Peringatan Buat Pemimpin Yang Mengkhianati Umat Islam
Oleh: Hidayah Muhammad
Mukadimah
Hancurnya Khilafah meninggalkan seribu satu malapetaka dan penderitaan bagi umat Islam. Di setiap pelosok dunia nasib umat Islam tidak terbela terutama wanita dan kanak-kanak. Pemimpin umat Islam tidak lagi mampu menjadi pembela dan pelindung kepada mereka. Para pemimpin umat Islam tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan benar dan hanya mampu menyuarakan kecaman dan bantahan tanpa tindakan fizikal, malah menganjurkan persidangan namun tetap tunduk dan terikat dengan kuffar Barat.
Inilah yang berlaku pada pertemuan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Kali Kelapan dan wakil Liga Arab yang dilaksanakan di Riyadh pada 11 November 2023. Hasil sidang kemuncak ini berakhir hanya sebatas memaksa Zionis untuk segera menghentikan jenayah perang atas Palestin, seterusnya memaksa Amerika dan sekutunya untuk menghentikan segala bentuk dukungan mereka kepada Zionis. Pemimpin umat Islam sekadar membantah, mengecam, menuntut dan mencadangkan. Kerana itulah dikatakan, “Israel boleh tidur nyenyak selepas mendengar ucapan pemimpin Islam yang hadir pada persidangan tersebut.”
Inilah realiti umat Islam pada hari ini, walaupun jumlahnya ramai tetapi tidak mampu untuk menakutkan apalagi mengalahkan musuh. Umat Islam umpama hidangan yang dikerumuni oleh serigala yang buas dan diterkam bila-bila masa.
Rasulullah SAW bersabda, “Hampir saja bangsa-bangsa memangsa kalian sebagaimana orang-orang lapar menghadapi meja penuh hidangan.” Seseorang bertanya, “Apakah jumlah kami saat itu sedikit”? Beliau menjawab, “Bahkan jumlah kalian saat itu banyak, tetapi kalian seperti buih di lautan. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari dada musuh kalian, dan sungguh Allah pun akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati kalian.” Lalu seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, apa itu wahn? Beliau menjawab, “Cinta dunia dan benci kematian.” [HR Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud dari Tsauban RA]
Agenda Barat dalam Memecah-belahkan Kesatuan Umat Islam
Barat akan sedaya upaya untuk memecah-belahkan umat Islam dengan memastikan sentimen nasionalisme terus subur di benak umat Islam agar kesatuan umat Islam tidak terealisasi. Negeri-negeri Muslim terpisah-pisah kepada lebih daripada 50 negara kerana wujudnya sempadan negara-bangsa (nasionalisme). Akibatnya, kaum Muslimin menjadi lemah walaupun jumlahnya sangat ramai. Semangat persaudaraan Islam pula diracuni dengan perjuangan ashobiyyah (perkauman).
Pemimpin umat Islam pula dijadikan sebagai boneka agar agenda mereka tercapai sekaligus menjaga sistem peninggalan penjajah (Barat) di negeri masing-masing sehingga kehidupan umat jauh daripada landasan syariat Islam. Mereka sendiri yang menjadi gunting dalam lipatan yang menyebabkan bukan hanya penderitaan dan kezaliman bahkan segala macam kerosakan dari setiap aspek kehidupan.
Pemimpin dalam Islam
Pemimpin dalam Islam adalah pelindung dan penjaga bagi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang imam (khalifah) laksana perisai. Dia akan dijadikan pelindung dan orang-orang akan berperang di belakangnya.” [HR Muttafaq ‘alaih]
Menjadi pemimpin bukanlah kerja mudah kerana perlu memikul amanah sebagai raa’in (pengurus rakyat).
“Imam (Khalifah) adalah raa’in (pengurus rakyat) dan ia bertanggung jawab atas pengurusan rakyatnya” [HR al-Bukhari]
Seorang pemimpin itu dikatakan amanah dalam mengurus rakyatnya apabila dapat melaksanakan tanggungjawab dengan menerapkan syariat Islam dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan dalam konteks negara. Namun apabila seorang pemimpin tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagaimana sepatutnya, maka mereka dianggap sebagai pemimpin yang khianat kerana telah melakukan pengabaian terhadap urusan umat. Rasulullah SAW bersabda,
“Tidaklah seorang penguasa diserahi urusan kaum Muslim, kemudian ia mati, sedangkan ia mengabaikan urusan tersebut, kecuali Allah mengharamkan syurga untuk dirinya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Terkait dengan hadis ini, Imam Fudhail bin Iyadh menuturkan, “Hadis ini merupakan ancaman bagi sesiapa sahaja yang diserahi Allah SWT untuk mengurus urusan kaum Muslimin, baik urusan agama mahupun dunia, kemudian dia berkhianat kerana menyimpang daripada memenuhi urusan itu.
Jika seseorang berkhianat dengan sengaja terhadap suatu urusan yang telah diserahkan kepadanya maka dia telah melakukan dosa yang besar dan ini menjauhkannya dari syurga. Pengabaian yang dimaksudkan itu adalah dengan sengaja tidak melaksanakan urusan agama terhadap umat, tidak menjaga syariat Allah daripada unsur yang boleh merosakkan kesuciannya, mengubah makna ayat Allah dan mengabaikan hudûd (hukum Allah). Pengabaian juga boleh wujud dalam bentuk pengabaian terhadap hak umat, tidak menjaga keamanan dan kesejahteraan mereka, tidak berjihad untuk mengusir musuh dan tidak menegakkan keadilan di tengah-tengah mereka. Setiap orang yang melakukan hal ini dipandang telah mengkhianati umat.” [Imam an-Nawawi, Syarah Shahîh Muslim].
Khatimah
Pada hari ini, kita tidak melihat adanya sosok pemimpin yang diharapkan dapat membela nasib umat Islam dan tidak ada pemimpin yang amanah dan bertangungjawab dalam menerapkan hukum-hukum yang Allah SWT telah turunkan. Yang ada hanyalah pemimpin boneka yang tunduk patuh pada kuffar Barat sehingga mereka menjadi pengkhianat terhadap umat Islam. Mereka seolah-olah tidak takut dengan azab seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Dari Abu Sa’id al-Kudri, Rasulullah (saw) bersabda,
“Setiap pengkhianat diberi panji pada Hari Kiamat yang diangkat sesuai kadar pengkhianatannya. Ketahuilah, tidak ada pengkhianat yang lebih besar pengkhianatannya daripada pemimpin masyarakat (penguasa).” [HR Muslim, Ahmad, Abu ‘Awanah dan Abu Ya’la]
Rujukan
https://muslimahhtm.com/2022/11/18/sn618-pemimpin-amanah-vs-pemimpin-khianat/