Malaysia Madani bakal “diserikan” dengan kasino Sarawak?

Isu mengenai pembukaan sebuah kasino di Sarawak timbul pada Mac lalu susulan kejayaan kerajaan negeri mengambil alih semula tanah yang dicadang untuk pelaksanaan projek pusat peranginan Borneo Highlands.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rancangan pembangunan pusat peranginan Borneo Highlands adalah pelbagai dan bukannya terhad kepada kasino sahaja, yang mana ia turut merangkumi taman hiburan dan padang golf. “Kasino mungkin menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Mengulas mengenai bantahan oleh sesetengah pihak terhadap cadangan tersebut, beliau berkata bahawa tidak ada salahnya untuk menubuhkan kasino kerana Sarawak bukan hanya untuk orang Islam.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang turut membidas kenyataan pengkritik yang menggunakan alasan agama sebagai bantahan terhadap pembinaan kasino tersebut berkata, pengkritik seharusnya mencontohi beberapa negara di Timur Tengah yang turut mempunyai kasino walaupun sebahagian besar rakyatnya beragama Islam.

Walaupun kerajaan Sarawak masih belum memuktamadkan pembinaan kasino tersebut, namun keinginan ke arah tersebut sudah jelas kelihatan. Jadi, jika ia benar-benar berdiri nanti, tidak ada apa-apa yang akan mengejutkan pun. Apatah lagi melihat kepada hakikat bahawa kedai-kedai nombor ekor dan kedai judi yang sememangnya telah lama wujud baik di Sarawak atau di negeri-negeri lain di Malaysia, yang tidak ada bezanya dengan kasino, kecuali dari segi saiznya sahaja.

Begitulah jijiknya sistem demokrasi, sebuah sistem yang berasal dari Barat, yang bercanggah dengan Islam, yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia yakni hak membuat hukum itu ada di tangan manusia. Di bawah sistem kufur ini, manusialah yang menentukan baik dan buruk, terpuji dan tercela serta halal dan haram. Agama tidak ada peranannya dalam mengatur negara, malah agama tidak dibenarkan untuk campur tangan sama sekali dalam urusan pengaturan negara.

Justeru, apa sahaja yang diharamkan oleh agama, tidak kiralah agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain, semua itu tidak ada pengaruh atau kesannya bila berbicara mengenai pembuatan peraturan, kerana semua agama tidak boleh masuk campur, dan akal manusialah yang menjadi penentu kepada segala peraturan dalam bernegara.

Walaupun Islam dengan sangat tegas mengharamkan judi, namun apabila pembuat undang-undang daripada kalangan manusia mahukannya, maka judi menjadi halal. Begitulah realiti dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, baik negara puak kuffar atau negara kaum Muslimin, judi boleh wujud dengan cukup mudah apabila para pemerintah mahukannya. Lesen untuk menghalalkan judi, malah lesen untuk menghalalkan apa sahaja yang diharamkan oleh Allah, ada di tangan penguasa.

Atas dasar itu kita menyaksikan di Malaysia betapa suburnya kedai-kedai judi, kedai-kedai arak, transaksi ribawi dan lain-lain keharaman, yang semua itu telah lama wujud bukan sahaja dalam ranah individu, tetapi dalam skala “industri” yang diberi lesen oleh pemerintah.

Sudah tidak terkata jumlah “bala” yang diundang oleh pemerintah! Sesungguhnya kemaksiatan itu, jika dilakukan oleh individu sahaja sudah mengundang murka dan bala daripada Allah (swt), apatah lagi bila dilakukan oleh negara!

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan (kemaksiatan) manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30): 41].

Sudah bermacam-macam kerajaan yang “berbau” Islam bersilih ganti, dengan kerajaan Islam Hadharinya, kerajaan Melayu-Islamnya, dan kini kerajaan Malaysia Madaninya, namun kesemua kemaksiatan tersebut bukan sahaja tidak pernah dihapuskan, malah ada yang semakin subur di bawah pemerintahan mereka!

Sungguh memalukan bagi sebuah negara yang mengaku kononnya berpegang kepada Ahlu Sunnah Wal Jamaah, namun realitinya dipenuhi dengan pusat perjudian, kilang-kilang arak, perbankan ribawi dan lain-lain. Entah dari manakah ajaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang membenarkan itu semua?!

Sungguh hal ini menunjukkan kepada kita dua perkara:

Pertama: tidak ada seorang pemimpin atau satu kerajaan pun yang benar-benar serius ingin menghapuskan segala kemaksiatan tersebut, lalu mengatur negara ini dengan syariah.

Kedua: Sistem yang mengatur negara ini mesti ditukar, daripada sistem sekular-demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, kepada sistem Islam yang meletakkan kedaulatan di tangan syarak.

Selagi kedua-dua perkara tersebut masih bersifat status quo, maka selagi itulah kemaksiatan akan terus merajalela.

Sesungguhnya Allah (swt) telah menurunkan Islam sebagai sebuah agama yang mengatur bukan sahaja individu, tetapi juga masyarakat dan negara secara komprehensif. Malangnya kini kita mempunyai penguasa yang terus berdolak-dalik untuk melaksanakan Islam ke dalam kehidupan, lalu mereka menentukan halal dan haram berdasarkan akal semata-mata.

Walaupun kita belum tahu sama ada projek kasino ini akan dilaksanakan atau tidak, namun berdasarkan kenyataan dan kehendak beberapa orang pemimpin kerajaan, khususnya di Sarawak sendiri, ternyata hasrat ke arah itu sangat tinggi.

Jika ternyata dilaksanakan, maka kerajaan Malaysia Madani bakal “diserikan” dengan pusat perjudian besar terbaru di tanah air. Apakah ini yang dimaksudkan sebagai “perubahan ke arah kebaikan” yang terdapat dalam salah satu teras Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh PMX?

Wallahu a’lam.