HTM Akhiri Kempen Rajab Dengan Online Conference
KUALA LUMPUR 22 Mac – Umat Islam khususnya di negara ini diseru supaya bersama-sama dalam perjuangan mengembalikan semula Daulah Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, kerana ia merupakan kewajipan yang telah sekian lama tertangguh semenjak keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tanggal 28 Rajab 1342 H, genap 99 tahun yang lalu.
Itulah mesej penting yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sempena memperingati detik hitam keruntuhan Khilafah, yang disiarkan secara langsung melalui Persidangan Dalam Talian (Online Conference) pagi tadi. Ia merupakan aktiviti kemuncak HTM setelah sebelumnya diadakan fb live selama tiga hari berturut-turut bagi mengingatkan umat Islam mengenai keruntuhan sebuah institusi politik yang selama ini megah berdiri selama lebih 13 abad dan menaungi hampir 2/3 dunia.
Kempen pada tahun ini lebih tertumpu kepada pendekatan secara dalam talian ekoran perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 yang telah menjadi pandemik, yang memaksa kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.
Online conference yang membawakan tema “2020: Kembalinya Khilafah Memimpin Dunia” telah membariskan empat orang ahli panel daripada barisan pimpinan pusat HTM serta Jurucakapnya.
Program bermula dengan pembentangan daripada Ustaz Mu’adz Abu Talhah yang bertajuk “Ramalan NIC Tentang Kembalinya Khilafah”. Pembentangan tersebut merujuk kepada sebuah laporan yang dikeluarkan pada tahun 2004 oleh National Intelligence Council (NIC) iaitu sebuah badan risikan di bawah CIA yang bertanggungjawab secara langsung kepada Presiden Amerika Syarikat. Ustaz Mu’adz bagaimanapun menekankan bahawa ramalan tersebut bukanlah sandaran kepada usaha mendirikan semula Khilafah, sebaliknya menjadi bukti betapa seriusnya Barat memandang usaha penegakan Khilafah di samping kegusaran kuasa kuffar tersebut terhadap kebangkitan semula kuasa politik umat Islam yang sangat mereka takuti selama ini.
Pembentang kedua, iaitu Ustaz Muhammad Amin S.M. pula membawakan pembentangan bertajuk “Ketakutan Pemimpin Kuffar Terhadap Kembalinya Khilafah” di mana beliau bukan sahaja memaparkan ucapan-ucapan pemimpin kuffar yang menzahirkan ketakutan mereka terhadap kembalinya Khilafah, tetapi Ustaz Amin turut membongkar rencana musuh Islam yang cuba memecah-belahkan umat Islam mengikut pengkategorian kepada empat kelompok iaitu modernis, tradisionalis, sekularis dan fundamentalis.
Program diteruskan oleh pembicara ketiga iaitu Ustaz Umar Hussein yang membawa tajuk “Demokrasi: Projek Kuffar Bagi Menghalang Kembalinya Khilafah”. Dalam pembentangannya, Ustaz Umar membongkar realiti demokrasi yang dijaja oleh Barat ke dunia Islam serta menjelaskan bagaimana sistem kufur tersebut didesign untuk menghalang kebangkitan semula Khilafah.
Pembentangan terakhir telah disampaikan oleh Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang mengetengahkan dalil-dalil berbentuk bisyarah (khabar gembira) akan kembalinya Khilafah untuk kali yang kedua. Beliau turut menegaskan kewajipan ke atas umat Islam untuk bersama-sama terlibat dalam usaha merealisasikan bisyarah tersebut, dan haram untuk berdiam diri. Dengan bisyarah yang begitu banyak daripada Rasulullah (saw), Jurucakap HTM itu menyimpulkan yang Khilafah pasti berdiri dalam masa terdekat, dan tidak mustahil ia akan berdiri pada tahun ini dengan izin Allah (swt).
Online Conference tersebut dilanjutkan dengan sesi soal jawab berdasarkan soalan-soalan yang dihantar oleh para penonton yang agak banyak, sebelum berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Rakaman penuh persidangan tersebut dan juga program lain yang diadakan di sepanjang kempen ini boleh diikuti di laman rasmi Facebook HTM.