Haram berurusniaga dengan ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan
Apa pun penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia mengenai penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki oleh BlackRock, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan entiti Yahudi, semuanya tidak boleh diterima.
Ini kerana asas urusniaganya adalah haram. Maka apa jua justifikasi yang cuba diberikan untuk membenarkan urusniaga ini, keharamannya tetap kekal, kerana suatu yang haram tidak akan menjadi “halal” melainkan ada nas yang mengecualikannya.
Walapun Malaysia tidak diperintah menurut Sistem Pemerintahan Islam, ia tetap tertakluk kepada hukum syarak kerana ketua negaranya beragama Islam. Siapa pun yang mengkaji fiqh mengenai hubungan antara dua negara iaitu antara negara umat Islam dan negara orang-orang kafir, akan mendapati bahawa tindakan yang dilakukan oleh PMX adalah bercanggah dengan syarak.
Bukanlah suatu yang susah untuk memahami hukum Islam dalam hal perdagangan antarabangsa ini. Kesemua negara di dunia, sejak diutusnya Rasulullah (saw) hingga kiamat, hanya dibahagi kepada dua sahaja iaitu Negara Islam dan Negara Kufur.
Negara kufur pula terbahagi kepada dua, tergantung kepada statusnya terhadap Negara Islam. Kesemua negara kufur juga dikenali sebagai Darul Harbi. Jika negara kufur tidak berada dalam keadaan perang dengan Negara Islam atau umat Islam, maka ia termasuk kategori ad-Daulah al-Muharibah Hukman. Manakala jika ia sedang dalam keadaan berperang dengan Negara Islam atau umat Islam, maka ia termasuk dalam kategori ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan.
Bagi ad-Daulah al-Muharibah Hukman, Negara Islam boleh mengadakan apa jua bentuk perjanjian dengan mereka selama mana perjanjian tersebut tidak menyalahi syarak seperti perjanjian perdagangan, diplomatik, pendidikan, tele-komunikasi dan sebagainya.
Manakala bagi ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan, Negara Islam langsung tidak boleh mengadakan apa-apa perjanjian dengan mereka, kerana realitinya kita sedang berada dalam keadaan perang dengan mereka. Satu-satunya perjanjian yang dibenarkan dengan ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan hanyalah perjanjian gencatan senjata. Itu pun mesti bersifat sementara.
Apa yang jelas lagi nyata ialah entiti Yahudi dan Amerika merupakan dua negara yang termasuk dalam kategori ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan. Maka sebarang bentuk perjanjian sama ada ekonomi, perdagangan, politik, pendidikan, transportasi, tele-komunikasi dan sebagainya adalah haram untuk dijalin dengan mereka.
Baik Negara Islam mahupun individu/syarikat dalam Negara Islam, semuanya tidak dibenarkan menjalin apa-apa perjanjian dengan ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan ataupun dengan individu/syarikat dalam negara harbi tersebut.
Malah, rakyat negara mereka tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Islam, kecuali jika mereka datang untuk meminta perlindungan dan mendengarkan Kalamullah (mempelajari Islam), atau datang untuk menjadi kafir dzimmi yang akan menetap dalam Negara Islam dengan membayar jizyah dan tunduk kepada segala hukum-hakam Islam. Firman Allah (swt):
وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui” [At-Taubah (9): 6].
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [At-Taubah (9): 29].
Begitulah hukum Allah (swt) terhadap ad-Daulah al-Muharibah Fi’lan yang sedang berada dalam keadaan peperangan dengan umat Islam, yakni kita wajib memerangi mereka dan tidak boleh mengadakan apa-apa hubungan dengan mereka.
Di dalam kitab an-Nidzam al-Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekonomi Dalam Islam), Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa perjanjian dagang atau apa jua perjanjian lainnya dengan musuh Islam, apatah lagi perjanjian yang boleh memperkuatkan mereka, ini bermaksud tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Sedangkan hal ini dilarang oleh Allah (swt). Firman-Nya:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan” [Al-Ma’idah (5): 2]
Justeru, menjual saham atau memberi apa-apa pegangan ekuiti kepada musuh Islam sehingga mendatangkan keuntungan yang besar kepada mereka, atau memberi hak pengurusan kepada mereka dalam urusan kita, semua ini hanya menambahkan lagi kekuatan kepada mereka untuk menguasai, malah memerangi kita. Sedangkan firman Allah (swt),
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].
Dengan dalil yang begitu jelas dan tegas mengharamkan kita untuk menjalin hubungan baik dengan kafir harbi fi’lan, bagaimana mungkin Perdana Menteri Malaysia tidak menghiraukan semua itu?
Semua transaksi yang dijalin oleh kerajaan Malaysia dengan BlackRock menggambarkan betapa manfaat duniawi lebih diutamakan oleh kerajaan berbanding perintah Allah (swt). Ia juga menggambarkan ketundukan Malaysia kepada Amerika dan hilangnya sudah segala sensitiviti terhadap saudara-saudara seakidah di Palestin yang sedang dibantai oleh kaum Yahudi la’natullah dengan bantuan penuh daripada Amerika, yang antara bantuannya jelas datang daripada BlackRock.
Umum mengetahui bahawa isu BlackRock bukanlah melibatkan PMX semata-mata, tetapi ia juga melibatkan PMIX dan PM-PM sebelum ini, kerana hakikatnya syarikat yang ada kepentingan dengan Yahudi itu telah lama pun bertapak di Malaysia, dan telah mengaut keuntungan puluhan bilion hasil kerjasama ekonomi dengan kerajaan Malaysia..
Apa lagi yang boleh dikatakan mengenai hal ini jika bukan satu pengkhianatan? Semoga umat Islam semakin mengenali penguasa mereka dan mengenali pengkhianatan para penguasa ini terhadap Allah, Rasul-Nya, kaum Mukminin dan juga terhadap Tanah Palestin Yang Diberkati.
Sungguh, tidak ada jalan lain lagi bagi umat Islam jika ingin melihat Palestin merdeka, jika ingin melihat Yahudi dan Amerika dikalahkan, jika ingin dinaungi oleh hukum yang datangnya dari wahyu – satu-satunya jalan ialah dengan berusaha menegakkan kembali ad-Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah, sebuah negara yang pernah menjadi super power dunia suatu waktu dulu, dan bakal kembali menjadi super power untuk kali yang kedua berdasarkan janji Allah dan Rasul-Nya insya Allah.
Wallahu a’lam.