Ketika Berdepan Perkara Syubhat

Oleh: Maryam Ismail

Seorang Muslim yang bertakwa akan sentiasa memerhatikan setiap tingkah laku dan ucapannya sesuai dengan hukum syarak. Situasi ini bertepatan dengan kaedah ushul yang masyhur, al-ashlu fî al-af’âl at- taqayyudu bi al-hukmi as-syar’iy (asal suatu perbuatan terikat dengan hukum syarak). Muslim yang bertakwa sangat hampir dengan muraqabatullah (merasakan sentiasa diperhatikan Allah). Mereka takut terjunam ke lembah kemaksiatan. Jika mereka melakukan kelalaian, kecuaian atau sebarang pelanggaran hukum syarak, mereka akan segera bertaubat dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.

Seiringan dengan itu, perkara dan perbuatan yang termasuk dalam kategori syubhat juga menjadi persoalan besar bagi seorang Muslim kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat. Maka, barangsiapa yang meninggalkan perkara yang berkemungkinan mengandungi dosa, nescaya terhadap perkara yang jelas dosa akan lebih ditinggalkannya. Barang siapa nekad melakukan hal yang syubhat, maka dikhuatirkan terjerumus dalam perkara haram. Dan barang siapa yang menggembalakan haiwan di sekitar kawasan terlarang, maka dikhuatirkan akan memasukinya” [HR Ahmad Sahih Syuib Al Arnouth]

Syubhat (kesamaran) boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu:

Pertama, syubhat terhadap sesuatu barang, iaitu keliru sama ada hukum barang tersebut haram atau mubah (dibolehkan); ataupun syubhat yang terjadi pada suatu perbuatan, iaitu kekeliruan sama ada hukum perbuatan tersebut wajib, haram, makruh, mandûb (sunat) atau mubah. Apabila berdepan situasi syubhat seorang Muslim tidak boleh mengambil barang tersebut atau melakukan perbuatan itu sampai jelas hukum terhadap barang atau perbuatan tersebut. Dalam hal ini, seorang Muslim wajib memastikan hukumnya terlebih dahulu.

Kedua, syubhat boleh berlaku apabila seorang Muslim melakukan sesuatu perbuatan yang mubah tetapi dirinya khuatir terjatuh ke dalam lembah keharaman kerana perbuatan tersebut dekat dengan keharaman atau diduga boleh membawa kepada keharaman. Sebagai contoh, syubhat timbul apabila seseorang menyimpan hartanya  di bank yang menjalankan aktiviti riba. Persoalannya, adakah boleh baginya menyimpan hartanya di bank yang terang-terang menjadikan riba sebagai sumber utama keuntungan bank tersebut?  Syubhat juga boleh terjadi kepada penjual anggur yang mahu menjual anggurnya kepada peniaga yang memiliki kilang arak. Hakikatnya, menyimpan wang di bank dan menjual anggur merupakan perbuatan yang mubah (harus). Namun begitu, yang lebih utama adalah meninggalkannya dalam rangka memelihara diri atas dorongan sifat warak.

Ketiga, sering kali masyarakat mencampuradukkan antara perbuatan yang mubah (harus) dengan perbuatan haram. Sebagai contoh, seseorang risau terhadap persepsi negatif masyarakat jika dia melalui kawasan yang penuh kerosakan seperti lalu di hadapan pusat pelacuran. Akhirnya, dia menggunakan jalan lain kerana risau dengan tanggapan masyarakat. Hakikatnya, hukum dia melalui jalan tersebut adalah mubah (harus). Namun, kerana syubhat dalam dirnya kerana bimbang akan tanggapan negatif masyarakat menyebabkan dia meninggalkan perkara mubah tersebut  walaupun dia sama sekali tidak melakukan keharaman.

Dalam konteks ini terdapat dua situasi yang perlu diperhatikan. Dalam situasi pertama, masyarakat memahami sesuatu perkara itu adalah haram seperti larangan berkhalwat dan ikhtilat, namun boleh terjadi mereka menempatkan hukum tersebut pada situasi yang salah sehingga boleh menimbulkan pintu fitnah. Maka dalam keadaan seperti ini, seseorang itu hendaklah menjauhi sesuatu perbuatan mubah yang boleh membuka ruang fitnah ke atasnya kerana khuatir masyarakat menyangka bahawa dia sedang melakukan perbuatan haram atau hendaklah dia menjelaskan kedudukan sebenar kepada orang yang sedang menyaksikannya. Situasi ini sesuai dengan hadis berikut:

Diriwayatkan dari ‘Alî ibn al-Husayn (dia menuturkan):“Bahawa Shafiyyah binti Huyay, salah seorang isteri Nabi SAW telah memberitahu kepadanya, bahawa dia telah mendatangi Rasulullah SAW untuk mengunjungi beliau, sementara Rasulullah SAW sedang melakukan ikikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Shafiyyah lantas berbual dengan Nabi SAW berberapa saat pada waktu Isyak. Selepas itu, Shafiyyah berdiri untuk pulang, maka Rasulullah pun berdiri dan menghantarnya. Ketika sampai di pintu masjid yang berdekatan dengan tempat tinggal Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, dua orang dari kalangan Anshar berlalu dekat mereka. Kedua orang itu pun mengucapkan salam kepada Nabi SAW lalu mereka kemudian bergegas pergi. Rasulullah SAW berseru kepada keduanya, “Pelan-pelan sahaja, sesungguhnya ini adalah Shafiyyah binti Huyay”. Kedua orang itu pun berkata,

“Mahasuci Allah! Duhai Rasulullah”. Apa yang dikatakan oleh Nabi SAW telah membuat keduanya merasa berdosa. Nabi SAW pun bersabda, “Sesungguhnya syaitan menggoda anak Adam melalui peredaran darahnya. Dan aku khuatir, syaitan akan menyelusupkan prasangka buruk ke dalam hati kamu berdua.” [Muttafaq ‘alayhi]. Melalui hadis ini, boleh kita fahami bahawa Rasulullah SAW telah menghilangkan syubhat yang ada dalam diri dua orang sahabat beliau dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Situasi yang kedua pula berlaku apabila masyarakat menganggap sesuatu benda atau perbuatan itu merupakan sesuatu yang haram atau makruh sedangkan  perkara tersebut tidak dilarang oleh syariat Islam. Secara jelas situasi ini adalah situasi masyarakat yang belum memahami sesuatu hukum perbuatan itu sendiri atau perbezaan pendapat dalam hal-hal fiqih. Perbuatan atau perkara yang secara jelas dibenarkan oleh syarak tidak boleh dijauhi walaupun masyarakat memandang perbuatan tersebut sebagai perbuatan yang salah. Allah SWT berfirman: “Dan kamu takut kepada manusia, sedang Allahlah yang lebih berhak untuk kamu takuti.” [TMQ al-Ahzâb (33): 37]. Daripada ayat ini jelas bahawa seorang Muslim tidak sepatutnya takut untuk melakukan perbuatan yang dibenarkan syarak kerana bimbang dengan pandang serong masyarakat. Sebaliknya hanya Allah SWT semata-mata yang layak kita takuti.

Jadi, diharapkan daripada penjelasan seputar perkara syubhat ini, boleh menjadi garis panduan bagi setiap kaum Muslim dalam berdepan perkara-perkara yang syubhat. Hal ini sudah pasti akan menjaga kita daripada kemaksiatan dan menjadikan kita orang-orang yang memiliki sifat-sifat yang mulia di sisi Allah SWT.

Wallahua’lam.