Covid-19: Apakah maksiat, dan maksiat terbesar yang perlu dihapuskan? (Siri 3)

Setelah Rasulullah (saw) memberikan peringatan bahawa zina dan riba yang berleluasa dalam sesebuah negeri akan mengundang azab Allah (swt), persoalannya, kenapakah kedua-dua dosa dan kemaksiatan itu boleh tetap berlaku dalam skala yang cukup besar, baik di Malaysia mahupun di negeri kaum Muslimin lainnya?

Dalam sistem demokrasi, riba adalah suatu yang halal. Tidak ada dosa, tidak ada kesalahan dan tidak ada hukuman untuk sesiapa yang mengambil riba atau terlibat dalam transaksi riba. Begitu juga dengan mendedahkan aurat, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, semua ini adalah halal di sisi demokrasi.

Melalui penerapan sistem demokrasi inilah, dengan kuasa yang ada di tangan pemerintah, mereka telah membuka seluas-luas pintu kepada perzinaan dan juga riba. Dari sinilah berpuncanya kes zina yang begitu banyak, kerana pergaulan bebas yang menjadi muqaddimah zina, dihalalkan oleh sistem ini. Begitu juga dengan riba yang bukan sahaja dihalalkan, malah dipromosi secara besar-besaran dalam sistem ini kerana ia merupakan salah satu tunjang kepada ideologi kapitalisme, yang melahirkan sistem ini.

Dalam sistem demokrasi yang berasal daripada Barat ini, halal dan haram ditentukan oleh manusia. Siapakah manusia itu? Mereka ialah anggota-anggota badan legislatif @ pemerintah yang menjadi pembuat undang-undang. Dalam demokrasi, ahli-ahli parlimen yang merupakan law-maker ini telah mengambil peranan Allah (swt) sebagai pembuat hukum. Halal dan haram ditentukan oleh mereka. Inilah dosa dan kemaksiatan terbesar kepada Allah (swt) kerana hak Allah (swt) telah “dirampas” oleh ahli-ahli parlimen ini, lalu mereka menjadi penentu kepada apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh manusia.

Dengan kemaksiatan terbesar yang dilakukan oleh pemerintah ini, maka lahirlah bermacam rantaian kemaksiatan lainnya dalam skala yang cukup besar yang kita saksikan pada hari ini. Maka, apakah tidak layak lagi bagi Allah (sebagaimana disebut dalam hadis) untuk menurunkan azab-Nya ke atas kita semua?

Allah (swt) telah menjelaskan dan memberi peringatan tegas kepada pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum-Nya, bahawa mereka adalah orang-orang yang fasik dan zalim. Malah betapa besarnya dosa mereka sehingga Allah (swt) menyatakan mereka menjadi kafir (apabila tidak menerapkan hukum Allah disertai dengan i’tiqad dan berusaha mempertahankan hukum itu dengan sungguh-sungguh). Begitulah besarnya dosa memaksiati Alllah (swt) dengan tidak menerapkan hukum-Nya. Firman-Nya,

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [Al-Maidah (5): 44].

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Barangsiapa tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [Al-Maidah (5): 45].

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Barangsiapa tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [Al-Maidah (5): 47].

Apakah ada kemaksiatan lain yang dilakukan oleh seseorang Muslim yang lebih besar daripada mencampakkan hukum Allah (swt) sekali gus mengambil peranan Allah (swt) sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum)? Maka tidak hairanlah kenapa Allah (swt) menurunkan segala bentuk musibah, dari semasa ke semasa hasil kezaliman (kemaksiatan) yang dilakukan oleh pemerintah. Apabila Allah (swt) menurunkan azabnya, maka ia  terkena ke atas seluruh manusia baik yang kufur atau beriman, yang zalim atau adil, yang fasiq atau beramal soleh, semuanya tidak terlepas. Firman-Nya,

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

“Maka mereka ditimpa oleh akibat buruk dari apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka akan ditimpa akibat buruk dari usahanya dan mereka tidak dapat melepaskan diri” [Az-Zumar (39):51].

وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَىٰ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ

“Dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman” [Al-Qasas (28):59].

وَكَذَٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَىٰ وَهِيَ ظَالِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ

“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras” [Hud (11): 102].

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab seksa-Nya” [Al-Anfal (8):25]

Selain daripada tiadanya ketakwaan dalam diri seseorang individu, yang menyebabkannya memaksiati Allah, dan selain daripada ramainya ulama su’ yang telah membinasakan umat dengan keburukan mereka, sebab terbesar yang menjadikan riba dan zina serta lain-lain kemaksiatan berleluasa ialah kerana tidak diterapkan hukum Allah (swt) di negeri kaum Muslimin. Hukum kufur-sekular, yang diterapkan oleh pemerintah, dengan mencampakkan hukum Allah (swt) merupakan maksiat terbesar yang menjadi punca kepada rantaian maksiat-maksiat lain, termasuklah riba dan zina sebagaimana yang disebut di dalam hadis, yang mengundang azab Allah (swt) ke atas kita semua.

Selain wabak yang melanda, sesungguhnya umat Islam di seluruh dunia sudah cukup menderita di bawah sistem kufur sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada tahun 1924 lagi. Umat Islam hidup dalam keadaan terpecah-belah, lemah, diperangi, dibunuh dan ditindas di mana-mana akibat hilangnya perisai (Khilafah) yang menjaga mereka selama lebih 13 abad. Disebabkan oleh pemerintah yang tidak berhukum dengan apa yang Allah (swt) turunkan, umat Islam yang asalnya mulia dan hebat ini telah kehilangan kemuliaan dan kehebatan mereka, dan diganti dengan pelbagai azab sengsara. Manakala negeri umat Islam pula hilang keberkatannya akibat dosa-dosa penduduknya, yang menjadi penyebab kepada Allah (swt) menurunkan azab-Nya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Kalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka” [Al-A’raf (7):96].

Persoalan seterusnya yang tersisa untuk kita sekarang ialah, apakah yang mesti kita lakukan untuk merubah keadaan ini?

…bersambung