Nuzul al-Quran: Ayuh kembali berhukum dengan al-Quran
Bulan Ramadhan ialah bulan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Terlalu banyak kelebihan dan ganjaran yang Allah (swt) berikan dalam bulan yang barakah ini. Allah (swt) menggandakan pahala yang melimpah ruah bagi setiap amalan yang dilakukan, ditutup-Nya pintu neraka dan dibuka-Nya pintu syurga serta para syaitan dikurung oleh-Nya sepertimana yang disabdakan oleh junjungan besar Rasul (saw):
«إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَ غُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارُ وَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ»
“Apabila Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu” [HR Muslim].
Allah (swt) juga telah memuliakan dan mengagungkan bulan ini (Ramadhan) berbanding bulan-bulan lain kerana Dia telah menurunkan kitab suci-Nya pada bulan ini:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan Pembeza (antara yang hak dan yang batil)” [Al-Baqarah (2): 185].
Imam Ibnu Katsir menukilkan, “Allah (swt) telah memuliakan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini boleh difahami kerana bulan Ramadhan telah dipilih Allah (swt) untuk menurunkan al-Quran al-‘Adzim”.
Allah (swt) menurunkan al-Quran untuk memberi petunjuk kepada seluruh umat manusia ke jalan yang lurus dan diredhai-Nya sebagaimana firman-Nya:
الۤرٰ ۗ كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ اِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمٰتِ اِلَى النُّوْرِ ەۙ بِاِذْنِ رَبِّهِمْ اِلٰى صِرَاطِ الْعَزِيْزِ الْحَمِيْدِ
“Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [Ibrahim (14): 1].
Dalam bulan yang mulia ini, sudah menjadi kebiasaan bagi sebahagian umat Islam untuk berlumba-lumba membaca al-Quran bagi meraih sebanyak-banyak ganjaran pahala daripada Allah (swt). Sebagai kitab yang diturunkan untuk menjadi petunjuk ke jalan yang lurus sudah pasti, selain daripada dibaca, maka seluruh perintah yang terkandung di dalam al-Quran wajib dilaksanakan baik oleh individu, masyarakat dan terutama oleh negara. Pemerintah wajib menjadikan al-Quran sebagai Dustur (perlembagaan) dalam kehidupan bernegara.
Namun pada hari ini, sedar atau tidak, sebahagian besar umat Islam hanya membaca al-Quran tanpa mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan mereka. Walhal, Allah (swt) telah memerintahkan kita bukan sekadar untuk membaca, tetapi memahami dan seterusnya mengamalkan seluruh isi kandungan al-Quran tanpa memilih-milih ayat yang kita sukai sahaja untuk diamalkan!
Lihat sahaja berapa ramai yang membaca ayat tentang riba, tetapi tetap melakukan transaksi riba. Berapa ramai yang membaca ayat tentang solat tetapi meninggalkan solat. Berapa ramai yang membaca ayat tentang persaudaraan Islam, tetapi tetap mengabaikan saudaranya, malah ada yang menganggap saudaranya sebagai musuh. Berapa ramai yang membaca ayat tentang kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar, tetapi tetap berdiam diri melihat kemungkaran. Ini dari sudut hukum per individu.
Manakala dari sudut hukum yang wajib dilaksanakan oleh negara seperti hudud, qisas, jihad, kewajipan berlaku adil, keharam berlaku zalim dan lain-lain, kesemuanya diabaikan oleh pemerintah. Pemerintah pada hari ini tidak menerapkan hukum Allah, mengabaikan hak-hak umat, menindas dan menzalimi rakyat, dan banyak lagi ayat-ayat perintah dan larangan Allah yang terdapat dalam al-Quran yang dicampakkan begitu sahaja oleh pemerintah. Sedangkan apa yang sepatutnya mereka campakkan ialah sistem dan undang-undang kufur warisan penjajah, yang bertentangan secara nyata dengan wahyu ini.
Sempena memperingati peristiwa nuzul al-Quran di bulan Ramadhan ini, setiap Muslim, khususnya pemerintah perlu memahami bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah (swt) bukan sekadar untuk dibaca atau menjadi sebuah ‘kitab teori’, namun apa yang wajib dilakukan ialah mengamalkan dan menerapkan segala isi kandungannya dalam kehidupan, baik secara individu, bermasyarakat apatah lagi bernegara. Sesungguhnya tidak ada kemuliaan kepada sesiapa pun yang meninggalkan al-Quran, kerana mulianya manusia itu ialah apabila ia beriman dengan al-Quran dan mengamalkannya. Al-Quran merupakan petunjuk kepada manusia ke jalan yang lurus dan diredhai oleh Allah (swt). Siapa yang mengambilnya akan berpetunjuk dan siapa yang meninggalkannya akan celaka.
Wallahu a’lam.