Hukum Wanita Menjadi Ahli Majlis Umat (Bahagian 2)
Oleh : Maryam Ismail
Peranan Wanita Dalam Majlis Umat
Dalam Kitab Sistem Pemerintahan Islam (Nizhamul Hukmi), Syeikh Abdul Qadim Zallum menjelaskan peranan wanita dalam Majlis Umat. Beliau menyatakan bahawa Majlis Umat adalah sebuah majlis yang terdiri dari beberapa wakil dari umat Islam sebagai tempat rujukan bagi Khalifah (pemimpin negara) untuk meminta pendapat atau nasihat mereka dalam berbagai urusan. Mereka mewakili umat dalam melakukan pengawasan dan muhasabah terhadap para pegawai pemerintah (al-Hukkam).
Keberadaan majlis ini diambil dari aktiviti Nabi yang sering meminta pendapat atau bermusyawarah dengan beberapa orang dari kaum Muhajirin dan kaum Anshar yang mewakili komuniti mereka. Hal ini juga diambil dari aktiviti khusus Rasulullah SAW terhadap orang-orang tertentu di antara para sahabat baginda untuk meminta pendapat dari mereka. Antara sahabat yang terlibat adalah Abu Bakar, Umar, Hamzah, Ali, Salman al-Farisi dan Huzaifah RA.
Keberadaan Majlis Umat ini diteruskan sehingga masa kekhilafahan setelah Nabi SAW. Misalnya Khalifah Abu Bakar mengadakan aktiviti khusus dengan beberapa orang dari kaum Muhajirin dan Anshar untuk menjadi rujukannya dalam meminta pendapat mereka ketika timbulnya suatu persoalan. Ahlu Syura (musyawarah) pada masa kepimpinan Abu Bakar terdiri dari para ulama dan orang-orang yang ahli dalam masalah fatwa.
Dalam Kitab Struktur Negara Khilafah disebutkan, setiap Muslim yang memiliki kewarganegaraan Daulah Khilafah, jika dia sudah baligh dan berakal (waras), mereka memiliki hak untuk dipilih menjadi anggota Majlis Umat dan memiliki hak untuk memilih anggota Majlis Umat, sama ada mereka lelaki ataupun wanita. Dalam Majlis Syura atau Majlis Umat, orang-orang yang mewakili suara (aspirasi) umat atau kaum Muslim berkumpul untuk menjalankan aktiviti muhasabah (kawalan dan kritik) terhadap para penguasa (Khalifah, mu‘âwin tafwîdh, wali, dan amil).
Oleh itu, hak dan kewajipan seorang Muslimah dalam akad wakalah memiliki kedudukan yang sama dengan lelaki. Seorang Muslimah berhak mencalonkan seseorang sebagai wakilnya dalam Majlis Umat sama ada orang itu wanita atau lelaki. Dengan begitu, seorang wanita Muslimah berhak menjadi anggota Majlis Umat, kerana dia boleh dicalonkan oleh sesama wanita Muslimah lain atau lelaki dari masyarakat yang meletakkan aspirasi mereka kepadanya. Hal ini kerana banyak situasi yang berlaku dalam masyarakat yang lebih difahami oleh kaum wanita.
Khalifah Umar bin al-Khaththab pernah meminta pendapat mengenai pembatasan nilai mahar (mas kahwin) terhadap kaum wanita, kerana nilai mahar adalah hak kaum wanita terhadap lelaki (calon suami). Umar kemudian membatalkan pendapatnya sendiri dan mengambil pendapat kaum wanita kerana pendapat kaum wanita dalam perkara ini paling tepat.
Khalifah Umar bin al-Khaththab juga pernah bertanya kepada kaum wanita mengenai berapa lama seorang isteri sanggup ditinggalkan suaminya pergi berjihad fi sabilillah. Kemudian Umar menetapkan jadual tugasan misi ketenteraan secara berkala dan menggantinya dengan pasukan baru di medan jihad dengan tempoh masanya diambil berdasarkan pendapat kaum wanita. Pada masa itu, para Khalifah sebelum memutuskan sesuatu atau mengeluarkan peraturan yang berkaitan dengan urusan wanita, pasti akan bertanya terlebih dahulu kepada mereka.
Kaum wanita yang menjadi anggota Majlis Umat juga berhak memilih Khalifah dan berhak melakukan muhasabah terhadap Khalifah dan para pegawai pemerintahan daerah. Kaum wanita yang ada di Majlis Umat bersama dengan kaum lelaki akan menjadi mata dan telinga umat, mereka yang akan menjadi suara umat dalam menyampaikan kesusahan atau nasihat kepada penguasa. Demikianlah Islam memberikan kedudukan yang mulia bagi kaum wanita, menjadikan mereka anggota Majlis Umat yang menjadi pasangan kritis bagi penguasa dalam menjalankan kekuasaan supaya tidak menyimpang dari syariat Allah SWT.
Dengan demikian dapat disimpulkan bahawa :
- Peranan Majlis umat berbeza dengan peranan wakil rakyat
- Tugas Wakil Rakyat memiliki peranan pemerintahan sedangkan majlis umat tidak
- Wanita boleh, bahkan merupakan hak terpenting bagi mereka, untuk bersama-sama dalam Majlis Umat untuk muhasabah penguasa, menjadi penasihatnya, dan memberi pendapat untuk bersama-sama menjaga kestabilan negara.
Wallahu ta’ala a’lam