Bantahan Fatwa Johor – 4.2b
(b) Lelaki dan wanita bebas berjabat tangan. (al-Nabhani: an-Nizam al-Ijtima’i fi al-Islam, cetakan keempat, tahun 2003, halaman: 51-52).
Setelah meneliti kitab yang disebut di atas, dengan muka surat yang disebutkan, ternyata tidak ada dalam muka surat berkenaan apa-apa frasa pun mengenai lelaki dan wanita bebas berjabat tangan! Kami lampirkan muka surat yang berkenaan (51-52) untuk tatapan JFNJ dan untuk tatapan siapa sahaja yang membaca jawapan ini:
Terjemahan:
…ditutupi dengan stoking atau sepatu, akan tapi tetap mesti menjulurkan jilbabnya ke bawah hingga jelas menunjukkan adanya irkha’. Tidak ada gunanya menutup kedua-dua kaki yang sudah tertutup dengan stoking atau sepatu. Akan tetapi, di sana mesti ada irkha’, iaitu jilbab mesti diturunkan (dijulurkan) sampai ke bawah secara jelas sehingga dapat diketahui bahawa pakaian tersebut adalah pakaian untuk kehidupan umum yang wajib dikenakan oleh wanita dalam kehidupan umum, dan tampak jelas dalam jilbab itu adanya irkha’, sebagai realisasi firman Allah (swt) يُدْنِينَ yang berarti يرخين (menjulurkan).
Dengan demikian, jelaslah bahawa wanita wajib mengenakan pakaian yang longgar di atas pakaian sehariannya dalam rangka keluar rumah. Jika ia tidak memilikinya, sementara ia ingin keluar, hendaklah ia meminjam daripada saudaranya atau wanita Muslimah mana saja yang bersedia memberinya pinjam. Jika tidak ada yang bersedia memberinya pinjam, maka ia tidak boleh keluar rumah sampailah pakaian tersebut diperolehinya. Jika ia keluar rumah tanpa mengenakan pakaian longgar yang terjulur hingga ke bawah, maka ia berdosa, meskipun ia telah menutupi seluruh auratnya. Sebab, mengenakan baju longgar yang terjulur sampai ke bawah hingga menutup kedua-dua kaki adalah wajib. Maka wanita tersebut telah menyimpang dari kewajipan ini dan berdosa di sisi Allah (swt). Ia layak dijatuhi hukuman oleh negara dengan hukuman ta‘zir.
Tinggal dua persoalan lagi yang terkait dengan masalah wanita melihat lelaki atau sebaliknya. Pertama, masalah keberadaan lelaki asing (non-mahram) di dalam rumah dengan seizin penghuninya, yang mana di dalam rumah itu dia (dapat) melihat wanita yang mengenakan pakaian sehari-hari (yang biasa dipakai di rumah, pen) serta memandang bahagian tubuh wanita selain wajah dan kedua telapak tangannya. Kedua, masalah adanya wanita non-Muslim, bahkan sebahagian kaum Muslimah, yang berjalan di jalanan umum baik di kota atau di kampung, sementara para wanita itu menampakkan anggota tubuhnya, lebih dari wajah dan kedua telapak tangannya. Kedua-dua persoalan ini benar-benar terjadi. Keburukannya pun telah dirasakan oleh seluruh kaum Muslimin. Oleh sebab itu, hukum Islam tentang kedua-dua persoalan tersebut harus dijelaskan.
Persoalan pertama, iaitu keberadaan saudara atau kerabat lelaki yang tinggal bersama para wanita dalam satu tempat tinggal, sementara para wanita tersebut terdedah oleh saudara atau kerabat mereka yang lelaki dengan mengenakan pakaian sehari-hari, sehingga tampak dari para wanita itu rambut, leher, lengan, betis atau bagian tubuh lainnya yang tampak saat wanita itu mengenakan pakaian sehari-hari. Dalam situasi seperti ini, maka saudara lelaki suaminya (ipar wanita itu) atau kerabat lelaki yang bukan mahram itu terdedah melihat mereka, sebagaimana saudara lelaki, bapa, atau mahram mereka lainnya. Padahal saudara lelaki suami adalah orang asing (non-mahram) bagi wanita itu, sebagaimana lelaki asing mana pun. Kadang-kadang, sebahagian kerabatnya – seperti sepupu atau kerabatnya yang lain yang bukan mahram – ataupun kalangan yang bukan kerabat berkunjung ke rumahnya. Mereka yang berkunjung itu memberi salam kepada para wanita dan duduk bersama, sementara para wanita tersebut mengenakan pakaian sehari-harinya. Dalam keadaan seperti ini, tampak dari para wanita itu bagian tubuh mereka selain wajah dan kedua telapak tangan, seperti rambut, leher, lengan, betis, dan yang lainnya. Dan mereka yang berkunjung itu pun diperlakukan sebagaimana mahram. Masalah ini ada di mana-mana dan telah menjadi bencana bagi sebahagian besar kaum Muslimin, terlebih di kawasan-kawasan bandar. Kebanyakan mereka menyangka bahawa hal seperti itu dibolehkan. Yang benar adalah bahawa orang yang boleh melihat wanita itu hanyalah para mahram dan pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita. Sedangkan orang-orang selain mereka, maka wanita haram untuk menampakkan kepada mereka selain wajah dan kedua telapak tangan. Perincian ketentuan itu sebagai berikut. Bahawasanya Allah (swt) telah mengharamkan wanita secara mutlak untuk dipandang atau mendapat kelazatan darinya. Lalu Allah mengecualikan kelazatan untuk para suami. Allah juga mengecualikan perhiasan yakni memandangnya, bagi dua belas orang termasuk orang yang semisal mereka, seperti bapa saudara dari sebelah bapa mahu pun ibu. Kemudian Allah mengecualikan dari wanita, wajah dan kedua telapak tangannya bagi seluruh lelaki. Jadi, kelazatan yakni memandang wanita dengan syahwat adalah haram secara mutlak, kecuali bagi suami. Sedangkan memandang wajah dan kedua telapak tangan wanita – dengan pandangan biasa tanpa syahwat – adalah mubah secara mutlak. Dan memandang selain wajah dan kedua telapak diharamkan secara mutlak, kecuali bagi mahram yang telah disebutkan oleh Allah dan orang-orang semisal mereka.
Inilah hukum syarak yang berkaitan dengan kehidupan umum yang telah disebutkan di dalam sejumlah nas. Adapun dalam kehidupan khusus, Allah telah membolehkan para wanita untuk menampakkan anggota tubuhnya lebih dari…
Nah, tidak ada apa-apa pada muka surat di atas sebagaimana dakwaan JFNJ!
Namun, oleh kerana kami mengetahui apa yang cuba disampaikan oleh JFNJ, maka kami cuba membantu di sini untuk memperbetulkan rujukan JFNJ dalam hal ini. Muka surat yang kami rasa ingin dirujuk oleh JFNJ ialah muka surat 57 & 58, dan bukannya muka surat 51 & 52. Kami boleh menerima sekiranya kesalahan rujukan muka surat ini dibuat oleh orang biasa dan dalam keadaan biasa, namun hakikatnya di sini, pihak yang membuat rujukan ialah sepasukan Jawatankuasa Fatwa Negeri, dan rujukan ini dibuat bukan untuk sembarangan, tetapi untuk mengeluarkan sebuah fatwa yang seterusnya diwartakan dan disiarkan kepada orang ramai!
Bagaimana pun, sebagai manusia, kami memahami kesilapan seumpama ini boleh berlaku, dan kami harap JFNJ akan lebih berhati-hati apabila membuat rujukan untuk mengeluarkan fatwa di masa hadapan. Ini dari satu sisi.
Dari sisi lain, elemen bahawa “lelaki dan wanita bebas berjabat tangan” (yang dituduh oleh JFNJ sebagai pegangan Hizbut Tahrir) itu ternyata tidak terdapat pun dalam muka surat 57 & 58. Ikuti jawapan kami di bawah ini.
Kami tidak ada masalah dengan elemen yang benar, dan kami akan mengakuinya dengan jujur dan senang hati kerana itu adalah pegangan kami, dan kami tidak akan sama sekali berbohong. Namun demikian, apa yang kami kesalkan ialah kesilapan dan kesalahan JFNJ yang memfitnah kami dengan pelbagai bentuk fitnah dan pembohongan yang direka-reka, yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim, apatah lagi oleh sekumpulan Muslim yang berada dalam sebuah Jawatankuasa agama yang sangat penting.
Berikut ialah muka surat 57 & 58:
Terjemahan:
…adapun berkaitan dengan masalah berjabat tangan (المصافحة), maka sesungguhnya seorang lelaki boleh menjabat tangan seorang wanita dan demikian pula sebaliknya, seorang wanita boleh menjabat tangan seorang lelaki, tanpa harus ada penghalang di antara kedua-dua tangan mereka. Kebolehan ini sesuai dengan apa yang dinyatakan di dalam Shahih al-Bukhari yang bersumber dari ‘Ummu ‘Athiyah. ‘Ummu ‘Athiyah menuturkan: “Kami membaiat Nabi (saw), lalu baginda membacakan kepada kami أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا (“bahawa mereka tidak akan menyekutukan sesuatu pun dengan Allah”) (Mumtahanah (60): 12], dan baginda melarang kami untuk meratap. Maka seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya.” Baiat tersebut dilakukan dengan cara berjabat tangan (mushafahah). Kata ‘qabadhat yadaha’ (menarik kembali tangannya) maknanya adalah menarik kembali tangannya yang sebelumnya ia hulurkan untuk melakukan baiat tersebut. Kata-kata wanita itu ‘qabadhat yadaha’ bererti bahawa wanita tersebut sebelumnya hendak membaiat Rasulullah (saw) dengan cara berjabat tangan. Kata-kata “maka salah seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya”, mafhumnya adalah bahawa wanita yang lain tidak menarik kembali tangan mereka. Ini bererti, para wanita selain wanita tersebut membaiat Rasulullah (saw) dengan cara berjabat tangan (mushafahah). Di samping itu, mafhum (pengertian) firman Allah (swt) أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ (atau kalian telah menyentuh perempuan” [An-Nisa’ (4): 43]. yang dinyatakan dengan lafaz umum yang mencakup seluruh wanita dari sisi bahawa sentuhan yang membatalkan wudhu’, hal itu menunjukkan terbatasnya hukum pada masalah batalnya wudhu’ bagi lelaki kerana menyentuh wanita. Mafhum dari ayat tersebut menunjukkan bahawa menyentuh wanita tanpa disertai syahwat tidaklah haram. Maka demikian juga berjabat tangan dengan wanita bukanlah sesuatu yang haram. Lebih dari itu, telapak tangan wanita tidak termasuk aurat dan tidak diharamkan memandangnya tanpa disertai syahwat. Maka, menjabat tangan wanita ajnabi tidak diharamkan.
Apa yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir di dalam kitab Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid I ini (dari segi hukum berjabat tangan) adalah berdasarkan nas al-Quran dan as-Sunnah. Dan apa yang Hizbut Tahrir sampaikan ini juga sebenarnya sangat jelas iaitu berjabat tangan antara lelaki ajnabi dan wanita ajnabiyah itu dibolehkan dengan syarat ia tidak disertai syahwat. Mafhumnya, berjabat tangan dengan disertai syahwat adalah haram dan berdosa.
Hizbut Tahrir tidak pernah menyatakan yang lelaki dan wanita itu bebas berjabat tangan dalam muka surat ini! Malah tidak terdapat suatu apa pun dalam bab ini, bahkan dalam keseluruhan kitab ini, yang menyatakan lelaki dan wanita bebas berjabat tangan semahunya! Dengan begitu, apa yang didakwa oleh JFNJ jelas merupakan satu pendustaan!
Kami tegaskan di sini sekali lagi bahawa berjabat tangan yang dibolehkan itu adalah dengan syarat tidak disertai syahwat. Kenapa kami berpandangan demikian? Kerana ia adalah berdasarkan nas! Manakala berjabat tangan dengan disertai syahwat adalah jelas haram. Kebiasaan berjabat tangan yang disertai syahwat ini biasa berlaku pada golongan muda (walaupun tidak semestinya demikian) tatkala mereka bersalaman. Bagi lelaki, perasaan ingin ‘menikmati’ kelembutan atau kegebuan kulit wanita semasa berjabat tangan itu sudah cukup untuk menunjukkan yang dirinya mempunyai syahwat atas perbuatannya itu, dan berjabat tangan seperti ini adalah haram. Begitu juga bagi wanita yang ingin ‘menikmati’ sentuhan tangan lelaki (ketika berjabat tangan), maka hal ini adalah haram.
Apabila golongan yang sudah tua yang biasanya sudah tidak punya syahwat, bersalaman, maka hal ini diperbolehkan. Inilah pandangan yang paling kuat bagi kami dan kami berpegang dengannya. Begitu juga jika anak-anak muda bersalaman dengan orang tua renta, yang tidak menimbulkan syahwat pada dirinya (ketika berjabat tangan itu), maka hal ini diperbolehkan. Bagaimana pun, orang-orang tua yang berjabat tangan dengan orang muda, yang disertai dengan syahwat, hal ini tetap haram.
Perlu difahami bahawa masalah timbulnya syahwat atau tidak, ini merupakan masalah batin di mana hanya empunya diri dan Tuhannya sahaja yang mengetahui. Apa yang menjadi penentu keharaman di sini bukanlah umur, tetapi syahwatlah yang menjadi penentunya. Kesimpulan ini juga ditunjukkan oleh mafhum hadis Ummu Athiyah di atas, di mana Rasulullah (saw) tatkala menerima baiat dengan berjabat tangan dengan kaum wanita, di situ tidak ada penjelasan bahawa kaum wanita itu sudah tua atau tidak. Maka, yang menjadi ukuran keharaman di sini ialah syahwat, bukannya umur.
Jadi, dakwaan bahawa “lelaki dan wanita bebas berjabat tangan” (yang dituduh oleh JFNJ sebagai pegangan Hizbut Tahrir) itu ternyata lari dari penjelasan yang sebenar, yang nampaknya sengaja dilakukan oleh JFNJ dalam rangka mengadakan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir. Sedangkan Hizbut Tahrir menyatakan dengan jelas bahawa lelaki dan wanita tidak bebas berjabat tangan, melainkan terdapat syarat (yang mengikat kedua-duanya) iaitu tidak disertai dengan syahwat!
Kami ingin mengingatkan di sini bahawa JFNJ bukan sekadar perlu berhati-hati dalam memetik muka surat yang sepatutnya, tetapi juga perlu jujur dalam melakukan penukilan. Nukilkanlah sesuatu itu dengan hati yang bersih dan tepat faktanya, serta buanglah sejauhnya niat yang dihembuskan oleh syaitan. Jangan juga tergopoh-gapah dalam membuat penukilan, dan tunjukkanlah sedikit keikhlasan dalam memetik kata-kata orang lain, agar pahala solat, puasa, sedekah dan lain-lain yang dilakukan selama ini tidak melayang begitu sahaja, kerana niat buruk dan fitnah yang dilakukan.
JFNJ seharusnya tahu, dan membuat sedikit kajian jika tidak mengetahui, bahawa hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita (tanpa disertai syahwat) ini diperbolehkan juga oleh ulama lain. Di bawah ini kami paparkan sejumlah pendapat para ulama terkait berjabat tangan antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabiyah tanpa syahwat:
Terjemahan:
Apabila kedua-duanya sudah tua, maka tiada halangan untuk berjabat tangan, kerana berjabat tangan dengan kedua-duanya tidak menimbulkan syahwat kerana syahwat itu sudah tiada. Dan telah diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) pernah berjabat tangan dengan perempuan-perempuan tua [Fiqih Hanafi, Bada’i’u ash-Shanai’ fi Tartib asy-Syarai’, Juz 6, hal. 495-496].
Terjemahan:
…adapun ketika perempuan itu sudah tua yang tidak disyahwati, maka tiada bahaya berjabat tangan dengannya juga menyentuh tubuhnya, kerana kekhuatiran pada fitnah itu sudah tiada. Dan dari Abu Bakar (ra) bahawa beliau pernah bersalaman dengan perempuan-perempuan tua. Dan apabila lelaki itu sudah tua yang merasa aman terhadap dirinya juga terhadap perempuan itu, maka berjabatan tangan halal baginya… [Fiqih Hanafi, Al-Bahru ar-Raiq Syarh Kanzu al-Haqaiq, Juz 8, hal. 353].
Terjemahan:
Apabila perempuan itu sudah tua yang tidak disyahwati, maka tidak bahaya berjabat tangan dengannya, menyentuh tangannya dan memijak kakinya, begitu pula ketika lelaki itu sudah tua yang merasa aman terhadap dirinya, juga terhadap perempuan itu. Dalam kitab al-Ghiyatsiyyah disebutkan: “Tiada bahaya ia (lelaki) memeluknya (perempuan) dari belakang kain, kecuali ketika kainnya (perempuan) tipis yang suhu tubuhnya (perempuan itu) sampai padanya… [Ibid, Juz 8, hal. 357].
Tahukah JFNJ bahawa pendapat yang membolehkan berjabat tangan antara lelaki dan wanita juga dibincangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Hal ini terdapat dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah Segmen Artikel dan Kolum “Al Kafi li al-Fatawi” Nombor #1149 bertajuk “Hukum bersalaman dengan berlainan jantina ajnabi” yang dimuatnaik pada 14 Mac 2019. Di dalam artikel tersebut dijelaskan tentang perbezaan pandangan ulama dalam hal tersebut iaitu ada yang mengharamkan secara mutlak dan ada yang mengharuskan dalam keadaan-keadaan tertentu.
Dijelaskan di situ bahawa perkara tersebut merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama, dan mazhab Hambali dan Hanafi membolehkan orang tua berjabat tangan tanpa disertai syahwat. Pandangan Syeikh Yusuf al-Qardhawi turut dipetik di dalam soal-jawab tersebut, yang mengharuskan lelaki dan wanita ajnabi bersalaman dengan syarat sebagaimana yang ditulis di dalam fatwa beliau:
جواز مصافحة الرجل للمرأة بشرطين هما أن تكون هناك ضرورة، وحال أمنت الفتنة
Diharuskan bersalaman di antara lelaki dan perempuan sekiranya dalam keadaan darurat dan aman daripada fitnah.
Mufti Wilayah seterusnya memberikan kesimpulan berikut: “Kami lebih cenderung kepada meraikan mazhab dan keadaan setempat. Sebagai contoh di Malaysia kebanyakannya bermazhab Syafie’. Akan tetapi sekiranya dalam keadaan dan situasi tertentu dibenarkan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.”
Jadi, tidakkah JFNJ nampak di sini bahawa para ulama berbeza pendapat dalam isu ini dan tidak ada di antara mereka yang menyesatkan satu sama lain, malah terbukti bahawa ada Imam mazhab daripada kalangan Ahlu Sunnah sendiri, yang membolehkannya. Adakah Imam Hanafi dan Imam Hambali dan juga Syeikh Yusuf al-Qardawi telah menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana pandangan mereka yang hampir sama dengan pandangan Hizbut Tahrir?
Kenapakah anda tidak boleh berlapang dada dengan perbezaan pendapat wahai JFNJ, sedangkan anda mendakwa anda bermazhab Syafie, dan Imam Syafie adalah seorang yang sentiasa berlapang dada dengan perbezaan pendapat? Apabila ada orang mempunyai pendapat yang berbeza daripada anda, walaupun dalam masalah fiqh dan bukannya dalam masalah akidah, maka anda terus menuduh orang itu menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun terbukti bahawa ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpendapat seperti orang itu. Anda bukan sekadar tidak boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi anda menggunakan kuasa yang ada pada anda untuk “menghukum” orang yang berbeza pendapat dengan anda. Subhanallah! Beginikah ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang anda pegang?
Kami juga ingin memaklumkan kepada JFNJ bahawa, walaupun Hizbut Tahrir berpandangan boleh berjabat tangan lelaki dan wanita tanpa disertai syahwat, namun kami tidak pernah melihat mana-mana anggota kami yang berjabat tangan dengan lelaki ajnabi atau wanita ajnabiah, tidak sebagaimana ahli-ahli politik dalam sistem demokrasi pada hari ini yang sering bersalaman dengan non-mahram di majlis-majlis terbuka! Malah apa yang kami perhatikan ialah para anggota kami sangat menjaga iffah (kemuliaan diri) baik sesama kami mahu pun dalam pergaulan mereka dengan masyarakat.
Dalam setiap aktiviti Hizbut Tahrir, baik dalam kelas-kelas pengajian mahu pun aktiviti umum di lapangan, kaum lelaki berada dalam kedudukan terpisah dengan kaum wanita. Kami sentiasa berusaha agar tidak berlakunya ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan wanita dalam setiap aktiviti kami. Ini kerana ikhtilat itu diharamkan oleh Islam. Jika JFNJ mempunyai mata dan mata hati, JFNJ sudah pasti dapat menyaksikan berapa banyak demonstrasi aman yang kami lakukan di lapangan, yang mana kaum lelaki dan wanita kami berada dalam kedudukan terpisah di sepanjang demonstrasi. Begitu juga dengan seminar, forum dan apa jua program seumpama itu yang dihadiri oleh lelaki dan wanita, Hizbut Tahrir akan mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Hanya mereka yang buta mata hatinya sahaja yang tidak nampak semua ini!
Jika JFNJ membaca kitab kami sampai habis, nescaya JFNJ akan menjumpai bab ‘Pengaturan Hubungan Lelaki dan Wanita’ (dalam kitab an-Nidzam al-Ijtima’i fi al-Islam) di mana Hizbut Tahrir memberikan beberapa butiran bagaimana Islam mengatur hubungan antara lelaki dan wanita. Berikut kami ringkaskan butirannya untuk perhatian JFNJ dan siapa sahaja yang membaca jawapan ini:
- Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki mahu pun wanita, untuk menundukkan pandangan [lihat an-Nur (24): 30-31].
- Islam memerintahkan kepada kaum wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, yakni pakaian yang menutupi seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Mereka hendaklah menghulurkan pakaian hingga menutup seluruh tubuh mereka [lihat an-Nur (24): 31 dan al-Ahzab (33): 59].
- Islam melarang seorang wanita melakukan safar (perjalanan) dari suatu tempat ke tempat lain selama perjalanan sehari semalam, kecuali jika disertai dengan mahram-nya, sesuai dengan hadis Rasulullah (saw) dalam hal ini.
- Islam melarang lelaki dan wanita untuk berkhalwat (berdua-duaan), kecuali jika wanita itu disertai mahram-nya, sesuai dengan hadis Rasulullah (saw) dalam hal ini.
- Islam melarang wanita untuk keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, kerana suami memiliki hak ke atas isterinya. Maka tidak dibenarkan seorang isteri keluar dari rumah suaminya kecuali atas izin suaminya. Jika seorang isteri keluar tanpa seizin suaminya, maka perbuatannya termasuk dalam kemaksiatan, dan dia dianggap telah berbuat nusyuz (derhaka) sehingga tidak berhak mendapatkan nafkah dari suaminya.
- Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus, komuniti wanita terpisah dari komuniti lelaki; begitu juga di dalam masjid, di sekolah, dan lain-lain. Ertinya, Islam telah menetapkan bahawa wanita hendaknya hidup di tengah-tengah kaum wanita, sedangkan lelaki hendaknya hidup di tengah-tengah kaum lelaki. Islam juga telah menetapkan bahawa shaf (barisan) shalat kaum wanita berada di bahagian belakang shaf shalat kaum lelaki. Islam juga mendorong wanita agar tidak berdesak-desakan dengan lelaki di jalan dan di pasar. Islam pun menetapkan bahawa kehidupan para wanita hanya bersama dengan para wanita atau mahram-mahram mereka. Seorang wanita dapat melakukan aktiviti yang bersifat umum seperti jual-beli dan sebagainya, dengan syarat begitu ia selesai melakukan aktivitinya, hendaknya ia segera kembali hidup bersama kaum wanita atau mahram-mahramnya.
- Islam sangat menjaga agar hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam urusan-urusan muamalat; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahram-nya atau keluar bersama untuk berhibur. Sebab, kerjasama antara kedua-duanya bertujuan agar wanita mendapatkan apa yang menjadi hak-hak dan kemaslahatannya, di samping agar mereka melaksanakan apa yang menjadi kewajipan-kewajipannya.
Dengan hukum-hukum ini, Islam dapat menjaga interaksi antara lelaki dan wanita, sehingga tidak menjadi interaksi yang mengarah pada hubungan lawan jenis atau hubungan yang bersifat seksual. Ertinya, interaksi mereka tetap dalam koridor kerjasama semata-mata dalam menggapai berbagai kemaslahatan dan melakukan berbagai macam aktiviti yang dibenarkan syarak. Dengan hukum-hukum inilah, Islam mampu menyelesaikan hubungan-hubungan yang muncul dari adanya sejumlah kepentingan individual, baik lelaki mahupun wanita, ketika masing-masing saling bertemu dan berinteraksi.
Inilah antara penjelasan Hizbut Tahrir tentang bagaimana Islam mengatur interaksi antara lelaki dan wanita, dan semua ini menjadi pegangan Hizbut Tahrir. Malangnya semua ini tidak diambil oleh JFNJ untuk diketengahkan, kerana JFNJ lebih berminat untuk mengetengahkan fitnah berbanding menyampaikan kebenaran!
Dalam setiap pembahasannya dalam apa jua isu, Hizbut Tahrir berpegang kepada empat sumber hukum dalam Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas. Hizbut Tahrir menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sandaran utama dalam setiap hujah, termasuklah dalam isu kebolehan berjabat tangan antara lelaki dan wanita tanpa disertai syahwat. Dan ternyata ramai ulama yang berpendapat sama dalam hal ini. Jadi, bagaimana mungkin JFNJ boleh menuduh bahawa pendapat seperti ini bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Jika benar JFNJ berpegang bahawa berjabat tangan antara lelaki wanita itu adalah haram, kami tidak akan mempersalahkan, apatah lagi menyesatkan JFNJ dalam hal ini, kerana kami memahami khilaf para ulama dalam hal ini. Tetapi persoalannya, berapa ramai daripada kalangan pemimpin, khususnya pemimpin politik pada hari ini, yang berjabat tangan antara lelaki dan wanita di majlis-majlis terbuka. Di manakah suara JFNJ dalam isu ini?
Kami ingin bertanya anda wahai JFNJ, mana lebih baik di antara mereka yang berpendapat bahawa boleh berjabat tangan antara lelaki dan wanita (tanpa disertai syahwat) berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi tidak pernah melakukannya kerana menjaga wara’, menjaga iffah dan menjaga diri daripada fitnah, berbanding mereka yang kononnya mengharamkan berjabat tangan antara lelaki dan wanita, tetapi sering melakukannya; dan berbanding dengan mereka yang kononnya mengharamkan berjabat tangan, tetapi tidak pernah menegur dan mengkritik, atau “memerangi” pemerintah yang melakukannya di depan mata mereka sendiri!?