Kembalikan izzah tentera dengan jihad fi sabilillah – Jurucakap HTM

BULETIN HTM — Program “Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM” telah bersiaran seperti biasa dengan membincangkan mengenai peranan tentera dalam Islam. Di samping mengupas peranan tersebut, Ustaz Abdul Hakim Othman turut memberi komen isu rasuah dan parti “yeye” yang sedang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekarang.
Ustaz Hakim menyifatkan isu itu, jika benar berlaku, amat memalukan di saat Gaza dibantai dan memerlukan bantuan tentera, tentera bukan sahaja tidak bertindak sebaliknya berpesta maksiat dan terlibat dengan penyelewengan serta rasuah.
Jurucakap HTM itu telah memberikan nas-nas yang cukup jelas dan tegas akan peranan tentera dalam Islam iaitu melakukan jihad fi sabilillah, peranan yang langsung tidak dimainkan oleh tentera sekarang, malah sejak dulu tidak pernah dimainkan.
Beliau menjelaskan bagaimana posisi tentera sekarang yang “dimandulkan”, dikecilkan skop tugasan mereka, malah dalam beberapa hal tertentu sentiasa terlibat dalam keharaman.
Semua ini berlaku, tegas beliau, kerana institusi ketenteraan telah larut dalam sekularisme sebagaimana institusi pemerintahan. Akhirnya, melahirkan pasukan tentera yang tidak menghubungkan agama dengan peranan mereka. Indoktrinasi dan disiplin dalam tentera yang dituntut untuk taat secara membabi buta kepada orang atasan telah menambah buruk keadaan ini, yang menyebabkan tentera akan melakukan apa sahaja perintah orang atasan mereka walaupun bertentangan dengan perintah Allah.
Di penghujung kupasan, beliau telah menyentuh peranan tentera dalam keadaan ketiadaan Khilafah yang mana mereka wajib memberikan nusrah (pertolongan) kepada parti yang ingin menegakkan Khilafah, sebagaimana Saad bin Muaz telah memberikan nusrah kepada Rasulullah (saw) sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah.
Apabila Khilafah tertegak, maka Khilafah akan mengembalikan peranan dan kemuliaan tentera sebagai tentera-tentera Allah, dan akan menggerakkan mereka untuk menyelamatkan kaum Muslimin yang sedang diperangi di seluruh dunia, membebaskan wilayah-wilayah Islam yang sedang terjajah dan membuka (futuhat) wilayah-wilayah baru.
Hanya dengan cara ini sahajalah, izzah (kemuliaan) tentera dapat dikembalikan, setelah mereka hidup terkurung di berek-berek mereka selama puluhan tahun, yang menyebabkan mereka melakukan pelbagai kemaksiatan kepada Allah.