Bantahan Fatwa Johor – 4.2d

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(d) Harus menonton filem lucah.

Butiran ini sama seperti Butiran (c) dan (e) di mana tiada rujukan yang diberikan oleh JFNJ! Apabila tidak dikemukakan rujukan (bukti), maka apa yang disebut ini dengan sendirinya adalah sebuah fitnah dan sebuah cerita yang direka-reka yang sebenarnya tidak perlu kami jelaskan lagi pendustaannya. Jika pun JFNJ ingin mencari bukti selepas ini, maka insya Allah sampai kiamat pun JFNJ tidak akan menjumpainya, kerana Hizbut Tahrir tidak pernah mempunyai pandangan kotor seperti yang didakwa!

Namun demikian, dalam rangka menerangkan kebenaran, dan dengan harapan masih ada keikhlasan yang tersisa dalam diri mana-mana anggota JFNJ untuk mengetahui apa pandangan Hizbut Tahrir dalam hal ini, maka kami tetap akan menjawab fitnah keji ini.

Kami merasa sungguh aneh dan ajaib dengan fitnah seumpama ini yang datangnya dari sebuah badan yang dipenuhi oleh mereka yang sepatutnya profesional, intelektual, alim, faqih, tawadhu’ dan takutkan Allah (swt). Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Badan ini langsung tidak mempamerkan sikap seperti itu!

Seandainya wujud sekelumit ketakutan pada diri JFNJ terhadap Allah Azza wa Jalla, nescaya anda akan memeriksa dan bertabayyun terlebih dahulu apakah benar Hizbut Tahrir membenarkan menonton filem lucah; dan sekiranya anda membuat sedikit penelitian atau carian, nescaya anda akan menjumpai jawapannya, bahawa Hizbut Tahrir mengharamkan menonton filem lucah.

Jika pun anda tidak menjumpai jawapannya di laman sesawang Hizbut Tahrir atau dalam kitab-kitab Hizbut Tahrir, atau nasyrah keluaran Hizbut Tahrir, boleh sahaja anda menghubungi Hizbut Tahrir, untuk mendapatkan jawapannya. Dengan bahasa mudah, boleh sahaja anda melakukan tabayyun (malah wajib untuk anda melakukan tabayyun) jika ingin mengetahui kebenarannya; dan nescaya anda akan menjumpai jawapan yang dicari. Namun malangnya, anda langsung tidak melakukan tabayyun, malah tidak mahu melakukan tabayyun, kerana amat jelas apa yang anda mahukan ialah menabur fitnah dan mengada-adakan pembohongan ke atas Hizbut Tahrir!

Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu ar-Rasytah telah menjawab persoalan ini secara khusus seawal tahun 2006 dan diulang jawab pada tahun 2013 atas soalan yang hampir sama oleh penyoal yang berlainan. Secara ringkasnya, Amir Hizbut Tahrir menegaskan keharaman menonton filem lucah kerana ia merupakan muqaddimah (pendahuluan) kepada zina. Di bawah ini kami paparkan soal-jawab penuh yang berkenaan, bertarikh 10/10/2006, yang boleh diakses di pautan berikut:

http://archive.hizb-ut-tahrir.info/arabic/index.php/HTAmeer/QAsingle/1543/

Terjemahan:

Soalan:

Bolehkah masuk ke pawagam untuk menonton filem biasa? Kemudian adakah dibenarkan menonton filem lucah dengan anggapan bahawa mereka melihat gambar dan bukan melihat objek (orang) yang sebenar?

Jawapan:

Adalah dibenarkan memasuki pawagam untuk melihat filem-filem yang serius dan bermanfaat, dengan syarat barisan wanita di dalam dewan dipisahkan daripada barisan lelaki. Ia seperti menghadiri syarahan atau seminar, kerana ini dibenarkan, dengan syarat lelaki dipisahkan daripada wanita.

Tetapi ini dibenarkan mengikut syarat-syarat yang disebutkan, yang pertama adalah bahawa dia akan meninggalkannya apabila khuatir bahawa mata akan terlihat aurat wanita yang hadir di dewan, atau khuatir telinga akan terdengar suara yang kurang elok dari penonton di dewan.

Bagi menonton filem lucah, ia tidak dibolehkan (haram) walaupun ia adalah gambar (filem) dan bukan objek sebenar, kerana kaedah syarak dalam perkara ini adalah al-wasilah ila al-haram haram (perkara yang membawa kepada keharaman adalah haram) dan tidak disyaratkan di dalam kaedah ini bahawa perkara tersebut mesti membawa kepada keharaman secara qath’ie (pasti), tetapi secara dzan (dugaan kuat) sudah mencukupi.

Filem-filem ini secara ghalibnya membawa orang-orang yang menontonnya ke arah perkara yang diharamkan, jadi kaedah ini terpakai ke atasnya. Oleh itu, tidak diperbolehkan (haram) menghadiri (menonton) atau mendapatkannya.

Itulah sebahagian daripada terjemahannya yang kami kira sudah mencukupi untuk menjawab hukum menonton filem lucah, dan untuk selebihnya kami yakin JFNJ boleh menterjemahkannya sendiri. Daripada  soal-jawab Amir Hizbut Tahrir ini, yang dijawab atas kapasitinya sebagai Amir Hizbut Tahrir, dan dimuat naik di laman sesawang atas nama Amir Hizbut Tahrir, ia merupakan pendapat Hizbut Tahrir, dan sungguh jelas di sini bahawa hukum menonton filem lucah adalah haram! Inilah pendapat Hizbut Tahrir mengenainya, dan kami tidak punya pendapat lain lagi selain pendapat ini.

Pada tahun 2013, seorang penanya mengirim soalan yang hampir sama kepada Amir Hizbut Tahrir, dan sekali lagi Amir Hizbut Tahrir menjawabnya. Soal-jawab ini terdapat dalam laman sesawang al-Maktab al-I’lamiy al-Markazy (Pejabat Media Pusat) Hizbut Tahrir dan boleh diakses di pautan berikut:

http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/19189.html

Terjemahan:

Soalan

Saya harap anda, wahai syeikh kami, boleh memberi respons kepada mereka yang memfitnah Hizbut Tahrir dalam banyak isu, antaranya yang sering berlegar ialah isu menonton filem lucah.

Jawapan

Berkenaan isu menonton filem lucah, pendapat kami dalam perkara itu amat jelas di mana kami telah pun mengeluarkan jawapan yang jelas dan ia terdapat di laman rasmi kami. Jawapannya adalah seperti berikut:

“Berkenaan isu menonton filem lucah, ia tidak dibolehkan (haram) walaupun ia adalah gambar (filem) dan bukan objek sebenar, kerana kaedah syarak dalam perkara ini adalah al-wasilah ila al-haram haram (perkara yang membawa kepada keharaman adalah haram) dan tidak disyaratkan di dalam kaedah ini bahawa perkara tersebut mesti membawa kepada keharaman secara qathie (pasti), tetapi secara dzann (dugaan kuat) sudah mencukupi.”

Filem-filem ini secara ghalibnya membawa orang-orang yang menontonnya ke arah perkara yang diharamkan, jadi kaedah ini terpakai ke atasnya. Oleh itu, tidak diperbolehkan (haram) menghadiri (menonton) atau mendapatkannya.

Berkenaan dengan cara bagaimana para syabab Hizbut Tahrir seharusnya mengambil sikap terhadap Muslim yang menonton filem ini: Sungguh mendukacitakan bahawa mereka yang menonton filem seperti ini sebenarnya telah jatuh ke dalam godaan nafsu keinginannya. Oleh itu, mengajak mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran sudah tidak berhasil, kecuali bagi siapa yang Allah merahmatinya. Bagaimana pun, para syabab hendaklah menggunakan cara yang teguh, yang boleh mencegah dan bijaksana. Mungkin sahaja saudara yang mengemukakan soalan ini mengambil berat tentang orang-orang yang dekat dengannya yang telah terjerumus kepada menonton filem ini. Jika demikian, dia hendaklah mengajak saudaranya itu kepada kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran, dan hendaklah menggunakan cara yang sesuai, semoga Allah menunjukinya, dan Allah memberinya ganjaran atas usahanya itu. 

Hari ini, kaum Muslimin dibelenggu oleh pelbagai malapetaka akibat ketiadaan Khilafah. Sehubungan itu, tidak seyogia bagi seseorang Muslim untuk menghabiskan masanya dengan rekreasi walaupun hal itu dibolehkan, apatah lagi jika dihabiskan untuk melakukan perkara yang haram. Menjadi kewajipan bagi kalian wahai saudaraku, untuk menghadapi kaum Muslimin (yang melakukan keharaman) dengan teguh tetapi bijaksana, agar mereka mengisi masa dengan kerja-kerja yang baik dan kerja-kerja yang serius ke arah menegakkan semula Khilafah agar dapat menyelamatkan umat ini daripada segala malapetaka.

Berkenaan si pemfitnah, mereka tidak termasuk ke dalam golongan yang mencari kebenaran. Ini kerana, jika mereka ingin mencari kebenaran, mereka akan merujuk kepada kitab kami dan laman sesawang rasmi kami di mana di situ mereka akan menjumpai kebenarannya. Mereka itu jauh daripada kesucian, yang mana kesucian itu tidak akan dijumpai kecuali pada orang-orang yang mencintai Allah dan ia lebih banyak mengharapkan akhirat berbanding dunia.

Mereka yang memfitnah itu telah merujuk kepada kitab selain kitab kami, seolah-olah mereka tidak tahu betapa besarnya dosa fitnah yang telah mereka lakukan itu. Firman Allah (swt):

إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُون

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung’”  [Yunus (10): 69].

Wahai JFNJ! Jika anda masih memiliki penglihatan, lihatlah betapa jelasnya jawapan Amir Hizbut Tahrir yang mengharamkan menonton filem lucah. Bukan sekadar itu, malah Amir Hizbut Tahrir meminta para syabab (pemuda-pemuda) Hizbut Tahrir agar melakukan amar makruf nahi mungkar kepada mereka yang suka menonton filem lucah. Lebih daripada itu, Amir Hizbut Tahrir menasihatkan para syabab Hizbut Tahrir secara khusus dan kepada umat Islam secara umumnya, agar tidak menghabiskan masa pun pada perkara-perkara yang mubah (harus) seperti rekreasi, kerana kita sekarang mempunyai kewajipan berat yang perlu dilaksanakan iaitu menegakkan kembali Khilafah.

Jika sebegini jelas jawapan Amir Hizbut Tahrir, apa lagi yang anda cari wahai JFNJ!? Benarlah kata Amir Hizbut Tahrir bahawa si pemfitnah ini seolah-olah tidak tahu betapa besarnya dosa yang mereka pikul kerana fitnah yang mereka lontarkan! Bertakwalah anda kepada Allah wahai JFNJ jika anda masih memiliki sisa-sisa ketakutan kepada Allah!

Untuk makluman anda wahai JFNJ, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) juga telah memberikan jawapan kepada hukum menonton filem lucah melalui nasyrah rasmi kami iaitu Sautun Nahdhah (SN254) yang diterbitkan pada 25/03/2011, di mana kami telah memetik pandangan Amir Hizbut Tahrir dan menjelaskan keharamannya. Ia boleh diakses di pautan berikut:

https://mykhilafah.com/sn254-video-lucah-politik-sekular-sememangnya-menjijikkan/

Kami ulangi, jika JFNJ ikhlas dan berusaha untuk mencari jawapan sebelum JFNJ mengeluarkan fatwa fitnah ini, nescaya JFNJ akan menjumpai jawapan Hizbut Tahrir dalam isu ini, kerana jawapannya sudah lama terdapat dalam laman sesawang rasmi Hizbut Tahrir. Sebagaimana yang kami maklumkan di atas, Amir Hizbut Tahrir sudah menjawab persoalan ini seawal tahun 2006, dan kemudian diulang lagi dalam soaljawab pada tahun 2013. Malah Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sendiri sudah menjawab persoalan ini dalam nasyrah rasmi HTM, Sautun Nahdhah pada tahun 2011.

Jika benar JFNJ ingin memerangi fahaman ini yang JFNJ dakwa sebagai fahaman Hizbut Tahrir, maka kami katakan “Ini bukan fahaman Hizbut Tahrir, dan silakan peranginya habis-habisan, kerana kami juga memerangi fahaman haram seumpama ini!”

Persoalannya, kami tidak nampak dan tidak mendengar pun suara JFNJ ketika banyak skandal seks tanahair yang dikaitkan dengan ahli-ahli politik di negara ini. Isunya di sini bukanlah skandal seks itu sendiri, tetapi video lucah yang tersebar mengenainya yang boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Kenapa JFNJ diam dengan gambar dan video lucah yang berlegar? Setidaknya kami mengharapkan JFNJ melakukan protes atau membuat laporan polis agar polis menyiasat dan menangkap dalang yang menyebarkan video lucah tersebut. Kenapa tidak ada langsung suara dari JFNJ mahupun dari pihak berkuasa agama Johor lainnya dalam isu video lucah yang tersebar ini? Sepatutnya dengan kegarangan dan kelantangan pihak berkuasa agama Johor dalam isu ini, apabila munculnya gambar dan video lucah dalam politik tanahair, merekalah yang menjadi barisan hadapan dalam menghalang penyebarannya!

Kami juga tidak melihat pun peranan yang dimainkan oleh JFNJ terhadap video-video lucah yang boleh diakses dengan mudah di internet sekarang ini. Setidaknya kami ingin melihat gesaan berterusan JFNJ kepada pihak kerajaan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia (SKMM) agar menyekat terus laman sesawang yang menyiarkan video-video lucah yang merosakkan umat Islam selama ini.