Makar Fest XL: Bukan sekadar pelanggaran syarat, tetapi buah busuk sistem sekularisme
Laporan berita mengenai penganjur Makar Fest XL yang didakwa melanggar syarat permit dan gagal mengawal keadaan sehingga mencetuskan ketidakharmonian, bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Ia hanyalah satu lagi siri ulangan daripada kerosakan akhlak yang terus bernanah dalam masyarakat akibat di bukanya pintu-pintu maksiat, atas alasan Islam tidak menghalang hiburan asalkan mengikut garis panduan.
Realitinya, setiap kali apabila berlaku pesta hiburan yang melampaui batas, naratif yang sama akan dimainkan oleh pihak berkuasa iaitu “penganjur melanggar syarat” atau “tindakan tegas akan diambil selepas siasatan”. Namun, persoalan pokok yang wajib kita tanya ialah: Mengapakah pintu-pintu kemaksiatan ini dibuka sejak awal?
Tidak kira negeri mana, salah tetap salah, ia bukan sekadar pelanggaran syarat, tetapi pelanggaran syarak. Isunya bukan negeri di mana tempat ia berlaku, tetapi isunya ialah penerapan sistem kehidupan yang memisahkan agama daripada kehidupan (sekularisme). Inilah realiti Malaysia, tidak kira negeri mana, tidak kira parti mana yang memerintah, kerana hukum yang terpakai ialah hukum demokrasi yang berasal daripada akal manusia, bukannya hukum wahyu yang berasal daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Dalam sistem demokrasi-kapitalisme yang diamalkan hari ini, hiburan dilihat sebagai satu keperluan, selain menjadi komoditi perniagaan dan hak kebebasan individu (liberalisme). Pihak berkuasa, yang sepatutnya menjadi perisai umat daripada api neraka, sebaliknya bertindak sebagai ‘pemberi lesen’ kepada penganjuran konsert dan pesta yang melalaikan. Alasan “melanggar syarat” hanyalah alasan kosmetik untuk menutup keaiban dan kesalahan apabila keadaan sudah tidak terkawal. Sekali lagi balik pada persoalan asal, kenapakah pintu maksiat dibuka sejak awal?
Hakikatnya, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) sudah pasti terjadi dalam sebuah konsert atau pesta apa pun. Begitu juga dengan para peserta yang terkinja-kinja, dan ada yang umpama “dirasuk” dengan muzik dan nyanyian – semua suasana yang menjauhkan pemuda Muslim daripada mengingati Allah ini, bukanlah suatu “kemalangan” yang tidak disengajakan dalam sebuah konsert, dan bukan juga suatu yang tidak diduga akan berlaku.
Pendek kata, semua kemaksiatan yang berlaku semasa konsert adalah “fitrah” di dalam mana-mana konsert, dan ini sudah sedia maklum oleh mana-mana orang, lebih-lebih lagi pihak berkuasa. Mengharapkan penganjur yang bertujuan untuk mencari untung itu, atau yang mencari duniawi itu, untuk “mematuhi syariat” atau “menjaga adab” adalah umpama mengharapkan kerbau untuk tidak berkubang di dalam lumpur. Ia hampir mustahil kerana asas penganjurannya sendiri adalah bukan bertujuan untuk mengingati Allah.
Isu sebenar di sini bukanlah sekadar kegagalan penganjur mengawal penonton, tetapi kegagalan pemerintah menutup pintu maksiat. Apa yang memedihkan ialah peristiwa ini terjadi di saat Gaza masih lagi dibantai siang dan malam oleh Yahudi laknatullah, sedangkan kita di sini berpesta, tidak kiralah apa pun tujuannya.
Dalam Islam, tugas pemerintah adalah menjaga akidah, syariat dan akhlak rakyat, bukannya mengutip cukai hiburan, atau membenarkan rakyat berhibur secara terbuka dengan bercampur-baur lelaki-perempuan. Jika pun tiada cukai yang dikutip, tetapi meluluskan permit untuk acara yang berunsur hedonisme, ini bukanlah ajaran Islam, Di saat hukum Allah tidak diterapkan, di saat umat Islam berpecah-belah dan dibantai di seluruh dunia, di saat musuh-musuh Islam sedang mendominasi dan memerangi umat Islam, wajarkah untuk kita berhibur atas alasan Islam tidak mengharamkan hiburan?
Adakah kita sudah lupa bahawa rosaknya pemuda adalah petanda hancurnya masa depan umat? Pesta-pesta sebegini, yang dinamakan dengan nama-nama pelik seperti “Makar”, secara halus meracuni pemikiran generasi muda Islam agar hanyut dalam keseronokan duniawi, lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pengembang risalah Islam, dan tumpul sensitiviti mereka terhadap hukum hakam syarak.
Sampai bila kita mahu berhadapan dengan situasi ‘sudah terhantuk baru tengadah’? Selagi mana sistem sekularisme menjadi tunjang pemerintahan negara, selagi itulah pintu-pintu maksiat akan terus terbuka luas, baik atas nama ‘kebebasan’, menjana ‘ekonomi’ mahu pun atas nama Islam itu sendiri, yang kononnya tidak menghalang umatnya daripada berhibur. Persoalannya, hiburan bagaimanakah yang dibenarkan oleh Islam? Wujudkah hiburan seperti ini oleh kaum Muslimin di Mekah tatkala mereka sedang berjuang untuk menegakkan agama Allah?
Dalam sebuah negara Islam (Khilafah), Khalifah sudah tentu tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjuran pesta yang boleh merosakkan akhlak rakyatnya. Kaum Muslimin tentunya disibukkan dengan amal-amal soleh yang akan membawa ke syurga, manakala Khilafah pula sudah tentu akan mempromosikan tsaqafah dan aktiviti yang membina, yang menenangkan jiwa, dan yang mendekatkan diri kepada Allah (swt), bukannya budaya liar yang menjemput murka-Nya.
Sesungguhnya ada pengajaran dan peringatan yang seharusnya di ambil daripada Makar Fest XL ini. Pemerintah tidak perlulah sibuk menyalahkan penganjur, sedangkan merekalah yang membenarkan penganjurannya sejak awal. Umat Islam perlu sedar bahawa di sebalik kejadian ini, terdapat sebuah sistem yang diterapkan oleh pemerintah yang memisahkan agama daripada kehidupan, yang menjadi punca kepada segala kemaksiatan dan kerosakan. Ayuhlah kita berusaha untuk menegakkan semula kehidupan Islam yang akan menerapkan syariat secara kaffah, yang akan memuliakan umat dan menutup rapat segala pintu kemaksiatan. Itulah kehidupan dalam sebuah negara Khilafah.
Wallahu a’lam.