Menangani stress menurut Islam (Siri 2/4)

Sebelum menyelesaikan masalah stress secara praktikal, kita harus memahami bahawa stress adalah lumrah dalam kehidupan. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, dan ia bukan sesuatu yang tidak dapat diatasi. Justeru, apabila kita stress, kita kena menerima hakikat bahawa kita berada dalam keadaan stress, dan kita hendaklah terlebih dahulu meluruskan cara berfikir, yakni redha dengan ketentuan Allah (swt), bersangka baik dengan Allah (swt). Kemudian barulah berusaha mencari jalan yang sebaiknya dalam menyelesaikan stress tersebut. Bagaimana untuk meluruskan cara berfikir? Berikut ialah cara-caranya:

1. Stress biasanya terjadi kerana kita ditimpa masalah atau musibah. Maka sikap kita apabila ditimpa musibah adalah kena meyakini bahawa ia adalah qadha’ dari Allah (swt). Kita hendaklah meyakini bahawa hal ini telah pun ditetapkan oleh Allah (swt) di Luh Mahfuz, jauh sebelum kita diciptakan. Firman Allah (swt):

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah” [Al-Hadid (57) : 22]

2. Stress dan apa jua bentuk musibah adalah suatu ujian daripada Allah (swt), untuk menentukan tahap keimanan, kesabaran dan ketakwaan yang dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman. Firman-Nya:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُواْ أَن يَقُولُواْ ءَامَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum diuji?” [Al-Ankabut (29): 1-3]

Apabila kita bersabar dengan ujian yang Allah (swt) berikan ini, maka Allah (swt) akan mengampuni dan memberikan rahmat-Nya kepada kita. Firman-Nya:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, ‘ Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat (kasih sayang) dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” [Al-Baqarah (2): 155]

Sabda Rasulullah (saw):

قالَ رَسُولُ اللهِ: عَجَبًا لأَمْرِ المؤمنِ إِنَّ أمْرَه كُلَّهُ لهُ خَيرٌ ليسَ ذلكَ لأَحَدٍ إلا للمُؤْمنِ إِنْ أصَابتهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فكانتْ خَيرًا لهُ وإنْ أصَابتهُ ضَرَّاءُ صَبرَ فكانتْ خَيرًا لهُ

“Sungguh ajaib urusan orang Mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin.  Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka itu adalah kebaikan baginya. Dan sekiranya dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka itu (juga) adalah kebaikan baginya” [HR Muslim].

3. Segala musibah atau ujian yang ditimpakan oleh Allah (swt) itu adalah bertujuan untuk kebaikan manusia itu sendiri, dan menjadi penghapus dosa baginya. Firman-Nya:

وَمَآ أَصَـبَكُمْ مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُواْ عَن كَثِيرٍ

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” [As-Syura (42): 30].

Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ

“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya” [HR Bukhari].

Dalam hadis yang lain disebutkan:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حَزَنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidaklah seorang Muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukacitaan, bahkan satu duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya lantaran apa yang menimpanya itu” [HR Bukhari]

4. Semakin besar ujian, itu tandanya semakin Allah (swt) menyayangi kita:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عُظْمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung pada besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah, namun barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah” [HR Tirmidzi]

Inilah antara cara berfikir yang benar yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim setiap kali menghadapi masalah. Ingatlah pada Allah (swt) dan pada Rasul-Nya (saw) dan lihatlah apa “pesanan” dari Allah dan Rasul-Nya, dan lihatlah apa yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada orang-orang yang ditimpa musibah.

Apabila  kita mengamati ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis berkenaan dengan musibah, insya Allah hati kita akan menjadi lebih tenang dengan izin-Nya. Mana mungkin hati kita tidak tenang apabila mengetahui bahawa Allah (swt) menghendaki kebaikan atas kita dengan setiap musibah yang melanda. Mana mungkin hati kita tidak tenang apabila mengetahui bahawa Allah (swt) akan mengampuni dosa-dosa kita dengan setiap ujian yang diberi-Nya walau sekecil mana sekali pun ujian tersebut. Mana mungkin hati kita tidak tenang apabila mengetahui bahawa semakin besar ujian ke atas kita, semakin tinggi cinta Allah (swt) terhadap kita? Subhanallah..

Bersambung…