Fikratul Ummah Bil.97 – Zulkaedah 1442H

Dari Pena Editor

Assalamualaikum wbt. Sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah serta teknologi yang semakin canggih, kita acapkali juga tersentak oleh pelbagai permasalahan akidah dan sosial yang kian menghimpit umat Islam. Ideologi sekular yang  digunapakai dalam sistem kenegaraan kita telah merosakkan sebahagian pemikiran umat Islam akibat terpengaruh dengan idea-idea yang lahir dari ideologi sekular itu sendiri. Tidak sedikit kaum liberal yang bersikap lantang dan semakin rancak menyebarkan fahaman mereka di tengah-tengah mesyarakat. Hal ini kemudiannya membawa kepada peningkatan statistik kes murtad yang semakin tinggi, kadar sosial yang semakin menyesakkan dada masyarakat, peningkatan golongan LGBT serta pelbagai lagi permasalahan lain. Namun, dominasi sekularisme akibat penjajahan telah mengaburkan hakikat yang jelas itu.

Oleh yang demikian, Fikratul Ummah pada kali ini dalam segmen politik menyentuh isu yang berkaitan dengan fahaman asing yang lahir dari ideologi sekularisme ini iaitu pluralisme. Dalam segmen Nafsiyah pula, penulis menyeru umat Islam di Malaysia khususnya agar sama-sama berusaha untuk menyelamatkan pemikiran umat Islam dari terus diracuni oleh fahaman barat. Kisah Ummu Hisyam Binti Harisah yang hidup bahagia dalam dakapan Islam dalam segmen srikandi diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada para pembaca agar tetap kuat dengan pegangan Islam walaupun diancam dengan pemikiran-pemikiran asing.


ANCAMAN PLURALISME TERHADAP UMAT ISLAM

Oleh : Farisha Airis

Umat Islam hari ini pada hakikatnya sedang berhadapan dengan ancaman fahaman pluralisme yang mana idea rosak ini semakin menyusup masuk ke dalam tubuh umat tanpa kita sedari. Pluralisme agama merupakan salah satu daripada propaganda Kuffar Barat dalam menghancurkan umat Islam dengan melakukan serangan pemikiran sehingga menyebabkan akidah umat Islam tergelincir terutamanya bagi generasi muda. Ini kerana Kuffar Barat tahu bahawa kekuatan umat Islam terletak pada keteguhan akidahnya yang akan menggugat hegemoni Barat ke atas dunia Islam dan mereka akan memastikan umat Islam tidak bangkit, lalu melemahkan dan menggoncang akidah umat Islam adalah cara terbaik yang mereka fikirkan.

Istilah pluralisme mungkin kurang diketahui oleh segelintir masyarakat kita sehingga mereka beranggapan bahawa tidak ada salahnya dengan idea pluralisme ini. Walhasil idea Pluralisme yang dianggap remeh ini bakal mengundang kerosakan di tengah-tengah umat dan memberi impak yang cukup besar.

Wujudnya Kekeliruan Antara Pluraliti dan Pluralisme

Pluralisme agama merujuk kepada suatu fahaman yang menyamakan semua agama dengan menyatakan bahawa kebenaran ada dalam semua agama dan keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Selain itu, ada kemungkinan mereka keliru dengan istilah pluraliti dan pluralisme. Oleh itu, mari kita telusuri perbezaan di antara ‘pluraliti’ dan ‘pluralisme’.

Pluraliti (keragaman) adalah satu keadaan di mana di tengah masyarakat terdapat pelbagai ras, suku, bangsa, bahasa dan agama. Ini kerana memang Allah SWT berkehendak menciptakan manusia di muka bumi ini bersuku-suku, berbangsa-bangsa dengan warna kulit, serta bahasa yang berbeza-beza untuk kita saling mengenal antara satu sama lain, bukan untuk melebih-lebihkan suatu bangsa atau kaum. Allah SWT telah berfirman,

Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki  dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal[TMQ Al-Hujurat (49):13].

Ini berbeza dengan Pluralisme agama yang merupakan sebuah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Ini bermaksud fahaman ini memandang bahawa apa sahaja agama di dunia ini  akan menuju kepada titik kebenaran yang sama (different ways to the same truth) namun ini tidak bermaksud bahawa ‘dakwaan kebenaran’ (claim of truth) hanya merujuk kepada satu agama sahaja dan itulah agama yang paling benar sehingga keselamatan sebenar (true salvation) dari seksa neraka juga hanya diperoleh apabila memeluk agama tertentu sahaja.

Menurut fahaman ini, semua penganut agama yang berbeza berhak kepada syurga kerana agama yang ada hanyalah jalan yang berbeza menuju titik kebenaran yang sama. Padahal setelah datangnya Islam, agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT hanyalah agama Islam. Ini jelas bahawa Islam tidak pernah mengiktiraf agama lain juga benar sebagaimana kebenaran yang ada pada Islam. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah yang mengakui hanya Islamlah satu-satunya agama yang benar,

“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam”[TMQ Ali Imran (3):19].

Memang benar bahawa kewujudan agama-agama selain Islam diakui oleh Islam dan orang-orang kafir dibiarkan bebas menganut agama mereka, tetapi ini tidak bermaksud bahawa agama yang mereka anuti adalah benar kerana Allah SWT tidak akan pernah menerima agama lain selain Islam sebagaimana firmanNya,

“Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi” [TMQ Ali Imran (3):85].

Idea Pluralisme Suatu Ancaman

Inilah hakikat idea pluralisme agama yang dipropagandakan di seluruh dunia Islam melalui pelbagai bentuk dan cara sebagai strategi Barat untuk menanamkan pemahaman palsu dalam minda umat Islam. Mereka mempengaruhi umat Islam agar meyakini bahawa agama lain juga membawa kebenaran. Ini sesuatu yang amat membimbangkan apabila ada dalam kalangan umat Islam yang telah terpengaruh dengan fahaman ini sehingga ke tahap berusaha mencari titik temu antara agama-agama yang ada kerana kesemua agama dianggap benar dalam rangka untuk bertoleransi di antara satu sama lain.

Dari idea pluralisme inilah, maka lahir pelbagai gagasan lainnya sebagai usaha ke arah mewujudkan toleransi beragama seperti dialog antara agama, doa bersama, perayaan bersama dan sebagainya. Di Malaysia, dukungan dan polisi pemerintah yang mengatasnamakan demokrasi dan hak asasi manusia telah menyemarakkan lagi penyebaran idea pluralisme di tengah-tengah masyarakat. Inilah sekilas fakta yang menjadi faktor munculnya gagasan pluralisme agama ini yang memberikan impak yang besar iaitu merosakkan kefahaman sekaligus melemahkan akidah umat Islam dengan mengakui bahawa semua agama adalah sama dan benar belaka.

Menurut unit kajian dan pembangunan Multiracial Reverted Muslims (MRM), aktiviti penyebaran fahaman pluralisme agama atau penerimaan agama-agama yang pelbagai kini dikesan kembali aktif di negara ini. Hasil penyelidikan mereka mendapati kini terdapat tidak kurang daripada 40 ajaran agama baharu dan kumpulan dari luar negara yang telah bertapak di Malaysia. Presidennya, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung yang merupakan seorang pendakwah bebas berkata, berdasarkan kajian tersebut kumpulan-kumpulan ajaran agama itu telah menubuhkan persatuan dan bergerak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di samping menyebarkan fahaman mereka. Beliau berkata, mereka juga memiliki banyak kerjasama yang erat antara pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang lain dan saling menyokong  antara satu sama lain. Menurutnya, pemerhatian yang dilakukan oleh pihaknya ke atas salah satu pertubuhan bermula sejak tahun 2018 setelah mendapati banyak program rentas agama dianjurkan seperti majlis berbuka puasa bersama penganut agama lain dan juga program interfaith dialogue.Terdahulu, Firdaus menerusi Facebook peribadi serta Facebook page beliau mendedahkan aktiviti pertubuhan itu yang dilihat mempromosikan persamaan bahawa semua agama adalah sama dan ia jelas bercanggah dengan akidah agama Islam (Sinar Harian Online, 10/08/2020).

Selain itu, idea pluralisme juga memicu ke arah pertambahan kes-kes murtad di negara ini. Sekalipun tidak ada statistik yang tepat tentang jumlah sebenar Muslim yang murtad di Malaysia, namun berdasarkan kes yang dilaporkan oleh media massa dan yang telah diputuskan oleh mahkamah, gejala ini amat membimbangkan dan perlu dibendung penularannya. Tambahan pula, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan isu murtad sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja. Sebelum ini, video klip pengakuan murtad seorang lelaki disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian berstatus Pastor telah tular di media social. (Sinar Harian Online, 07/04/2020).

Pluralisme Dilindungi Demokrasi

Fahaman pluralisme semakin rancak disebarkan golongan tertentu dalam mempromosikan idea ini malah golongan ini semakin berani menggencarkan aktivitinya dalam meracuni pemikiran dan merosakkan akidah umat Islam. Penyebaran idea pluralisme di negara kita sangat membimbangkan kerana ia menjadi racun yang menyusup masuk ke dalam komuniti masyarakat dengan cara halus sekiranya tidak ditangani dengan segera. Perkara ini pasti mendatangkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat kerana fahaman pluralisme ini bukanlah perkara baharu tetapi telah sekian lama bertapak di tengah-tengah masyakat tanpa kita sedari. Ini kerana kerajaan hari ini sebagaimana kerajaan terdahulu, terbentuk atas kerangka sistem demokrasi. Maka segala pemikiran dan fahaman yang ada adalah merupakan manifestasi daripada penerapan sistem demokrasi yang berasaskan prinsip sekularisme yang memperjuangkan empat prinsip kebebasan iaitu kebebasan beragama/berakidah, kebebasan bertingkahlaku, kebebasan berpendapat dan kebebasan kepemilikan. Pluralisme pula adalah terbitan daripada prinsip kebebasan beragama/berakidah yang dijamin oleh hak asasi manusia yang akan melindungi fahaman ini.

Oleh yang demikian, fahaman pluralisme ini akan terus bebas menyebarkan racunnya selagi amalan demokrasi terus digenggam dan dipertahankan di negara ini. Walaupun pelbagai usaha telah dicurahkan untuk mengekang penyebaran fahaman pluralisme ini oleh pihak berwajib, namun pastinya akan berhujung dengan kegagalan sekiranya punca permasalahan ini tidak dihapuskan iaitu penerapan sistem demokrasi itu sendiri.

Justeru, kita yang menjadi sebahagian daripada umat Islam di negara ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam membanteras penyebaran fahaman pluralisme. Kita wajib menyedarkan umat Islam betapa segala permasalahan ini jelas bertentangan dengan Islam dan seharusnya ditangani dengan Islam juga. Syariat Allah mempunyai penyelesaian yang tuntas yang dapat membanteras masalah tersebut sehingga ke akar umbi, bukannya hanya bersifat sementara dan tidak membekas seperti yang dilakukan oleh pemerintah di negara ini. Perkara utama yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada penerapan Islam secara kaffah meliputi segenap aspek kehidupan.

Khilafah adalah Penjaga Akidah Umat

Sesungguhnya, akidah adalah perkara asas yang dimiliki oleh setiap individu yang mengaku dirinya seorang Muslim. Akidahlah yang akan menjadi benteng dan menentukan jati diri Muslim sehingga dengan akidah jugalah yang akan menentukan kehidupannya di akhirat kelak sama ada mendapat kebahagiaan di syurga Allah atau sebaliknya.

Di sini, Islam telah menetapkan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab seluruh kaum muslimin yang masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawabnya bermula daripada diri sendiri yang akan sentiasa menjaga imannya, ketua keluarga yang akan memastikan iman anggota keluarga terpelihara dan seterusnya anggota masyarakat yang akan melakukan amar makruf nahi mungkar serta mempunyai kewajipan untuk mendakwahkan Islam di tengah-tengah umat, membangun keimanan dan kesadaran bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar dan diredhai Allah.

Namun begitu, persoalannya adakah cukup hanya dengan diri sendiri, keluarga dan anggota masyarakat sahaja yang memainkan peranan dan tanggungjawab? Pastinya tidak mencukupi. Ini kerana peranan dan tanggungjawab utama seharusnya dipikul oleh pemilik kekuasaan dalam sesebuah negara iaitu Pemerintah. Ini adalah kerana pemerintahlah yang akan menjadi perisai kepada umat dalam segala aspek kehidupan. Dalam isu pluralisme ini, pemerintah yang akan menguatkuasakan undang-undang untuk melarang penyebaran fahaman ini secara total dan menjatuhkan hukuman kepada pelakunya  kerana individu dan kelompok masyarakat tidak memiliki kuasa (authority) tersebut. Pemerintahan yang mampu melaksanakannya adalah Khilafah yang akan menerapkan syariat Islam secara kaffah. Rasulullah SAW bersabda,

Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu (laksana) perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad]

Hakikatnya penjagaan akidah adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak seharusnya dipandang mudah dan remeh. Oleh sebab itulah institusi Khilafah akan menjalankan strateginya melalui mekanismenya seperti; Pertama,perkara paling asas dan penting adalah Khilafah akan menanamkan asas akidah Islam. Ini dilakukan baik melalui kurikulum-kurikulum  pendidikan yang terfokus kepada anak-anak dan generasi muda mahupun pembinaan umum pada masyarakat dengan sentiasa mendakwahkan Islam agar iman Islam sentiasa subur dalam diri mereka dan sentiasa terpelihara.

Kedua, Khilafah juga akan melarang segala bentuk dakwah atau penyebaran ajaran selain Islam. Ini dilakukan baik secara langsung mahupun melalui media massa. Sebaliknya, Khilafah akan menjadikan media massa sebagai sarana untuk dakwah Islam, menguatkan iman, mengajarkan dan memahamkan Islam kaffah kepada umat.

Khatimah

Demikianlah, komitednya Khilafah yang akan sentiasa menjaga, melindungi dan mewaspadai akidah umat Islam sepanjang masa. Tanpa Khilafah, bukan sahaja akidah bahkan permasalahan umat akan sentiasa berlaku silih berganti tanpa penghujungnya sehinggalah penerapan syariat Islam kaffah dalam bingkai Khilafah berjaya ditegakkan atas usaha dan perjuangan kita dalam mengembalikan semula Khilafah.

Oleh itu, sekarang bukanlah masanya untuk kita berdiam diri dan hanya membiarkan fahaman pluralisme ini terus bermaharajalela beredar di sekeliling kita. Apa yang wajib kita lakukan adalah terus-menerus menyeru para pemeluk agama lain untuk memeluk Islam sebagai satu-satunya agama yang benar yang akan menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT. Sesungguhnya tiada istilah persamaan di antara agama Islam dengan agama selain Islam di dunia ini kerana agama yang benar hanyalah Islam. Pada hakikatnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama lain tersebut hanyalah untuk mengalihkan keyakinan umat Islam kepada keyakinan mereka yang jelas sesat dan tidak akan diterima selama-lamanya oleh Allah SWT. Selagi mereka tetap terus berada di dalam agamanya, maka nerakalah tempat kembali mereka buat selama-lamanya sebagaimana firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk”[TMQ al-Baiyyinah (98):6].

Wallahu ‘alam bissowab.

 

Sumber rujukan:

  1. Al-Quran Al Karim;
  2. https://mykhilafah.com/sn205-agama-baru-itu-bernama-pluralisme/
  3. http://muslimahhtm.blogspot.com/2020/12/menolak-pluralisme-agama.html#more
  4. https://mykhilafah.com/sn062-pluralisme-agama-jerat-makan-tuan/
  5. https://www.muslimahnews.com/2020/12/25/mewaspadai-pluralisme-berkedok-kerukunan-beragama
  6. https://www.sinarharian.com.my/article/95923/BERITA/Nasional/Fahaman-pluralisme-bertapak-di-Malaysia
  7. https://www.sinarharian.com.my/article/77708/BERITA/Nasional/Murtad-virus-paling-bahaya

Ayuh Wanita, Bersama Selamatkan Pemikiran Umat Islam

Oleh: Ustazah Husna (Aktivis MHTM)

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita),dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)” [TMQ an-Nisa (4):34].

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa salah satu ciri wanita solehah adalah yang mentaati Allah SWT. Seorang Muslimah yang telah meyakini akidah Islam, ia pasti memiliki kesedaran penuh bahawa keberadaan dan kewujudan dirinya, alam semesta serta kehidupan yang dijalani di dunia ini merupakan ciptaan Allah SWT. Seterusnya, wanita solehah juga semestinya meyakini bahawa hanya Allah SWT yang wajib ditaati dan disembah. Malah, hanya redha Allah sahaja yang menjadi matlamat akhir yang mesti dicapai dalam kehidupan di dunia ini.

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Islam itu dibangun atas lima perkara, syahadat bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan (ibadah) haji dan berpuasa (shaum di bulan) Ramadan” [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Turmidzi dan Nasa’i].

Lima perkara di atas merupakan arkanul Islam (dasar Islam). Statusnya sebagai asas Islam adalah kerana lima perkara tersebut meliputi aspek akidah dan amal soleh yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ini bukan bererti bahawa Islam hanya terbatas pada lima dasar tersebut, iaitu pada masalah-masalah akidah dan ibadah sahaja, melainkan meliputi seluruh aspek kehidupan, seperti mu’amalaat (hubungan antara sesama masyarakat dan antara negara dan rakyat), math’umaat (makanan dan minuman), malbusaat (pakaian dan perhiasan), ‘uqubaat (hukuman terhadap pelanggaran dan kejahatan), bayyinaat (pembuktian perkara dalam pengadilan) dan akhlak. Akidah Islam meliputi akidah ruhiyah (kerohanian) dan akidah siyasiyah (kehidupan) yang mana setiap pemikiran dan perbuatan yang lahir dari diri Muslimah perlu menjadikan akidah Islam, aturan dan hukum-hakamnya sebagai tolok ukur perbuatan sama ada dalam posisi Muslimah itu sebagai seorang anak, isteri atau sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu pengurus rumah tangga).

Di samping itu, kehidupan Muslimah juga wajib berpaksikan dakwah Islam dalam mencapai matlamat meraih redha Allah SWT. Seorang Muslimah yang bertakwa bukan setakat berpuashati dengan berpegang teguh pada syariat secara individu, tetapi wajib juga sentiasa bersikap teguh dalam aktiviti dakwah. Mereka wajib memahami bahawa dakwah adalah perintah dan hukum Allah yang tidak boleh dilalaikan. Mereka perlu bersikap konsisten untuk berpegang erat dengan seluruh pemikiran dan hukum Islam, sentiasa menjaganya dan menyebarkannya melalui aktiviti dakwah.

Oleh yang demikian, seorang muslimah yang berpegang teguh pada syariah adalah merupakan seorang anak, isteri dan ibu yang taat kepada Allah, menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Mereka mendedikasikan dirinya semata-mata untuk Allah dan RasulNya sehingga tidak mudah dipengaruhi dengan fahaman-fahaman yang menyesatkan seperti liberalisme, pluralisme, sekularisme dan sebagainya. Mereka sentiasa menyerukan dirinya, keluarga dan masyarakat untuk sentiasa berada di jalan Allah serta sentiasa istiqamah walau apa pun yang terjadi bagi meraih redha Allah.

Bercermin Pada Sirah

Peranan Muslimah dalam membangkitkan umat tidak perlu diragukan. Sejak zaman Rasulullah SAW, para Muslimah generasi awal terlibat secara aktif dalam membangkitkan umat. Mereka melakukan gerakan dakwah bersama kaum Muslimin lainnya untuk melakukan transformasi sosial iaitu mengubah masyarakat jahiliyah yang paganistik menjadi masyarakat Islam yang Rabbani.

Mereka juga bersama-sama merasakan pahit getirnya mengembangkan misi dakwah. Mereka terlibat dalam perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah-tengah masyarakat. Akhirnya, atas pertolongan Allah SWT, masyarakat Islam yang agung tegak di Madinah, iaitu masyarakat yang tegak di atas landasan akidah dan hukum-hukum Islam.

Sejarah mencatatkan nama-nama besar seperti Sayyidah Khadijah binti Khuwailid RA, Siti Fatimah az-Zahra RA, Asma binti Abu Bakar RA, Sumayyah RA, Ummu Habibah binti Abu Sufyan RA, Lubabah binti al-Harits al-Hilaliyah RA, Fatimah binti al-Khaththab RA, Ummu Jamil binti al-Khaththab RA, Ummu Syarik RA dan ramai lagi. Sejak bersentuhan dengan Islam, hari-hari mereka hanya dipersembahkan demi kemuliaan Islam. Tidak seorang pun antara mereka yang mahu tertinggal dari satu peristiwa penting Islam, apalagi berlepas diri dari tanggungjawab memperjuangkan Deen-ul-Haq. Mereka sanggup berhadapan dengan risiko, hatta harus kehilangan harta, terpisah dari orang-orang yang dicintai, bahkan rela kehilangan nyawa.

Khatimah

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berganding bahu melawan pemikiran-pemikiran rosak yang semakin kuat meracuni pemikiran umat Islam. Kini, sudah 100 tahun lamanya umat Islam kehilangan perisai yang mampu memelihara akidah dan pemikiran umat Islam. Sudah tiba masanya kita menggembleng tenaga dan usaha untuk mengembalikan semula perisai yang hilang itu.

Wallahu a’lam..

 

Rujukan :

  1. Taqiyyuddin An Nabhani , Syakhshiyyatul Islamiyah , Darul Ummah.
  2. Taqiyyuddin An-Nabhani, Attakatul Hizby, 1953.
  3. Pilar-pilar Nafsiyyah Islamiyyah, Hizbut Tahrir.

Kisah Ummu Hisyam binti Harisah: Bahagia Dalam Dakapan Islam

Sebelum membicarakan lebih lanjut kisah perjalanan hidup Ummu Hisyam, mari kita melihat sejenak keluarga yang terdiri daripada orang-orang yang mulia ini.

Ibu Ummu Hisyam ialah Ummu Khalid binti Khalid bin Ya’isy Al-Anshariyah, dari suku Malik. Beliau masuk Islam dan telah berbaiat kepada Nabi SAW.  Beliau antara wanita mulia yang sukar dicari tandingannya. Beliau bernikah dengan Harisah bin Nu’man dari suku Najar, seorang duda dan mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Ummu Kalsum dan Amatullah. Pernikahannya dengan Ummu Khalid dikurniakan lima orang cahaya mata yang diberi nama Abdullah, Abdurrahman, Saudah, Umrah dan Ummu Hisyam.

Ummu Hisyam dan saudara-saudara perempuannya turut berbaiat kepada Nabi SAW. Secara keseluruhannya, anggota keluarga mereka telah memeluk Islam. Ayah Ummu Hisyam ialah Harisah bin Nu’man, seorang tokoh sahabat yang tiada tandingan yang telah memeluk Islam di masa awal. Dengan ikhlas, beliau telah menawarkan tempat tinggalnya untuk didiami oleh Rasulullah SAW. Pada ketika itu, Harisah memiliki beberapa buah rumah yang dekat dengan tempat tinggal Nabi SAW. Setiap kali ahli keluarga Rasulullah SAW bertambah, maka Harisah akan memberikan satu demi  satu rumahnya.

Sejarawan Yakut Al-Hamawi menyatakan tentang kemurahan Harisah sehingga beliau sanggup memberikan rumah-rumahnya kepada Nabi SAW,  “Orang yang pertama kali memberikan tanah dan rumahnya kepada Nabi SAW adalah Harisah bin Nu’man.”

Rasulullah SAW Pernah Mendengar Suara Harisah Di Syurga

Aisyah RA meceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidur dan bermimpi berada di Syurga. Aku mendengar suara seorang lelaki membaca al-Quran. Aku bertanya, “Siapakah orang itu?” Para malaikat menjawab, “Dia ialah Harisah bin Nu’man.” Lalu Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah, “Itulah pahala kebajikan, itulah pahala kebajikan.”

Harisah bin Nu’man RA juga seorang yang paling berbakti kepada ibunya. Aisyah RA berkata, “Ada dua orang sahabat nabi yang merupakan orang yang paling berbakti kepada ibunya, Uthman bin Affan dan Harisah bin Nu’man. Uthman berkata, “Aku tidak dapat mengingat wajah ibuku sejak memeluk Islam.” Sedangkan Harisah selalu menyuapi ibunya ketika makan dan selalu mentaati semua perintah ibunya. Jika beliau tidak memahami perintah ibunya, beliau bertanya kepada orang yang ketika itu ada  bersama mereka, tanpa pengetahuan ibunya.”

Malaikat Jibril Menjawab Salam Yang Diucapkan Oleh Harisah RA

Harisah bin Nu’man menceritakan, “Aku  lalu berdekatan Rasulullah SAW. Ketika itu malaikat Jibril sedang duduk bersama Rasulullah. Aku mengucapkan salam kepada Baginda, kemudian aku berlalu. Ketika aku kembali dan Rasulullah sudah beralih dari tempat duduknya tadi, Baginda berkata, “Apa kamu tahu siapa yang bersamaku tadi?” Aku menjawab, “Ya” Baginda bersabda, “Dia itu Jibril. Dan dia telah menjawab salammu.”

Allah SWT Menjamin Rezeki Harisah Di Syurga

Harisah bin Nu’man berkata, “Sepanjang usiaku, aku melihat Malaikat Jibril dua kali. Pertama, pada peristiwa Shauran ketika Rasulullah SAW pergi menuju Bani Quraizah, Malaikat Jibril menemui kami dengan menggunakan tubuh Dikhyah. Kedua, ketika mengenal pasti  yang terkorban pada perang Hunain. Aku lalu mendekatinya ketika Jibril sedang berbicara dengan Rasulullah SAW. Aku tidak mengucap salam. Jibril kemudian bertanya kepada Rasulullah, “Siapa orang ini?” Rasulullah menjawab, “Harisah bin Nu’man.” Jibril berkata, “Dia termasuk seratus mujahid yang kukuh pendiriannya ketika perang Hunain. Allah menjamin rezeki mereka di Syurga seandainya dia mengucapkan salam, kami akan menjawab salamnya.”

Dalam dakapan keluarga yang penuh berkah inilah, Ummu Hisyam binti Harisah hidup dan membesar menjadi orang yang mulia. Satu demi satu firman Allah SWT dan Hadis Nabi SAW beliau hayati dengan sepenuh jiwa dan raga.

Seterusnya, marilah kita lihat bagaimana keluarga ini memeluk Islam dan bagaimana Allah SWT meninggikan darjat mereka di dunia dan akhirat.

Keimanan Masuk Ke Rumah Harisah bin Nu’man RA

Ketika itu musim haji, Rasulullah SAW bertemu dengan beberapa orang dari suku Khazraj di Madinah. Rasulullah SAW kemudian menawarkan ajaran Islam kepada mereka, walaupun Rasulullah SAW telah mengetahui  bahawa mereka berasal dari kaum Yahudi hingga sudah tidak asing lagi bagi mereka tentang Allah SWT, para Rasul yang diutuskan dan kitab suci di antara mereka. Oleh itu, ketika mereka ditawari Islam dan diminta untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran, maka mereka terus bersedia menerima dan memeluk Islam.  Bahkan, mereka berjanji  akan menawarkan Islam kepada  para penduduk Madinah.

Kemudian mereka pulang ke Madinah dan mengotakan janji mereka dengan menyebarkan Islam kepada suku Aus dan Khazraj sehingga Islam menyebar di seluruh pelusuk Madinah. Pada tahun berikutnya dua belas orang  dari mereka datang ke Mekah dan berbaiat kepada Rasulullah SAW di bukit Aqabah.  Kemudian mereka pulang ke Madinah, dan Rasulullah SAW mengutus seorang sahabat pilihan iaitu Mus’ab bin Umair untuk membacakan al-Quran dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Mus’ab RA melakukan tugasan ini dengan baik. Sikapnya yang bijak sehingga dapat melembutkan hati orang-orang Aus dan Khazraj, sehingga dakwah Islam sampai ke telinga Harisah bin Nu’man, dan beliau pun segera menemui Mus’ab  dan menyatakan keislamannya. Oleh sebab beliau sangat berbakti kepada ibunya, maka beliau sangat gembira ketika ibunya  (Ja’dah binti Ubaid) turut memeluk Islam. Dan setelah itu dituruti dengan seluruh ahli keluarga beliau yang turut sama memeluk Islam. Begitulah kisah keislaman Ummu Hisyam binti Harisah RA berserta ahli keluarga beliau. Dalam dakapan  Islam, mereka menikmati kebahagian yang belum pernah  mereka nikmati sebelumnya.

Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/01/17/kisah-ummu-hisyam-binti-Harisah-bahagia-dalam-dekapan-islam/