Jaminan Pendidikan Tinggi Untuk Wanita
Oleh: Amani Mohamed
Mukaddimah
Manusia yang memahami ketinggian darjat kepada yang berilmu, sudah pasti akan mencari ruang dan peluang untuk menggapainya. Akan tetapi, pendidikan bukanlah hanya untuk golongan tertentu dalam masyarakat kerana setiap manusia yang dilahirkan mempunyai hak mendapatkan pendidikan ke peringkat tertinggi mengikut kemampuan akalnya. Bermula dari rumah dengan ibunya sebagai madrasah al-Ula, kemudian ke sekolah dan universiti atau mendampingi para ulama’. Pemenuhan hak ini adalah penting bagi lelaki mahupun wanita.
Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 2022 yang lalu, terdapat sebuah laporan UNESCO yang mengecam tindakan pemerintahan Taliban di Afghanistan yang menghalang wanita masuk ke universiti iaitu selepas 15 bulan larangan anak-anak perempuan masuk ke sekolah menengah. Laporan tersebut mendapat reaksi balas daripada pelbagai pihak. Gabungan negara-negara besar G7 turut menggesa Taliban membatalkan larangan itu, malah memberi amaran bahawa ia adalah ‘penganiayaan jantina yang boleh dianggap jenayah terhadap kemanusiaan’. Beberapa pemimpin negara umat Islam seperti Turki, Yaman, Qatar dan Arab Saudi turut senada dengan kenyataan G7.
Peraturan tersebut menimbulkan beberapa persoalan kerana kerajaan Taliban kerap diidentik sebagai model pemerintahan Islam. Malah Menteri Pengajian Tingginya, Nida Mohammad Nadim berkata larangan ini perlu bagi mengelakkan percampuran jantina di universiti, selain percaya bahawa beberapa subjek yang diajar melanggar prinsip Islam. Bukankah pemerintah yang sepatutnya membuat pengasingan jantina dan menyediakan kurikulum yang selari dengan Islam? Mengapa pula wanita yang dihalang untuk belajar?
Misi Barat dalam Menjaga Hak Wanita
Pihak Barat mempunyai pelbagai organisasi antarabangsa yang lantang menyuarakan hak wanita dan anak-anak perempuan terhadap pendidikan. Antaranya Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malala Fund, Wonder Foundation dan sebagainya. Mereka percaya bahawa pendidikan akan membantu wanita menjadi celik huruf dan celik ilmu untuk;
i. mengurangkan kadar kemiskinan,
ii. memperbaiki tahap kesihatan ibu dan anak (maternal health), dan
iii. mengurangkan perkahwinan di usia awal kanak-kanak.
Sasaran mereka lebih tertumpu kepada negara membangun dan negara dunia ketiga termasuklah di kem-kem pelarian. Organisasi wanita di bawah PBB (UNWomen) mendedahkan dalam laporannya bersama UNDESA, daripada 29 negara yang dikaji, terdapat jurang yang besar (11.5% – 72.2%) antara anak-anak perempuan dari kawasan miskin luar bandar dengan kawasan pesat membangun, dari segi melengkapkan pengajian peringkat menengah. Operasi kesemua organisasi tersebut bukan sekadar memberi bantuan dana dan fasiliti, tetapi muslihat yang lebih besar adalah membekalkan tenaga pengajar dan kurikulum yang mempromosikan cara hidup Barat iaitu sekular-kapitalisme.
Memang tidak dinafikan semua negara umat Islam hari ini mempunyai krisis pendidikan. Bukan sahaja akses yang terhad buat wanita, tetapi kapitalisasi pendidikan menjadikannya sebagai satu industri yang membebankan masyarakat disebabkan oleh kos operasi yang tinggi sehingga memaksa pemilik dan pihak pengurusan mengenakan yuran yang tinggi. Yuran yang mahal dan fasiliti terhad menjeratkan pelajar dengan hutang ribawi yang tak terbayar. Di sesetengah negara, anak-anak perempuan terpaksa menempuh perjalanan ke sekolah dengan penuh kebimbangan terhadap ancaman keselamatan termasuk gangguan seksual.
Walaupun keinginan meraih pendidikan tinggi berkobar-kobar, kita menyedari bahawa masalah-masalah di atas berpunca daripada penerapan polisi luar negara oleh penjajah Barat. Penjajah Barat sentiasa memastikan negara jajahan mereka hanya melaksanakan sistem ekonomi yang terbit dari ideologi Kapitalis. Hasilnya, sistem ekonomi kapitalisme yang rosak telah menyebabkan kemiskinan yang teruk sehingga ada keluarga yang terpaksa membenarkan hanya anak lelaki meneruskan pengajian. Budaya hidup liberal-sekular seperti pergaulan tanpa batas juga meracuni kehidupan manusia sehingga berani melakukan kekerasan seksual. Ini menakutkan anak-anak perempuan keluar rumah untuk belajar. Sementelah maklumat di hujung jari pada hari ini menjadi igauan ngeri anak-anak perempuan kerana mudahnya tular suatu insiden walau tanpa pengetahuan dan kerelaan mereka.
Ibarat menangguk di air keruh. Kesempatan ini diambil oleh Barat melalui organisasi-organisasinya untuk mengubah anak perempuan dan wanita Muslim agar menerima pakai cara hidup sekular-liberal dengan mengatasnamakan hak asasi manusia dan kesetaraan gender, sehingga mereka terpedaya. Lebih buruk lagi, dipupuk juga perasaan benci terhadap Islam dan hukum-hakamnya. Mereka bersungguh-sungguh merosakkan generasi wanita Muslim.
Misi Khilafah Islam dalam Polisi Pendidikan
Kepincangan pendidikan dalam dunia Islam hari ini adalah akibat tiadanya ibu sekaligus perisai umat iaitu Khilafah yang menerapkan Islam secara keseluruhan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW memerintahkan lelaki dan perempuan untuk menuntut ilmu dalam sabdanya,
“Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim.” (HR Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bahkan menetapkan satu hari khusus dalam seminggu untuk pendidikan kaum wanita di masjid Madinah. Kesemua isteri, puteri-puteri baginda dan sahabiyah yang tak terhitung jumlahnya, memiliki keperibadian dan pengetahuan Islam yang tinggi. Keilmuan mereka ini dihargai oleh masyarakat dan pemerintah. Ummul Mukminin ‘Aisyah RA digelar “Faqihat Al-Ummah” yang sering dijadikan rujukan para sahabat termasuklah Khalifah Umar dan Utsman RA. Syifa’ binti Abdullah adalah wanita berpengetahuan luas yang dilantik oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab RA menjadi qadhi dan mengawasi aktiviti di pasar-pasar.
Selain itu, terdapat sejumlah bukti yang menunjukkan bahawa penerapan hukum Islam semasa kewujudan Khilafah telah membuka jalan untuk wanita mendapat pendidikan tertinggi dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang. Ada yang berjaya menubuhkan banyak sekolah, masjid malah universiti khusus untuk wanita. Jumlahnya ramai dan belum dapat ditandingi oleh dunia Barat hari ini.
Khalifah dan para Imam mazhab juga pernah berguru dengan wanita. Ummu Darda as-Sughra al-Dimashkiyya, seorang pakar hukum dan ulama’ mengajarkan ilmu fiqh dan hadis kepada kaum lelaki di masjid besar di Syam dan Jurusalem. Khalifah Abdul Malik bin Marwan adalah salah seorang muridnya. Imam Malik juga pernah berguru dengan ulama’ wanita Aisyah binti Sa’ad bin Abi Waqqash. Manakala cicit Rasulullah SAW, Nafisah binti Hassan bin Ali RA adalah salah seorang guru Imam Syafi’i.
Semua ini dapat direalisasikan kerana Khilafah Islam menerapkan sebahagian polisi seperti berikut:
- Menjamin hak-hak pendidikan serta aspirasi anak-anak perempuan dan wanita,
- Menghapus setiap sikap konservatif atau hambatan budaya yang merendahkan pendidikan perempuan atau mencegah anak-anak perempuan dalam mengakses pendidikan,
- Memastikan tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan,
- Mewujudkan persekitaran yang selamat supaya setiap orang dapat melakukan perjalanan yang bebas dari gangguan dan serangan.
Khatimah
Pemerintahan Islam yang kaffah belum lagi dapat direlisasikan oleh mana-mana pemimpin negara ketika ini termasuk Taliban di Afghanistan. Akan tetapi, tertegaknya Khilafah tidak lama lagi akan mengubah segala-segalanya. Khilafah akan memicu kaum yang dianggap lemah ini sehingga mampu melakar kejayaan dan menjadi kebanggaan seluruh umat dan sebagaimana yang pernah berlaku pada waktu silam, bangsa-bangsa lain akan merasa iri hati terhadap keistimewaan dan penghargaan yang dinikmati wanita di bawah naungan Khilafah Islam. Allah SWT berfirman,
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahayaNya, meskipun orang-orang kafir membencinya.” [TMQ As Saff : 8]
Rujukan:
https://www.unesco.org/en/articles/afghanistan-unesco-condemns-taliban-decision-ban-women-higher-education-and-calls-its-immediate
https://www.unwomen.org/en/news-stories/feature-story/2022/10/leaving-no-girl-behind-in-education
Pentingnya Pendidikan Remaja dan Perempuan dalam Pemerintahan Islam, Zehra Malik.
https://www.reuters.com/world/asia-pacific/g7-taliban-women-ban-universities-could-amount-crime-against-humanity-2022-12-22/