Maulidur Rasul: Bagaimana untuk menzahirkan kecintaan dan mewujudkan perpaduan

12 Rabiul Awal 1445 Hijrah tahun ini, bersamaan 28 September 2023 Masihi, umat Islam sekali lagi meraikan sambutan Maulidul Rasul atau hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam yang kesekian kalinya.  Seperti biasa di Malaysia, saban tahun sambutan Maulidur Rasul diadakan di peringkat persekutuan dan negeri menerusi pelbagai program yang dijalankan, antaranya forum perdana, perarakan, perhimpunan dan penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh yang dipilih.  Untuk tahun 2023/1445H, tema sambutan adalah “Perpaduan Teras Malaysia Madani.”

Hukum menyambut Maulidul Rasul telahpun dibahas agak mendalam dalam naskah Sautun Nahdah keluaran SN166 bertajuk “Hukum Menyambut Maulidur Rasul” [https://mykhilafah.com/sn166-hukum-menyambut-maulid-al-rasul/].  Oleh itu, tidak perlu lagi untuk dibahas dalam penulisan ini.  Bagi mereka yang ingin mengetahui hukum berkaitan bolehlah sama-sama kita mengambil inisiatif untuk membaca, mengkaji dan memahami naskah tersebut untuk menilai sama ada tindakan sambutan ini bertepatan dengan Islam ataupun tidak.  Namun kali ini, artikel ringkas ini ingin menyentuh dua aspek terkait dengan sambutan ini iaitu kecintaan dan perpaduan.

Rata-rata umat apabila ditanya, apakah tujuan sambutan tersebut?  Jawapan yang diberi tidak lain adalah bertujuan untuk menzahirkan kecintaaan kepada Allah dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai Rasul Allah, pemimpin dan sumber inspirasi kepada ummah ini.  Persoalannya, adakah kita ini benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya?  Adakah cukup dengan perarakan, perhimpunan, dan penganugerahan tokoh telah membuktikan akan kecintaan kita kepada Rasulullah?

Erti Sebenar Mencintai Rasulullah SAW

Mencintai Allah dan Rasul-Nya sudah pasti menuntut sejumlah pengorbanan tertentu, bukan sekadar dengan kata-kata pujian ke atas Allah dan Rasul-Nya serta bukan hanya ketika sambutan Maulidur Rasul setahun sekali.  Apa yang wajar dan dituntut untuk dilakukan adalah kewajipan mentaati untuk mengikuti dan meneladani apa yang telah ditunjukkan oleh Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam.  Tuntutan ini bukan semata-mata hanya tertumpu dalam akhlak atau nilai moral baginda sahaja, tetapi juga dalam seluruh gerak-kerja dan perilaku baginda sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, “Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kalian.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ ali Imran (3): 31].”.

Ibn Katsir dalam tafsirnya turut menyatakan bahawa ayat di atas merupakan kata putus bahawa siapa pun yang mengaku mencintai Allah, sementara dia tidak mengikuti jalan hidup Nabi Muhammad, maka dia adalah pendusta, sehinggalah dia benar-benar mengikuti seluruh syariat Muhammad dan agama yang dibawanya di dalam seluruh ucapan dan perilakunya.  Manakala, dalam Tafsir al-Qurthubi, al-Azhari, menyatakan, “Mencintai Allah dan Rasul-Nya ditunjukkan dengan mentaati keduanya dan menjalankan perintah keduanya.”

Oleh itu, mencintai Rasulullah menuntut kita untuk meneladani Baginda secara praktikal dan bukan hanya sekadar perasaan cinta.  Majoriti umat Islam hari ini lebih cenderung bersifat parsial dalam memilih dan meninggalkan apa yang dituntut untuk diteladani iaitu mengambil suatu bahagian dan meninggalkan suatu bahagian lainnya.  Kita lebih cenderung untuk memenuhi kewajipan dalam aspek ritual-spiritual tetapi meninggalkan aspek lainnya yang lebih luas, termasuk dalam sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain.  Tindakan seumpama ini menunjukkan seolah-olah Baginda tidak meninggalkan apa-apa panduan untuk kita dalam perkara yang luas tadi, walhal sebenarnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga telah memberikan contoh yang begitu banyak dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.  Kita sepatutnya sedar bahawa Rasulullah bukan sahaja seorang ahli ibadah, malah baginda juga merupakan seorang suami, ayah, ahli politik yang agung, pemimpin negara, ketua angkatan perang, malah baginda sendiri juga merupakan seorang ahli perang. Rasulullah juga merupakan seorang pendakwah, pembawa risalah Allah, penyebar Islam dan pembawa rahmat ke seluruh alam.

Cara Meraih Perpaduan yang Sebenar

Aspek kedua yang ingin disentuh adalah tentang perpaduan memandangkan ianya menjadi tema sempena sambutan Maulidur Rasul tahun 1445 Hijrah.  Seruan kepada perpaduan sentiasa menjadi mainan di bibir mulut ahli politik memandangkan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik dengan harapan seluruh rakyat Malaysia dapat mengukuhkan dan mempertahankan perpaduan antara kaum sebagai asas untuk kestabilan politik ke arah pembinaan negara maju pada masa depan.  Persoalannya, adakah perpaduan Malaysia Madani ini mampu untuk membentuk perpaduan yang sebenar-benarnya dan yang lebih penting lagi, bagaimana bentuk perpaduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah untuk kita contohi.

Perpaduan yang sebenar seharusnya berlandaskan kepada mabda (ideologi) di mana ianya menjadi paksi kepada penyatuan masyarakat.  Mabda ini (iaitu Islam) yang akan menerapkan sistem kehidupan ke atas setiap individu rakyat dan menjadikan masyarakat yang hidup di bawah naungannya terikat dengan pemikiran dan perasaan terhadap mabda yang diterapkan.  Ini dapat dibuktikan semasa zaman kegemilangan Islam di mana pelbagai kaum dan agama dengan pelbagai budaya dan bahasa hidup dengan aman dan sejahtera di bawah naungan Khilafah Islam.  Isu perkauman dan perpaduan langsung tidak menjadi persoalan kerana setiap individu dapat memenuhi hak dan keperluan masing-masing sama ada keperluan asas atau sekunder menerusi sistem dan syariat Islam yang diterapkan secara kaffah(menyeluruh).  Ini sudah tentu akan melahirkan suatu perasaan yang utuh terhadap hukum-hakam yang dilaksanakan ke atas mereka. Mereka memahami pemikiran-pemikiran dan asas di sebalik perlaksanaan hukum-hakam tersebut yang mereka harus patuhi sebagai anggota masyarakat.

Sejarah juga telah membuktikan bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang telah berjaya menyatukan kelompok ‘Aus dan Khazraj di Madinah yang mana sebelumnya mereka telah berperang selama ratusan tahun.  Begitu juga bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Anshar.  Sejarah kegemilangan sistem Khilafah yang pernah terwujud selama 1400 tahun dengan kejayaannya menyatukan pelbagai bangsa dan kaum di bawah satu sistem pemerintahan (Khilafah) merupakan bukti kemampuan Islam untuk membentuk perpaduan bagi seluruh umat manusia.  Apa yang perlu ada untuk menghasilkan keinginan ini adalah sebuah pakej idea/fikrah yang sempurna dan sebuah sistem yang akan mengimplementasikan idea/fikrah tersebut iaitulah mabda Islam.

Demokrasi Biang Keladi Dalam Perpaduan

Hal ini sangat berbeza dengan sistem demokrasi yang diajarkan penjajah kuffar. Walaupun negara kita telah diberikan kebebasan untuk pemerintahan sendiri selama 66 tahun, tetapi isu perkauman masih tak lekang daripada perbincangan harian sejak sebelum merdeka lagi. Pemikiran nasionalisme bagai duri dalam daging di dalam masyarakat yang sentiasa menjadi titik lemah dalam mewujudkan perpaduan. Ahli-ahli politik demokrasi pula yang sentiasa bersikap oportunis selalu mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat dalam meraih undi popular demi mencapai puncak kekuasaan. Mereka sangat memahami bahawa nasionalisme merupakan api dalam sekam yang sentiasa boleh dimanfaatkan oleh mereka.

Pada masa yang sama juga, sistem demokrasi yang berasaskan akidah sekular sangat bertentangan dengan umat Islam yang berpegang teguh kepada akidahnya. Negara amat sukar untuk mengikat umat Islam dengan sistem demokrasi kerana pertentangan antara keduanya. Demokrasi yang menganggungkan pemikiran kebebasan beragama, kebebasan bersuara, kebebasan bertingkah laku dan lain-lain sangat berlawanan dengan akidah umat Islam yang memahami bahawa manusia tidak bebas tetapi terikat dengan hukum-hakam Islam daripada Sang Pencipta, yakni Allah SWT. Umat Islam sentiasa merasakan diri mereka didiskriminasi oleh demokrasi yang memperlekehkan akidah mereka. Isu seperti murtad, pelacuran, penjualan arak, kedai-kedai judi, perlecehan terhadap agama Islam dan banyak lagi aktiviti maksiat yang dilakukan terang-terangan kerana dibenarkan oleh demokrasi. Kesemua ini menjadikan umat Islam merasakan akidah mereka dipelekehkan oleh negara lalu negara gagal mengikat pemikiran dan perasaan mereka dengan sistem demokrasi. Maka demokrasi beserta dengan sekularisme dan nasionalisme merupakan punca kepada kegagalan untuk meraih perpaduan di dalam negara ini. Pemikiran dan perasaan umat Islam hanya boleh diikat dengan mabda Islam tidak yang lain.

Oleh yang demikian, penulisan ringkas ini dapat memaparkan kepada kita cara meraih kecintaan kepada Rasulullah dan perpaduan di kalangan umat serta apa yang menghambat kedua-duanya. Diharapkan ia dapat menyedarkan kita untuk meninggalkan apa yang menghambat kita dan membawa kita kembali kepada Sunnah Rasulullah SAW untuk meraih kecintaan terhadap Baginda dan keredaan Allah SWT. Sudah tentu dengan cara menerapkan Islam secara menyeluruh (kaffah) melalui bingkai Khilafah Islamiyyah seperti yang diajarkan oleh Baginda SAW dan diikuti oleh para Khulafa’ Rashidun. Hal ini akan membawa kepada perpaduan umat secara alami. Jika kita mencintai Rasulullah SAW, maka wajib kita mengikuti Sunnahnya ini. Jika tidak, maka cinta kita kepada Rasulullah SAW itu hanya dibibir sahaja.