Soal-Jawab: Implikasi Coronavirus

بسم الله الرحمن الرحيم

[Terjemahan Soal-Jawab daripada Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu Ar-Rasytah]

Soalan:

China mengumumkan pertama kali pada 4/1/2020 khususnya di kota Wuhan bahawa puluhan penduduk telah dijangkiti Coronavirus, yang dinamakan Covid-19. Kemudian wabak penyakit ini merebak ke hampir seluruh dunia sehingga banyak negara telah menutup sempadan dan mengenakan perintah berkurung, seterusnya menghentikan solat Jumaat dan solat berjemaah. Wabak ini telah memberi pukulan hebat kepada perekonomian global, dan Amerika mula saling tuduh-menuduh dengan China.

Apakah punca kepada wabak ini? Sejauh manakah kesannya secara nyata terhadap perekonomian global? Apakah penyelesaian yang benar dalam masalah ini? Bolehkah menghentikan solat Jumaat dan solat berjemaah disebabkan oleh wabak ini?

Jawapan:

Coronavirus diberi nama sedemikian dalam Bahasa Inggeris (crown) yang bermaksud mahkota, kerana bentuknya seperti mahkota apabila dilihat dengan mikroskop elektron. Virus ini pertama kali dijumpai pada tahun 1960 dengan nama Coronaviridae. Daripada keluarga virus ini, muncul pada tahun 2003 di wilayah Hong Kong China, sejenis virus yang disebut SARS yang merekodkan jangkitan ke atas seramai 8,422 orang dan menyebabkan 916 kematian. Pada tahun 2004 dan 2005 muncul pula jenis yang baru. Pada tahun-tahun berikutnya khususnya 2012 dan 2014 muncul lagi, tetapi terbatas di beberapa negara dan dengan peratusan yang kecil. Ia muncul kembali pada awal Disember 2019 di kota Wuhan, China dan 96% menyerupai virus SARS 2 dan disebut Corona 19, yang kemudiannya disingkatkan kepada Covid-19 yang dinisbahkan kepada kemunculannya pada tahun 2019. Banyak jangkitan awal terkait dengan pasar haiwan dan makanan laut di kota Wuhan, China. Ia kemudian menular ke sejumlah negara berdekatan. Virus ini mirip 96% virus kelawar, yang menjadikan kemungkinan besarnya ialah datang dari kelawar.

Jumlah kematian meningkat dengan cepat, kebanyakannya di China sehingga jumlah yang dijangkiti mencapai 81,193 kes dengan lebih daripada 3000 kematian. Ia disusuli oleh Itali, Iran, Sepanyol, Perancis dan Amerika Syarikat (AS). Ketakutan pun menyebar di seluruh dunia disebabkan penularannya yang begitu cepat hingga jumlah kes yang disahkan mencapai 404,000 dengan jumlah kematian hampir 20 ribu orang (Deutsche Welle, 25/3/2020). Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, “Wabak Covid-19 mungkin boleh membunuh jutaan manusia jika penularannya tidak dikawal” (Eero News, 19/3/2020). Sehubungan itu, banyak negara telah menutup semua sekolah, universiti dan kerumunan, serta menyerukan perintah berkurung, kuarantin, pemberhentian solat Jumaat dan solat berjemaah. Hal ini menjadikan banyak perkara perlu kepada penjelasan:

Pertama: Adakah wabak ini muncul daripada tindakan aktif [adanya pembuat] atau seperti penyakit yang lain yang merupakan qadha’ dari Allah (swt) akibat (fasad) tangan-tangan manusia?

Kedua: Adakah dunia kapitalis mengatasi masalah ini dengan benar? Apakah penyelesaian syarie dalam isu ini?

Ketiga: Apakah dampak Coronavirus ini terhadap harga minyak dan perekonomian global?

Keempat: Adakah boleh kerana wabak ini, untuk melarang orang ramai daripada solat berjemaah dan solat Jumaat?

PERTAMA: Kemunculan wabak Coronavirus dan siapa di belakangnya:

1- Awal tersebarnya Coronavirus (Covid-19) adalah dari China. Penelitian secara ilmiah dan secara perubatan mengatakan bahawa virus ini berpindah daripada haiwan kepada manusia. Ini kerana di China sudah menjadi kebiasaan mereka memakan semua jenis haiwan termasuklah yang kotor dan jijik, kerana keberadaan mereka sebagai orang kafir pagan yang tidak membezakan antara yang buruk dan yang baik. Seperti yang kami sebutkan di awal, laporan media menunjukkan bahawa kota Wuhan, China di wilayah Hubei merupakan pusat perdagangan daging-daging (daripada haiwan-haiwan) yang kotor ini, dan dari situ menjadi pusat penularan wabak ini.

Dengan cara itulah wabak Coronavirus merebak di China yang kemudian menular ke Iran melalui orang-orang China yang bekerja di Chinese Railways Corporation di sana, yang sedang membina jalan kereta api baru melewati kota Qom. Iran dianggap sebagai pusat penularan wabak tersebut di Timur Tengah. Demikian juga Itali yang membuka sejumlah sektor pelaburan untuk China, daripada infrastruktur hinggalah pengangkutan. Laporan menunjukkan yang Lombardy dan Tuscany menjadi dua wilayah pelaburan China yang paling besar di Itali. Wilayah Lombardy menyaksikan kes pertama Coronavirus pada 21 Februari lalu, dan merupakan wilayah yang paling teruk dijangkiti.

2- Amerika menyerang China kerana kegagalannya memerangi wabak dan kerana menutupinya sejak ia mula tercetus. Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Zhao Li Jian membalas hal itu dengan marah dan menciap di Twitter-nya pada 13/3/2020 dengan mengatakan, “Pasukan Amerika-lah yang mungkin telah membawa Coronavirus ke kota Wuhan, China”…(Ash-Sharq Al-Awsat, 13/3/2020). Presiden Amerika, Trump mengulangi serangannya terhadap China dengan mengatakan, “Dunia membayar harga yang sangat mahal dengan apa yang telah dilakukan oleh China (merujuk kepada kelambatan China dalam memberikan maklumat mengenai Coronavirus yang baru” (Euro News, 19/3/2020). Trump menyifatkan Coronavirus sebagai virus China ketika menciap pada 16/3/2020, “Amerika Syarikat akan memberi sokongan padu kepada sektor seperti penerbangan dan lain-lain, yang secara khusus terjejas akibat virus China itu.” China membalas melalui jurucakap Kementerian Luar Negerinya pada 17/3/2020 dengan mengatakan, “Komen ini merosak imej China. Kami sangat marah dan menolaknya dengan keras” (Russia Today, 18/3/2020).

Ketika China mulai menyebarkan tuduhan yang disebutkan pada awal (di atas) bahawa Amerika-lah yang berada di sebalik penyebaran virus ini, Washington telah memanggil duta besar Beijing pada 13/3/2020, dan pegawai Jabatan Negara Amerika berkata, “China berusaha menangkis kritikan kerana peranannya dalam ‘memulakan pandemik global dan tidak memberitahu dunia.’ Menyebarkan teori konspirasi adalah berbahaya dan tidak masuk akal.” Pegawai tersebut berkata, “Kami ingin kerajaan mengambil maklum bahawa kami tidak akan bertolak ansur dalam hal ini demi kepentingan rakyat China dan dunia”. Agensi berita Xinhua mengesahkan “bahawa langkah-langkah yang dilakukan oleh Beijing, termasuk mengenakan kuarantin tegas ke atas dua juta penduduk telah memberikan dunia ‘masa yang berharga’ untuk mempersiapkan diri, yang mana hal ini diakui oleh masyarakat antarabangsa” (Russia Today, 15/3/2020).

3- Begitulah perang mulut antara Amerika dan China disebabkan oleh penularan Covid-19 (SARS-Cov2),  dan masing-masing saling menuduh antara satu sama lain sebagai faktor langsung penularan wabak ini. Meskipun kedua sistem yang dilaksanakan di China dan Amerika tidak dapat dipisahkan daripada menjadi sebab di sebalik penularannya, namun setelah dilakukan penelitian, nampaknya tidak ada bukti yang kukuh bahawa Amerika atau China adalah pihak yang menyebarkan atau menghasilkan virus ini yang kemudian menularkannya ke negara-negara lain. Hal ini kerana dua sebab:

Pertama: Kedua-dua negara itu (Amerika dan China) sedang tenggelam hingga ke paras telinga mereka disebabkan wabak ini!

Di China, di samping apa yang telah kami sebutkan sebelumnya, statistik terkini kes Coronavirus telah mencecah 81,272 dengan 3,273 kematian, sebagaimana diumumkan oleh Jawatankuasa Kesihatan Kebangsaan (Youm, 23/3/2020). Seandainya China adalah pihak di sebalik penyebaran wabak ini, maka setidaknya ia sudah pasti berusaha menyelamatkan dirinya sendiri.

Adapun Amerika, menurut statistik mereka yang dijangkiti oleh Coronavirus berdasarkan CNN Health, jumlah yang meninggal telah meningkat kepada 704 orang. Manakala jumlah keseluruhan kes yang disahkan ialah sebanyak 52,976 orang (CNN Arabic, 25/3/2020). Amerika Syarikat berada di tangga ketiga dari segi jumlah jangkitan, setelah China dan Itali. Di bawah langkah-langkah yang terkini, sepertiga warga Amerika berada di bawah perintah untuk tinggal di rumah di tujuh bahagian negara tersebut. Louisiana dan Ohio mengumumkan lanjutan perintah berkurung pada hari Ahad lepas, mengikuti jejak New York, California, Illinois, Connecticut dan New Jersey (Al-Jazeera, 23/3/2020). Sebagaimana China, sekiranya Amerika adalah pihak di sebalik penyebaran wabak ini, maka ia sudah pasti sekurang-kurangnya berusaha untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Kedua: Tidak benar untuk mengatakan bahawa dua negara tersebut yang menghasilkan Covid-19. Ini kerana tidak ada bukti bahawa virus tersebut dihasilkan di makmal. Majalah Nature Medicine menyebut, “Dengan membandingkan data penjujukan genom yang tersedia untuk baka Coronavirus (coronavirus strains) yang diketahui, kami dapat mengesahkan dengan kuat bahawa Coronavirus ini berasal daripada proses semulajadi.” Majalah tersebut juga menyebut, “Pandangan ini disokong oleh data dari tulang belakang virus dan struktur molekulnya secara keseluruhan, dan siapa sahaja yang ingin menghasilkan virus ini secara makmal, hal ini akan tampak pada tulang belakang virus” (https://www.npr.org). Hal yang sama berlaku pada negara lain seperti Rusia, Eropah, Iran dan negeri kaum Muslimin lainnya, yang tampak semuanya terjangkit daripada salah satu negara iaitu samada China atau Amerika dari sudut penularan virus tersebut.

Oleh yang demikian, tidak ada (punca kemunculan) lain kecuali seperti yang telah difirmankan oleh Allah (swt):

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ﴾

“Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30):41].

Kita semua sedar kerosakan yang telah dilakukan oleh para kapitalis dan golongan yang seperti mereka di dunia ini, yang hanya menghargai kepentingan dan ketamakan mereka sahaja. Pemerintah Amerika, China, Rusia, Eropah dan seumpamanya, merupakan penyebab kepada penderitaan dunia dan penderitaan rakyat mereka sendiri. Kejahatan-kejahatan mereka terhadap umat manusia sungguh terlalu banyak. Merekalah yang mengebom manusia yang tak berdosa dengan bom atom, uranium, bom napalm, dan mereka secara brutal menjadikan suku-suku Afrika sebagai hamba serta menjadikan mereka sebagai lapangan untuk ujian biologi dan kimia mereka. Perang penghapusan terhadap penduduk asal Amerika (Red Indian) merupakan tanda aib di dahi Amerika. Begitu juga dengan jenayah China terhadap Muslim Uighur yang telah diketahui oleh seluruh penjuru dunia. Kejahatan Rusia dan Serbia terhadap kaum Muslimin di Asia Tengah, Balkan dan Syam masih terus berlangsung. Manakala jenayah British di India terhadap kaum Muslimin dan non-Muslim masih terus memberi kesan sampai sekarang. Segala jenayah ini mengesahkan bahawa para penguasa yang mengawal bangsa-bangsa di dunia, merekalah yang menjadi penyebab kepada penderitaan umat manusia. Maka benarlah sebagaimana firman Allah yang Maha Perkasa:

﴿فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ﴾

“Maka mereka ditimpa oleh akibat buruk dari apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka akan ditimpa akibat buruk dari usahanya dan mereka tidak dapat melepaskan diri” [Az-Zumar (39):51].

KEDUA: Kesalahan penyelesaian kapitalis dan yang serupa dengannya dalam menghadapi masalah coronavirus, dan penyelesaian yang benar hanyalah dengan syariah:

Golongan kapitalis dan yang serupa dengannya menghadapi isu ini dengan tiga tahap penyelesaian:

Tahap Pertama: menyembunyikan topik:

1- Laporan dari China mendedahkan bahawa pihak berkuasa China telah menyembunyikan berita wabak yang mematikan ini daripada orang-orang China dan juga daripada seluruh dunia, sedangkan pihak berkuasa telah pun mengetahui mengenai penularannya sebelum pertengahan bulan Disember 2019. Mereka menutup berita tersebut dan tidak mengiktirafnya hinggalah ke akhir tahun setelah jumlah kes meningkat. Wartawan keturunan China-Amerika, Sang Wei Wang menegaskan bahawa pihak berkuasa China tidak menutup pasar makanan laut di kota Wuhan hinggalah ke bulan Januari, yang dari situlah tersebarnya wabak. Laporan mendedahkan bahawa 8 orang warganegara telah ditangkap kerana menyebarkan berita mengenai wabak pada awal berlakunya krisis dan menganggap mereka sebagai pelanggar undang-undang kerana menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Sang Wei Wang menyatakan selanjutnya bahawa pihak berkuasa tempatan mendakwa bahawa situasi adalah seperti biasa dan mereka membenarkan salah satu perayaan tradisi tempatan pada 18 Januari yang dihadiri oleh sekitar 40 ribu buah keluarga” (Ibid, 01/02/2020).

2- Begitu juga [para pegawai kerajaan China tidak memberi amaran kepada rakyatnya mengenai bahaya krisis pada bulan Disember hinggalah ke 31 Disember apabila Beijing memberitahu WHO. Pada waktu itu kerajaan China mengatakan, “wabak masih boleh dicegah dan dalam keadaan terkawal”. Pada 23 Januari, pihak berkuasa menutup kota Wuhan dan larangan perjalanan sepenuhnya telah dikeluarkan (Masrawy, 23/3/2020)].

Tahap Kedua: kuarantin dan pengasingan sebahagian

1- [Pegawai-pegawai kerajaan dari sektor kesihatan di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada hari Sabtu, terdapat kes baru Coronavirus yang ke-8. Kementerian Pertahanan AS mengatakan bahawa AS akan menyediakan tempat perlindungan bagi pendatang luar yang tiba, yang perlu di kuarantin…Kota Wuhan dan wilayah Hubei di China Tengah, yang dari situ munculnya virus, hendaklah tertakluk kepada kuarantin yang sebenar (Sky News ,12/2/2020)].

2- Di Amerika Syarikat, gabenor negeri New York, Andrew Cuomo mengatakan, “kami berada dalam kuarantin” sambil menegaskan bahawa itu adalah “langkah paling ketat yang boleh kita ambil”. Dengan dikenakan perintah kuarantin di New York, California, New Jersey dan Illionis, lebih 85 juta penduduk kini terpaksa tinggal di rumah, kecuali untuk keluar berbelanja dan berjalan kaki dalam jarak yang dekat (Deutsche Welle, 21/3/2020).

Tahap Ketiga: Pengasingan hampir sepenuhnya di rumah

[Ratusan juta orang di seluruh dunia diasingkan di rumah-rumah mereka dengan harapan dapat menghentikan penularan Coronavirus yang telah menyebabkan kematian lebih daripada 11 ribu orang. Tindakan seketat ini, yang dilakukan dengan tahap yang berbeza-beza bergantung kepada setiap negara, belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia…lebih daripada 800 juta orang di lebih 30 buah negara diminta untuk tinggal di rumah, sama ada disebabkan oleh keputusan untuk kuarantin secara umum atau rekomendasi atau perintah berkurung, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh AFP…Di Jerman, pihak berkuasa sedang mempertimbang untuk memperketat langkah kawalan ke atas kehidupan umum dan mewajibkan sebahagian besar penduduk untuk tinggal di rumah…Itali, negara Eropah yang paling terjejas oleh virus yang telah membunuh 4000 orang, dan merupakan negara pertama di benua Eropah yang memerintahkan penduduk di kuarantin, sedang berusaha untuk mempertingkat langkah-langkah mereka dalam menghadapi penularan wabak tersebut. Itali akan menutup semua taman dan kawasan terbuka kepada orang ramai hujung minggu ini, dan sekatan-sekatan lain akan turut dikenakan dalam rangka mendorong warganya agar tetap tinggal di rumah masing-masing. Ini setelah pihak berkuasa mengumumkan kematian seramai 627 orang dalam masa 24 jam di negara itu, yang menjadi jumlah tertinggi sejak tercetusnya wabak (Deutsche Welle, 21/3/2020).

Dengan menyusun tiga tahap rawatan ini, apa yang berlaku ialah ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia semakin meningkatkan kegagalan ekonomi, dan kemudian meningkatkan lagi penularan wabak serta kebosanan dan ketidaksabaran masyarakat, sepertimana yang kita dengar apa yang berlaku dalam masyarakat kapitalis.

Atas dasar itu, penyelesaian yang benar untuk wabak ini ialah seperti yang terdapat dalam syariah Allah (swt), yakni dengan negara mengikuti (perkembangan) wabak tersebut sejak awal dan berusaha untuk menyekat wabak di tempat kemunculannya. Manakala orang-orang yang sihat di tempat-tempat lainnya tetap bekerja dan produktif.

Imam Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahih-nya dari Usamah bin Zaid dari Nabi (saw), baginda bersabda:

«إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا»

“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka jangan kalian tinggalkan tempat tersebut.”

Dalam hadis lain riwayat Imam Bukhari dan Muslim dan lafaznya dari Muslim, dari Usamah bin Zaid, ia berkata, Rasulullah (saw) bersabda:

«الطَّاعُونُ رِجْزٌ أَوْ عَذَابٌ أُرْسِلَ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَوْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَاراً مِنْهُ»

“Tha’un (wabak) itu adalah azab yang dikirimkan oleh Allah kepada Bani Israel atau orang-orang sebelum kalian. Oleh itu, jika kalian mendengar tha’un menimpa suatu negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut, dan jika tha’un itu terjadi di negeri yang kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar daripadanya.

Dalam riwayat lain oleh Imam Bukhari dari Aisyah (ra) isteri Nabi (saw), ia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah (saw) tentang tha’un lalu baginda memberitahuku,

«أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِراً مُحْتَسِباً يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ»

“Tha’un itu merupakan azab yang Allah turunkan terhadap siapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat untuk orang-orang Mukmin. Maka tidak ada seorang hamba pun yang tetap berdiam di negerinya di saat tha’un melanda, lalu dia bersabar mengharap redha Allah, dan dia tahu bahawa tidak ada apa yang akan menimpanya kecuali apa yang telah Allah tuliskan untuknya, kecuali untuknya ganjaran seperti pahala syahid.”

Inilah bentuk kuarantin dalam sebuah Negara yang telah mendahului semua negara lain. Ia adalah sebuah Negara bertamadun kelas pertama yang mana pemimpinnya adalah Nabiyullah dan Rasul-Nya (saw), yang menerima wahyu dan menerapkan Islam agar menjadi suri teladan dalam pelaksanaannya. Ibnu Hajar menukilkan dalam Fathu al-Bari bahawa Umar (ra) keluar ke Syam, dan ketika tiba di Syargh, sampai berita kepadanya bahawa wabah sedang menular di Syam. Lalu Abdurrahman bin ‘Auf memberitahunya bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ»

“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka janganlah kalian tinggalkan tempat tersebut.”

Maka Umar bin al-Khattab pun pulang semula; yakni ketika sampai berita bahawa wabak telah menular, Umar kembali bersama kaum Muslimin.

Berdasarkan hal itu, maka negara (dalam Islam) mesti membatasi wabak di tempatnya dan penduduk di tempat wabak tetap tinggal di situ, manakala penduduk di tempat lain tidak memasukinya. Negara melakukan kewajipan syarie-nya kerana ia adalah negara yang memelihara rakyatnya dan menunaikan amanahnya. Sebagaimana negara melakukan langkah-langkah ini ketika menularnya wabak, negara juga dalam masa yang sama menyediakan layanan kesihatan berupa perkhidmatan perubatan dan ubat-ubatan secara percuma untuk seluruh rakyat, membina hospital-hospital dan makmal perubatan dan lain-lain keperluan asas untuk warganegara seperti pendidikan dan keamanan.

Oleh yang demikian, prosedur yang benar ialah dengan mengasingkan penyakit yang menular di tempatnya dan mengkuarantin orang yang sakit dan menyediakan rawatan susulan secara percuma. Manakala orang-orang yang sihat tetap meneruskan kerja mereka seperti biasa. Kehidupan sosial dan ekonomi diteruskan sebagaimana sebelum menularnya penyakit. Kehidupan masyarakat umum seharusnya tidak terhenti, dan mereka tidak diasingkan (dikurung) di rumah-rumah mereka sehingga melumpuhkan atau hampir melumpuhkan kehidupan ekonomi sehingga menjadikan krisis lebih buruk, dan memunculkan pula masalah-masalah lain.

KETIGA: Dampak wabak Coronavirus terhadap harga minyak dan ekonomi global:

Pertumbuhan ekonomi global mengalami kelembapan (sebelum ini) walaupun dalam keadaan tanpa wabak. Lalu bagaimana pula kesan apabila tindakan-tindakan global mengarah kepada kuarantin atau pengasingan secara penuh mahupun sebahagian? Tindakan-tindakan ini akan melembapkan lagi ekonomi global jika pun tidak menyebabkan keruntuhannya:

Virus ini telah melumpuhkan pergerakan perdagangan global dan menyebabkan harga minyak telah turun secara drastik ke tahap yang sangat rendah. Ia telah menciptakan perang harga antara Rusia dan Arab Saudi kerana Rusia terpaksa meningkatkan pengeluaran minyaknya disebabkan ia sangat bergantung kepada minyak. Lalu Amerika menggerakkan Saudi untuk menaikkan pengeluaran minyak Saudi untuk menghadapi Rusia. Pada 19/3/2020 Presiden Amerika, Donald Trump mengugut Rusia dengan mengatakan bahawa, “dia akan campurtangan dalam perang harga yang terjadi antara Saudi dan Rusia pada waktu yang tepat” [Al-Hurra (Amerika), 19/3/2020].

Saudi terjun ke dalam perang melawan Rusia demi Amerika bagi merebut saham di pasaran setelah musnahnya kesepakatan antara Saudi-Rusia pada bulan ini, untuk mengehadkan pengeluaran minyak yang telah berlangsung selama tiga tahun. Kedua-dua negara mengeluarkan minyak mereka dengan maksimum di saat permintaan global menjunam minggu ini ke tahap yang paling rendah sejak 20 tahun, akibat penularan Coronavirus. Harga minyak per barel telah turun ke USD 28.75 untuk kontrak berjangka minyak Brent. Rusia sedar hubungan Saudi dengan Amerika. Jurucakap perusahaan Rosneft, Mikhail Leontyev memberitahu Agensi Maklumat Rusia “semua kuantiti minyak yang dikurangkan ekoran sambungan beberapa kali perjanjian OPEC Plus, telah diimbangi secara penuh dan cepat di pasar global dengan minyak syal Amerika (Reuters, 8/3/2020).

Meskipun demikian, mereka (Rusia) tidak dapat melakukan apa-apa dalam hal ini. Arab Saudi meningkatkan krisis dengan Rusia dengan membuat keputusan untuk tidak memperpanjangkan perjanjian sebelumnya (perjanjian untuk penurunan pengeluaran kepada 2.1 juta barel), sebaliknya Arab Saudi membuat keputusan untuk menaikkan pengeluaran (minyak telah kehilangan harga sehingga sepertiga nilainya pada hari Isnin lepas dalam kerugian harian terbesar sejak perang Teluk 1991. Demikianlah, kontrak berjangka minyak mentah Brent menurun 22% kepada USD 37.05 per barel, setelah sebelumnya turun 31% kepada USD 31.02 per barel, paras terendah sejak 12 Februari 2016 (Reuters, 9/3/2020)]. Kemudian harga minyak untuk pelanggan-pelanggannya di Asia turun kepada USD 6! Hari ini Rusia sedang mencari jalan untuk kembali kepada perjanjian OPEC Plus dan mula menunjukkan fleksibilitinya untuk penurunan baru!

Begitulah, perekonomian global bergoncang sengit akibat penularan Coronavirus dan harga minyak pun turut jatuh. Jika keadaan ini berterusan, maka perekonomian global berada di hujung tanduk.

KEEMPAT: Hukum melarang solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid ketika wabak

Sesungguhnya meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat dalam keadaan tersebarnya wabak penyakit menular tidak dilakukan secara umum. Tetapi (apa yang dilakukan ialah) orang yang sakit itu diasingkan dan tidak boleh masuk ke masjid untuk solat berjemaah dan solat Jumaat. Diambil semua langkah berupa menjaga kebersihan, memakai topeng muka dan jika perlu, menggunakan apa jua alat pelindung diri dan sebagainya. Kemudian orang-orang yang sihat terus melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah tanpa dilarang. Jika perlu, boleh disediakan sekumpulan petugas perubatan di masjid-masjid untuk memeriksa orang yang diduga sakit dalam kalangan mereka yang hadir untuk solat, sehingga boleh diambil langkah-langkah terhadapnya, tanpa orang-orang yang sihat dari kaum Muslimin meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah. Ini kerana, dalil-dalil yang ada tentang solat berjemaah dan solat Jumaat tidak mengandungi kebolehan untuk meninggalkan solat secara berterusan. Malah, solat berkenaan tidak menuntut bilangan yang besar untuk menunaikannya sebagaimana yang akan kami jelaskan…dan diberikan keuzuran untuk sebahagian kaum Muslimin daripada menghadirinya atas sebab-sebab yang khusus sebagaimana berikut:

1- Berkaitan dengan solat berjemaah, maka itu adalah fardhu kifayah:

Solat berjemaah merupakan fardhu kifayah yang wajib ditampakkan bagi masyarakat. Abu Darda’ telah meriwayatkan bahawa Nabi (saw) bersabda:

«مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ، عَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْخُذُ الذِّئْبُ مِنَ الْغَنَمِ الْقَاصِيَةَ» رواه أبو داود بإسناد حسن

“Tidaklah ada tiga orang di satu kampung atau pedalaman, di mana tidak didirikan di tengah-tengah mereka solat (berjemaah), kecuali syaitan telah menguasai mereka. Kalian hendaklah berjemaah. Sesungguhnya serigala memakan domba yang menyendiri” [HR Abu Daud dengan sanad hasan].

Hadis ini tentang solat berjemaah. Dan solat berjemaah itu fardhu kifayah.

Sebahagian daripada kaum Muslimin terlambat untuk solat berjemaah bersama Rasulullah (saw), maka Rasulullah (saw) membiarkan mereka setelah mengancam akan membakar mereka. Imam al-Bukhari telah mengeluarkan daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ فَيُحْطَبَ ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَهَا ثُمَّ آمُرَ رَجُلاً فَيَؤُمَّ النَّاسَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَجِدُ عَرْقاً سَمِيناً أَوْ مِرْمَاتَيْنِ حَسَنَتَيْنِ لَشَهِدَ الْعِشَاءَ»

“Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sungguh aku ingin memerintahkan tukang pencari kayu lalu dikumpulkan kayu bakar, kemudian aku perintahkan solat lalu dikumandangkan azan kemudian aku perintahkan seorang lelaki untuk mengimami orang-orang kemudian aku pergi kepada kaum lelaki (yang tidak keluar untuk solat berjemaah) dan aku bakar rumah mereka. Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, seandainya salah seorang daripada kalian mengetahui, bahawa dia mendapati kuah berlemak atau daging kambing yang baik nescaya dia akan tetap ikut (solat) Isyak berjemaah”.

Seandainya solat berjemaah itu fardhu ain atas setiap Muslim, nescaya baginda (saw) tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja (tanpa solat berjemaah). Hadis itu tentang solat berjemaah kerana disebutkan solat Isyak…dan paling sedikit solat berjemaah itu adalah dua orang, iaitu seorang Imam dan seorang Makmum. Ini sesuai dengan hadis Malik bin al-Huwairis, dia berkata:

«أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَنَا وَصَاحِبٌ لِي فَلَمَّا أَرَدْنَا الْإِقْفَالَ مِنْ عِنْدِهِ قَالَ لَنَا إِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَأَذِّنَا ثُمَّ أَقِيمَا وَلْيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا»، أخرجه مسلم

“Aku datang kepada Nabi (saw), aku dan temanku, ketika kami ingin pergi dari hadapan baginda, baginda bersabda, ‘Kita, jika telah tiba waktu solat, maka kita tunaikannya. Maka tunaikanlah oleh kalian berdua solat dan hendaknya yang menjadi Imam yang lebih tua dari kalian berdua” [HR Muslim].

Kewajipan solat berjemaah tidak gugur kecuali dengan adanya uzur syarie, yang tentangnya mesti ada nas yang menjelaskan seperti pada malam yang dingin atau hujan lebat, sebagaimana hadis Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّناً يُؤَذِّنُ ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ أَلَا صَلُّوا فِي الرِّحَالِ فِي اللَّيْلَةِ الْبَارِدَةِ أَوْ الْمَطِيرَةِ فِي السَّفَرِ»

“Baginda memerintahkan mu’azzin mengumandangkan azan kemudian baginda bersabda, ‘Ingatlah solatlah kalian di rumah pada malam yang dingin atau hujan lebat dalam perjalanan”.

2- Adapun mengenai solat Jumaat, maka ia adalah fardhu ain, dan kewajipannya tidak gugur kecuali dengan uzur syarie. Dalil-dalil berkenaan hal itu cukup banyak, di antaranya:

Firman Allah (swt):

﴿إِذَا نُودِي لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾

“Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” [Al-Jumaah (62):9].

Perintah wajib dalam ayat ini ditunjukkan dengan dalil qarinah iaitu larangan daripada melakukan perkara yang mubah (larangan berjualbeli ketika diseru solat), yang menunjukkan bahawa thalab (tuntutan) itu adalah jazim (tegas). Al-Hakim telah mengeluarkan dalam al-Mustadrak ‘ala as-Sohihain dari jalur Thariq bin Syihab dari Abu Musa dari Nabi (saw), baginda bersabda:

«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ»

“(Solat) Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam berjemaah kecuali empat orang: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit”.

Al-Hakim berkata: hadis ini sahih menurut syarat syaikhain (al-Bukhari dan Muslim)”.

Solat Jumaat tidak wajib atas orang yang takut berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda:

»مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ» أخرجه البيهقي في السنن الكبرى

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak pergi menunaikan solat Jumaat) maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur”. Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘takut atau sakit’” [HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].

Demikianlah kewajipan solat Jumaat ke atas setiap Muslim, kecuali ke atas orang yang dikecualikan oleh nas yang syarie…selain mereka yang dikecualikan berdasarkan nas itu, maka solat Jumaat adalah fardhu ain ke atasnya. Ini adalah uzur syarie (berdasarkan nas) dan tidak boleh diqiyaskan ke atasnya. Uzur syarie adalah apa yang dinyatakan oleh nas syarie, dan qiyas tidak boleh dilakukan dalam hal ibadah. Ini kerana di dalamnya tidak dinyatakan nas yang disertai ‘illat untuk membolehkan dilakukan qiyas ke atasnya…

Solat Jumaat disyaratkan mengandungi sebilangan orang daripada kaum Muslimin. Para sahabat telah bersepakat (Ijma’) bahawa mesti ada sejumlah orang untuk solat Jumaat. Oleh itu, solat Jumaat itu hendaklah dilakukan dalam sejumlah manusia (orang Islam). Tidak disyaratkan adanya bilangan tertentu. Berapa pun bilangannya yang boleh disebut sebagai jemaah, maka ia dinilai sebagai bilangan yang dengannya solat Jumaat itu absah, selama bilangan tersebut dinilai sebagai jemaah. Ini kerana keberadaannya sebagai jemaah ditetapkan dengan hadis Thariq di atas.

«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ»

“Jumaat merupakan hak wajib atas tiap Muslim di dalam jemaah”.

dan juga (ditetapkan) berdasarkan Ijma’ as-Sahabat, serta tidak ada hadis yang boleh dijadikan sandaran yang menunjukkan bilangan tertentu dalam solat Jumaat. Bagaimana pun, oleh kerana mesti ada jemaah dan sejumlah bilangan, dan hal itu tidak akan terpenuhi kecuali dengan tiga orang atau lebih – kerana dua orang tidak disebut sebagai jemaah – atas dasar itu maka hendaklah ada tiga orang yang padanya wajib Jumaat sehingga sah solat Jumaat itu. Jika kurang daripada bilangan tersebut (tiga orang), maka tidak sah disebut Jumaat kerana tidak cukup bilangan untuk dikatakan sebagai jemaah. Telah disepakati oleh Ijma’ as-Sahabat bahawa mesti ada sejumlah orang untuk solat Jumaat.

Demikianlah di dalam Daulah al-Khilafah, solat Jumaat dan berjemaah tidak diabaikan. Hanya mereka yang mempunyai uzur syarie tidak menghadirinya, manakala mereka yang lain hadir. 

Adapun pendapat bahawa telah menjadi ghalabah azh-zhan (dugaan kuat) bahawa semua orang berisiko tertular dan tidak mungkin untuk mencegah penularannya walau langkah-langkah dan sikap hati-hati telah diambil, ini adalah kemungkinan yang lemah, khususnya bahawa jumlah minimum untuk solat berjemaah adalah dua orang dan untuk solat Jumaat adalah tiga orang, dan jumlah ini kemungkinan besar dapat dicapai. Jika kita andaikan adanya kemungkinan ini (semua orang berisiko tertular) maka hal itu diambil di tempatnya sahaja. Perkara seperti ini wajib ditetapkan (dipastikan – verify) dengan sangat rinci dan amanah. Jika angka (mereka yang berisiko tertular) telah terpenuhi menurut ghalabah azh-zhan, maka solat Jumaat dan solat berjemaah (tetap) tidak boleh ditiadakan, tetapi diambil semua langkah dan tindakan hati-hati (untuk mencegah penularan). Jadi, tindakan pencegahan itu tidak bererti meninggalkan kewajipan, namun kewajipan itu ditunaikan dan disertai mengambil tindakan berhati-hati dan langkah-langkah untuk mencegah penularan.

Ini adalah hukum yang rajih dalam masalah ini. Jika negara menutup masjid-masjid tanpa mengerahkan segenap usaha dalam memastikan ghalabah azh-zhan sebagaimana yang kami jelaskan di atas, lalu kemudian melarang orang ramai mendatangi masjid untuk solat Jumaat dan solat berjemaah, maka negara berdosa dengan dosa besar kerana membiarkan (meniadakan) solat Jumaat dan berjemaah.

Penutup

Sebagai penutup, sungguh sangat menyedihkan di mana para penguasa di negeri kaum Muslimin mengikuti langkah-langkah kaum kafir penjajah sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta. Jika negara-negara kafir penjajah itu bermasalah dalam mengatasi penyakit tertentu, para penguasa itu pun tetap mengikuti mereka. Jika mereka menyodorkan penyelesaian, meskipun keadaannya berbeza, para penguasa negeri kaum Muslimin pun bertepuk tangan dan mengangap telah sihat dan pulih (dari penyakit)!

Sungguh menyakitkan, wabak Corona ini telah menambah kejumudan terhadap negeri kaum Muslimin dan penduduknya hingga hampir-hampir kehidupan umum telah terhenti. Padahal (dari segi sejarahnya) negeri kaum Muslimin telah berlalu atasnya banyak perkara di mana ia telah diuji dengan tha’un, sedangkan pada waktu itu ia sedang mengharungi peperangan sengit dengan Rom di Syam pada tahun 18 H…Demikian juga, kaum Muslimin pernah diuji pada pertengahan abad ke-6 H dengan wabak asy-syaqfah yang sekarang disebut sebagai cacar yang menular dari Syam hingga Maghribi. Sekarang dianggap sebagai sebahagian daripada luka kulit yang disebabkan oleh sejenis bakteria…Demikian juga kaum Muslimin telah diuji pada pertengahan abad ke-8 H (749 H) dengan apa yang disebut sebagai tha’un al-a’zham di Damaskus. Dalam semua keadaan itu, masjid-masjid tidak pernah ditutup, dan solat Jumaat serta solat berjemaah tidak pernah dihentikan. Orang ramai juga tidak dikurung di rumah-rumah mereka. Bagaimana pun, orang yang sakit diasingkan, manakala orang yang sihat tetap menjalankan aktiviti mereka dengan jihad dan memakmurkan bumi…Mereka pergi ke masjid, solat dan berdoa kepada Allah (swt) agar melindungi mereka daripada penyakit yang melanda. Semua itu dilakukan di samping mereka melakukan rawatan (perubatan) dengan cara yang mereka ambil (pada waktu itu) dalam merawat orang-orang yang sakit…Inilah yang benar.

﴿فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ﴾

“Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan” [Yunus (10):32].

2 Sya’ban 1441 H

26 Mac 2020 M

[Soaljawab asal https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2593156944263647/?type=3&theater]