“Raya mengejut”: Ubahlah mentaliti
Sungguh aneh mentaliti sesetengah pihak termasuklah pihak berkuasa agama apabila menjadikan “raya mengejut” sebagai satu isu besar sehingga Menteri Agama memutuskan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa fatwa di peringkat kebangsaan bagi “mengelak” perkara tersebut daripada berulang, sebagaimana yang telah terjadi pada tahun lepas.
Isu raya mengejut timbul apabila Pusat Astronomi Antarabangsa mengeluarkan kenyataan bahawa pada 20hb April nanti (bersamaan 29 Ramadhan), hilal Syawal kemungkinan akan dapat dilihat kerana telah memenuhi kriteria di beberapa negara. Beberapa negara Arab dilaporkan telah menyatakan kemungkinan besar raya jatuh pada hari Jumaat 21hb April.
Hal ini bertambah kecoh apabila terdapat tangkap layar yang tular hasil satu pembentangan di Masjid Wilayah yang tertera tarikh 20 April sebagai tarikh akhir Ramadhan. Umat Islam, khususnya para netizen lalu sibuk membicarakan hal ini dan rata-ratanya mula mempermasalahkan isu raya mengejut.
Siapa yang hidup di era 70-an dan awal 80-an dahulu tahu bahawa tidak pernah timbul isu raya mengejut walaupun hakikatnya telah berlaku banyak kali “raya mengejut”. Umat Islam di Malaysia pada waktu itu akan menunggu di hadapan TV atau radio pada malam cerapan hilal untuk mendengar pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja. Apabila diumumkan bahawa esok raya kerana anak bulan telah kelihatan di tempat-tempat tertentu, maka semua orang akan mula melakukan persiapan seadanya, dan tidak pernah kecoh pun.
Namun kini, sejak penggunaan kaedah hisab yang disekalikan dengan rukyah untuk menentukan bulan baru, dan ternyata kaedah hisablah seringkali mengatasi rukyah, maka tarikh raya telah “ditetapkan” lebih awal (dalam kalendar) berdasarkan hisab. Hasilnya, sudah banyak kali raya tidak lagi mengejut, dan umat Islam sudah selesa dengan kedudukan ini tanpa mempertikaikannya.
Secanggih mana pun ilmu atau pengiraan astronomi (hisab al-falaki), sesungguhnya kaedah hisab sama sekali tidak boleh dijadikan “penentu” masuknya bulan baru. Ini kerana “penentuan” masuknya bulan baru wajib berdasarkan rukyah semata-mata, bukannya hisab. Hal ini telah diterangkan dalam banyak hadis, antaranya:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari” [HR Bukhari, dari Abu Hurairah]
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ الشَّهْرُ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang oleh mendung, maka hitunglah tiga puluh hari” [HR Muslim, dari Abu Hurairah].
Kita kena ingat bahawa berpuasa adalah ibadat, dan raya juga adalah terkait dengan ibadat, dan setiap ibadat wajib berdasarkan nas. Maka, berdasarkan nas yang begitu jelas, satu-satunya cara menentukan masuknya 1 Ramadhan atau 1 Syawal ialah berdasarkan rukyah, bukannya hisab.
Dalam hadis di atas, Rasulullah (saw) memerintahkan kaum Muslimin secara umumnya, tanpa membatasi di mana pun mereka berada, dan apa pun bangsa mereka, untuk melakukan rukyah, dan berpuasa serta berhari raya apabila telah nampak hilal.
Posisi hisab hanya boleh digunakan untuk membantu menentukan kedudukan hilal (untuk dirukyah), tetapi bukannya menjadi penentu masuknya bulan baru. Tidak ada nas yang membenarkan hisab digunakan sebagai penentu masuknya bulan baru. Malah, sungguh amat jelas di zaman Rasulullah (saw) bahawa rukyah merupakan satu-satunya metode yang syarie dalam menentukan masuknya Ramadhan dan Syawal.
Makanya, kita sebagai umat Islam wajib berpuasa dan wajib berhari raya apabila nampak hilal. Perkara ini sudah tidak perlu dibahas atau dimesyuaratkan lagi. Mana mungkin untuk kita membahaskan sesuatu yang telah pun ditetapkan oleh nas, apatah lagi membahaskannya dalam rangka untuk merubah ketetapan nas!
Setepat mana sekalipun data hisab, ia tidak boleh merubah nas. Jika data hisab menunjukkan hilal tidak akan kelihatan kerana tidak memenuhi kriteria, namun apabila kita pergi mencerapnya di lapangan dan hilal ternyata kelihatan, maka kita akan berhari raya.
Begitu juga sebaliknya jika data hisab menunjukkan yang hilal akan kelihatan dan memenuhi segala kriteria, namun apabila kita pergi mencerapnya di lapangan dan ternyata hilal tidak kelihatan (disebabkan terlindung awan, hujan dsb), maka kita akan genapkan Ramadhan kepada 30 hari. Inilah hukumnya untuk kita. Khalas.
Kaum Muslimin sejak zaman Rasulullah (saw) lagi sudah terbiasa dengan “raya mengejut” dan hal ini tidak pernah menjadi isu pun. Imam Ahmad telah mengeluarkan dalam Musnadnya, di mana para Sahabat berkata;
غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَامًا فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنْ الْغَدِ
“Hilal bulan Syawal tertutup oleh mendung bagi kami sehinggakan kami tetap berpuasa pada keesokan harinya (menggenapkan Ramadhan). Menjelang petang datanglah beberapa musafir (dari luar Madinah). Mereka memberikan kesaksian di hadapan Nabi (saw) bahawa mereka telah melihat hilal semalam. Maka Rasulullah (saw) memerintahkan mereka (kaum Muslimin) untuk segera berbuka dan melaksanakan solat Eid pada keesokan harinya.“
Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa setiap Muslim itu wajib (secara kifayah) untuk mencerap hilal, dan jika hilal telah kelihatan di belahan mana sekali pun dunia ini, lalu berita tersebut telah sampai kepada kita, maka hendaklah kita berhari raya.
Ingatlah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak pernah membebankan satu hukum kepada kita berdasarkan batas sempadan atau perbezaan bangsa. Setiap Muslim terikat kepada hukum syarak yang sama, di mana pun dia berada, dan apa sekali pun bangsanya. Hukum Islam tidak pernah datang untuk bangsa-bangsa tertentu, atau untuk negeri-negeri tertentu sahaja.
Justeru, ubahlah mentaliti wahai kaum Muslimin. Kembalilah kepada hukum syarak, dan jangan jadikan 1 Syawal sebagai bahan untuk “tawar-menawar” atau ditentukan mengikut selera kita. Ingatlah dan sentiasa letakkan nas di kepala, yang kita wajib mencerap hilal, bukan menggunakan kaedah hisab untuk menentukan masuknya bulan baru, dan apabila hilal telah kelihatan, maka kita berhari raya. Jika hilal tidak kelihatan, maka kita genapkan Ramadhan kepada 30 hari. Begitulah indah dan mudahnya Islam.
Wallahu a’lam.