Hak Fasakh Bagi Wanita Dalam Perkahwinan

Farisha Aris

Memang benar talak terletak di tangan suami dan merupakan haknya. Ini bermakna kuasa talak berada pada suami sebagai ketentuan asal yang mutlak tanpa dibatasi dengan situasi dan keadaan. Seorang suami boleh menjatuhkan talak tanpa sebab. Namun, seorang isteri juga berhak menceraikan dirinya dalam keadaan tertentu, sebagaimana yang dinyatakan oleh syariat. Syarak membenarkan wanita menuntut fasakh (pembatalan ikatan pernikahan) dalam keadaan-keadaan berikut:

1) Jika suami meletakkan kuasa talak di tangan isteri. Dalam situasi ini, isteri boleh menceraikan dirinya berdasarkan hak yang diberikan oleh suami. Ini dibenarkan kerana Rasulullah SAW pernah memberikan pilihan (khiyar) kepada isterinya (untuk bercerai atau tidak), dan adanya Ijma’ Sahabat tentang hal ini.

2) Jika isteri mengetahui suaminya mempunyai kecacatan seperti mandul atau dikebiri yang menghalang senggama, isteri boleh memohon fasakh. Jika hakim membuktikan masalah ini, tempoh satu tahun akan diberikan kepada suami. Jika suami masih tidak mampu menggauli isterinya, hakim boleh memenuhi tuntutan fasakh isteri.

3) Jika isteri mendapati suaminya menghidap penyakit yang tidak memungkinkan sembuh dalam jangka masa tertentu, yang boleh membahayakan dirinya seperti kusta, AIDS atau TBC, isteri boleh menuntut fasakh dan khiyar (pilihan) yang diambil oleh isteri bersifat kekal. Ini berdasarkan kaedah syariat tentang bahaya (qa’idah adh-dharar) dan mempertimbangkan riwayat dalam kitab al-Muwaththa’ oleh Imam Malik bahawa beliau menerima riwayat daripada Sa‘id ibn al-Musayyab, ia berkata: “Lelaki mana sahaja yang telah menikahi seorang wanita, sementara dengan itu (pernikahan itu) boleh menyebabkan gila atau (mendatangkan) bahaya, maka isterinya berhak memilih, jika dia mahu, maka dia boleh tetap tinggal bersama suaminya tetapi jika dia ingin bercerai, maka dibolehkan”.

4) Jika suami menjadi gila selepas akad nikah, isteri berhak menuntut fasakh. Hakim akan menunda pemisahan sehingga satu tahun. Jika penyakit suami tidak sembuh dan isteri tetap menuntut, hakim akan memutuskan perceraian. Ini juga berdasarkan kepada riwayat dalam kitab al-Muwaththa’ yang disebut di atas.

5) Jika suami pergi melakukan perjalanan (safar) ke suatu tempat samada dekat mahupun jauh dan menghilang tanpa khabar, menyebabkan isteri terhalang mendapatkan nafkah, isteri berhak menuntut fasakh selepas berusaha mencari suaminya. Ketentuan ini berdasarkan pada sabda Rasulullah SAW berkenaan  seorang isteri yang berkata kepada suaminya: “Berilah aku makan (nafkah). Jika tidak, ceraikan aku” [HR ad-Daruquthni dan Ahmad]. Maka, Nabi SAW menjadikan tidak adanya makanan sebagai ‘illat (sebab) bagi perceraian tersebut.

6) Jika suami tidak memberi nafkah walaupun mampu, menyebabkan isteri kesulitan, isteri berhak menuntut fasakh. Hakim wajib memperkenankan tuntutan isteri tanpa menunda. Ini kerana  Rasulullah SAW telah bersabda: “Isterimu termasuk orang yang menjadi tanggunganmu. Ia mengatakan:“Berilah aku makan. Jika tidak, ceraikan aku!” [HR ad-Daruquthni dan Ahmad].

7) Jika berlaku pertentangan dan persengketaan, isteri boleh menuntut fasakh. Hakim perlu menentukan hakam daripada kedua-dua pihak untuk berusaha mendamaikan. Jika tiada kata sepakat, wakil keluarga tersebut boleh memisahkan mereka berdasarkan fakta yang diperolehi. Allah SWT berfirman:
Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya, maka kirim lah seorang hakam daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam itu berkeinginan mewujudkan perdamaian, nescaya Allah SWT akan memberi taufik kepada suami isteri itu” [TMQ an-Nisa’ (4): 35].

Oleh itu, dalam keadaan di atas, syarak memberi hak kepada isteri menceraikan dirinya, terutama pada keadaan pertama, dan menuntut perceraian dari keadaan kedua hingga ketujuh.

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT meletakkan talak di tangan suami kerana dia adalah pemimpin (qawwam) dan penanggungjawab keluarga. Namun, Allah SWT juga memberi hak kepada isteri untuk menuntut fasakh agar dia tidak menderita dan supaya rumah menjadi tempat kedamaian, bukannya kesengsaraan bagi isteri.