Parti Islam yang berkuasa gagal terap Islam, hanya kekalkan sistem penjajah
Hashtag #kerajaangagal yang menjadi viral akhir-akhir ini secara tidak langsung memaparkan kesedaran masyarakat terhadap kegagalan kerajaan dalam mengurus rakyat khususnya di era pandemik ketika ini. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa kegagalan utama pemerintah ialah tidak menerapkan syariah Islam dalam pemerintahan mahupun segenap aspek kehidupan lain.
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Muhammad Amin menegaskan bahawa Hizbut Tahrir hadir di tengah-tengah umat dengan kempen “Kerajaan Gagal Terap Islam” bertujuan agar umat menyedari hakikat bahawa kegagalan terbesar kerajaan ketika ini dan juga kerajaan sebelumnya adalah kerana tidak menerapkan Islam.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam forum “Kegagalan Pemerintah dan Sistem: Realiti dan Solusi” anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang berlangsung pada Ahad (8/8/2021).
Ujarnya lagi, sistem demokrasi yang dipaksakan oleh penjajah untuk diterapkan ke atas umat Islam pada hari ini merupakan satu bencana dan malapetaka yang perlu dibuang dan seterusnya diganti dengan sistem Islam iaitu Khilafah.
Realiti yang berlaku di seluruh dunia turut membuktikan bahawa parti-parti Islam yang berusaha untuk menerapkan Islam dengan jalan demokrasi telah mengalami kegagalan demi kegagalan. Apabila mereka berjaya naik ke tampuk pemerintahan, mereka hanya mengekalkan sistem kufur demokrasi yang datangnya dari penjajah, dan ternyata mereka tidak menerapkan Islam sebagaimana yang mereka perjuangkan sebelumnya. Justeru, tidak ada bezanya parti Islam mahupun parti sekular yang memerintah, kerana mereka semuanya hanya mengekalkan sistem dan undang-undang penjajah, tegas beliau.
Seterusnya beliau mengingatkan kepada umat Islam yang tidak sepatutnya melakukan kesalahan yang sama berulang kali, dengan membacakan hadis Nabi (saw):
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
“Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Musim].
Forum tersebut merupakan penutup kempen #KerajaanGagalTerapIslam anjuran HTM. Di samping Ustaz Muhammad Amin, forum ini turut membariskan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dan Ustaz Ismail Yusanto sebagai panelis undangan dari Indonesia, manakala seorang lagi pimpinan pusat HTM, Ustaz Umar Hussein berperanan sebagai moderator.