Undang-undang pertukaran agama sepihak gadai akidah umat Islam
Mahkamah Persekutuan pada hari ini (14/04/2024) telah memutuskan yang tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar agama mereka secara unilateral (sepihak) oleh bapa mereka sebagai kekal bukan beragama Islam.
Keputusan tersebut disampaikan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, secara sebulat suara. Mahkamah tertinggi di Malaysia itu menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), dan tiga yang lain, untuk mengembalikan status agama Islam terhadap ketiga-tiga anak tersebut, yang telah diIslamkan pada tahun 2020 oleh bapa mereka, Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Sebagai Muslim, sudah pasti kita tidak akan bersetuju dengan keputusan mahkamah ini, kerana persoalan akidah adalah persoalan mendasar yang tidak boleh dikompromi dengan apa pun. Akidah merupakan persoalan harga mati bagi setiap Muslim.
Namun demikian, keputusan telah pun dibuat oleh sebuah mahkamah yang berhukum dengan hukum sekular yang mengikat setiap rakyat di negara ini. Bagaimana pun, kita tetap berharap yang ketiga-tiga anak tersebut dapat mempertahankan i’tiqad dan amalan mereka, walau sekecil apa pun harapan yang ada. Sekiranya mereka dapat mempertahankan i’tiqad mereka, maka insya Allah mereka tetap Muslim walaupun keputusan mahkamah adalah sebaliknya.
Sesungguhnya akidah seseorang Muslim itu ditentukan oleh apa yang terkandung di dalam hatinya, bukannya apa yang terkandung di dalam kad pengenalan atau pun keputusan mahkamah.
Dalam keputusannya, Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais berpendapat bahawa tiada sebab untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi.
Mahkamah di dalam kes Indira Ghandi telah menafsirkan perkataan “parents” sebagai bermakna ibu dan bapa, yang sekali gus menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu diperolehi sebelum anak di bawah umur ditukar agama. Inilah kedudukan undang-undang sekarang.
Walaupun dari segi undang-undang boleh sahaja bagi Mahkamah Persekutuan untuk menyemak dan menukar semula keputusan mereka sekiranya mereka ingin berbuat demikian, namun ternyata dalam kes ini mahkamah tidak berminat untuk berbuat demikian.
Samalah juga dengan kerajaan yang boleh sahaja meminda perlembagaan untuk membenarkan pertukaran agama sepihak ke atas anak-anak yang belum cukup umur, namun demikian ternyata kerajaan tidak berminat untuk berbuat demikian. Sekiranya kerajaan berminat, sudah pasti ia berbuat demikian sejak kes Indira Ghandi, atau sebelum itu lagi.
Jika kerajaan sebelum ini mungkin berdalih dengan alasan tidak cukup sokongan, namun kerajaan Madani sekarang ini memiliki sokongan lebih daripada dua per tiga dewan, yang membolehkan mereka meminda perlembagaan yang akan berpihak kepada Islam, jika mereka mahu. Jadi, kita tunggu dan lihat sama ada kerajaan Madani akan melakukan sesuatu demi menjaga akidah umat Islam di negara ini.
Walaupun kita yakin bahawa persoalan akidah (mahupun hukum syarak) bukanlah persoalan yang penyelesaiannya melalui pindaan perlembagaan atau penggubalan undang-undang, namun kita boleh menilai keseriusan kerajaan dalam mempertahankan akidah umat Islam melalui tindakan mereka di Parlimen.
Selain itu, kita juga boleh melihat samada terdapat ahli-ahli parlimen pembangkang khususnya yang sering melaungkan Islam, yang akan memulakan sesuatu di parlimen dalam isu ini. Selama ini mereka begitu yakin bahawa parlimen boleh menjadi jalan untuk memartabatkan Islam. Jadi, kita sama-sama tunggu dan lihat apakah tindakan mereka selanjutnya, walaupun kita sudah boleh mengagak apakah keputusannya.
Kedudukan terbaru kes tiga orang anak ini sesungguhnya telah menambah senarai panjang bukti-bukti dan hakikat akan kegagalan sebuah negara sekular dalam mempertahankan akidah umat Islam.
Islam menetapkan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad, yang menunjukkan betapa pentingnya “harga” sebuah keimanan di sisi Islam yang tidak boleh dipandang remeh oleh siapa pun, apatah lagi oleh pemerintah. Sungguh betapa bahayanya keadaan ini bagi umat Islam, kerana tergadainya akidah walaupun hanya seorang Muslim, konsekuensinya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
Sesungguhnya tidak ada cara lain untuk menukar keadaan yang buruk ini kecuali undang-undang sekular ini wajib diganti dengan undang-undang Islam, dan tidak cara lain untuk menyelesaikan perkara ini kecuali kita wajib memiliki sebuah negara yang menerapkan Islam secara kaffah.
Kita wajib berusaha untuk mendirikan Khilafah, sebuah negara yang berdiri atas akidah Islam, dan akan menjaga akidah umat Islam di sepanjang masa. Dengan kewujudan negara ini, bukan sahaja akidah umat Islam akan terjaga, malah kita akan menyaksikan orang-orang kafir akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Islam insya Allah.
Wallahu a’lam.