Hubungan Khilafah dengan Alam Melayu
Sejarah kebangkitan melawan penjajah sering menarik minat masyarakat. Ketika filem Mat Kilau ditayangkan di pawagam baru-baru ini, begitu heboh orang memperkatakannya. Apakah pelajaran yang boleh kita perolehi daripada sejarah ini? Ini penting dikaji kerana ramai orang teruja membincangkan perjuangan para pahlawan Melayu di zaman silam tetapi mereka bersikap pasif terhadap musuh-musuh Islam yang begitu agresif menzalimi umat Islam sehingga hari ini. Ramai yang tidak peka dengan realiti ini, seolah-olah apa yang berlaku dalam sejarah tidak membekas dalam diri mereka, malah kadang-kadang mereka berbangga dengan hero tertentu dalam konteks yang begitu sempit. Contohnya, dalam meninggikan individu tertentu, mereka tidak melihatnya dalam konteks yang lebih luas bahawa perjuangan para pahlawan tersebut terkait rapat dengan nuansa Islami di mana ia tidak dapat dipisahkan dari pengaruh dan naungan entiti penyatu umat Islam, negara Khilafah.
Hakikatnya, sejarah Melaka yang sering dibanggakan tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh Khilafah Uthmaniyyah yang berpengkalan di Turki. Entiti penyatu umat ini memimpin gerakan global melindungi umat Islam daripada ancaman musuh seperti Portugis dan Belanda. Tentera Melaka bukan hanya terdiri daripada orang-orang Melayu sahaja, malah terdiri dari berbagai bangsa seperti Arab, Farsi, India, Turki, Jawa dan lain-lain. Bangsa-bangsa lain ini sanggup mempertahankan Melaka kerana mereka tidak mengamalkan nasionalisme dan pada ketika itu berjuang sebagai saudara seagama dan kesatuan politik di bawah payung kekhilafahan benar-benar terealisasi. Aqidah Islam mendorong mereka untuk bermati-matian mempertahankan Melaka. Jika bangsa-bangsa tersebut menganut nasionalisme sudah tentu mereka tidak akan memperdulikan Melaka kerana majoriti penduduk Melaka adalah orang-orang Melayu yang bukan dari bangsa mereka. Tome Pires seorang sejarawan non-Muslim mengatakan bahawa di Melaka terdapat seorang panglima tentera dari Gujerat, India, yang begitu gigih mempertahankan Melaka dari asakan Portugis. Ini merupakan salah satu bukti nyata bahawa ketika itu umat Islam benar-benar bersatu dan tidak menjadikan bangsa sebagai satu isu.
Setelah Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511, terdapat beberapa cubaan oleh Khilafah Uthmaniyyah melalui kerajaan Acheh untuk menawan Melaka tetapi usaha itu menemui kegagalan. Walaupun Portugis memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat namun ia tidak sedikit pun menakutkan orang Islam dari wilayah lain untuk berusaha merampas kembali Melaka dari tangan musuh Islam walaupun nyawa menjadi taruhan. Sejarah mencatatkan 19,000 tentera Acheh mati syahid dalam serangan menentang Portugis di Melaka. Kaum Muslimin dari Acheh sanggup berkorban kerana mereka meyakini bahawa umat Islam itu merupakan satu tubuh yang mana apabila ada bahagian dari tubuh tersebut yang sakit, bahagian lain juga merasai kesakitannya. Jika tentera Acheh mementingkan nasionalisme sudah tentu mereka tidak akan berjuang untuk menyelamatkan Melaka kerana Melaka bukanlah tanah air mereka.
Para sultan dari nusantara sering meminta bantuan dari Khilafah kerana hakikatnya mereka mengiktiraf bahawa Khalifah di Turki adalah pemimpin utama mereka. Pada tahun 1825, ketika berlaku pencerobohan Siam ke atas Kedah, Sultan Kedah telah mengutus surat kepada Khalifah di Istanbul memohon bantuan untuk menghadapi tentera Siam. Pada tahun 1857 Sultan Jambi memohon bantuan dari Khilafah Uthmaniyyah untuk menghadapi Belanda. Khilafah juga telah melantik seorang duta di Singapura pada tahun 1864 sebagai usaha untuk membebaskan Tanah Melayu dari British. Pada tahun 1877 seorang pembesar Turki telah datang ke Pulau Pinang untuk melakukan tinjauan ke atas Tanah Melayu serta melaporkan perkembangan peperangan antara Khilafah dan Rusia. Sultan Abdul Hamid kedua telah menubuhkan pejabat kedutaan Uthmaniyyah di Betawi (Jakarta) pada tahun 1883 dalam usaha untuk mengatur gerakan mengusir penjajah Belanda di Indonesia.
Seorang ulama terkenal, Syeikh Ahmad al-Fathani mengunjungi Istanbul pada tahun 1883 dan memainkan peranan penting menentang penjajah dan menyatukan umat Islam di nusantara dengan Khilafah Uthmaniyyah. Pada tahun 1900 Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengunjungi Kemboja dan mengatur gerakan mengusir penjajah Perancis keluar dari Kemboja untuk bernaung di bawah Khilafah.
Pada tahun 1908 atas nasihat Syeikh Ahmad, Khilafah telah mengutus dua orang wakil ke Kelantan dalam usaha untuk menyatukan Kelantan di bawah naungan Khilafah. Umat Islam pada ketika itu menyedari bahawa kepimpinan umat Islam di seluruh dunia mesti disatukan di bawah kepimpinan seorang Khalifah dan umat Islam dilarang berpecah belah. Syeikh Ahmad al-Fathani juga telah mengarang dua buah buku yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran bangsa Melayu bahawa adalah wajib bagi mereka untuk bernaung di bawah Khilafah. Khilafah juga mengambil berat tentang pendidikan. Ramai pelajar dari alam Melayu yang diberi biasiswa oleh Khilafah untuk melanjutkan pelajaran di Timur Tengah. Di antaranya ialah Sayid Abdul Mutallib dan Sayid Abdul Al-Aydarys yang mendapat pendidikan di Sekolah Galatasary di Turki.
Nama Khalifah khasnya Sultan Abdul Hamid II didoakan dalam khutbah-khutbah Jumaat di masjid-masjid di nusantara kerana orang Melayu faham bahawa Khalifah di Turki adalah pemimpin bagi seluruh umat Islam di dunia. Pada tahun 1891 kapal perang Khilafah berlabuh di Singapura dan sebahagian anak kapal mengunjungi Istana Besar Johor. Pada tahun 1892 dua pembesar Negeri Sembilan merayu kepada Ketua Tentera Laut Khilafah Uthmaniyyah yang singgah di Singapura untuk membantu mereka mengusir penjajah British. Pada tahun 1903 Sultan Brunei menulis surat kepada Khalifah memohon bantuan untuk menghadapi Charles Brook yang merampas Limbang. Ketika Khilafah Uthmaniyyah berjaya dalam perang jihad di Edirne, benderanya telah dikibarkan di Madrasah Ihsaniyah di Perak. Pada tahun 1914 seorang pendakwah dari Istanbul dihantar ke Filipina dalam usaha untuk menyatukan umat Islam di bawah payung Khilafah. Pada tahun 1915 askar Muslim dari India telah melakukan rampasan kuasa terhadap tentera British di Singapura. Malangnya usaha tersebut telah ditumpaskan. Dalam tahun 1915 juga Tok Janggut melancarkan jihad memerangi British di Kelantan tetapi telah ditumpaskan.
Media di nusantara juga berperanan mendidik umat Islam tentang pentingnya bersatu di bawah naungan Khilafah. Di antaranya ialah akhbar Neraca yang diterbitkan pada Mac 1911. Akhbar Neracha dan al-Imam sering menyampaikan berita terkini tentang Khilafah yang menarik minat ramai orang Melayu dan mereka menghormati Khalifah di Turki sebagai pemimpin utama bagi seluruh umat Islam. Akhbar Cahaya Pulau Pinang juga sentiasa memberi laporan terkini tentang Sultan Abdul Hamid ke II.
Setelah kejatuhan Khilafah yang didatangi oleh Mustafa Kamal, orang Melayu menyatakan kekecewaan mereka kerana mereka sedar bahawa dengan kejatuhan ini, umat Islam telah kehilangan perisai yang boleh melindungi mereka. Sebuah pertubuhan di Pulau Pinang yang bernama Perhimpunan Khilafah telah mengeluarkan deklarasi tentang tanggungjawab setiap Muslim untuk menghidupkan kembali institusi Khilafah yang diruntuhkan. Pertubuhan ini telah mengadakan beberapa mesyuarat di Pulau Pinang dan hasil dari mesyuarat tersebut didapati bahawa 72% yang hadir bersetuju dengan usaha menghidupkan institusi Khilafah dan 28% yang lain menolak cadangan tersebut. Sekretariat Perhimpunan Khilafah menyeru umat Islam di Tanah Melayu untuk berhimpun bagi mengadakan upacara bai’ah kepada Khalifah yang baru, namun usaha tersebut menemui kegagalan. Selain itu, beberapa cubaan lain turut dilakukan bagi melantik Khalifah yang baru demi menghidupkan semula institusi Khilafah oleh beberapa tokoh dari nusantara dan wilayah lain namun cubaan tersebut digagalkan oleh musuh-musuh Islam.
Terdapat juga jihad yang dilancarkan melawan penjajah setelah kejatuhan Khilafah seperti yang dilakukan oleh Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada tahun 1928 di mana ketika beliau melancarkan jihad bendera Khilafah telah di kibarkan. Umat Islam di alam Melayu terus berusaha tanpa berputus asa untuk mengembalikan pemerintahan Islam di muka bumi walaupun Khilafah telah dibubarkan. Di antaranya ialah penubuhan Hizbul Muslimin pada tahun 1948 sebagai wadah untuk mengembalikan Islam. Britain tidak mahu umat Islam bangkit dan mereka telah mengharamkannya dengan alasan Hizbul Muslimin bekerjasama dengan parti komunis.
Hakikatnya, terdapat banyak lagi fakta yang menunjukkan bahawa umat Islam di alam Melayu pada suatu ketika faham bahawa Khilafah adalah sistem pemerintahan Islam yang wajib ditegakkan dan umat Islam di seluruh dunia mesti bersatu di bawah kepimpinan seorang Khalifah. Mereka juga memerangi penjajah kerana mereka faham bahawa itu adalah jihad yang dituntut dalam Islam. Usaha mendirikan Khilafah termasuk di Alam Melayu tidak akan pernah pudar kerana kebenaran akan pasti mengatasi kebatilan. Umat Islam sedar bahawa mereka akan menjadi umat yang mulia hanya sekiranya mereka berpegang teguh kepada Islam dan mereka akan jadi umat yang kuat jika mereka bersatu di bawah kepimpinan Khilafah.