Hentikan Fitnah yang berleluasa ke atas Hizbut Tahrir!
Susulan sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi pada 30 September lepas, dan diikuti pula dengan sidang media oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay keesokannya, berhubung fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor ke atas Hizbut Tahrir, pelbagai fitnah yang cukup dahsyat ke atas Hizbut Tahrir kini telah berlegar di banyak media elektronik mahupun media cetak, yang melaporkan perkara tersebut.
Kami merasa cukup kesal atas perkara ini, bukan hanya kerana fatwa negeri Johor tersebut yang dipenuhi dengan fitnah, tetapi banyak fitnah baru yang telah ditokok tambah oleh media tertentu, yang telah mencemar nama baik Hizbut Tahrir. Pihak media seharusnya menjalankan tugas dengan profesional dan bukan hanya memetik satu sumber sahaja, tanpa mengesahkan kebenaran perkara yang dilaporkan daripada sumber yang sebenar. Kepada media yang melaporkan dengan benar, terima kasih kami ucapkan.
Insya Allah kami sedang berusaha untuk menjawab dan menjelaskan satu per satu setiap laporan media yang tidak tepat dan yang telah memfitnah kami. Semoga segala kekeruhan dapat dijernihkan dengan izin Allah (swt).
Dalam masa yang sama, kami meminta agar pihak media dan lain-lain pihak yang terlibat, agar menghentikan segera segala fitnah ke atas Hizbut Tahrir, demi kebaikan bersama. Ingatlah bahawa setiap patah perkataan yang ditulis dan diucapkan, akan pasti dihisab oleh Allah (swt).