Kecoh dengan kasino baru, yang sedia ada macam mana?
Sudah lebih dua minggu politik Malaysia panas dengan isu cadangan pembinaan kasino baru di Forest City. Ada laporan berita menyebut bahawa Perdana Menteri Malaysia sedia mempertimbangkan pembinaan kasino tersebut dan perbincangan mengenainya telah pun berjalan dengan tokey judi terbesar di Malaysia, dan turut dihadiri oleh wakil Sultan Johor.
Bagaimana pun, ia telah dinafikan oleh orang nombor satu Malaysia itu, dan beliau mengancam untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebarkan fitnah tersebut. Sama ada benar atau salah, hanya Allah dan orang-orang yang terlibat sahaja mengetahuinya.
Kemarahan PMX memang wajar jika berita tersebut adalah fitnah, kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin yang membawa imej Islam, malah, ia boleh menjadikannya sebagai ex-PM dalam pilihan raya akan datang.
Baguslah jika beliau memang marah kerana tidak suka kepada perkara haram tersebut. Tetapi persoalannya, kenapa hanya marah dengan pembinaan kasino baru, kenapa tidak marah dengan kesemua kasino yang sedia ada?
Jika benar tidak mahu membina kasino baru atas dasar keharaman, kenapa tidak dihapuskan kesemua kasino sedia ada yang telah lama beroperasi secara haram dari segi syarak kat Malaysia ini?
Begitu juga dengan segala pub, disko dan perbankan ribawi yang kesemuanya adalah haram, yang seharusnya menjadi kemarahan PMX, dan seharusnya dihapuskan segera. Jadi, jangan hanya melenting apabila dituduh ingin membina kasino baru, lihatlah kasino sedia ada, dan lihatlah segala keharaman lainnya yang berlambak ada kat bumi Malaysia ini, marahlah, melentinglah dan hapuskanlah kesemuanya dengan segera!
Begitu juga dengan pihak pembangkang atau siapa pun yang menambahkan petrol ke dalam api dalam isu ini, jangan hanya melihat kepada isu kasino baru yang belum tentu berdiri atau tidak, tetapi lihatlah kepada kasino sedia ada yang sudah lama megah berdiri di bumi Malaysia ini, yang seharusnya “dirobohkan” kerana keharamannya.
Tugas kita sebagai umat Islam ialah untuk terus memuhasabah dan menasihati penguasa yang tidak berhukum dengan Islam. Apabila kita telah menjalankan tugas ini, maka Alhamdulillah selesailah satu tanggungjawab. Namun, ia tidak terhenti di situ, kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar lagi untuk menggantikan pemerintahan yang tidak menerapkan Islam ini, dengan sebuah pemerintahan Islam (Khilafah) yang akan menerapkan Islam secara kaffah.
Wallahu a’lam.