Cukai Petronas: Apa yang rakyat Sarawak dapat?

Pada 8 Mei 2020, “konflik” di antara syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerajaan Sarawak akhirnya mencapai kata sepakat setelah syarikat minyak dan gas tersebut bersetuju untuk membayar penuh tunggakan cukai pada tahun 2019 yang berjumlah RM2 bilion. Nilai ini hanyalah 5% daripada keseluruhan nilai produk petroleum yang dikeluarkan dari perut bumi Sarawak bagi tahun 2019 oleh Petronas.

Sebelum ini, syarikat-syarikat cari-gali yang turut beroperasi di Sarawak telah pun menjelaskan kutipan SST (State Sales Tax) kepada kerajaan negeri, cuma Petronas sahaja belum menjelaskannya dan memilih untuk berdepan dengan kerajaan Sarawak di mahkamah.

“Kejayaan” kerajaan negeri yang diterajui oleh Abang Joe ini pastinya disambut baik oleh rakyat Sarawak yang memerhati dengan dekat isu ini serta isu-isu yang terkait dengan sentimen “hak” Sarawak yang telah dihakis oleh “kerajaan Persekutuan”. Persoalannya, jika kerajaan Sarawak mendapat hasil cukai tersebut, apa yang rakyat Sarawak dapat? Ini dari satu sisi.

Dari sisi lain, kerajaan Sarawak tidak perlu pun mengutip cukai daripada Petronas dan Petronas pula tiada hak eksklusif untuk mengaut sumber minyak dan gas di Sarawak mahupun di mana-mana negeri di Malaysia. Kenapa? Ini kerana, sesungguhnya sumber asli ini adalah milik umum dan bukannya milik negara, milik negeri mahu pun milik mana-mana syarikat korporat. Inilah kedudukannya menurut Islam. Berdasarkan hukum Islam, keseluruhan keuntungan Petronas wajib dikembalikan kepada rakyat, bukannya dikaut oleh negara dan sebahagiannya dikaut pula kerajaan negeri dalam bentuk cukai atau royalti!

Dalam Islam, sumber alam adalah milik umum, yakni milik rakyat. Negara hanya bertugas sebagai pengelola kepada milik rakyat ini, dan negara (atau negeri) sama sekali tidak boleh menjadi tuan punya. Negara hanya boleh menggunakan wang hasil daripada minyak dan gas ini untuk tujuan cari-gali, operasi, penyelenggaraan, kajian serta pembangunan telaga-telaga yang baru. Selebihnya, kesemua keuntungan wajib dikembalikan kepada pemiliknya iaitu RAKYAT. Perkara yang sama turut berlaku kepada sumber alam yang lain seperti emas, perak, bijih timah, arang batu dan lain-lain galian. Kesemua hasil bumi ini adalah milik rakyat.

Bukan hanya di Sarawak, malah kesemua sumber alam baik yang berada di Kelantan, Terengganu serta Sabah, ia adalah hak rakyat secara kolektif. Negara hanya bertugas sebagai pengelola, dan haram untuk mengaut keuntungan dengan berniaga dengan rakyat menggunakan harta rakyat. Bahkan bukan hanya di Malaysia, tetapi kesemua minyak dan gas dan sumber alam yang ada di perut bumi Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Qatar dan lain-lain, semuanya adalah milik rakyat. Malangnya penguasa sekular telah merampas milik rakyat ini dan menjadikannya sebagai milik negara atau peribadi. Insya Allah apabila Khilafah berdiri nanti, hak milik rakyat ini akan dikembalikan semula kepada rakyat.

Dengan memanfaatkan hasil bumi daripada minyak dan gas ini sahaja sebenarnya sudah mencukupi untuk menaiktaraf sekolah-sekolah yang hampir menyembah bumi di Sarawak. Malah boleh membina jambatan-jambatan baru untuk menghubungkan tebing-tebing sungai serta memendekkan jarak perjalanan dan menggantikan perkhidmatan feri yang tidak efektif. Perkhidmatan kesihatan percuma untuk rakyat juga boleh ditampung dengan menggunakan hasil minyak dan gas ini.

Sejak sekian lama, berapa ramai daripada rakyat bumi kenyalang ini yang hidup “merinsak” (susah) yang perlu disantuni oleh pemerintah. Rakyat Sarawak berhak menikmati segala hasil bumi yang ada. Inilah isu sebenar yang perlu ditangani oleh kerajaan yakni mengembalikan kepada rakyat apa yang menjadi hak rakyat, bukannya menuntut jumlah cukai mahupun menambah bayaran royalti dan masuk ke poket kerajaan negeri!

Sekarang ini rakyat bukan sahaja dinafikan hak untuk mendapatkan harta mereka (hasil bumi), malah laluan pembayaran pun penuh dengan ketirisan, dan pecah amanah amat mudah berlaku. Inikan pula pengurusan “easy money” hasil daripada syarikat yang umpama lembu tenusu bagi pemerintah Malaysia ini.

Pemerintah Sarawak pula memang terkenal dengan sikap “berdengah” (menunjuk-nunjuk) hero di mata rakyat, walhal ahli politik Sarawak yang rata-ratanya lahir di atas dulang emas inilah yang banyak meragut kekayaan milik rakyat ini. Ketamakan bukan hanya setakat meragut keuntungan kebendaan namun juga jelas kelihatan pada tampuk kekuasaan. Sebagai contoh, pada hari ini seseorang itu boleh menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri dan keesokan harinya pula menjawat jawatan Yang di-Pertua Negeri, sehingga Ketua Menteri  yang baharu pun perlu mengangkat sumpah di hadapannya – semua ini berlaku tanpa berselang hari! Ini hanya berlaku di negeri yang bernama Sarawak.

Ir. Yusuf M.