PRN Sabah: Demokrasi dan ahli politiknya akan terus menipu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November 2025, dengan hari penamaan calon pada 15 November, manakala undi awal pada 26 November, sebagaimana diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun.

Sekali lagi, rakyat Sabah bakal berpesta demokrasi, sebuah pesta yang penuh tipu daya, yang saban kali menjanjikan harapan, namun berakhir dengan kekecewaan di pihak rakyat. Ketika rakyat diajak menunaikan tanggungjawab di peti undi, para ahli politik sibuk menabur janji di sana sini, sebuah janji yang manis di bibir, namun hakikatnya tidak pernah ditepati.

Sabah bukanlah sebuah negeri yang miskin, tetapi dimiskinkan. Tanahnya subur, hasil buminya melimpah dan lautnya sangat luas. Namun kekayaan alam negeri ini terus dikaut oleh golongan politik dan kroni mereka. Akhirnya rakyat hidup miskin di tengah-tengah kekayaan negeri.

Rasuah dan penyelewengan sudah lama menjadi darah daging ahli-ahli politik Sabah. Namun, kebanyakan mereka kebal undang-undang. Malah, jika ada yang telah terbukti bersalah pun, mereka tetap sahaja dipilih dan diangkat menjadi pemimpin. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Sabah merupakan negeri yang mana ahli-ahli politiknya paling korup di Malaysia.

Dalam kancah politik Sabah, maruah bukan lagi nilai. Ahli politik sering menukar sokongan, menukar gabungan dan melompat parti sesuka hati tanpa rasa malu sedikit pun. Mereka sudah tidak punya malu, apa lagi prinsip atau perjuangan, kerana apa yang penting ialah wang dan jawatan.

Untuk PRN kali ini, sebuah parti politik dilaporkan telah memaksakan akujanji kepada calon-calonnya untuk membayar parti sebanyak RM10 juta jika belot dari parti setelah memenangi pilihanraya. Begitulah realiti dan dahsyatnya isu belot parti di Sabah sehingga RM10 juta perlu dijadikan akujanji.

Perkataan “maruah” sudah hilang dari kamus ahli-ahli politik demokrasi, diganti dengan perkataan “rasuah” yang menjadi pegangan hidup dan mati. Kuasa diburu untuk matlamat duniawi, bukan sebagai amanah Ilahi. Begitulah politik demokrasi yang mereka pelajari dan dijadikan amali.

Politikus yang korup ini sudah semestinya merupakan satu masalah. Namun masalah dan persoalan lainnya ialah, kenapakah masih ada rakyat yang terus mengundi ahli-ahli politik yang kuat makan rasuah dan menipu ini?

Para politikus ini tahu bahawa ramai rakyat yang miskin dan memerlukan bantuan (dan asbab kepada kemiskinan itu datangnya daripada politikus itu sendiri juga, yang telah mengaut segala kekayaan negeri ke dalam poket mereka) yang kerana itulah mereka menabur “dedak” kepada rakyat sebagai umpan.

Mereka tahu bahawa wang ehsan, bantuan tunai, basikal, kain pelikat, dan bermacam gula-gula lainnya, walaupun sangat kecil tetapi sudah cukup untuk membeli jiwa dan undi rakyat yang sedang tenat. Mereka sebenarnya bukannya mempedulikan nasib rakyat pun, tetapi mereka tahu bahawa “nasib” mereka ketika ini ada di tangan rakyat, dan mereka tahu bahawa ikan yang kelaparan sudah pasti akan memakan umpan.

Sudah berpuluh tahun parti-parti politik itu dan ini memerintah Sabah, menjanjikan perubahan dan kemajuan untuk negeri di bawah bayu itu, namun realitinya tetap sama – janji tinggal janji, pembangunan entah ke mana, duit hanya masuk poket orang-orang parti.

Setiap kali pilihan raya, rakyat disuap dengan slogan baharu, manifesto baharu, janji baharu, calon baharu, tetapi hasilnya tetap sama, tidak ada apa-apa perubahan. Kenapa boleh terjadi begini? Kerana ahli-ahli politik demokrasi sudah terkenal kaki tipu – tipu sana tipu sini sudah menjadi makanan harian mereka. Ini dalam bahasa mudahnya.

Dalam bahasa lainnya – kerana sistem yang diamalkan tidak pernah berubah walaupun wakil rakyatnya berubah, walaupun menterinya berubah, walaupun nama kementeriannya berubah. Sistem demokrasi tetap sahaja seperti itu, – penuh dengan kerosakan yang memberi sebesar-besar ruang kepada mereka yang berkuasa untuk melakukan segala bentuk penipuan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan segala kejahatan lainnya.

Ahli politik hidup kaya raya hasil kekayaan negeri Sabah, sedangkan rakyat terus miskin dan menderita, menunggu janji palsu yang tidak pernah kunjung tiba, kecuali sedikit. Demikianlah wajah sebenar demokrasi dan ahli-ahli politiknya – sistem yang memberi ruang kepada golongan tamak mengaut keuntungan, dan pada masa sama memperbodohkan rakyat melalui slogan dan undi. Kononnya mereka berjuang untuk kepentingan rakyat dan sanggup mati untuk rakyat.

Atas dasar ini, rakyat perlu sedar bahawa seburuk mana sekali pun sistem demokrasi dan ahli-ahli politiknya, kedua-duanya akan terus hidup selagi rakyat mendukung mereka. Dengan kata lain, perubahan tidak akan berlaku selagi rakyat tidak mahu berubah.

Sesungguhnya perubahan itu ada di tangan rakyat. Jika rakyat sudah mahu berubah, maka rakyatlah yang akan mencampakkan sistem demokrasi dan ahli-ahli politiknya ke bakul sampah. Jika rakyat tidak mahu berbuat demikian, maka keadaan yang ada akan terus kekal. Firman Allah (swt):

﴿إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [Ar-Ra’d (13): 11]

Perubahan yang hakiki hanyalah dengan kembali kepada cara hidup Islam, sistem Islam dan Negara Islam (Khilafah). Cara hidup Islam ialah di mana setiap Muslim menjadikan halal dan haram sebagai ukuran perbuatan, bukannya manfaat; sistem Islam ialah di mana Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan aturan masyarakat dan negara, bukannya perlembagaan dan undang-undang yang datangnya dari kafir penjajah; dan Negara Islam ialah di mana negara yang menerapkan Islam secara kaffah dan menyebarkan Islam ke seluruh alam sebagai rahmatan lil alamin.

Keputusan akhir terletak di tangan rakyat Sabah, sama ada untuk terus hidup menderita di bawah sistem sedia ada, atau bangkit melakukan perubahan dengan Islam. Cuma, rakyat Sabah perlu ingat bahawa apa pun keputusan yang diambil, ia bukan sahaja akan memberi kesan di dunia, tetapi yang paling ditakuti ialah di akhirat apabila membuat keputusan yang salah.

Wallahu a’lam.