Kesan CEDAW Terhadap Kes Keganasan Rumah Tangga
Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)
Setiap makhluk termasuklah manusia dijadikan hidup berpasangan. Inilah fitrah penciptaan bagi memenuhi naluri melestarikan keturunan melalui zuriat pemberian Yang Maha Esa. Maka, wajarlah perkahwinan manusia merupakan salah satu tanda kebesaran Allah Azza Wa Jalla.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TMQ Ar-Rum (30):21]
Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Begitulah gambaran rumah tangga yang bahagia pada awalnya, namun setelah itu dilanda badai dan bergolak. Selalunya ia menjadi rahsia yang ditutup, namun, ada juga yang memilih untuk dihebohkan seantero dunia. Rasa sayang mulai pudar dan terhakis. Rasa benci semakin meluap dan dizahirkan dengan pelbagai cara termasuklah melakukan keganasan rumahtangga.
Keganasan rumah tangga adalah sebarang tingkah laku yang menakutkan, memperdaya atau memaksa oleh salah seorang pasangan dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa dan kawalan ke atas pasangannya. Tindakannya biasa dilakukan berulang kali sehingga mendatangkan kecederaan, trauma, kemurungan malah ada yang berakhir dengan kematian. Merujuk pada laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tingkah laku yang dikatakan keganasan rumah ialah :
- Sengaja / cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan
- Mencederakan secara fizikal
- Memaksa / mengancam melakukan perbuatan seksual
- Mengurung / menahan tanpa kerelaan
- Khianat / merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan / kegusaran.
Akta Keganasan Rumah Tangga dan CEDAW
Sememangnya ada usaha mencegah jenayah seumpama ini. Pihak kerajaan dengan bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sering mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan program pendidikan. Undang-undang juga perlu ada untuk menghukum pesalah dan melindungi mangsa. Malaysia merupakan negara pertama di Asia yang mempunyai peruntukan undang-undang khusus untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga. Bermula dengan Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994 (Akta 512) yang diluluskan parlimen ketika itu, yang kemudiannya dipinda pada 2011 dan seterusnya diwartakan pada 9 Februari 2012. AKRT kemudiannya dipinda lagi dan diwartakan pada September 2017 sebelum mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018. Antara pindaan yang penting adalah meluaskan definisi keganasan rumah tangga kepada penderaan secara psikologi, emosi dan kewangan. Satu kajian yang dijalankan Randawar dan Jayabalan (2018) turut mencadangkan agar definisi keganasan rumahtangga dalam akta ini perlu lebih terperinci dan eksplisit dengan mengambil kira nilai dan budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Pindaan demi pindaan terus berlaku sejak Malaysia meratifikasi Konvensyen mengenai Penghapusan semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1995. Perjanjian tersebut mentakrifkan diskriminasi terhadap wanita dan menjelaskan tanggungjawab negara untuk mengambil langkah-langkah bagi menghapuskan diskriminasi dan memastikan kesetaraan antara gender. Melalui Artikel No. 19, CEDAW menghuraikan hubungan antara diskriminasi dan keganasan berasaskan gender, dan langkah-langkah proaktif yang mesti diambil untuk menangani keganasan terhadap wanita. Maka, CEDAW perlu dijadikan rujukan dalam pindaan AKRT 1994 beserta akta-akta lain yang bersangkutan. Walau bagaimanapun, menurut laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) 2017, AKRT 1994 dan undang-undang lain di negara ini masih belum selaras dengan kehendak CEDAW sepenuhnya.
Ini dibuktikan dengan laporan CEDAW 2019 yang menunjukkan Malaysia masih lemah dalam memenuhi Artikel 19 tersebut. Antaranya,
- Pelaksanaan AKRT 1994 bersifat tidak konsisten seperti proses mendapatkan hak perlindungan buat mangsa keganasan (antara 24 jam sehingga 3 bulan), terdapat perbezaan pelaksanaan antara negeri bergantung kepada laporan dan tindakan pihak-pihak berwajib (polis, JKM dan mahkamah). Mangsa keganasan juga perlu diperluas kepada pasangan yang hidup serumah walau tanpa ikatan pernikahan.
- Rogol menggunakan objek hanyalah perlakuan seks di luar tabie
- Perbuatan mengendap tidak dianggap kesalahan jenayah
- Negeri menetapkan hukuman keganasan ke atas wanita adalah di bawah undang-undang syariah.
- Transgender wanita masih dihina dan sentiasa dikecam
Statistik Kes Keganasan Rumah Tangga
Jika dilihat beberapa laporan statistik yang terkini, mulai Januari sehingga Jun 2019, sebanyak 340 kes yang dilaporkan kepada JKM. Walau bagaimanapun, angka tersebut hanyalah kira-kira 10 peratus daripada yang diterima oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) iaitu sebanyak 3,139 kes. Maklumat ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh ketika menjawab soalan di sidang Parlimen pada November 2019.
Sebelum itu, pada April 2019, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang ketika itu Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menyatakan 5,421 kes keganasan rumah tangga pada tahun 2018, iaitu ianya turun berbanding 5,513 kes pada tahun 2017. Penurunan ini dipercayai kerana peningkatan kesedaran orang ramai. Beliau tidak menolak kemungkinan masih ramai yang tidak tampil membuat laporan kerana malu, mempunyai halangan tertentu dan kurang pengetahuan mengenai perlindungan diri sebagai mangsa. Laporan WAO 2017 menghuraikan beberapa faktor kenapa mangsa tidak membuat laporan adalah tidak mampu menanggung kos guaman, takut hilang hak penjagaan anak sekiranya terbukti mereka mengalami gangguan psikologi serta sukar untuk membuktikan kesan keganasan selain daripada kesan fizikal.
Perjuangan Yang Gagal
Meluasnya fenomena keganasan rumah tangga bukan sahaja berlaku di negara ini. Malah di negara-negara umat Islam lain yang meratifikasi CEDAW, juga mengalami nasib yang sama malah ada yang lebih teruk apabila menghapuskan undang-undang berasaskan syariah. Ironinya Negara Barat yang mengagungkan dan memperkenalkan CEDAW juga tidak mampu menjaga para wanita mereka. Akhbar TheGuardian.com melaporkan angka rasmi sebanyak 1,870 kematian yang melibatkan keganasan rumah tangga di England dan Wales sepanjang tahun 2000 sehingga 2018. Angka ini adalah 15 kali ganda berbanding sejumlah 126 kematian akibat aktiviti terorisme dalam tempoh yang sama!
Segala bentuk undang-undang, kempen-kempen kesedaran, pelbagai inisiatif yang mereka cipta untuk menyelesaikan masalah ini masih jauh panggang dari api. Malah amat malang apabila langsung tidak membuahkan hasil untuk menangani atau menurunkan bilangan kes secara signifikan. Inilah bukti bahawa idea dan cara hidup sekular, liberal dan kapitalis yang dipromosikan ke seluruh dunia telah menjerumuskan wanita ke dalam kehidupan yang mengerikan. Malah bertambah hina apabila menidakkan peraturan Allah dengan cadangan-cadangan seperti mengiktiraf pasangan yang tinggal serumah tanpa ikatan pernikahan serta mengangkat transgender wanita sebagai wanita sebenar. Kemudian, diperkenalkan pula penawar kedukaan tersebut yang disebut sebagai perjuangan kesetaraan gender dengan memperkasakan wanita agar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum adam. Adakah wanita semakin dipandang mulia? Selama mana negara ini memilih untuk terus berpaksikan acuan CEDAW yang diperkenalkan penjajah kuffar ini, selama itulah keganasan terhadap wanita termasuklah anak-anak akan berterusan.
“Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): “Apakah kamu akan mengajar Allah mengenai agamamu, sedangkan Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi dan sudah pasti Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ Al-Hujurat (49):16]
Rujukan
Al-Quran
Perspektif Mengenai Keganasan Rumah Tangga, Laporan 2017 oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Randawar D.K dan Jayabalan S. (2018). The Definition of Domestic Violence in Malaysia: A Cross-National Comparison . Akademika 88 (3), September 2018 : 77-89
The Status of Women’s Human Right: 24 Years of CEDAW in Malaysia . 2019. M.surat: 355
http://www.jkm.gov.my/jkm
https://www.theguardian.com/society/2019/dec/28/domestic-violence-kills-15-times-as-many-as-terrorism-in-britain