Harga barang naik lagi – kenapa boleh terjadi dan bagaimana solusinya menurut Islam?
Seperti sudah menjadi tradisi, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan dan menjelang Idul Fitri harga pelbagai barang keperluan harian akan melambung. Ini sudah pasti akan membuatkan rakyat semakin terbeban, apatah lagi ketika negara sedang dilanda wabak dengan PKP, PKPB, PKPD dan bermacam PKP lagi. Hal ini akan menambahkan lagi kos sara hidup yang perlu difikirkan oleh seorang ketua keluarga yang gajinya secara automatik semakin mengecil. Ini belum masuk rakyat yang diberhentikan kerja hasil impak Covid-19 dan kegagalan kerajaan mengurusi wabak.
Antara keperluan harian yang semakin naik harganya ialah ayam. Menurut laporan daripada Sinar Harian, harga ayam mengalami kenaikan antara 30 sen dan 40 sen sekilogram seperti yang diakui oleh para peniaga setelah dimaklumkan oleh pembekal. Ayam segar kini dijual pada harga RM9.20 sekilogram berbanding RM8.60 sekilogram sebelum kedatangan Ramadan1.
Sementara itu di pihak peniaga, mereka terpaksa menaikkan harga ayam berikutan harga tinggi yang mereka beli daripada pembekal/penternak2. Di pihak pembekal/penternak pula, mereka terpaksa menaikkan harga jualan kerana kos makanan ayam yang turut meningkat3. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cuba melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bagi mengawal harga barangan keperluan harian daripada kenaikan mendadak4. Meskipun tindakan ini diambil oleh kerajaan, namun ada pihak-pihak tidak berpuas hati kerana tindakan ini tidak berpihak kepada mereka.
Tiadakah jalan penyelesaian?
Masalah kenaikan harga barang bukanlah perkara yang baru muncul di zaman ini, tetapi telah lama berlaku, malah hal ini turut terjadi di zaman Rasulullah (saw) dan ia merupakan fenomena yang biasa. Cuma persoalannya sekarang ialah, bagaimana Islam mengendalikan kenaikan harga barangan agar tiada pihak yang tertekan dan kestabilan ekonomi sentiasa wujud dalam masyarakat. Islam telah menunjukkan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah ini, antaranya:-
Pertama; Jika kenaikan harga barang berlaku kerana wujudnya aktiviti jahat di pihak peniaga, pembekal atau pengeluar baik berbentuk monopoli, kartel, sorok barang dan lain-lain, maka penyelesaiannya adalah dengan negara perlu bertindak agar aktiviti ini dihentikan. Dalam dunia Kapitalis pada hari ini, monopoli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk yang menjadikan satu pihak tunggal berkuasa menentukan harga barangan, baik monopoli dalam bentuk lesen import (AP) dan lain-lain lesen yang hanya diberikan kepada pihak tertentu, monopoli dalam bentuk hak cipta atau paten, monopoli dalam bentuk penguasaan ke atas hak milik umum seperti syarikat besar diberikan konsesi untuk memegang apa sahaja yang menjadi hak/milik masyarakat seperti jalan raya, lombong, telaga minyak, sumber air, dan lain-lain.
Kartel pula adalah satu keadaan apabila para peniaga yang sepatutnya bersaing, tetapi berpakat sesama mereka untuk menetapkan satu harga pasaran yang tetap yang akhirnya menindas pengguna.
Sesungguhnya Islam mengharamkan ihtikar (monopoli). Nabi (saw) bersabda,
“Tidak akan melakukan ihtikar kecuali orang yang salah (khati’)” [HR Bukhari].
Al-Atsram meriwayatkan dari Abu Umamah,
“Rasulullah (saw) telah melarang ihtikar makanan”.
Pelaku monopoli disebut sebagai Muhtakir dan Rasulullah (saw) menyebutnya sebagai orang yang bersalah (khati’) yang bermaksud pelakunya adalah berdosa dan wajib dijatuhkan hukuman ta’zir. Selain itu, Islam menegaskan bahawa jual beli adalah dilakukan secara suka sama suka, tidak boleh dipaksa oleh mana-mana pihak, barulah transaksinya sah. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah (saw) bersabda,
“Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”.
Jadi, pemerintah sepatutnya mengambil langkah pencegahan terhadap monopoli dan kartel dan sekiranya ia tetap berlaku, maka tindakan (hukuman) wajib dikenakan ke atas mereka sesuai dengan tuntutan Islam.
Kedua; Jika harga barangan meningkat kerana stok barangan terhad atau tidak mencukupi, maka negara perlu berusaha membantu agar stok tersebut mencukupi di pasaran. Islam tidak pernah mengenal falsafah laissez-faire seperti mana sistem ekonomi Kapitalis yang beranggapan kerajaan perlu meminimumkan campur tangannya di dalam pasaran. Bukti sejarah telah menunjukkan bagaimana pemerintah umat Islam menjaga kecukupan bekalan keperluan harian. Khalifah Umar contohnya, ketika wilayah Syam dilanda wabak penyakit, sehingga produksinya menurun, maka barangan dari Iraq diambil dan diagihkan ke wilayah tersebut.
Rasulullah (saw) sebagai ketua negara juga pernah memerintahkan agar perigi di suatu kawasan yang kekurangan sumber air yang asalnya adalah milik individu, dibeli dan dijadikan milik umum, agar semua orang dapat mengambil air dari situ. Begitulah Islam meletakkan tugas seorang pemerintah tatkala berhadapan dengan kekurangan bekalan – walaupun pemerintah tidak boleh (haram) menetapkan harga, tetapi pemerintah wajib memastikan barang keperluan rakyatnya sentiasa cukup dan bukannya membiarkan pihak-pihak terbabit sahaja untuk menyelesaikan masalah. Inilah antara tanggungjawab pemimpin dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Rasulullah (saw) bersabda,
“Pemimpin itu pemelihara dan ia akan ditanya (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].
Ketiga; Islam melarang pemerintah menetapkan harga siling atau mengawal harga walaupun harga barang naik (dalam masa yang sama, segala aktiviti jahat di peringkat peniaga, pengeluar dan pengedar mesti dihentikan). Ini kerana, boleh jadi harga barang naik kerana peniaga itu sendiri berhadapan dengan kenaikan kos. Islam telah mengajarkan kita bahawa jual beli mestilah dengan kerelaan kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli, tanpa ada paksaan atau campur tangan dari pihak ketiga seperti kerajaan yang memaksa penjual menjual suatu barangan tidak melebihi harga tertentu.
Suatu ketika tatkala penduduk Madinah mengadu mengenai kenaikan harga barang dan meminta agar Rasulullah (saw) – selaku pemerintah – menetapkan harga. Lantas dijawab oleh baginda (saw) dengan tegas bahawa hal itu tidak boleh dilakukan oleh baginda. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,
“Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Menggenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadhrat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.”
Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,
“Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.”
Penetapan harga boleh menimbulkan kezaliman tanpa disedari, kerana kemungkinan kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh peruncit atau boleh jadi juga kenaikan harga bukan kerana peruncit yang ingin menaikkannya, tetapi harga dinaikkan oleh pembekal kerana masalah tertentu. Jadi, tidak adil untuk kita terus menghukum peruncit atau pembekal atau sesiapa sahaja (kecuali jika terbukti berlakunya aktiviti salah seperti yang dinyatakan di atas).
Keempat; Islam menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dengan melarang mana-mana pemiutang mengambil sebarang keuntungan daripada penghutang (riba). Islam menuntut agar pemiutang melanjutkan tempoh pembayaran jika penghutang tidak mampu untuk menjelaskan hutangnya. Kerana itu, dalam Negara Islam, tidak akan ada institusi yang bebas memberikan pinjaman riba secara besar-besaran seperti mana sekarang kerana mereka tidak akan dapat keuntungan daripada memberi pinjaman.
Sepatutnya, apabila pengguna tidak mampu membeli kerana kuasa beli yang rendah dan harga barang yang tinggi, maka para peniaga terpaksa menurunkan harga pasaran. Begitulah kuasa beli akan mempengaruhi harga pasaran tanpa perlu diboikot oleh pengguna. Para peniaga akan memikirkan bagaimana untuk menjual pada harga yang mampu dibeli oleh pengguna.
Namun dengan adanya institusi kewangan yang memberikan pinjaman besar-besaran pada masyarakat, ia telah mencipta ‘kuasa membeli palsu’ pada masyarakat. Apabila pembeli membeli menggunakan kad kredit dan lain-lain produk pinjaman, maka di pihak peniaga, mereka akan melihat kuasa membeli masyarakat adalah tinggi dan tidak perlu menurunkan harga pasaran, sedangkan realitinya kuasa membeli masyarakat masih rendah, tetapi kelihatan tinggi dengan kuasa-kuasa membeli palsu yang dicipta menggunakan hutang-hutang tadi.
Dalam sistem Kapitalis sekarang, lihatlah bagaimana bank berlumba-lumba mencipta hutang untuk masyarakat, termasuklah juga ceti yang berdaftar dan tidak berdaftar yang hidup subur kerana dibenarkan dan dibiarkan oleh kerajaan. Selagi masyarakat mahu meminjam, maka selagi itulah institusi kewangan akan terus memberikan pinjaman dan selagi itulah peniaga tidak perlu menurunkan harga kerana kuasa beli pengguna masih tinggi, walaupun ‘palsu’.
Buktinya antara lain dapat dilihat pada harga rumah yang terus meningkat. Kenapa pemaju perlu menurunkan harga rumah jika pembeli masih mampu membeli (walaupun dengan kuasa beli ‘palsu’)? Kerana itu, jika riba yang haram ini dihapuskan, maka tidak akan ada lagi institusi yang berlumba-lumba memberikan pinjaman, maka ‘kuasa beli palsu’ akan hilang dari masyarakat dan seterusnya akan menekan peniaga untuk menjual barangan pada harga yang mampu dibeli oleh orang ramai.
Kelima; Jika harga barang keperluan naik kerana nilai ringgit yang jatuh atau kerana kadar pertukaran wang yang tinggi, maka Islam telah lama mewajibkan kita untuk menyandarkan nilai mata wang pada emas dan perak yang ternyata stabil, bukan menyandarkannya kepada dollar Amerika. Namun sayangnya kesemua hal ini tidak dilakukan oleh pemerintah!
Wallahu a’lam.
Rujukan:
- https://www.sinarharian.com.my/article/134110/EDISI/Harga-ayam-naik-lagi
- https://www.utusan.com.my/berita/2021/04/harga-rm7-90-bunuh-peniaga-ayam/
- https://www.malaysiakini.com/news/549615
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/809204/pelaksanaan-shmmp-legakan-pengguna
- https://mykhilafah.com/sn416-harga-minyak-turun-kenapa-harga-barang-tak-turun/