SN 577 – Kenapa Kezaliman Masih Menang
SN577
26 November 2021 M / 21 Rabiul Akhir 1443 H
Pilihan raya negeri (PRN) Melaka telah pun berakhir dengan Barisan Nasional menang selesa untuk kembali memerintah bumi bersejarah itu. Parti gabungan UMNO, MCA dan MIC itu memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, dengan UMNO membolot 18 kerusi, MCA dua kerusi dan MIC satu kerusi. Pakatan Harapan (PH) terpaksa berputih mata dengan lima kerusi yang mana empat daripadanya milik DAP dan satu milik Amanah. Perikatan Nasional (PN) pula hanya mampu tersenyum dengan dua kerusi di mana kedua-duanya dari Bersatu, manakala PAS dan Gerakan gagal memenangi mana-mana kerusi. Kesemua parti boleh dikatakan telah melakukan analisis awal dan memberi pelbagai justifikasi serta tafsiran akan kemenangan dan kekalahan masing-masing. Apa pun tafsirannya, suatu perkara yang perlu diperhitungkan oleh semua pihak ialah peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN kali ini iaitu sebanyak 65.85% sahaja, berbanding 84.7% pada PRU14.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah rakyat sudah meluat dengan para politikus dan sudah muak dengan permainan politik pada hari ini. Mesej-mesej daripada pengundi khususnya di alam maya yang tidak terhitung jumlahnya, yang tidak mahu keluar mengundi, menjadi bukti akan hal ini. Kekecewaan mereka telah diterjemahkan dengan tindakan tidak keluar mengundi, satu tindakan yang sangat wajar, dan berhak mendapat pujian. Ini merupakan petanda baik bahawa penduduk Melaka telah semakin sedar akan hakikat pilihan raya yang tidak akan merubah apa-apa, malah sebaliknya boleh menjadi lebih buruk melihat kepada perbalahan dan ketamakan kuasa ahli-ahli politik yang tidak pernah surut. Apa yang diharapkan ialah umat Islam akan semakin sedar bahawa setiap undi itu tidak akan habis di dunia sahaja, tetapi membawa kepada konsekuensi pahala dan dosa dan akan ditanya oleh Allah (swt) di akhirat kelak.
Kenapa Kezaliman Masih Bertahan?
Walaupun sudah boleh diramalkan parti manakah yang akan menang, dan ramalan itu terbukti tepat, namun tetap timbul tanda tanya kenapakah sebuah parti yang telah terbukti korup, gila kuasa, memiliki pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan kroni, tamak haloba, sombong dan bongkak, tidak berakhlak, penuh dengan pelbagai skandal, dan telah pun ditolak secara besar-besaran oleh rakyat pada PRU14 yang lepas, namun ternyata boleh menang bergaya dalam PRN kali ini?
Ini belum masuk lagi fakta yang berapa ramai daripada kalangan mereka yang sedang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah dan penyelewengan yang jumlahnya berbilion ringgit, dan belum masuk lagi fakta bahawa mereka tidak pernah menerapkan, malah tidak mahu pun menerapkan Islam dalam pemerintahan mereka. Sekali fikir keadaan ini memang agak pelik, namun apabila diperhalusi sudah pasti terdapat sebab kenapa semua ini terjadi. Sudah pasti terdapat sebab kenapa kezaliman dan orang-orang yang zalim masih diberi kemenangan oleh Allah (swt).
Sejak merdeka hingga kini, apatah lagi generasi yang lahir pasca merdeka, umat Islam hanya dipaksa dan disuap dengan sistem demokrasi sebagai sistem yang mengatur kehidupan mereka. Siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan demokrasi akan dianggap melawan negara, dianggap melanggar undang-undang, dilabel sebagai radikal, ekstremis dan sampai ke tahap teroris, di samping bermacam-macam anggapan negatif lainnya. Apatah lagi dengan adanya parti Islam dan ulama yang turut bergelumang dengan demokrasi, semua ini telah membentuk cara berfikir rakyat bahawa demokrasi adalah satu-satunya sistem yang benar dan baik. Cara berfikir seperti ini sudah berkarat dalam tubuh umat sehingga tidak mudah untuk dibersihkan.
Padahal sistem demokrasi inilah yang telah merosakkan umat dan negara. Dalam demokrasi, sekorup dan sejahat mana sekali pun seseorang itu, ia tetap boleh bertanding dalam pilihan raya. Selagi tidak melanggar undang-undang, demokrasi tidak menghalang siapa pun untuk bertanding termasuklah orang kafir, orang yang anti-Islam, orang perempuan, orang yang jelas fasiq seperti kaki rasuah, malah orang ateis pun boleh bertanding, padahal orang-orang seperti ini diharamkan oleh Islam untuk menjadi pemimpin (dalam aspek pemerintahan). Dalam masa yang sama, orang yang “baik-baik” tetapi tidak berduit, tidak dapat bertanding. Inilah yang menjadikan demokrasi didominasi oleh kaum pemilik modal (kapitalis) dan mereka yang korup.
Umat Islam sudah lama terbius bahawa demokrasi merupakan sistem yang terbaik, walaupun bius ini sekarang sudah semakin menghilang sedikit demi sedikit dengan izin Allah. Diakui atau tidak, sistem inilah yang membolehkan para pemimpin yang zalim terus berkuasa.
Demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang meletakkan kedaulatan di tangan rakyat atau dengan kata lain rakyat boleh membuat hukum sendiri melalui suara majoriti. Ia bukan sistem Islam, malah sangat bertentangan dengan Islam, dan inilah dengan sendirinya menjadikan demokrasi itu sebagai sebuah sistem yang zalim. Dengan kata lain, selagi wujudnya sistem demokrasi, selagi itulah kezaliman akan terus menang.
Allah Beri Tangguh Kepada Penguasa Yang Zalim
Dalam sejarah dunia, memang terdapat ramai penguasa yang zalim, dan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka dengan sangat lama. Sebahagian mereka disebut namanya, dan sebahagian yang lain hanya disebut kisahnya di dalam Al-Quran. Kita semua tahu mengenai kezaliman Firaun dan Namrud, begitu juga dengan kezaliman penguasa dalam kisah Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud. Kita juga sangat mengetahui akan kezaliman penguasa Quraisy. Walaupun zalim dan menentang Allah, mereka semua diberi kuasa oleh Allah dengan tempoh yang cukup lama.
Penguasa Mesir, Husni Mubarak yang digelar sebagai Firaun Moden, juga diberi kuasa oleh Allah dengan sangat lama. Begitu juga dengan diktator-diktator lain dalam dunia Islam seperti Muammar Gaddafi, Saddam Hussein, Hafiz al-Asad dan anaknya Basyar al-Asad, Ali Abdullah Salleh, Ben Ali, Pervez Musharaf, Sukarno, Sheikh Hasina, Islam Karimov dan ramai lagi. Mereka semuanya berkuasa dengan sangat lama. Ada antara mereka yang telah menghadap Tuhannya, dan ada yang masih tegar “melawan” Tuhannya hingga sekarang. Ini belum lagi mengambil kira pemimpin korup lainnya yang kelihatan baik di mata dunia.
Bagaimanakah pemimpin yang zalim ini mampu bertahan lama walaupun sangat dibenci oleh rakyat? Kerana mereka mengerahkan segala kekuasaan, kekuatan dan jentera mereka seperti tentera atau polis, yang taat secara membabi buta kepada mereka, untuk menghapuskan siapa sahaja yang melawan mereka. Mereka menggunakan undang-undang zalim yang mereka gubal, dalam rangka menyekat rakyat dan menutup mulut pengkritik-pengkritik mereka.
Dengan segala kekuatan ini, ramai dalam kalangan rakyat terpaksa pasrah dan hanya segelintir sahaja yang berani mempertaruhkan nyawa untuk memuhasabah mereka, yang selalunya berakhir di tirai besi atau di tali gantung. Oleh kerana itu, pemimpin zalim dan korup ini terus bertahan.
Ada penguasa yang jelas korup namun tetap dinilai baik dan dipilih oleh rakyat. Mereka menanamkan pemikiran yang rosak lagi merosakkan kepada rakyat seperti ketuanan bangsa, nasionalisme dan patriotisme dan bermacam-macam slogan, yang menjadikan rakyat menyokong mereka, kerana menganggap merekalah hero bangsa dan tanahair. Untuk menjadikan lakonan mereka sebagai “real”, mereka senantiasa memainkan isu-isu tersebut, mencipta retorik, dan menolong bangsa mereka dengan sedikit pertolongan, melebihkan bangsa mereka daripada yang lain, agar dilihat sebagai penyelamat bagi memastikan sokongan terhadap mereka sentiasa wujud.
Pertolongan dari segi kebendaan atau material kepada rakyat biasanya akan berjaya memperdaya rakyat untuk terus menyokong mereka, apatah lagi apabila rakyat dapat merasai sedikit kesenangan dengan bantuan tersebut.
Selain itu, terdapat pemimpin yang berjaya menonjolkan imej Islam sehingga mereka disukai oleh rakyat padahal mereka hakikatnya adalah para penunggang agama. Mereka melaungkan slogan Islam dalam pelbagai bentuk dan cara, tetapi hakikatnya ia hanyalah tin kosong untuk menarik para pendengarnya. Kebolehan mereka dalam ilmu agama berjaya memukau rakyat sehingga rakyat bertaut kepada mereka. Mereka mungkin tidak sekorup golongan yang pertama di atas, tetapi apabila mereka berada di tampuk kekuasaan, mereka bukan sahaja semakin selesa dengan habuan duniawi, tetapi lebih buruk, mereka tidak pun memerintah dengan hukum Allah sebagaimana yang mereka laungkan.
Di sesetengah negara, mereka mendukung dan berkongsi kuasa dengan parti yang korup dan bersekongkol dalam pemerintahan yang zalim. Ini sekali gus menjadi faktor kenapa pemerintahan yang zalim dan korup dapat terus bertahan.
Sesungguhnya apabila kita melihat kepada Al-Quran, Allah (swt) telah pun menjelaskan mengenai keizinan-Nya memberikan kekuasaan yang lama kepada penguasa yang zalim ini. Firman-Nya,
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak” [TMQ Ibrahim (14): 42].
Inilah perkara yang tidak disedari oleh pemimpin yang zalim dan korup ini. Mereka berusaha untuk mengekalkan takhta mereka, dan kalau boleh mereka ingin berkuasa sampai mati. Mereka menyangka bahawa semakin lama mereka berada di kerusi pemerintahan, mereka semakin bahagia kerana semakin banyak nikmat duniawi yang mereka perolehi. Sedangkan Allah (swt) berkehendak sebaliknya. Allah (swt) sebenarnya memberi tangguh kepada mereka untuk Dia mengazab mereka dengan yang azab yang pedih. Sesungguhnya penangguhan akan kezaliman mereka di dunia hanyalah untuk Allah menambahberatkan lagi seksaan terhadap mereka di akhirat. Na’uzubillah min zalik.
Ala kulli hal, umat Islam perlu sedar bahawa kewujudan penguasa yang zalim dan panjangnya umur kezaliman ini tidak boleh dipisahkan daripada kelalaian umat Islam itu sendiri. Rasulullah (saw) telah pun memberikan peringatan bahawa umatnya akan terkena penyakit “wahn” yakni cintakan dunia dan takutkan mati. Atas dasar ini, ramai yang hanya berdiam diri kerana khuatir dengan keselesaan dan kesenangan duniawi yang mungkin terjejas jika “melawan” penguasa yang zalim. Maka wujudlah banyak kezaliman, yang bukan kerana ramainya orang yang zalim, tetapi kerana ramainya orang yang baik yang berdiam diri terhadap kezaliman.
Sikap takutkan mati menyebabkan umat ini terus membiarkan kezaliman kerana tidak berani untuk memuhasabah pemerintah, apatah lagi untuk berjuang menegakkan Islam, kerana takutkan ancaman daripada penguasa yang zalim. Faktor ini sebenarnya merupakan faktor yang paling penting kerana jika umat ini sendiri yang tidak mahu berubah dan merubah, maka sudah pasti perubahan tidak akan berlaku, atau dengan kata lain kezaliman akan terus wujud. Firman-Nya,
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13): 11].
Khatimah
Sesungguhnya Allah (swt) memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menggilirkan kezaliman dengan keadilan mengikut kehendak-Nya. Dia memberikan kemenangan yang panjang kepada kezaliman, juga atas kehendak-Nya. Namun demikian, Dia meletakkan taklif (bebanan hukum) kepada setiap Muslim untuk merubah kezaliman tersebut, dan menggantikannya dengan keadilan. Terhapusnya penyakit wahn daripada umat Islam, terhapusnya negara bangsa dan apa jua sistem sekular ciptaan manusia ini, lalu diganti dengan tegaknya Negara Islam (Khilafah) dan sistem Islam di bawah pimpinan seorang Khalifah yang bertakwa, yang akan menerapkan Kitab-Nya dan Sunnah Nabi-Nya secara kaffah, dengan jalan ini sahajalah pemerintahan dan pemerintah yang zalim akan menemui titik noktahnya insya Allah.
Wallahu a’lam.