Reformasi perundangan arak dan khalwat: UAE undang murka Allah!

Jika sebelum ini pengambilan alkohol tanpa memiliki lesen daripada pihak berkuasa adalah suatu kesalahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun kini di bawah peraturan baharu yang diumumkan baru-baru ini, ia bukan lagi suatu kesalahan selagi dijalankan di bawah lokasi yang dibenarkan. Menurut laporan The National, sebuah portal berita UAE, sesiapa yang mahu mengambil atau memiliki minuman keras perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun. Bukan itu sahaja, peraturan baharu ini juga membenarkan pasangan yang belum berkahwin atau rakan serumah yang berlainan jantina untuk tinggal bersama.

Sungguh apa yang dilakukan oleh pemerintah UAE ini dengan jelas lagi nyata menghalalkan apa yang telah Allah haramkan!

Keharaman khamar (arak) dalam Islam merupakan perkara ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah. Allah (swt) berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kalian beruntung” [Al-Ma’idah (5): 90].

Larangan untuk menjualnya juga ditegaskan oleh Rasul (saw) dalam sabdanya:

إِنَّ الَّذِي حُرِّمَ شَرْبُهَا حُرِّمَ بَيْعُهَا

“Sesungguhnya apa yang diharamkan meminumnya maka diharamkan pula menjualnya” [HR Muslim].

Bukan itu sahaja, ada sepuluh golongan yang dilaknat oleh Allah (swt) kerana terlibat dengan transaksi khamar. Daripada Anas bin Malik bahawa Rasul (saw) bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ r فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

“Rasulullah saw melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Islam melarang penjualan khamar dan ia wajib dicegah daripada beredar dalam masyarakat. Sesiapa sahaja yang minum khamar, sama ada sedikit mahu pun banyak, jika terbukti atau mengaku, maka hukumannya adalah disebat sebanyak 40 atau 80 kali. Anas (ra) menuturkan:

كان النبي يَضْرِبُ فِي الخَمْرِ باِلجَرِيْدِ وَالنَّعَالِ أَرْبَعِيْنَ

“Nabi Muhammad (saw) merotan orang yang minum khamar dengan pelepah kurma dan terompah sebanyak empat puluh kali sebatan” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Abu Daud].

Ali bin Abi Thalib juga menuturkan:

“Rasulullah (saw) merotan (orang minum khamar) empat puluh kali, Abu Bakar merotan empat puluh kali, Umar merotan lapan puluh kali. Masing-masing adalah sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Inilah hukum yang sewajibnya dilaksanakan oleh UAE di dalam negara, yakni melarang dah menghukum pesalah yang meminum khamar, bukan sebaliknya membenarkan meminum dan menjual minuman syaitan itu secara terbuka! Alangkah beraninya pemerintah UAE melanggar perintah Allah secara terang-terangan!

Larangan Khalwat dan Segala Jalan Menuju Zina

Kebenaran yang dikeluarkan oleh UAE kepada individu berlawanan jantina yang belum menikah untuk tinggal serumah juga merupakan penentangan yang nyata terhadap perintah Allah (swt). Islam telah melarang lelaki dan wanita yang bukan mahram berkumpul di tempat khusus seperti rumah tanpa keberadaan mahramnya. Hal ini jelas merupakan kemaksiatan kepada Allah (swt). Rasul (saw) bersabda:

وَلاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِإِمْرَأَةٍ فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

“Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita, kerana sesungguhnya pihak yang ketiga adalah syaitan” [HR Ahmad].

Nabi (saw) juga bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِإِمْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

“Seorang lelaki tidak boleh berkhalwat dengan seorang wanita kecuali wanita itu disertai mahramnya” [HR Muslim].

Di samping itu, terdapat hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dalam kitab Musnad beliau:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَخْلُوْنَ بِاِمْرَأَةٍ لَيْسَتْ مَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ مِنْهَا فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya tidak berkhalwat dengan wanita yang bukan mahram kerana pihak ketiga adalah syaitan”.

Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa inilah hakikat pemerintah umat Islam pada hari ini, yang sudah tidak takut dan tidak segan silu melanggar hukum Allah (swt).

Atas nama pemodenan atau perubahan, apa yang dilakukan oleh pemerintah ini sebenarnya ialah untuk menunjukkan kepada tuan mereka (kafir Barat) bahawa mereka menerima nilai-nilai yang dibawa oleh Barat, demi meraih redha Barat dalam pemerintahan mereka! Mereka sanggup berbuat apa sahaja, termasuk merubah hukum Allah agar menjadi “mesra-kafir” berbanding berpegang al-Quran dan as-Sunnah. Pemerintah ini mengikuti apa sahaja yang dibuat dan disukai oleh kuffar Barat, yang merupakan tuan mereka. Sabda Rasul (saw);

“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi (saw) menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka” [HR Muslim].

Apa yang dilakukan oleh pemerintah UAE ini hanya menambah lagi murka Allah (swt) terhadap mereka dengan menghalalkan apa yang Allah (swt) haramkan. Mereka selama ini tidak pernah menerapkan Islam pun, sekarang ini ditambah lagi dengan reformasi undang-undang yang mengundang bala kepada seluruh manusia.

Sungguh sudah tidak ada jalan lain untuk kebaikan umat ini kecuali menolak para pemimpin yang mengundang murka Allah (swt) ini, dan kembali kepada kemuliaan sebagaimana dahulunya ketika hukum Allah (swt) berjalan sepenuhnya. Sungguh umat ini sudah amat memerlukan seorang Khalifah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Wallahu a’lam.