Menjatuhkan kerajaan sekular untuk menaikkan kerajaan sekular yang lain?
Sejak “Langkah Sheraton” yang menyaksikan tumbangnya kerajaan tanpa pilihan raya sebanyak dua kali di Malaysia, trend tersebut nampaknya masih tetap menjadi pilihan para politikus demokrasi di negara ini.
Apa pun gelaran untuk trend tersebut, baik dikenali sebagai kerajaan pintu belakang atau tebuk atap, ia merupakan pilihan yang lebih mudah, cepat dan jimat untuk suatu kelompok menaiki takhta sekali gus menjatuhkan kelompok yang sedang memerintah.
Demokrasi itu sendiri sudah penuh dengan kekotoran, jadi tidak hairanlah apabila segala langkah-langkah kotor terus dijadikan mekanisme untuk meraih kekuasaan dan menjatuhkan pihak lawan. Begitulah sifat politik demokrasi yang akan terus kotor hingga ke akhir hayatnya.
Terbaru, bukan sahaja Parlimen yang kecoh, malah satu Malaysia sudah kecoh dengan sebuah kenyataan yang datangnya dari salah seorang penebuk atap pada sesi yang lepas, untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada sekarang.
Walaupun pelbagai kecaman telah dilontarkan terhadapnya, namun suara-suara yang menyokong tetap ada. Persoalan yang dibangkitkan ialah, salahkah jika ada perancangan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan?
Secara umumnya Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pilihan raya dalam tempoh maksimum lima tahun sekali, yang memberi peluang kepada semua rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.
Namun, Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa seseorang Perdana Menteri dikira terlucut jawatan sekiranya dia sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Peruntukan ini membolehkan sesebuah kerajaan tumbang dan diganti baru walaupun tanpa pilihan raya. Pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan hanya perlu mengemukakan bukti bahawa Perdana Menteri sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti. Cara inilah yang kebelakangan ini digunakan sehingga kestabilan politik dan ekonomi negara menjadi porak-peranda.
Oleh kerana para politikus melihat cara ini telah terbukti berjaya menumbangkan kerajaan, maka mereka nampaknya sudah “kemaruk” untuk terus menggunakan cara yang sama untuk mengulangi langkah mereka. Atas dasar itu, kita menyaksikan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini wujudnya “ugutan” atau perancangan untuk menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya.
Begitulah kekotoran politik demokrasi yang terhidang di hadapan rakyat sejak Langkah Sheraton. Rakyat terus menyaksikan ketamakan dan perebutan kuasa dalam kalangan parti-parti dan ahli-ahli politik, yang tidak berkesudahan hingga kini.
Tidak kiralah parti mana sekalipun, ketamakan kuasa sudah tidak terbendung dalam kalangan mereka sehingga mereka sudah tidak lagi punya perasaan malu kepada rakyat. Menipu dan mempermainkan rakyat sudah menjadi darah daging mereka.
Apa yang penting sekarang ialah untuk rakyat, khususnya umat Islam, sedar yang mereka akan terus kena “game” selagi parti-parti politik dan ahli-ahli politik demokrasi ini berkuasa.
Sejak merdeka hingga kini, walaupun Malaysia sudah diperintah oleh pelbagai parti politik, namun tidak satu pun yang menerapkan Islam. Malah, parti yang melaungkan Islam sekalipun apabila berkuasa ternyata terus hanyut dalam sekularisme.
Justeru, umat Islam perlu sedar bahawa berdasarkan realiti yang sudah jelas terpampang di depan mata, jatuhnya satu kerajaan dan naiknya satu kerajaan, kemudian jatuh lagi dan naik lagi kerajaan yang sama secara berulang-ulang, kesemuanya adalah kerajaan sekular yang tidak menerapkan Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya dalam pemerintahan mereka. Apa gunanya semua ini?
Sudah berapa kali kerajaan bertukar akibat permainan kotor para politikus, realitinya umat Islam terus terbelenggu dalam sistem demokrasi-sekular sejak dulu hingga kini.
Satu-satunya jalan keluar untuk umat Islam ialah dengan menolak sistem demokrasi dan parti-parti politik yang telah terbukti sebati dengan sekularisme (memisahkan agama daripada kehidupan). Umat Islam mesti berjuang di luar kotak demokrasi, dan memilih parti yang juga berjuang di luar kotak demokrasi, kerana satu-satunya sistem dan negara yang benar untuk umat Islam ialah Khilafah, bukannya demokrasi.
Wallahu a’lam.