SN646 – Membela Kemuliaan Ramadhan Dengan Khilafah
Bil: SN646 (PDF/Print) – 19 Ramadhan 1445 / 29 Mac 2024
Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan. Namun bagi sebahagian kaum kuffar, mereka sentiasa berdendam dan tidak pernah leka untuk mengambil kesempatan di bulan ini mencari peluang menghina dan merendah-rendahkan Islam. Hampir setiap bulan Ramadhan, ada sahaja isu penghinaan Islam, samada terhadap kesucian kalimah Allah mahupun keperibadian Nabi Muhammad SAW.
Isu terbaru yang melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah telah membakar sensitiviti umat Islam, namun ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku di Malaysia. Pernah suatu ketika dahulu seorang individu bukan Islam bersikap biadap ‘berpura-pura’ berbuka puasa dengan hidangan Bak Kut Teh. Itu belum lagi mengira penghinaan yang begitu banyak berlaku di media sosial namun tidak dilaporkan.
Mengapakah penghinaan ke atas kesucian agama Islam berlaku berulang kali? Kaum kuffar seolah-olah tidak takut walaupun terdapat undang-undang yang melarang dari perbuatan tersebut dilakukan. Apa yang mampu dilakukan oleh umat Islam hanyalah meminta pelaku untuk meminta maaf. Setelah begitu banyak penghinaan sedemikian berlaku dan terus berlaku berulang-ulang kali, jelaslah permintaan maaf tentunya tidak memadai.
Realiti kelemahan umat Islam sehingga kaum kuffar tidak takut mencaci dan mempermainkan ajaran Islam bukan hanya berlaku di Malaysia, malah umat Islam di seluruh dunia dipandang lemah dan tidak berdaya. Disebabkan itulah penghinaan dan pelecehan terus dilakukan oleh pihak kuffar ke atas umat Islam. Krisis terbaru di Gaza dan kegagalan negara-negara umat Islam untuk membantu kaum Muslimin di sana merupakan episod terbaru yang memanifestasikan kelemahan umat Islam hari ini. Akar permasalahan ini boleh dilihat dari perpecahan yang sedang berlaku di dunia Islam. Kaum Muslimin terpecah kepada lebih 50 buah negara bangsa yang lemah dan terpaksa tunduk dan bergantung kepada Barat dalam pelbagai aspek kehidupan.
Semuanya secara jelas termanifestasi setelah runtuhnya Khilafah Islamiyyah 100 tahun yang lalu. Sebelum kejatuhan entiti politik yang menyatukan kaum Muslimin selama lebih 13 abad ini umat Islam memiliki perisai yang mempertahankan dan membela kemuliaan dan kesatuannya. Bahkan, meskipun ketika Khilafah berada dalam keadaan lemah, kaum kuffar masih gerun dengan kekuatan penyatuan umat Islam.
Pada akhir 1800, Perancis dan Britain terpaksa membatalkan pementasan teater yang menghina Rasulullah SAW setelah menerima amaran keras daripada Sultan Abdul Hamid II. Amaran daripada Amirul Mukminin itu sangat difahami oleh British sehingga mereka gerun dengan laungan jihad yang akan mencetuskan kebangkitan penentangan umat Islam di seluruh penjuru dunia menyahut seruan sang Khalifah. British telah dapat membayangkan kebangkitan umat berganding bahu dan bersatu untuk menyerang semua kepentingan British di seluruh dunia. Ini sudah tentu akan mengakibatkan masalah bagi kerajaan British sehingga mereka segera mengarahkan pihak penganjur untuk menghentikan pementasan tersebut. Itulah yang dimaksudkan dengan kekuatan penyatuan umat Islam di bawah Khilafah. Namun hari ini, tiada lagi perasaan gerun di hati pihak kuffar kerana pemimpin yang akan melaungkan Jihad itu sudah tiada.
Kembalinya Khilafah Adalah Satu Kepastian
Walaupun dari segi politik umat Islam dipecahkan oleh Barat melalui agen-agennya, namun, dari segi ruhiyah, umat Islam terus bersatu. Oleh itu, yakinlah, usaha ke arah penyatuan umat Islam akan terus berlaku sehingga ia tercapai.
Dengan jumlah umat Islam mencecah 2 billion dan tentera umat Islam berjumlah lebih dari 3.5 juta orang [https://www.worldatlas.com/society/the-largest-armies-in-the-world.html], pastinya ini merupakan sebuah kekuatan yang luar biasa dan akan menggentarkan mana-mana musuh Islam apabila Khilafah kembali tertegak. Penyatuan umat Islam adalah suatu yang tidak dapat dielakkan lagi, sesuai dengan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.”
[Al-Mukminun (23) : 52]
Sejak revolusi Arab, sebilangan besar umat Islam meneruskan usaha untuk menuntut agar kegemilangan masa lalu kembali. Mereka mengimpikan Umar al-Farouq, Umar bin Abdul-Aziz, Salahuddin al-Ayyubi, Saqr Quraisy, Harun Ar-Rasyid dan lain-lain. Mereka mendambakan kekuatan, maruah, keadilan dan kekuatan sehingga umat terbaik yang pernah dilahirkan di kalangan manusia akan kembali. Sang Khalifah, pemerintah yang adil akan kembali dan umat Islam akan bersatu selepas perpecahan dan kembali sebagai satu Umat dan satu tubuh – lepas bebas dari penjajahan yang selama ini memisahkan dan mengoyakkannya kepada pelbagai negeri dan etnik yang memudahkan pihak kuffar membahamnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…Sebab serigala hanya makan binatang yang tersesat.”
[HR Abu Dawud]
Hari ini, begitu banyak negara kaum Muslimin yang dijajah dan dimusnahkan. Dan kaum Muslimin semuanya merintih dan memerlukan pembelaan Khilafah!
Hanya dengan Khilafah umat Islam akan benar-benar terbela dan kesatuan serta kemuliaannya akan dipertahankan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya imam adalah [seperti] perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya, dan digunakan sebagai perisai.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Setelah penyatuan, seluruh dunia Islam akan menjadi sebuah negara tanpa sempadan dan halangan. Ikatan akidah adalah satu-satunya asas negara menggantikan ikatan patriotisme, nasionalisme dan ikatan lain yang lemah. Barat menyedari prospek ini dan tidak pernah berhenti melontarkan pelbagai idea dan fahaman berorientasikan Islamophobia serta menempelkan pelbagai label negatif terhadap kaum Muslimin seperti ekstremis, terroris dan fundamentalis. Ini ditambahkan lagi dengan pengakuan daripada Patrick Buchanan iaitu bekas penasihat Presiden Ronald Reagan di dalam artikelnya yang bertajuk; “An Idea Whose Time Has Come” telah meramalkan kembalinya pemerintahan Islam di kalangan negara-negara umat Islam dan bagaimana Amerika seharusnya sudah mempunyai polisi untuk menghadapinya nanti [https://original.antiwar.com/buchanan/2006/06/23/an-idea-whose-time-has-come/, dirujuk pada 25hb Mac 2024].
Umat Islam memerlukan seorang pemimpin yang akan menyatukan mereka secara politik. Dan apabila mereka disatukan, pemimpin inilah yang akan menggerakkan tentera umat Islam untuk membela kaum Muslimin. Sang pemimpin ini akan menyatukan segala sumber kekayaan dunia Islam di bawahnya dan memastikan kekuasaannya menjaga segala kepentingan kawasan dan laluan strategik di wilayah umat Islam yang menjadi kebergantungan kuasa-kuasa Barat. Justeru, penguasaan geopolitik dan sumber kekayaan dunia Islam ini membolehkan Khilafah meletakkan pedang ke leher musuh-musuhnya kerana mereka amat bergantung kepada sumber alam dan laluan strategik yang berada di wilayah kaum Muslimin. Dalam masa yang singkat, kuasa politik dan ekonomi akan kembali ke tangan umat Islam dan ini akan menanamkan rasa gerun musuh dan menjadikan kaum Muslimin dihormati dan disegani.
Kesimpulan
Penghinaan dan pelecehan ke atas kesucian agama Islam tidak pernah ada kesudahan. Isu seperti kalimah Allah pada stoking, genosida di Gaza dan penguasaan Barat atas dunia Islam akan terus menghantui kaum Muslimin selama mana Islam tidak ditempatkan di kedudukan yang tertinggi. Hakikatnya, penghinaan berterusan ke atas kesucian Islam bukanlah diakibatkan oleh ‘kurangnya kesedaran’ golongan bukan Islam terhadap Islam. Namun, apa yang sebenarnya berlaku adalah umat Islam tidak lagi digeruni kerana Islam sebagai Deen tidak lagi diletakkan di kedudukan yang tertinggi – Islam tidak lagi diterapkan secara kaffah dan perpecahan umat Islam dilihat sebagai satu kelemahan.
Kembalinya Khilafah membolehkan Islam diterapkan secara kaffah dan umat Islam kembali berkuasa dan memimpin dunia. Umat Islam akan kembali digeruni dan ditakuti di hati musuh. Namun hari ini, kegerunan tersebut telah dicabut dari hati musuh. Islam hanya boleh diterapkan secara kaffah dan dilindungi oleh Khilafah. Benarlah apa yang dikatakan Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-qtisad fi al-I’tiqad bahawa agama dan kekuasaan adalah dua saudara kembar. Agama adalah dasar dan kekuasaan adalah penjaganya. Segala sesuatu yang tidak memiliki penjaga (tidak ada Khilafah) nescaya akan menghilang.
PEDULI PALESTIN
Bantuan Sebenar Untuk Gaza Bukanlah Dengan Airdrop Tetapi Dengan Mobilisasi Tentera Kaum Muslimin!
Ketika ini ramai umat Islam di Gaza sedang menghadapi kebuluran dan ada yang sudahpun terkorban kerana kekurangan zat makanan akibat genosida yang dilakukan oleh entiti haram Yahudi. Entiti haram Yahudi dengan kerjasama pemerintah Mesir yang khianat telah menutup jalan masuk ke Gaza agar bantuan tidak boleh disalurkan. Atas sebab itu, banyak negara termasuk Malaysia memilih untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza secara Airdrop (bantuan digugurkan dari udara) dengan kerjasama pemerintah Jordan.
Tidakkah mereka nampak dengan jelas bagaimana tentera entiti haram Yahudi menembak dan membunuh penduduk yang berkumpul menunggu airdrop beberapa minggu lepas? Bukankah mereka melihat penduduk yang syahid kerana dihempap oleh bantuan yang di gugurkan dari udara? Lantas mengapa masih memilih untuk memberi bantuan secara airdrop?
Sudah terang lagi bersuluh, seluruh dunia mengetahui dengan jelas bahawa halangan utama dalam misi penghantaran bantuan kepada umat Islam di Gaza adalah entiti haram Yahudi itu sendiri yang dilindungi oleh penaungnya, Amerika Syarikat. Ia ditambah lagi dengan tindakan Mesir yang bersengkokol untuk menutup laluan darat. Bukankah cara paling efektif untuk membantu penduduk Gaza adalah dengan meruntuhkan halangan tersebut?
Benar, umat Islam di Gaza perlu dibantu melalui penghantaran makanan dan ubat-ubatan, namun, sebarang bentuk bantuan akan pasti menghadapi berbagai halangan selagi bumi Palestin tidak bebas dari penjajahan Yahudi zionis. Bumi Palestin yang diberkati akan hanya dapat dibebaskan melalui jihad; melalui mobilasi tentera kaum Muslimin dari negara-negara umat Islam yang berdekatan. Dengan kekuatan tentera negara-negara kaum Muslimin yang berdekatan sahaja sudah cukup untuk meruntuhkan halangan tersebut dan melenyapkan sama sekali entiti haram itu, bak kata pepatah, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Menteri Pertahanan dan panglima tentera Malaysia sewajarnya mendesak rakan-rakan sejawat mereka di negara-negara umat Islam berdekatan Palestin agar memilih solusi paling efektif – jihad fisabilillah untuk membantu Palestin, bukan memilih solusi yang tidak akan sama sekali menyelesaikan pokok permasalahan di tanah yang diberkati itu. Wahai para pemimpin tentera baik di Malaysia mahupun di negara-negara Arab, sekiranya kalian membantu kaum Muslimin Palestin di jalan Allah dengan sebenar-benar bantuan, maka Allah SWT akan memperkukuhkan kedudukan kalian di muka bumi ini!!
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
”Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
[Muhammad (47) : 7]