Kenapa hanya sensitif dengan “kalimah”, tidak dengan “hukum” Allah?
Keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes yang melibatkan kalimah Allah, telah menjadi modal lumayan buat pembangkang untuk mengapi-apikan isu ini dalam rangka menarik sokongan umat Islam kepada mereka sekali gus untuk memburukkan kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang menjadi sasaran serangan, terpaksa berhempas pulas untuk menjelaskan fakta dalam rangka menepis serangan yang bertubi-tubi terhadapnya. Katanya kes ini tidak ada hubung kait dengan kebenaran orang kafir menggunakan kalimah Allah atau tidak, kerana bukan itu yang diputuskan oleh mahkamah. Kes ini hanya melibatkan aspek pelanggaran terhadap percanggahan keputusan kabinet dengan arahan pentadbiran yang dikeluarkan pada tahun 1986, dan tidak lebih daripada itu, katanya.
Apa pun faktanya, dan apa pun keputusan mahkamah atau keputusan kerajaan, apa yang pasti ialah semua pihak sensitif dengan penggunaan kalimah Allah yang menjadi isu dalam kes ini, walaupun hakim tidak membuat sebarang keputusan mengenainya sebagaimana penjelasan Saifuddin.
Melihat kepada polemik sejak bermulanya kes ini, sangat jelas kelihatan tujuan politikus dan parti-parti politik yang bercakap mengenainya, yang hanya ingin meraih political mileage dengan isu yang berlaku.
Dari satu sudut, memang wajar untuk Muslim mana pun yang sensitif mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir, apatah lagi apabila kalimah tersebut digunakan dalam konteks yang salah.
Namun demikian, jika konteks penggunaannya betul, maka seharusnya ia tidak dipermasalahkan kerana Allah adalah Tuhan bagi sekalian manusia dan sekalian alam. Allah bukannya Tuhan untuk orang-orang Islam sahaja. Hal ini sangat banyak dijelaskan dalam Al-Quran, yang sekali gus menunjukkan bahawa tidak ada masalah untuk orang-orang kafir menggunakan kalimah Allah. Apa yang salah ialah perbuatan mereka yang mensyirikkan Allah.
Sayangnya apabila banyak pihak yang hanya sensitif dengan persoalan sama ada orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah atau tidak, namun tidak pernah sensitif dengan persoalan sama ada hukum Allah diterapkan atau tidak! Padahal berapa banyak ayat-ayat Al-Quran dan juga Al-Hadis yang mewajibkan umat Islam, khususnya pemerintah untuk menerapkan hukum Allah.
Ada pihak yang bermati-matian cuba mempertahankan kalimah Allah yang mereka dakwa tidak boleh digunakan oleh orang-orang kafir, tetapi mereka tidak pernah bermati-matian berusaha untuk menggantikan undang-undang yang berasal daripada orang-orang kafir pada hari ini dengan undang-undang Allah. Sungguh aneh bagi orang yang hanya sensitif dengan penggunaan kalimah Allah, tetapi tidak sensitif dengan ketidakpenerapan hukum Allah.
Baik pemerintah yang ada sekarang, mahu pun pembangkang yang pernah menjadi pemerintah, mereka tidak lebih umpama menangguk di air keruh dengan bersungguh-sungguh menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah pihak yang mempertahankan kalimah Allah, tetapi malangnya mereka tidak pernah bersungguh-sungguh untuk menerapkan hukum Allah.
Politik demokrasi sememangnya penuh dengan lakonan dan kepentingan demi menaikkan diri sendiri dan menjatuhkan lawan. Apa jua isu, termasuk isu agama hanya “dimanfaatkan” untuk tujuan tersebut, bukannya demi memartabatkan agama itu sendiri sebagai sebuah aturan lengkap bagi mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara.
Wallahu a’lam.