu juga tidak ada salahnya untuk siapa sahaja melompat dari satu parti ke parti lain, atau menukar gabungan parti untuk membentuk gabungan baru, walaupun 100 kali lompatan dan 200 kali bertukar gabungan, semuanya dibenarkan. Sama sahaja tidak salah menurut demokrasi bagi sesiapa sahaja untuk berbohong, mengkhianati kawan, kemudian berbaik semula, kemudian kembali menikamnya bertubi-tubi dari belakang, kemudian berbaik semula. Kesemua bentuk kejijikan dan hipokrasi seperti ini dibenarkan dalam sistem demokrasi. Tidak ada dosa dan tidak ada hukuman kepada mana-mana ahli politik dan parti politik untuk berbuat demikian.

Malah, inilah yang terjadi secara berulang-ulang dalam sistem demokrasi, yang semuanya boleh terjadi atas dasar manfaat. Tidak ada kawan dan musuh yang kekal dalam politik demokrasi, apa yang kekal hanyalah manfaat. Selagi ada manfaat, selagi itulah wujudnya ikatan dan persahabatan. Apabila hilang manfaat, maka hilanglah ikatan dan persahabatan tersebut diganti dengan permusuhan, lalu dibentuk ikatan dan persahabatan dengan pihak lain pula atas dasar yang sama. Kitaran ini akan terus berputar dan bertukar ganti dari semasa ke semasa, dan ia berputar mengikut di mana berputarnya manfaat.

Tumbangnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat hanya dalam masa seminggu, lalu terbentuk kerajaan baru yang naik bukan kerana pilihan rakyat, menunjukkan betapa mudahnya sistem demokrasi dimanipulasi oleh politikus dan parti-parti politik yang bermain dalam gelanggang demokrasi. Dengan hanya keluar parti, atau keluar daripada gabungan parti, lalu menyokong atau membentuk gabungan baru, maka tumbanglah sebuah ‘kerajaan rakyat’ dengan cukup mudah! Mereka yang keluar dari parti atau dari gabungan parti, bukan melakukan demikian atas kehendak rakyat yang mereka wakili, tetapi atas kehendak sendiri atau ketua parti. Mereka boleh ‘bermain-main’ untuk menyokong gabungan yang mana, sehingga hal ini bukan sahaja menzahirkan pengkhianatan terbuka mereka kepada rakyat, malah membolehkan mereka membentuk satu kerajaan baru melalui proses tawar-menawar, ugut-mengugut, pembelian ahli parlimen (atau DUN) dan segala bentuk permainan lainnya yang kesemuanya halal di bawah demokrasi.

Semua permainan tersebut hanya berdasarkan satu matlamat iaitu kekuasaan! Politikus dan parti-parti politik mencaturkan segala gerak langkah untuk berperang dan bergabung sesama mereka bagi merebut kekuasaan, tanpa menghiraukan rakyat yang memprotes mahupun yang terkebil-kebil menonton. Ini kerana mereka tahu bahawa kuasa ada di tangan mereka, bukan di tangan rakyat. Penentu kepada permainan ini adalah mereka, bukannya rakyat. Kononnya suara rakyat adalah suara keramat, hakikatnya rakyat terus dikhianati demi meraih kepentingan peribadi dan parti masing-masing. Setelah pihak yang menang berkuasa, maka mereka katakan bahawa segala yang berlaku adalah selaras dengan proses demokrasi. Begitulah jijiknya demokrasi, yang hanya dijadikan alat oleh golongan atasan untuk mempermainkan rakyat!

Perebutan kuasa telah menjadi darah daging para politikus dalam sistem demokrasi. Atas dasar itu, tidak hairanlah apabila sistem ini menjadikan manusia itu rakus, munafik dan khianat, malah sanggup melakukan apa sahaja dalam usaha untuk merebut takhta dan kedudukan, yang menjanjikan segala kemewahan duniawi. Semua agenda parti politik adalah untuk berkuasa dan keseluruhan perjuangan diarahkan ke situ. Sudah sedia maklum dalam demokrasi bahawa matlamat menghalalkan cara, maka tidak pelik jika tumbang dan terbentuknya kerajaan melalui cara yang selama ini dianggap tidak sah, tetapi menjadi sah apabila mereka melakukannya. Atas dasar itu, kerajaan yang baru terbentuk ini, walaupun bukan melalui pilihanraya seperti mana ajaran demokrasi, menjadi sah tanpa mengira terbentuk melalui pintu depan, pintu belakang, tingkap ataupun atap, kerana pintu-pintu demokrasi yang banyak, membolehkannya.

Kemenangan Melayu-Islam?

Tumbangnya kerajaan lama dan tertubuhnya kerajaan baru di Malaysia minggu lalu, adalah hasil daripada perancangan individu dan parti, bukan hasil pilihan raya atau kehendak rakyat. Perancangan ini telah lama disusun, dan ia diakui sendiri oleh mereka yang berkomplot, yang tanpa rasa malu mendedahkannya sendiri, setelah komplot mereka berjaya direalisasikan. Dengan kata lain, kerajaan baru ini terbentuk bukan daripada mandat rakyat, yang selama ini mereka laungkan dengan bangganya, bahawa negara ini adalah negara demokrasi dan pemilihan pemimpin adalah berdasarkan suara rakyat menurut lunas-lunas demokrasi. Apa lagi istilah yang sesuai digunakan jika bukan “pengkhianatan” terhadap rakyat dengan komplot yang dilakukan oleh kelompok politikus elit ini!?

Ada yang beranggapan bahawa terbentuknya kerajaan baru ini merupakan kemenangan kepada Melayu-Islam, yang berjaya menumbangkan kerajaan sebelum ini yang didominasi oleh orang-orang Cina atau orang-orang kafir. Ya benar kita tidak mahu orang-orang kafir mendominasi, malah berada di pemerintahan. Islam tidak membenarkan orang-orang kafir berada di pemerintahan atau menguasai orang-orang Islam. Tetapi persoalannya siapakah yang selama ini menaikkan dan meletakkan orang-orang kafir ke pemerintahan jika bukan parti yang sekarang ini berjaya ‘merampas’ kuasa?

Kita tidak seharusnya bermain dengan sentimen perkauman, kerana ia adalah haram. Persoalan penting di sini ialah, apakah benar untuk kita mengatakan bahawa ini adalah kemenangan Islam? Ketahuilah bahawa kemenangan orang Islam mahupun parti Islam naik ke pemerintahan tidak sama sekali menunjukkan kemenangan Islam. Parti-parti yang bergabung dalam pemerintahan yang ada sekarang (termasuklah serpihan dan sekutunya), telah mempunyai track record memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun dan merekalah selama ini secara konsisten menolak penerapan Islam secara terang-terangan. Sangat lucu untuk menganggap kemenangan mereka ini sebagai kemenangan Islam.

Memang benar bahawa kita mahukan orang-orang Islam memerintah, tetapi bukan sekadar itu yang kita mahukan. Kita mahukan orang-orang Islam yang memegang pemerintahan untuk memerintah dengan hukum Islam secara kaffah (keseluruhan). Realitinya, parti mana sekalipun yang sudah memerintah selama ini tidak pernah menerapkan Islam, malah tidak mahu menerapkan Islam! Semuanya hanya mewarisi sistem demokrasi-sekular daripada penjajah, dan berusaha mempertahankannya.

Sistem demokrasi membenarkan orang kafir menjadi wakil rakyat sekali gus terlibat dalam pemerintahan. Malah sistem ini tidak pernah menghalang orang kafir untuk menjadi Perdana Menteri sekali pun. Demokrasi juga tidak pernah menghalang orang kafir menjadi hakim, sebagaimana demokrasi tidak pernah menghalang wanita menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, hakim dan lain-lain. Demokrasi juga tidak pernah mengharamkan riba, saham, insurans dan lain-lain yang diharamkan oleh Islam. Demokrasi juga membenarkan orang Islam untuk murtad, membenarkan manusia untuk berjudi, membenarkan LGBT, membenarkan penzina disebat 6 kali, 10 kali atau 200 kali, selama mana manusia meluluskannya. Inilah hakikat sistem demokrasi, sebuah sistem kufur yang datangnya dari Barat yang memberi kuasa kepada manusia untuk membuat undang-undang dan menentukan halal dan haram berdasarkan akal. Sistem ini amat jelas bertentangan dengan Islam dari sudut mana sekalipun!

Justeru, umat Islam perlu sedar bahawa siapa pun dan parti mana pun yang memerintah dalam sistem demokrasi ini, sesungguhnya ia bukan kemenangan Islam. Mana mungkin Islam dikatakan menang apabila Islam ditundukkan kepada demokrasi!? Mana mungkin Islam dikatakan menang apabila parti-parti yang memerintah masih berpegang teguh kepada Perlembagaan yang dihadiahkan oleh kafir penjajah, yang kedudukannya lebih tinggi daripada Al-Quran dan As-Sunnah!? Kemenangan Islam hanya akan tercapai apabila Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan asas perlembagaan dan undang-undang negara. Kemenangan Islam hanya akan tercapai apabila sistem Islam dilaksanakan sepenuhnya dan hukum Allah (swt) diterapkan secara kaffah di bawah naungan Negara Islam (Khilafah).

Khatimah

Kita telah menyaksikan selama 63 tahun sejak merdeka bersilih gantinya wajah-wajah mereka yang memegang kekuasaan, namun sistem yang diterapkan tetap sama, dan tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku dalam negara seperti mana yang dikehendaki oleh Islam. Alasan demi alasan terus diberikan oleh mereka yang berkuasa untuk tidak menerapkan Islam. Apakah dengan kerajaan baru ini umat Islam akan dapat menyaksikan perubahan atau akan terus mendengar alasan demi alasan diberikan oleh mereka yang berkuasa untuk mereka terus tidak menerapkan hukum Allah (swt)? Kepada mereka, khususnya parti-parti politik yang sekarang ini memegang kekuasaan, ingatlah bahawa kekuasaan itu merupakan amanah, dan ia adalah amanah yang sangat berat. Amanah untuk apa? Amanah untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah! Jika kalian tidak menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, maka sesungguhnya kalian telah mengkhianati amanah. Ingatlah bahawa amanah itu akan menjadi penyesalan dan azab di akhirat bagi mereka yang mengkhianatinya!

 

Download PDF