Pandangan Islam Berkaitan Golongan Transgender
Dalam menyikapi golongan transgender, kita wajib kembali merujuk kepada syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah (saw), bukannya dengan mengambil tindakan berdasarkan emosi semata-mata tanpa bimbingan wahyu.
Dalam persoalan hukum berkaitan transgender, terdapat beberapa istilah yang digunakan dengan bersandarkan sumber-sumber hukum syarak. Terlebih dahulu, kita perlu mengasingkan pembahasan mengenai khunsa (خُنْثَى) daripada apa yang akan disentuh dalam penulisan ini. Khunsa menurut istilah syarak bermaksud manusia yang mempunyai dua alat kelamin, iaitu alat kelamin lelaki dan wanita, atau mereka yang tidak mempunyai kedua-dua alat kelamin berkenaan, tetapi mempunyai saluran kencing.
(1) Mukhannas dan Mutarajjilat
Mukhannas (مُخَنَّث) merujuk kepada lelaki yang dalam pergerakan, penampilan dan lenggok bahasanya membawa perwatakan wanita. Golongan ini berbeza dengan khunsa kerana mereka secara fizikalnya merupakan lelaki. Manakala mutarajjilat (مُتَرَجِّلاَت) merujuk kepada wanita yang menyerupai lelaki dari segi pergerakan, percakapan dan perbuatan. Mereka juga bukan khunsa kerana secara fizikalnya mereka sememangnya wanita.
Dari Ibnu Abbas (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda;
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
“Nabi (saw) telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki” [HR Bukhari].
Imam Nawawi menyatakan, mukhannas adalah lelaki yang dalam pergerakan, penampilan dan gaya bahasanya membawa perwatakan wanita. Mereka ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu pertama, seseorang yang mempunyai ciri kewanitaan secara semula jadi, iaitu dia tidak mengada-adakan sifat itu dengan sendirinya. Bagi kelompok ini, tiada ada kesalahan, dosa dan tidak perlu malu dengan apa yang dijadikan ke atasnya selagi tidak melakukan perbuatan haram misalnya terbabit dengan pelacuran.
Kelompok kedua adalah berperwatakan seperti wanita dengan tujuan tidak bermoral, dan dia dikira melakukan dosa dan patut dipersalahkan. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, mukhannas yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah golongan lelaki yang meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan seksual. Golongan inilah yang dikutuk oleh Rasulullah (saw) dan termasuk dalam golongan yang dilaknat.
(2) Liwath dan Musahaqah
Syarak dengan tegas melarang hubungan seks di luar tabie, baik berupa liwath mahupun musahaqah. Justeru, pelakunya, termasuklah golongan transgender yang melakukannya, telah melakukan dosa, serta wajib dihukum mengikut syariat Islam.
Hukuman bagi mereka yang terlibat dalam perbuatan liwat adalah dibunuh, seperti sabda Rasulullah (saw);
اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ
Bunuhlah peliwat dan yang diliwat [HR at-Tirmizi].
Sementara itu, musahaqah atau perbuatan seks melibatkan sesama wanita juga haram menurut Islam. Sabda Rasulullah (saw);
السِّحَاقُ زِنَى النِّسَاءِ بَيْنَهُنَّ
“As-sihaq merupakan zina sesama perempuan” [HR Ibn Hibban].
Para ulama’ mengatakan perbuatan musahaqah adalah sama dengan perbuatan mubasyarah (hubungan badan) antara lelaki dan perempuan yang tidak melibatkan kemasukan zakar ke dalam faraj. Oleh demikian ia dikenakan hukuman takzir bukan hudud [Al-bayan fi Mazhab al-Imam asy-Syafie, 12/369].
Perlu difahami bahawa hukuman-hukuman ini dilaksanakan oleh negara, bukannya atas tindakan individu mahupun pertubuhan.
(3) Tasyabbuh (berpakaian menyerupai jantina berlawanan)
Manakala mutasyabbih (مُتَشَبِّهِ) pula merujuk kepada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan yang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya. Perkataan mutasyabbih berasal daripada tasyabbuh iaitu menyerupai sesuatu.
Dari Abu Hurairah (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda;
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُل
“Rasulullah (saw) telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki” [HR Abu Daud].
Juga sabda Rasulullah (saw),
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Rasulullah (saw) telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan” [HR Bukhari].
Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini ditujukan kepada lelaki yang sengaja menyerupai perempuan dan dia memilih dengan sifatnya itu (mutasyabbihin), dan juga perempuan yang sengaja menyerupai lelaki (mutasyabbihat).
Hukum tasyabbuh ini adalah haram menurut Islam. Imam as-San’ani berkata bahawa laknat Rasulullah (saw) terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya [Subul as-Salam]. Justeru, golongan transgender yang berpakaian seperti jantina berlawanan akan dihukum kerana telah melakukan kesalahan tasyabbuh.
(4) Batas Pergaulan dalam Masyarakat
Di samping itu, mukhannas dan mutarajjilat juga dilarang daripada bergaul tanpa batas (ikhtilat) dengan jantina berlawanan, seperti mana lelaki dan wanita lain. Imam Bukhari menceritakan dalam sebuah hadis, bagaimana seorang mukhannas duduk di dalam rumah Ummu Salamah, isteri Rasulullah (saw). Mukhannas ini mendedahkan rahsia perihal sosok tubuh wanita Taif kepada Abdullah ibn Abi Umayyah (saudara kepada Ummu Salamah). Beliau menceritakan perihal wanita Taif (anak-anak perempuan Ghaylan) yang mempunyai tubuh yang gebu.
Mendengar perbualan ini, Rasulullah (saw) melarang mukhannas ini daripada duduk bersama dengan wanita Muslimah. Sabda baginda (saw);
لاَ يَدْخُلَنَّ هَؤُلاَءِ عَلَيْكُنَّ
“Jangan biarkan mereka ini (mukhannas) masuk bersama dengan kamu (para wanita)”
Imam Shawkani menukilkan dalam karya beliau Nailul Authar, bahawa Rasulullah (saw) mengusirnya kerana tiga sebab. Pertamanya, kerana mukhannas yang memasuki rumah baginda (saw) mempunyai nafsu terhadap wanita. Pada mulanya ia disangka tidak mempunyai nafsu terhadap wanita (غير أولي الإربة). Setelah ia bercerita mengenai wanita Taif, ternyata mukhannas ini mempunyai nafsu atau tahu kehendak nafsu lelaki terhadap wanita. Kedua, ia menceritakan sifat-sifat kecantikan wanita serta aurat mereka tatkala ia berada bersama lelaki (iaitu mendedahkannya kepada lelaki). Ketiga, mukhannas ini terdedah kepada perbuatan meneliti atau melihat tubuh wanita Muslimah dan aurat mereka.
Menyikapi Mukhannas dan Mutarajjilat
Meskipun Rasulullah (saw) mengusirnya, tetapi baginda tidak menzalimi dan menyakitinya. Bahkan baginda (saw) tetap memenuhi haknya kerana ia datang untuk mendapatkan makanan seperti mana riwayat al-Auza’i, yang meriwayatkan: “Wahai Rasulullah, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah (saw) membenarkan mukhannas ini datang setiap Jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang” [HR Riwayat Abu Daud].
Oleh itu, mukhannas dan mutarajjilat tidak sewajarnya dinafikan hak-hak seperti akses kepada makan minum serta keselamatan mereka, termasuklah dalam mendapatkan rawatan kesihatan. Mereka juga tidak sewajarnya dibuli dan didiskriminasi, apatah lagi dibunuh semata-mata kerana sifat mereka yang sedemikian rupa (iaitu lelaki yang lembut seperti perempuan, atau wanita yang keras seperti lelaki).
Walau bagaimanapun, berbeza halnya dengan golongan transgender yang melanggar ketetapan syarak; misalnya melakukan tasyabbuh, mengamalkan seks luar tabie, atau mengubah sifat kejadian mereka (mengubah alat kelamin atau membesarkan payudara bagi lelaki). Mereka wajib dihukum atas perlanggaran-perlanggaran tersebut, sebagaimana ketetapan syarak setelah menjalani prosedur pengadilan yang sewajarnya. Tidak boleh melaksanakan hukuman ke atas mereka di luar proses pengadilan atas dorongan emosi tanpa disandarkan kepada ketetapan syarak.
Khatimah
Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki, begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut Sunnatullah. Sebarang bentuk penyimpangan yang bertentangan dengan fitrah, sudah pasti akan mendatangkan kebinasaan kepada manusia. Justeru, negara wajib memerhatikan golongan ini dan menghukum mereka atas kesalahan yang mereka lakukan, di samping berusaha untuk mengembalikan mereka kepada fitrah.
Wallahu a’lam.