Di sebalik imej “Negara Islam” dan Kerajaan Melayu-Islam
Walaupun memalukan, tetapi tidaklah mengejutkan apabila sebuah pesta Halloween “berjaya” diadakan di Rex KL malam tadi yang akhirnya terhenti kerana serbuan pihak berkuasa.
Pesta Halloween yang menampilkan ratu ‘drag’ sebagai penghibur itu telah diserbu oleh sepasukan pihak polis, penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Difahamkan bahawa terdapat poster yang dikeluarkan sebelumnya, yang membayangkan bahawa pesta tersebut akan memberi tumpuan kepada menghidupkan semula era “Club Kid” New York, yang terkenal dengan fesyennya – kebanyakannya oleh lelaki yang berpakaian sebagai wanita dan muzik.
Walaupun serbuan tersebut wajar dipuji, tetapi seharusnya pesta maksiat itu tidak berlaku dari awal. Jika sudah terdapat poster yang dikeluarkan dan diketahui oleh pihak berwajib, mereka seharusnya menyekat acara tersebut lebih awal dengan menyiasat dan mencari pihak penganjur agar membatalkannya, bukannya dengan membiarkan pesta tersebut berjalan.
Berapa banyak daripada ceramah agama, atau ceramah biasa yang “berjaya” disekat lebih awal oleh pihak berwajib dengan pelbagai alasan, termasuk tidak mempunyai tauliah / permit, mengganggu lalu lintas, membuat bising di tempat awam dan sebagainya. Lalu kenapa program yang sudah jelas mungkar dan melanggar tata susila tersebut boleh berjalan?
Lebih menyedihkan apabila terdapat sejumlah orang Islam dalam pesta yang melibatkan kumpulan ELGIBITI tersebut.
Inilah hakikat negara ini, yang mengaku sebagai sebuah “Negara Islam” dan sering berbangga dengan pemerintahan kerajaan Melayu-Islam, namun pesta maksiat sering berlangsung tanpa usaha untuk membendungnya dari awal.
Kumpulan ELGIBITI nampaknya tidak pernah takut untuk bersuara atau melakukan segala aktiviti maksiat atau songsang mereka di tengah-tengah masyarakat. Kenapa? Hal ini sudah pasti kerana tindakan penguatkuasaan yang lemah, di samping tindakan (jika diambil) tidak pernah menakutkan mereka atau membuat mereka serik. Jika seorang pondan sahaja sering terlepas di Malaysia kerana kelemahan penguatkuasaan, apatah lagi sekumpulan ELGIBITI!
Hal ini juga tidak boleh lepas daripada natijah penerapan sistem demokrasi yang memberikan hak dan kebebasan sepenuhnya kepada setiap orang sama ada ingin menjadi ELGIBITI, ingin menari dan berjoget di khalayak ramai, ingin ber-halloween, berpacaran dan sebagainya, semuanya dibenarkan. Malah ingin berjudi, terlibat dengan riba, membina kilang arak dan sebagainya, semuanya dibenarkan asalkan berlesen.
Baik secara individu atau sistem, sesungguhnya Rasulullah telah mengingatkan kita tentang kedudukan umat Islam di akhir zaman yang akan mengikuti Yahudi dan Nasara dalam setiap tindakan mereka, hingga jika Yahudi dan Nasara itu masuk ke lubang biawak sekali pun, tetap ada yang mengikutinya. Daripada Abu Sa’id al-Khudri (ra) yang berkata, bahawa Rasulullah (saw) bersabda,
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ: فَمَنْ؟
“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang engkau maksudkan?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Siapa lagi kalau bukan mereka?’” [HR Muslim].
Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan tersebut, malah menjadi umat Islam yang akan mengingatkan saudaranya agar menjauhi segala jejak langkah Yahudi dan Nasara.
Wallahu a’lam.
[sumber berita: https://www.malaysiakini.com/news/641634]