Satu Azam pergi, sepuluh Azam akan datang selagi sistem tidak berubah

Pada 15/02/2026 Kuala Lumpur menyaksikan satu lagi himpunan mendesak Azam Baki ditangkap dan sekali gus berundur daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterajuinya. Tidak dinafikan akan kewajaran perhimpunan ini memandangkan ia bukanlah isu kecil apabila Bloomberg mendedahkan pemilikan saham ketua SPRM itu, yang menunjukkan “ketidakbersihan”nya, di sebalik jawatan penting yang disandangnya yang benar-benar memerlukan “kebersihan”nya.

Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, himpunan ini menggambarkan kemarahan dan kekecewaan rakyat yang sudah muak dengan skandal, salah guna kuasa, dan integriti yang semakin membarah dalam institusi negara.

Himpunan ini bukanlah yang pertama diadakan dengan objektif yang sama. Himpunan yang lebih besar dari itu telah diadakan pada tahun 2022 yang pada ketika itu Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, yang telah bersungguh-sungguh mendesak agar Azam Baki ditangkap dan ditamatkan perkhidmatannya serta-merta. Namun, setelah menjadi Perdana Menteri, beliaulah yang mengekalkan Azam Baki, malah menyambung kontraknya sebanyak tiga kali dan kini mempertahankan ketua SPRM itu habis-habisan.

Di sebalik kemarahan dan kekecewaan kita dengan apa yang berlaku, ayuh kita berfikir sejenak dengan akal yang disinari cahaya akidah. Mari kita buka mata dan minda melihat krisis ini bukan dari cermin mata politik yang sempit, tetapi dari sudut pandang Islam yang syumul:

Pertama: Adakah dengan menukar individu akan menyelesaikan masalah? Jawapannya sudah tentu tidak! Sama sekali tidak! Mendesak Azam Baki meletak jawatan hanyalah ibarat mencabut sehelai daun yang layu pada sebatang pokok yang akarnya sudah membusuk. Selagi mana sistem sekular demokrasi yang bobrok ini tidak dicabut dan dibuang, selagi itulah pokok ini akan terus mengeluarkan daun dan buah yang beracun.

Demikianlah masalah yang menimpa rakyat dan negara pada hari ini. Ia bukan sekadar masalah yang disebabkan oleh individu-individu tertentu, tetapi merupakan masalah sistemik! Masalah yang lahir dari sistem. Sistem buatan manusia inilah yang menjadi kilang pengeluar pemimpin yang menyalahguna kuasa, kaki rasuah dan kilang penghasil pelbagai skandal.

Sebelum ini rakyat bangkit membanjiri ibu kota mendesak Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Walaupun desakannya bagus, tetapi ternyata desakan ini hanya bersifat emosi, kerana pembangkang yang mengetuai demonstrasi tersebut pun hingga sekarang gagal menamakan calon Perdana Menteri, malah mengakui mereka masih tidak punya calon! Rakyat digerakkan dengan emosi tanpa penyelesaian.

Jauh sebelum itu, lihat sahaja kesemua Perdana Menteri yang telah didesak berundur – daripada Mahathir, Pak Lah, Najib, Muhyiddin, Ismail – apabila kesemuanya “berundur”, masalah rakyat dan negara tidak pernah selesai, malah semakin memburuk. Kenapa? Kerana sistem yang buruk tetap tidak berubah dan tidak diubah!

Kedua: Sekiranya Azam Baki berundur, soalannya, siapakah yang akan melantik penggantinya jika bukan Perdana Menteri, orang yang juga didesak berundur? Soalan seterusnya, apakah dan di manakah jaminan yang Perdana Menteri tidak akan melantik ‘orang’nya untuk mengisi kerusi tersebut? Apakah dan di manakah jaminan bahawa ‘orang baru’ nanti lebih suci daripada pendahulunya, apabila tangannya tetap diikat dan dikawal oleh dalang politik yang sama? Apakah dan di manakah jaminan bahawa SPRM akan benar-benar bebas apabila ia berada di bawah ketiak sang penguasa yang sama, dan sistem yang sama?

Dalam sistem hari ini, yang kita telah dan sedang saksikan – satu Azam Baki berundur, ia akan melahirkan sepuluh Azam Baki yang lain.

Ketiga: Kesungguhan rakyat untuk melihat perubahan telah seringkali digagalkan dan dikecewakan oleh pemimpin yang hipokrit. Lihat sahajalah siapakah yang dahulunya bermati-matian turun ke jalan raya mendesak Azam Baki ditangkap, lalu dialah juga yang kemudian mempertahankannya? Lihat sahajalah siapakah yang dahulunya menjanjikan bulan dan bintang sehingga puluhan ribu rakyat “mengidolakannya” dan sanggup bergerak di belakangnya siang dan malam, lalu dialah juga yang “mencapati” segala janjinya.

Semoga rakyat yang masih belum sedar akan segera sedar bahawa semua “lakonan” pemimpin itu hanyalah demi undi, bukannya demi rakyat. Ini kerana, sistem demokrasi sememangnya di”design” untuk melahirkan para pemimpin yang hipokrit, yang menghalalkan segala cara demi mencapai matlamat. Apa lagi matlamat akhirnya jika bukan kerusi empuk kekuasaan?!

Justeru, rakyat seharusnya sedar dan berhati-hati bahawa siapa pun yang cuba menjadi hero rakyat pada hari ini, siapa pun yang cuba menonjolkan diri mereka sebagai ‘reformis’ atau ‘penyelamat’ pada hari ini, siapa pun yang pidatonya memukau dan memikat hati rakyat pada hari ini, lihatlah esok bagaimana wajah mereka berubah apabila kuasa sudah berada dalam genggaman. Rakyat kena sedar bahawa semua hipokrasi ini merupakan satu keperluan di bawah sistem demokrasi!

Keempat: Penyelesaian sebenar – tukar orang dan sistemnya sekali! Sesungguhnya rakyat sudah dipatuk dari lubang yang sama berkali-kali apabila hanya sekadar menukar orang tanpa menukar sistemnya. Maka, sudah masanya untuk rakyat sedar dan bangkit daripada permainan wayang pacak demokrasi ini, yang sudah puluhan tahun membohongi rakyat bahawa perubahan boleh dicapai dengan jalan menukar wajah pemimpin.

Ya benar pemimpin yang korup perlu ditukar kepada pemimpin yang bertakwa. Namun, realitinya demokrasi tidak pernah melahirkan pemimpin yang bertakwa. Sebaliknya demokrasi berjaya menukar orang yang bertakwa menjadi pemimpin yang korup apabila berkuasa.

Dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), wujudnya Mahkamah Madzalim, sebuah mahkamah khas yang memantau dan mengawas kerja-kerja kakitangan awam, termasuk kerja-kerja Khalifah itu sendiri, yang berkuasa menyiasat dan memecat siapa pun daripada penjawat awam yang zalim dan fasiq. Oleh itu, tidak ada tempat untuk orang yang korup dalam sistem Islam, kerana sistem itu sendiri akan mencegahnya, dan akan mengambil tindakan tanpa perlu menunggu pengaduan atau protes dari rakyat.

Kesimpulan

Sudah masanya untuk umat Islam berhenti berharap pada sistem demokrasi yang telah terbukti rosak lagi merosakkan. Berhentilah meletakkan harapan kepada pemimpin yang lahir dari rahim sekularisme, dan kepada sistem yang lahir dari ideologi kapitalisme Barat. Ayuh, berfikirlah secara jernih dan kembalikan keyakinan kita kepada sistem yang datangnya daripada Allah dan Rasul-Nya (Khilafah). Ayuh, berjuanglah untuk menegakkan kembali Khilafah, kerana inilah satu-satunya jalan yang benar, jalan perubahan dan jalan keluar bukan sahaja untuk umat Islam bahkan untuk umat manusia seluruhnya.

Wallahu a’lam.