Bantahan Fatwa Johor – 4.4b

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(b) Menyamakan Malaysia dengan Israel bahawa kedua-keduanya kembar tidak seiras.

Setelah melakukan rujukan, kami mendapati Butiran ini adalah merujuk kepada Sautun Nahdhah Bil. 217 bertarikh 16 Jamadil Awal (30 April 2010). Kami paparkan di sini muka depan Sautun Nahdhah yang berkenaan, dan kami akui ia adalah keluaran kami. Nasyrah penuh boleh didapati di laman sesawang rasmi Hizbut Tahrir Malaysia di pautan berikut – https://mykhilafah.com/sn217-malaysia-oh-malaysia/

Pertamanya kami mengucapkan terima kasih kepada JFNJ yang membaca Sautun Nahdhah kami, walaupun setelah 10 tahun ia dikeluarkan. Keduanya kami sentiasa berharap siapa pun yang membaca penulisan kami, ia akan beroleh kebaikan daripadanya, dan pahalanya turut mengalir kepada kami. Ketiganya, kami tidak ada masalah sekiranya ada pihak yang menegur apa jua kesalahan yang terdapat dalam penulisan kami, dan kami bersyukur dengannya dan insya Allah kami akan memperbetulkan kesalahan tersebut (jika ada).

Kami telah mengulang baca Sautun Nahdhah tersebut, dan kami dapati sekali lagi JFNJ tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami apa yang kami tulis, lalu anda terus membuat kesimpulan mengikut selera anda.

Siapa pun tidak perlu mempunyai penglihatan yang tersangat tajam untuk nampak bahawa tajuk kecil yang tertera dalam Sautun Nahdhah tersebut ialah seperti berikut – “Malaysia-Israel: Kembar Tak Seiras?” Siapa pun yang ada mata sudah pasti dapat melihat tanda soal (?) yang kami letakkan di akhir tajuk kecil tersebut. Tidakkah JFNJ tahu bahawa, apabila ada tanda soal dalam sesuatu tajuk, maka perkara tersebut adalah perkara yang tidak mutlak, masih dalam persoalan, dan terbuka untuk pelbagai tafsiran.

Jadi, apabila JFNJ menyatakan yang Hizbut Tahrir “menyamakan Malaysia dengan Israel bahawa kedua-duanya kembar tidak seiras”, kenyataan ini adalah sebuah kenyataan yang bersifat tuduhan kerana telah memutlakkan yang kami tidak mutlakkan. Ini jelas merupakan sebuah kesalahan dari sudut akademik, dan dari sudut memetik kenyataan orang lain. Malah ia merupakan sebuah kesalahan dalam melakukan sebuah penukilan.  Ini dari satu sisi.

Dari sisi lain, terlihat jelas bahawa JFNJ sengaja tidak mahu memahami apa yang kami tulis secara sepenuhnya, sebaliknya kelihatan terdesak untuk mencari sebanyak mungkin poin untuk dimasukkan dalam fatwa selagi poin tersebut boleh dimanipulasikan!

Apa pun, kami ringkaskan di sini apakah yang kami maksudkan dengan kembar tak seiras, atau dengan kata lain dari sisi manakah wujudnya persamaan antara Malaysia dan Israel yang kami letak dalam bentuk persoalan “kembar tak seiras” tersebut:-

(i) British telah berjaya melahirkan Israel mengikut acuannya pada tahun 1948. Kemudian, British menghadiahkan kemerdekaan kepada negara haram itu di bawah mandat PBB. Manakala pada tahun 1957 pula British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu yang selanjutnya melahirkan Malaysia, mengikut acuan yang sama, setelah lebih kurang 150 tahun menjajah negara ini.

Persamaan yang cuba di sampaikan di sini ialah kedua-dua negara lahir mengikut acuan British.

(ii) Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa tunjang kepada sistem pemerintahan (demokrasi) di Malaysia yang diamalkan pada hari ini adalah berasal dari British. Seperti kebanyakan negara-bangsa lain di dunia yang mengamalkan demokrasi, Israel juga mengamalkan konsep pemerintahan demokrasi berparlimen (parliamentary democracy). Negara haram Yahudi itu turut mengamalkan konsep Trias Politica di mana wujudnya tiga bidang kuasa berasingan iaitu Legislatif, Eksekutif dan Judikatif. Badan legislatif Israel dikenali sebagai Knesset yang berkuasa untuk menggubal undang-undang, menasihati para pemimpin dan jentera pentadbiran serta memiliki hak memecat Presiden mahupun Pengawas Negara (State Comptroller). Kedudukan Knesset adalah sama seperti dewan-dewan legislatif negara demokrasi berparlimen lainnya termasuk Malaysia di mana di situlah undang-undang dibahaskan, digubal dan dipinda sesuka hati asalkan mendapat kelulusan majoriti. Knesset diwakili oleh 120 orang wakil yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya yang dijalankan lebih kurang empat tahun sekali. Setiap wakil mewakili parti politik membentuk badan legislatif.

Dalam konteks inilah (sistem pemerintahan) yang kami katakan bahawa Israel ada persamaan dengan Malaysia.

(iii) Sistem ekonomi yang diamalkan oleh Israel juga sama dengan sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia iaitu sistem ekonomi Kapitalis. Apa yang berbeza hanyalah dari aspek statistik, nombor-nombor dan peratusan-peratusannya sahaja, namun dari segi ‘ajaran’nya sama sahaja yakni dicorak oleh ajaran si kafir Adam Smith, David Ricardo dan kawan-kawan seangkatan mereka. Riba, judi, arak, saham, memilik negara-kan hak milik umum dan sebagainya adalah amalan biasa yang ‘sah’ dalam sesebuah negara kufur Kapitalis yang boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah KDNK masing-masing.

(iv) Malaysia juga tidak berbeza dengan Israel dari aspek negara sekular yang memisahkan agama daripada negara (pemerintahan). Urusan agama tidak boleh dicampur, malah tidak dibenarkan untuk dicampur dengan urusan pemerintahan. Undang-undang digubal oleh manusia dan boleh lulus berdasarkan suara majoriti walaupun undang-undang tersebut bertentangan dengan wahyu. Apakah wujud perbezaan antara Malaysia dan Israel dalam aspek ini?

Itulah aspek persamaan antara Malaysia dan Israel yang telah kami ringkaskan daripada Sautun Nahdhah di atas.

Kemudian, Sautun Nahdhah diakhiri dengan sebuah hadis yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah (saw) bahawa umatnya akan mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nashara sampai ke lubang biawak sekalipun. Hadis ini menunjukkan betapa umat Islam akan mengikuti Yahudi dan Nashara dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya, dan sudah pasti ia termasuk sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, undang-undang dan sebagainya. Semua ini memperkuatkan lagi hujah bahawa wujudnya persamaan antara Malaysia dan Israel, baik dalam aspek yang telah dinyatakan mahupun dalam aspek lainnya.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri (ra) yang berkata, bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ: فَمَنْ؟

“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang engkau maksudkan?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Siapa lagi kalau bukan mereka?’” [HR Muslim].

Atas dasar semua itu, langsung tidak keterlaluan untuk meletakkan dalam bentuk soalan, bahawa Malaysia dan Israel adalah ibarat dua kembar, tetapi tidak seiras.  Kembar dari aspek kedua-duanya lahir dari ‘acuan’ yang sama (acuan British), tetapi tidak seiras kerana “wajah” kedua-duanya adalah berbeza.

Oleh kerana kami meletakkan tanda soal (?) dalam tajuk kecil tersebut, maka sekali lagi kami katakan di sini bahawa ia terbuka kepada siapa sahaja jika ingin menyanggah hujah-hujah yang telah kami sampaikan. Sila datangkan hujah anda untuk menyanggah kesemua poin yang telah kami sampaikan di atas, termasuklah jika anda sanggup untuk menyanggah hadis yang telah kami kemukakan, bahawa umat Islam akan mengikuti Yahudi dan Nashara! Datangkanlah hujah anda wahai JFNJ, dan tidak perlulah memanipulasi tajuk kecil tersebut sehingga dimasukkan ke dalam fatwa dalam rangka untuk memburuk-burukkan kami!