Keunggulan siyasah Rasulullah dalam mengemudi Daulah (Siri 1/2)

Nabi Muhammad (saw) sebagai Rasulullah telah berjaya dengan cemerlang menyempurnakan dakwah baginda ketika menjadi pemerintah Daulah Islam di Madinah. Ini telah menjadikan baginda (saw) sebagai seorang negarawan ulung yang tidak akan pernah ada tolok bandingnya dalam sejarah dunia. Keterampilan kepimpinan baginda (saw) sememangnya telah terserlah sejak awal lagi dan semakin terserlah setelah baginda (saw) menerima wahyu di Gua Hirak. Setelah tegaknya Daulah Islam, kehebatan baginda sudah tidak ternafi lagi.

Legasi kepimpinan cemerlang dari insan yang agung ini telah melahirkan generasi pelapis terbaik yang mewarisi dan memerintah Daulah Khilafah Rasyidah, disusuli dengan Khilafah Umayyah, Abbasiah dan Uthmaniyyah. Di saat kemunduran Khilafah Uthmaniyyah sekali pun, kepimpinan Khilafah masih lagi diperhitungkan di seluruh dunia. Namun, sejarah panjang kehebatan umat Islam ini telah pun berakhir dengan keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tanggal 3 Mac 1924. Kepimpinan sesudah jatuhnya Khilafah bukan lagi tidak layak bergelar negarawan, sebaliknya penuh dengan pengkhianatan dan kezaliman, yang lebih buruk lagi daripada kepimpinan orang-orang kafir.

Sesungguhnya Rasulullah (saw) diutus sebagai rahmat buat sekalian alam, sebagaimana firman Allah (swt),

وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا رَحْمَةً لِّلْعٰلَمِيْنَ

“Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” [Al-Anbiya’ (21): 107].

“Misi” rahmat ke seluruh alam tersebut tercapai setelah tegaknya Daulah Islam. Bermula dengan hijrah ke Madinah, di mana Rasulullah (saw) telah membangunkan masjid bersama-sama para sahabat sebagai tempat solat, berkumpul, bermusyawarah serta mengatur dan memutuskan perkara-perkara di antara kaum Muslimin, atau dengan kata lain, di situlah (masjid) tempat baginda mengatur urusan pemerintahan.  Baginda (saw) juga telah melantik dua insan terbaik daripada kalangan sahabat iaitu Abu Bakar (ra) dan Umar (ra) sebagai pembantu baginda (saw). Baginda (saw) bersabda,

“Dua (orang) pembantuku di bumi adalah Abu Bakar dan Umar” [HR al-Hakim dan at-Tirmidzi].

Sebagai ketua negara, baginda (saw) juga telah menjadi rujukan dalam penyelesaian sebarang masalah melibatkan kaum Muslimin sesama mereka dan kaum Muslimin dengan kaum kafir yang menjadi warganegara. Kaum Muslimin sentiasa berkumpul di sekeliling baginda (saw) dan merujuk semua persoalan kepada baginda. Rasulullah (saw) bukan sahaja berkedudukan sebagai ketua negara tetapi juga sebagai qadhi serta seorang panglima perang. Baginda (saw) memimpin kaum Muslim dalam seluruh urusan, daripada hal ibadat hinggalah jihad.

Di bawah kepimpinan dan bimbingan Rasulullah (saw), para sahabat (ra) “menyatu” dengan Daulah Islam sebagai sebuah institusi politik baru bagi kaum Muslimin, yang sekali gus menjadi  pusat pembangunan masyarakat yang berdiri di atas landasan yang kukuh dan pusat persediaan kekuatan untuk melindungi negara dan menyebarkan dakwah. Rasulullah (saw) telah berjaya menstabilkan dan mengawal situasi dalam negara dan kemudiannya baginda (saw) mula menghapuskan segala rintangan-rintangan fizikal yang menghalang penyebaran dakwah Islam ke luar Madinah. Dalam mencapai misi dakwah ini, baginda (saw) melantik beberapa komandan ekspedisi dan mengirimkan mereka ke luar.

Perkara utama untuk membina kestabilan dalaman adalah dengan membina masyarakat Madinah dengan mabda’ (ideologi) Islam. Baginda membina masyarakat Madinah bukan dengan paksaan atau retorik kosong atau slogan yang kabur, tetapi melalui pemikiran Islam yang teguh, perasaan yang Islami dan penerapan hukum Allah (swt) secara kaffah (menyeluruh).

Tugas pertama sebagai ketua negara, yang membuktikan Rasulullah sebagai negawaran ulung ialah dengan mengikat penduduk majmuk Madinah yang terdiri daripada tiga golongan iaitu Muhajirin dan Ansar, Yahudi dan musyrikin, dengan satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Tindakan ini tidak pernah dilakukan oleh pemimpin sebelumnya. Masyarakat Madinah (termasuk kaum kafir) berjaya disatukan dengan keterikatan mereka kepada perjanjian tersebut, walau pada awalnya terdapat kaum Yahudi yang menolak.

Piagam Madinah adalah satu bentuk peraturan, ketetapan atau perjanjian yang mengikat penduduk Madinah dalam interaksi sesama mereka dan juga dalam menghadapi ancaman dari luar. Perlanggaran terhadap piagam ini boleh menyebabkan mereka dihukum atau diusir keluar dari Madinah. Piagam Madinah merupakan satu ketetapan politik yang sungguh hebat, yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin sebelumnya, dan sangat berpengaruh dalam melahirkan kestabilan negara dan masyarakat, serta berjaya menghasilkan masyarakat Madinah yang hidup sesuai dengan hukum dan peraturan Islam.

Rasulullah (saw) juga telah menyediakan kaum Muslimin sebagai ahli perang, yang dibekalkan dengan segala sifat keberanian dan latihan peperangan. Rasulullah (saw) menghantar dan melatih mereka melakukan rondaan dan pemantauan terhadap gerak-geri kafir Quraisy di luar Madinah. Rasulullah (saw) telah menjalankan tugas sebagai ketua negara baik untuk urusan dalaman mahupun luar negara, termasuk urusan perang/jihad.

Walaupun kedudukan kaum Muslimin terpukul dalam perang Uhud, namun sikap tegas dan kehebatan Rasulullah (saw) dalam menghadapi isu dalaman setelah perang Uhud, ternyata memiliki pengaruh yang sangat besar dalam menjaga kewibawaan kaum Muslimin, memperkukuhkan Daulah Islam dan memperluaskan pengaruhnya, sehingga tetap berjaya menggentarkan musuh. Dalam usaha musuh yang tidak henti-henti untuk menghancurkan Islam, ternyata Rasulullah (saw) tetap dapat mematahkannya. Rasulullah (saw) juga berjaya mengambil langkah berani menghancurkan pakatan sisa Yahudi Bani Nadir dengan Quraisy dengan membentuk pasukan seramai 3000 orang.

Rasulullah (saw) juga tidak pernah mengabaikan kebijaksanaan para sahabat dalam bermesyuarat, termasuk dalam peperangan. Contohnya dalam strategi pemilihan tempat perang sama ada di dalam atau di luar Madinah. Cadangan luar biasa dari Salman al-Farisi untuk menggali parit bagi menghalang kemaraan tentera Quraisy dan sekutunya telah berjaya menjadikan musuh terpinga-pinga dan ketandusan idea, dan seterusnya memberi kemenangan buat umat Islam.

Melihat perkembangan setelah perang Ahzab, Yahudi Khaibar menganggap bahawa kekuatan Daulah Islam Madinah telah berkurangan yang membawa mereka melakukan pakatan ketenteraan dengan Quraisy untuk menyerang Madinah. Rasulullah (saw) yang telah dapat menghidu rancangan jahat Yahudi ini, telah mengambil langkah memutuskan hubungan pakatan musuh tersebut, dengan terlebih dahulu melakukan perjanjian Hudaibiyah dengan kaum Quraisy. Perjanjian yang dimeterai dengan Quraisy ini telah berjaya mengucil kaum terlaknat tersebut dan seterusnya membawa kepada kemenangan Islam dalam menentang Yahudi Khaibar.

Strategi ini telah menghasilkan kejayaan besar dan membawa Islam memasuki fasa dakwah yang lebih luas. Dakwah Rasulullah (saw) telah keluar dari sempadan Madinah untuk disebarkan ke seluruh Jazirah Arab dan seterusnya masuk ke wilayah Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar ketika itu. Tindakan ini menjadi titik mula mengalirnya Islam keluar ke Jazirah Arab dan seterusnya membawa agama Allah (swt) memasuki wilayah-wilayah baru.

…bersambung