Pindah kandang babi, haram tetap haram

Setelah mendapat kritikan dan tentangan daripada banyak pihak, khususnya penduduk di sekitar Bukit Tagar sendiri, akhirnya barulah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara yang beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu penternakan babi.
Beliau berkata isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, susulan ia menimbulkan keresahan rakyat di kawasan tersebut. “Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.
Perdana Menteri nampaknya cuba berlagak hero dalam isu ini, kononnya menjadi “penyelamat” di saat-saat akhir tatkala kemarahan rakyat sudah meledak. Kandang babi yang berskala besar sudah lama wujud di Selangor dan mendapat bantahan rakyat sejak dulu, namun hanya didiamkan dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri, hingga sekarang. Jika benar Perdana Menteri mengambil peduli keresahan rakyat, sudah lama ladang babi berskala besar ini dihapuskan.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, “keresahan rakyat” tidak seharusnya menjadi penyebab untuk Perdana Menteri mengesyorkan pembatalan atau pemindahan projek babi berkenaan, kerana satu-satunya penyebab untuk menghapuskan atau membatalkan projek ini ialah kerana ia bertentangan dengan hukum Islam.
Keharaman babi sangat jelas dan tegas (qathie) dalam Islam, termasuklah kewujudan kandang babi yang berskala industri, hal ini diharamkan dalam sebuah Negara Islam. Jadi, mahu dipindah ke mana sekali pun kandang babi yang besar itu, hukumnya tetap haram. Malah, jika dipindah ke kawasan sehingga orang Islam tidak lagi resah, pun ia tetap haram!
Selain tabiat babi itu sendiri yang pengotor serta bau busuk yang dihasilkannya, keseluruhan babi adalah najis menurut Islam. Firman Allah (swt):
قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi” [Al-An’am (6): 145]
Babi menurut mazhab Syafie
Dalam Mazhab Shafie, babi adalah najis mughallazah (berat) dan tidak termasuk harta yang bernilai (mal mutaqawwam) untuk non-Muslim. Dengan kata lain, ia tidak mempunyai nilai komersial dalam pandangan syarak. Jadi, jika seseorang Muslim membunuh babi milik non-Muslim, Muslim itu tidak perlu membayar ganti rugi, kerana babi itu tiada nilai di sisi Islam.
Mazhab Syafie membolehkan non-Muslim untuk menternak babi, tetapi hanya untuk kegunaan sendiri sahaja, dan dengan syarat yang ketat iaitu ia tidak boleh dizahirkan secara terbuka. Lebih lanjut, mazhab Syafie menyatakan, jika non-Muslim tersebut tinggal di kampung yang bercampur dengan orang Islam, mereka mesti menyembunyikan babi itu. Jika mereka tinggal di kampung khas mereka, mereka lebih bebas tetapi tetap tidak boleh membawanya ke kawasan umum orang Islam (Al-Umm, Imam asy-Syafie, bab Jizyah dan Ahkam al-Mu’ahidin).
Manakala Imam an-Nawawi, dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyentuh secara mendalam mengenai larangan menzahirkan babi dan arak di kawasan orang Islam serta ketiadaan ganti rugi jika babi tersebut dibunuh oleh Muslim kerana ia bukan mal mutaqawwam. Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj pula menjelaskan tindakan negara yang wajib mengenakan ta’zir terhadap non-Muslim yang melanggar syarat perjanjian zimmah.
Imam-imam mazhab yang lain turut menyatakan bahawa dalam Negara Islam, non-Muslim tidak dibenarkan menzahirkan babi peliharaan mereka, di mana mereka hanya dibenarkan memakan dan menternak babi di rumah-rumah mereka atau dalam komuniti mereka secara tertutup sahaja. Mereka langsung tidak dibenarkan menyebabkan umat Islam terganggu dengan babi atau arak mereka. Perbincangan mengenai hal ini banyak terdapat dalam kitab-kitab para ulama mazhab-mazhab tersebut.
Tindakan Umar al-Khattab
Umar al-Khattab, semasa menjadi Khalifah, sebagaimana direkodkan dalam pelbagai kitab sejarah dan perundangan Islam seperti Tarikh at-Thabari dan Ahkam Ahlu al-Dzimmah, telah menghantar surat arahan rasmi kepada wali-walinya di wilayah Syam dan Iraq yang berbunyi:
>أَنْ تَمْنَعُوهُمْ مِنْ إِظْهَارِ صُلْبَانِهِمْ، وَمِنْ إِخْرَاجِ خَنَازِيرِهِمْ وَخُمُورِهِمْ فِي أَسْوَاقِ الْمُسْلِمِينَ
“Bahawa kalian hendaklah mencegah mereka (Ahlu Zimmi) daripada menzahirkan salib-salib mereka, dan daripada membawa keluar babi-babi mereka serta arak-arak mereka di pasar-pasar orang Islam.”
Semasa membuka Baitul Maqdis, Umar telah menandatangani satu perjanjian (Syurut Umariyyah) dengan ketua Kristian ketika itu, Patriark Sophronius bahawa mereka tidak dibenarkan menjual arak dan menzahirkan babi-babi mereka kepada orang Islam.
Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, di dalam kitabnya Ahkam Ahlu al-Zimmah (sebuah kitab yang dianggap sebagai “ensiklopedia” paling lengkap mengenai kedudukan non-Muslim dalam Negara Islam), telah menjadikan Syurut Umariyyah sebagai sandaran utama untuk menyatakan bahawa non-Muslim tidak boleh menzahirkan salib mereka, arak mereka, dan babi-babi kami di kawasan penempatan yang terdapat orang Islam di dalamnya.
Ibnu al-Qayyim menghuraikan bahawa jika non-Muslim sengaja membawa keluar babi ke pasar orang Islam atau menternaknya sehingga baunya mengganggu kejiranan Muslim, mereka telah melanggar perjanjian (naqadh al-‘ahd), yang wajib dikenakan ta’zir oleh negara.
Kesimpulan
Berdasarkan hukum Islam, yang wajib diterapkan oleh negara ke atas kafir Zimmi, kafir Zimmi dibenarkan memakan atau menternak babi, tetapi hanya di rumah-rumah mereka atau dalam komuniti mereka sahaja, secara tertutup. Mereka sama sekali tidak dibenarkan menzahirkan babi atau arak sehingga terlihat atau terganggu oleh orang Islam. Kedua-duanya (arak dan babi) adalah najis untuk orang Islam, dan Allah, melalui hukum-hukum-Nya, menjaga orang-orang Islam daripada najis.
Malangnya kerajaan Madani pada hari ini membenarkan, malah memudahkan dan menyediakan tanah yang luas untuk non-Muslim menternak binatang haram tersebut. Walaupun kelihatannya projek babi ini ditangguhkan buat sementara waktu, tetapi nampaknya diberi ruang untuk diteruskan di tempat yang lain. Padahal di mana pun babi itu diternak dalam skala yang besar, ia merupakan sebuah keharaman yang nyata.
Tidak ada apa yang dapat kita harapkan daripada kerajaan Madani dalam isu ini, kerana ia adalah sebuah kerajaan sekular yang memisahkan hukum agama daripada peraturan negara. Harapan kita hanyalah apabila tegaknya Negara Islam (Khilafah) yang mana Islam akan diterapkan secara kaffah insya Allah, yang pada waktu itu, babi, arak dan rumah-rumah ibadat non-Muslim tidak akan zahir sama sekali.
Wallahu a’lam.