Peranan Para Muslimah dalam Perubahan
بسم الله الرحمن الرحيم
“SEMPENA 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH…AYUH TEGAKKANNYA WAHAI KAUM MUSLIMIN”
UCAPAN 5
“Peranan Para Muslimah dalam Perubahan”
Dr. Nazreen Nawas
Pengarah Seksyen Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam semoga tercurah ke atas Saidina Muhammad (saw), keluarga baginda dan para sahabat baginda keseluruhannya.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh.
Wahai Muslimin dan Muslimah! Pada kurun ke-19, seorang pentadbir berbangsa Perancis yang berusaha untuk mengukuhkan pemerintahan kolonial ke atas bahagian-bahagian dunia Islam pernah berkata, “Sesungguhnya kita akan dapat mencengkam jiwa sesebuah bangsa melalui para wanita,”. Puak kolonialis ini sedar bahawa dalam masyarakat Islam, wanita merupakan teras sesebuah keluarga, tulang belakang bagi masyarakat, dan pembimbing anak-anak umat ini. Seandainya mereka (kolonialis) berjaya menguasai hati dan minda para Muslimah, maka mereka akan berjaya menguasai jiwa umat Islam selama beberapa generasi mendatang.
Lantas, mereka pun mengorak pelbagai langkah tipu daya dan helah mengenai Muslimah dan agamanya, melemparkan tuduhan palsu bahawa Syariah dan Khilafah merupakan musuhnya, dan punca penindasan terhadapnya, di samping mendakwa bahawa budaya dan sistem sekular Barat merupakan jalan pembebasan daripada sebarang penindasan terhadapnya.
Namun, penipuan demi penipuan mereka ini lebur dek tangisan sang Muslimah, kerana sesungguhnya kehilangan penaung dan perisai, yakni Khilafah, serta aturan sistem-sistem sekular dan sistem buatan manusia di bumi kita ini tidak membawa kepada apa-apa, kecuali hanya kehancuran, kebinasaan, keaiban dan keputusasaan.
Sesungguhnya para wanita tidak pernah menikmati kehidupan yang lebih baik kecuali di bawah naungan sistem Allah (swt) – Khilafah, yang telah mengubah status dan hak-hak para wanita, meninggikan kemuliaan mereka ke tahap yang tidak pernah disaksikan sebelumnya, di mana tangisan seorang Muslimah sahaja sudah memadai untuk sang Khalifah bingkas mengerah ketumbukan tentera bagi membelanya. Inilah sebuah negara yang mendukung para wanita untuk memuhasabah para pemimpin mereka secara terbuka, menyediakan institusi pendidikan dan kemudahan kesihatan berkelas dunia buat mereka, serta memastikan mereka senantiasa diberikan nafkah secukupnya oleh suami mereka, saudara lelaki mereka, atau oleh negara itu sendiri, sebagaimana yang diwajibkan oleh Islam, sehingga mereka menikmati kehidupan yang makmur dan terjamin.
Sungguh, telah dinukilkan dalam catatan-catatan sejarah Khilafah Uthmaniyyah yang menggambarkan wanita sebagai “mahkota negara” (Taj ad-Daulah), yang mendesak para negarawan untuk menghindari daripada memudaratkan para wanita serta (negarawan tersebut) mengerah segenap usaha demi memelihara kehormatan mereka. Semua ini…berlaku berkurun-kurun lamanya sebelum negara-negara sekular Barat mengiktiraf konsep hak-hak para wanita!
Namun, kini kita menyaksikan tragedi demi tragedi dan derita demi derita, yang berpunca daripada kehilangan Khilafah, terpapar dalam kehidupan Muslimah di seluruh dunia. Kehormatan mereka, perlindungan dan kelebihan-kelebihan ke atas mereka yang ditetapkan oleh hukum Allah (swt) telah hilang, akibat ketiadaan negara yang agung ini. Dan mereka menjadi mangsa penindasan rejim zalim yang menganiaya mereka semata-mata kerana mereka mengenakan busana Islam atau mengibarkan panji-panji Deen mereka.
Justeru, tidak menghairankan apabila pada hari ini, kita mendengar seruan kepada (menegakkan) Khilafah bergema daripada laungan para Muslimah dari segenap penjuru dunia! Sungguh, begitu ironis sekali, tatkala kerajaan-kerajaan kolonial Barat mensasarkan para Muslimah di tanah umat Islam untuk menghancurkan Khilafah…namun pada hari ini, sejumlah besar wanita, yang lahir dan dibesarkan di Barat menyertai seruan ke arah menegakkan Khilafah…setelah mereka (para Muslimah) menyaksikan secara langsung kemusnahan yang disemai oleh nilai-nilai dan sistem-sistem liberal-sekular ke atas kehidupan umat Islam di sini (Barat) dan di seluruh dunia.
Maka, sebagai wanita Muslim, kami enggan membenarkan para sekularis dan feminis untuk bercakap bagi pihak kami, membelenggu suara-suara kami dan menggubal skrip-skrip untuk kami mengenai harapan dan aspirasi untuk perubahan wanita. Kami menyatakan dengan lantang dan jelas, bahawa kami memandang hanya Khilafah sebagai penyelamat daripada penindasan; kami memandang Syariah sebagai satu-satunya jalan pembebasan daripada segala bentuk pemaksaan ke atas wanita; dan kami memandang Islam sebagai satu-satunya sarana menuju masa hadapan yang cerah bagi wilayah kaum Muslimin, malah bagi seluruh dunia!
Wahai para Muslimah sekalian! Sesungguhnya kalian mempunyai peranan penting dalam mengorak perubahan politik yang positif di dunia ini. Namun ia tidak akan tercapai melalui perjuangan kesetaraan gender yang sia-sia dan tidak Islamik seperti mana yang disodorkan oleh para feminis, yang tidak akan membawa kita ke mana-mana, melainkan hanya melebarkan lagi masalah kita sebagai wanita dan membesarkan lagi masalah masyarakat. Idea kesetaraan gender turut merosakkan rumahtangga dan keluarga, dengan menyemai kekeliruan dan perbalahan dalam persoalan hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan. Di samping itu, perubahan hakiki buat para wanita dan dunia ini tidak akan sama sekali tercapai melalui reformasi sebahagian undang-undang dan polisi-polisi tatkala keseluruhan sistem di muka bumi ini rosak – baik akarnya mahupun cabangnya! Mengapa kita perlu mengambil serpihan-serpihan kaca ini sedangkan Allah telah mengurniakan kita emas?!!
Maka wahai para Muslimah sekalian, kami menyeru kalian untuk menyokong dan menyertai kami, saudaramu daripada Hizbut Tahrir, dalam melaksanakan dakwah yang mulia demi menegakkan sistem Allah (swt) yang agung, yakni Khilafah yang berdiri di atas jalan kenabian, yang akan mengarak terbitnya keadilan, keselamatan dan kemakmuran. Allah (swt) berfirman:
﴿كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ﴾
“Kalian adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” [Ali Imran (3): 110].
Muslimah merupakan sebahagian daripada umat yang mulia ini. Maka, kita mestilah memposisikan diri kita di tempat yang benar dalam perjuangan ini demi membawa umat manusia keluar daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam dengan mengembalikan sistem Allah (swt) ke dunia ini…kerana ini merupakan amanah yang diletakkan ke atas bahu kita oleh Tuhan kita.
Sungguh, Allah telah menjadikan ini (menegakkan Khilafah) sebagai kewajipan yang terpenting atas seluruh orang-orang Mukmin – baik lelaki mahupun wanita, kerana Rasulullah (saw) bersabda;
«وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً»
“Siapa saja yang mati sedangkan di lehernya tidak ada baiat (kepada Khalifah), maka dia mati (dalam keadaan berdosa) seperti mati jahiliah”
Maka, kefardhuan untuk berusaha ke arah mengembalikan Khilafah, agar kita dapat memberikan baiah kepada sang Khalifah, merupakan suatu keutamaan dan tanggungjawab yang besar bagi Muslimah, sebagaimana ke atas Muslimin. Justeru saudari sekalian, di samping memenuhi tuntutan-tuntutan per individu sebagai seorang Muslimah, sebagai anak-anak perempuan, isteri-isteri dan ibu-ibu, kita juga wajib mencurahkan masa dan perhatian kita, serta mengerah segenap usaha kita ke arah memenuhi kewajipan yang penting ini (menegakkan Khilafah).
Maka, serulah rakan taulan, keluarga, jiran-jiran, para pelajar, rakan sekerja dan mereka yang berpengaruh yang kalian kenali dalam komuniti dan dalam media, serta tentera-tentera Muslimin, serulah mereka untuk menolak idea-idea dan sistem-sistem tidak Islamik yang rosak di negeri-negeri kita, dan serulah mereka agar mendukung penegakan Khilafah yang sangat mendesak ini. Dalam pada itu, bimbinglah anak-anak kalian untuk turut serta menjadi pembela umat manusia, yang akan berusaha menegakkan Deen ini dengan kekuasaan di dunia ini, agar kita bersama-sama dapat melahirkan generasi muda yang dengan izin Allah, akan memikul al-Quran di sebelah tangannya dan ar-Rayah (bendera Islam) di sebelah tangannya yang satu lagi!
Saudari-saudari kami yang dikasihi sekalian! Kalian merupakan pewaris legasi para Muslimah terdahulu yang menyokong dan berjuang demi Islam, seperti Khadijah (ra), isteri Rasulullah (saw), Sumayyah (ra), syahidah pertama Islam dan Ummu Amarah (ra) yang melindungi tubuh Rasulullah (saw) dengan tubuhnya sendiri di medan perang. Maka, turutilah jejak langkah wanita-wanita hebat ini dengan menyahut seruan Allah (swt) untuk menegakkan sistem-Nya di muka bumi ini dan menjadi sebahagian daripada perubahan penting kepada dunia ini. Bersegeralah untuk meraih redha Tuhan kalian, bersegeralah dalam mengembalikan status wanita sebagai mahkota negara yang telah hilang, bersegeralah untuk meraih kemenangan bagi Deen ini, bersegeralah ke arah menegakkan Khilafah Rasyidah untuk kali yang kedua. Allah (swt) berfirman:
﴿وَالَّذِي جَاء بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ * لَهُم مَّا يَشَاءونَ عِندَ رَبِّهِمْ ذَلِكَ جَزَاء الْمُحْسِنِينَ﴾
“Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa. Mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik” [Az-Zumar (39): 33-34].
أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#EstablishTheKhilafah