Perpecahan Umat Adalah Akibat Sistem Demokrasi Bukan Ceramah Agama
Baru-baru ini Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Dewan Negara dari menggunakan masjid serta surau di seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah. Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar serta individu yang memiliki kebenaran daripada MAIDAM (Bharian online, 3 March 2023). “Masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, selain lambang kepada penyatuan dan perpaduan umat Islam yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin.
Justeru, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat. Ini termasuk menggunakan masjid dan surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian,” katanya.
Seperti yang diketahui umum, isu larangan memberi ceramah agama ke atas para asatizah oleh Majlis/Jabatan Agama Islam negeri bukanlah suatu yang baru. Baru-baru ini juga timbul isu larangan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Ustaz Mohamad Wadi (penceramah bebas) dari memberikan ceramah agama di Selangor dan sebelum itu Ustaz Azhar Idrus juga telah dilarang kerana dikatakan tidak memilik tauliah oleh JAIS.
Larangan oleh MAIDAM itu dikatakan perlu untuk mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid adalah “lambang kepada penyatuan dan perpaduan umat Islam”. Apa yang cukup jelas dari larangan ini adalah, seseorang ahli politik itu tidak boleh bercakap tentang agama, dan untuk bercakap tentang agama mestilah mendapatkan “tauliah” terlebih dahulu atau mestilah mendapatkan “kebenaran” terlebih dahulu. Masjid tidak boleh dijadikan medan untuk becakap tentang politik. Sangat menghairankan apabila di satu sudut, Islam dikatakan lengkap meliputi seluruh perkara dari yang sekecil-kecilnya, seperti adab memasuki tandas, sehingga yang sebesar-besarnya seperti cara memerintah negara termasuk aspek politik, tetapi di satu sudut yang lain, orang Islam dilarang dari bercakap tentang politik. Bukankah ini merupakan acuan sistem sekular iaitu memisahkan agama dari kehidupan?
Namun, apa yang perlu difahami adalah bahawa perpecahan yang berlaku bersumber dari keterlibatan kaum Muslimin, termasuk ahli politik, dalam demokrasi sekular. Sistem demokrasi menimbulkan perpecahan bilamana masing-masing kelompok merebut kekuasaan demi kepentingan masing-masing. Lihatlah bagaimana demokrasi menyuburkan fitnah, tohmahan, adu domba, membuka aib pihak lawan, dan pembohongan demi meraih undi. Usaha saling jatuh-menjatuhkan bukanlah suatu yang asing lagi di dalam sistem demokrasi ini. Prinsip yang dipegang sebelum ini boleh sahaja diketepikan demi untuk meraih manfaat.
Setiap Muslim wajib mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) berdasarkan perintah Allah di dalam Al-Quran:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah:71].
Sesungguhnya masjid merupakan tempat di mana kaum Muslimin beraktiviti dan melakukan dakwah. Di dalam Daulah Islam yang pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW, masjid merupakan pusat (ibu pejabat) pentadbiran negara di mana Rasulullah SAW mengurus urusan umat Islam dari situ. Baginda mengadakan mesyuarat, mengumpulkan orang ramai, mengadakan perjumpaan, menerima delegasi/tetamu, membuat ucapan penting, menyelesaikan persengketaan dan banyak lagi di masjid. Begitu juga dengan para Khalifah selepas baginda di mana mereka juga melakukan hal yang sama – mengadakan pertemuan dengan rakyat, melakukan dialog, mengingatkan dan diingatkan (dimuhasabah) oleh rakyatnya di masjid.
Malangnya kini, umat Islam dihalang oleh penguasa Islam sendiri dari meletakkan masjid mengikut fungsinya yang sebenar sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah sesudah baginda. Pelbagai cara digunakan untuk menghalang umat Islam dalam menyampaikan dakwahnya atas pelbagai alasan demi manfaat penguasa. Isu tauliah dan larangan ahli politik menyampaikan ceramah agama menunjukkan bagaimana penguasa cuba untuk menjauhkan umat Islam dari melakukan dakwah dan menjadikan masjid sekadar tempat ibadah ritual. Pada masa yang sama kita melihat penguasa agama sekadar berdiam diri bilamana pelbagai program maksiat dianjurkan. Konsert hiburan yang sudah jelas penuh dengan kemaksiatan dibiarkan tanpa sebarang sekatan. Ketika artikel ini ditulis, satu konsert mega K-Pop di Sunway Lagoon yang sepatutnya diadakan pada 18 Februari 2023 lepas telah ditangguhkan ke 27 hb Mei 2023. Dan sebelum ini, konsert kumpulan K-Pop Black Pink telah dilangsungkan di Bukit Jalil tanpa sedikitpun halangan dari pihak berkuasa agama. Begitulah hebatnya gaya hidup hedonis dan idea liberalisme menyerang umat Islam di negara ini yang sudah pastinya akan menjauhkan lagi umat dari Islam itu sendiri.