Soal-Jawab Amir Hizbut Tahrir: Hukum Jualbeli Emas Secara Online Public Gold

(Terjemahan)

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kami berdoa semoga anda berada dalam keadaan sihat. Semoga Allah (swt) memberikan kekuatan, memudahkan urusan dan selalu melindungi anda, dan semoga Allah (swt) memberikan kemenangan kepada kami dengan segera melalui tangan anda.

Saya ingin bertanya kepada anda mengenai hukum urus niaga emas yang dibuat secara dalam talian. Terdapat produk perdagangan emas dalam talian yang dikendalikan oleh Public Gold di negara kami (Malaysia). [Rujuk: https://www.publicgold.com.my]

Daripada kajian saya, kaedah transaksi yang mereka gunakan adalah:

  1. Pembeli akan membuat akaun terlebih dahulu. Kemudian, memindahkan sejumlah wang ke akaun Public Gold sebagai deposit (deposit keselamatan).
  2. Public Gold akan mencatatkan jumlah wang dan gram yang sesuai dalam akaun pembeli.
  3. Pembeli mempunyai pilihan untuk mengeluarkan emasnya atau membiarkannya dalam akaun yang akan dijaga oleh Public Gold tanpa sebarang bayaran.
  4. Sekiranya pembeli membeli emas, dia boleh mengambil emasnya di mana-mana agensi Public Gold. Kadang-kadang terdapat situasi di mana agensi kehabisan stok emas. Jadi, pembeli perlu pergi ke agensi lain yang masih mempunyai emas di sana.

Soalan saya:

  1. Adakah urus niaga perdagangan emas secara dalam talian dibenarkan oleh syariah?
  1. Sebilangan orang yang menyatakan keabsahan transaksi emas secara dalam talian menyatakan bahawa mereka mengambil pendapat daripada Mazhab Hanafi yang membenarkan transaksi seperti yang dijelaskan di atas, kerana menurut mereka telah terjadi penyerahan ma’nawi (taqabbud ma’nawi) dalam transaksi tersebut. Adakah hujah tersebut benar?

Saya sangat berharap pertanyaan saya dapat dijawab, kerana ia berkaitan hukum syarak dan perselisihan yang berlaku di antara kami. Semoga dengan jawapan anda, kami dapat menghilangkan perbezaan pendapat dan pada masa yang sama dapat menyatukan hati-hati kami.

Akhu kum,

Muhammad Amin

5/1/2021

Jawapan:

Mengenai pertanyaan Muhammad Amin berkenaan hukum syarak (jual-beli) emas, maka sesungguhnya hadis yang mulia menetapkan adanya pertukaran (secara langsung), bahkan di situ terdapat penegasan kalimat (yadan bi yadin) kemudian (ha’a wa ha’a):

Rasulullah (saw) bersabda:

«الذهب بالذهب، والفضة بالفضة، والبُر بالبُر، والشعير بالشعير، والتمر بالتمر، والملح بالملح مثلاً بمثل سواءً بسواء يداً بيد. فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يداً بيد»

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, sejenis, setara, dan tunai. Apabila jenisnya berbeza, juallah sesuka hatimu jika dilakukan dengan tunai” [HR Bukhari dan Muslim dari jalur Ubadah bin Shamit ra].

Dikeluarkan oleh Bukhari dari az-Zuhri…dia berkata: Malik bin Aus bin al-Hadasan telah mengkhabarkan kepadaku ia mendengar Umar bin Khattab (ra) mengkhabarkan dari  Rasulullah (saw) bahawa baginda bersabda:

«الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالبُرُّ بِالْبُرِّ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ»

“Emas dengan emas adalah riba kecuali dibayar dengan tunai, gandum dengan gandum adalah riba kecuali dibayar dengan tunai; kurma dengan kurma adalah riba kecuali dibayar dengan tunai; kismis dengan kismis adalah riba, kecuali dibayar dengan tunai”.

Atas dasar itu, menurut pandangan saya berdasarkan hadis yang mulia, adalah tidak dibolehkan berjual-beli emas melalui pertukaran elektronik, melainkan jika dilakukan dengan serah terima secara langsung (التقابض الشخصي).

 

30/1/2021