[NF141] Keluarga Dalam Al-Quran: Kisah Ketaatan Pada Allah SWT
Penulis: Hamimah Karmidi
Mukaddimah
Islam meletakkan institusi keluarga sebagai asas penting dalam pembinaan masyarakat dan tamadun yang gemilang. Al-Quran memaparkan pelbagai kisah keluarga sebagai panduan dan iktibar untuk umat manusia. Kisah-kisah ini bukan sekadar menyoroti hubungan darah, malah menekankan peranan iman, tanggungjawab, ketaatan, dan pengorbanan dalam membentuk keluarga yang mendapat keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka tetap melakukan apa yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahrim (66): 6].
Ayat ini menjadi asas penting dalam memahami tanggungjawab seorang mukmin terhadap keluarganya. Menurut Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam Tafsirul Jalalain, ayat ini adalah seruan untuk memelihara keluarga daripada azab neraka dengan mendidik mereka supaya sentiasa taat kepada Allah SWT.
Kisah keluarga Dalam Al-Quran
Antara kisah keluarga terawal yang disebut dalam al-Quran ialah kisah Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa. Allah SWT telah mencipta dan menempatkan mereka di dalam syurga serta membenarkan mereka menikmati segala nikmat syurga kecuali mendekati satu pohon yang telah dilarang. Firman Allah SWT,
“Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dengan sepuas-puasnya di mana sahaja yang kamu suka, tetapi janganlah kamu dekati pohon ini, nescaya kamu termasuk orang yang zalim.” [TMQ Al-Baqarah (2): 35].
Namun, bisikan syaitan menyebabkan mereka tergelincir dan melanggar larangan tersebut, lalu mereka dikeluarkan dari syurga. Kisah ini menunjukkan bahawa ujian kehidupan manusia bermula dalam ruang lingkup keluarga. Ia mengajar kita bahawa syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia, dan pasangan suami isteri perlu saling menjaga dalam ketaatan kepada Allah SWT. Setiap keputusan, sama ada kecil atau besar, memberi kesan langsung kepada seluruh ahli keluarga. Maka, kerjasama dan kesatuan hati dalam berpegang kepada perintah Allah SWT merupakan asas kekuatan sesebuah keluarga.
Satu lagi kisah penting yang dirakam dalam al-Quran ialah kisah Nabi Nuh AS. Kisah ini menggambarkan bahawa hubungan kekeluargaan merupakan satu ujian besar kepada setiap institusi kekeluargaan Nabi Nuh AS merupakan Rasul pilihan Allah SWT, selama 950 tahun mengajak kaumnya, begitu juga anak dan isterinya untuk beriman kepada Allah SWT, namun mereka tetap enggan , lalu akhirnya mereka tenggelam dalam bah besar bersama-sama mereka yang kufur.
Firman Allah SWT,
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku! Naiklah bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang kafir.’ Namun, anaknya dengan penuh angkuh menjawab: ‘Aku akan berlindung ke gunung yang dapat menyelamatkanku dari air banjir’…” [TMQ Hud (11): 42-43].
Akhirnya, anaknya tenggelam bersama golongan yang kafir kerana tidak beriman. Kisah ini menegaskan bahawa keimanan merupakan asas utama dalam menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Ibu bapa memikul tanggungjawab besar untuk menyampaikan kebenaran dan membimbing anak-anak ke jalan Allah SWT, namun hidayah tetap berada dalam genggaman-Nya. Sabda Rasulullah SAW,
“Setiap anak dilahirkan di atas fitrah (Islam). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR Bukhari dan Muslim].
Maka jelaslah, didikan daripada ibu bapa sangat penting dalam memelihara dan membentuk keperibadian anak tersebut.
Selanjutnya kisah keluarga Nabi Ibrahim AS pula menjadi bukti keimanan, ketaatan dan pengorbanan. Walaupun baginda berhadapan dengan ayah yang enggan menerima kebenaran, namun baginda tetap teguh dengan keimanannya. Dalam masa yang sama, Allah SWT mengurniakan kepadanya seorang isteri yang sabar dan anak-anak yang taat. Puncak ujian dalam institusi keluarga tergambar dalam kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya, Ismail AS, seperti yang dirakam dalam Surah As-Saffat, ayat 102:
“Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu.” Ismail menjawab: “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan dapati aku termasuk orang yang sabar.”
Ketaatan mutlak kedua-dua ayah dan anak ini kepada perintah Allah SWT mencerminkan ketakwaan yang sempurna tanpa sebarang keraguan. Kisah ini menekankan betapa pentingnya pengorbanan dalam membina keluarga yang diredai Allah SWT. Peranan isteri, seperti Siti Hajar yang tabah ditinggalkan di padang pasir, turut mengajar kita erti kesabaran dan keyakinan yang utuh terhadap pertolongan Allah SWT.
Keluarga Imran disebut dalam al-Quran sebagai contoh keluarga yang beriman dan taat kepada Allah SWT. Mereka bukan sahaja memelihara ketaatan dalam diri, bahkan merancang generasi seterusnya dengan penuh keikhlasan kepada Allah. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat di alam.” [TMQ Ali-Imran(3):33].
Ibu kepada Maryam telah bernazar agar anak yang dikandungnya akan menjadi hamba Allah yang taat. Doa isteri Imran diterima Allah, lalu Maryam dibesarkan dalam suasana penuh ketaatan dan ketaqwaan. Maryam kemudiannya melahirkan Nabi Isa AS, menjadi simbol kesucian dan kemuliaan wanita dalam Islam. Kisah ini memberi pengajaran bahawa amal soleh boleh diwariskan kepada keturunan melalui pendidikan yang berterusan dan doa yang tidak putus. Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila seorang insan meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya.” [HR Muslim].
Maka, mendidik anak-anak agar menjadi hamba Allah yang soleh dan bertakwa adalah pelaburan terbesar dalam kehidupan.
Kesemua kisah ini memberi gambaran jelas bahawa institusi keluarga dalam Islam bukan sekadar tempat tinggal atau perhubungan darah semata. Ia adalah ruang membina akidah, medan ujian keimanan dan tempat untuk menyemai pengorbanan serta kasih sayang atas dasar taqwa. Keluarga yang dibina atas asas iman akan melahirkan generasi yang sabar, berprinsip dan teguh menghadapi ujian hidup. Sebaliknya, keluarga tanpa panduan yang benar hanya akan membawa kepada kehancuran dan jauh daripada rahmat Allah SWT.
Khatimah
Sebagai Muslim, kita wajib mengambil pengajaran daripada kisah-kisah ini. Ketaatan kepada Allah mesti menjadi asas dalam setiap rumahtangga. Akidah yang benar adalah akar kepada pokok kehidupan yang subur, dan pengorbanan dalam keluarga adalah bukti cinta kita kepada perintah Allah SWT. Hubungan kekeluargaan yang tidak berlandaskan iman adalah rapuh dan tidak menjamin keselamatan di sisi Allah. Firman Allah SWT,
“Dan orang-orang yang beriman, dan anak cucu mereka turut mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka…” [TMQ At-Tur (52): 21].