Konflik Kepentingan Antarabangsa dan Tanah Umat Islam: Antara Hegemoni dan Perpecahan

Dunia Islam sehingga kini sedang menyaksikan peningkatan berbahaya dalam konflik antarabangsa, di mana ia telah menjadi medan terbuka bagi kuasa-kuasa besar untuk menyelesaikan pertelingkahan sesama mereka. Perang Amerika terhadap Iran dan pertukaran tanah umat Islam menjadi medan pertempuran hanyalah satu siri baharu dalam rantaian panjang campur tangan asing yang menyebabkan umat ini hidup dalam keadaan lemah dan bergantung kepada pihak asing.
Realiti ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada proses panjang hegemoni politik dan strategik. Kuasa-kuasa besar bersaing merebut minyak, laluan laut dan lokasi strategik, manakala penduduk wilayah tersebut kekal menjadi mangsa utama. Allah (swt) berfirman:
﴿وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلاً﴾
“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].
Namun, realiti umat Islam hari ini menyaksikan sebaliknya disebabkan perpecahan mereka, dan menjauhnya mereka daripada melaksanakan syariat Allah, sehingga mereka sendiri yang memberi jalan bagi orang kafir untuk menguasai mereka.
Di mata kuasa besar, Iran bukan sekadar sebuah negara serantau, tetapi mewakili simpulan geopolitik yang kritikal kerana kedudukannya di antara Asia dan Timur Tengah, penguasaannya terhadap Selat Hormuz, pemilikan kekayaan minyak yang besar, kedekatan jaraknya dengan Rusia dan China, serta kekuatan ketenteraannya yang mengancam kepentingan mereka. Selat Hormuz dianggap sebagai salah satu arteri tenaga terpenting di dunia, di mana peratusan besar eksport minyak ke Asia, terutamanya China, India, dan Jepun, melaluinya.
Oleh itu, konflik di sekitar Iran melampaui isu program nuklear, sebaliknya mencecah persaingan pengaruh global, terutamanya dalam bayang-bayang persaingan antara Amerika dan China.
Inilah hakikat konflik antarabangsa sejak berabad-abad lamanya, di mana negara-negara besar bersaing untuk kawalan dan pengaruh, dan mereka menghalakan peperangan mereka ke tanah umat Islam. Allah (swt) berfirman:
﴿وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا﴾
“Mereka tidak akan berhenti memerangi kalian sehingga mereka dapat memalingkan kalian dari agama kalian sekiranya mereka sanggup” [Al-Baqarah (2): 217].
Maka, konflik dengan kuasa besar bukan sekadar konflik ketenteraan, tetapi konflik peradaban, politik, dan ekonomi.
Politik antarabangsa tidak berdiri di atas prinsip, sebaliknya berdiri di atas kepentingan. Negara-negara besar menggunakan sekutu dan alat-alat tertentu untuk mencapai matlamat mereka. Apabila peranan “alat” itu selesai, ia akan diganti dengan yang lain. Inilah yang berulang kali berlaku dalam sejarah rantau ini:
- Menyokong rejim tertentu kemudian menjatuhkannya.
- Perikatan sementara yang berakhir dengan konflik.
- Menggunakan kuasa serantau kemudian mengabaikannya.
Kebergantungan kepada kuasa besar sentiasa menjadi punca hilangnya kemerdekaan umat. Inilah yang diperingatkan oleh Allah (swt):
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat (pelindung)” [Al-Ma’idah (5): 51].
Pembahagian tanah umat Islam bukanlah sesuatu yang rawak, tetapi hasil dasar penjajahan yang terancang sejak runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah. Selepas Perang Dunia Pertama, ia dibahagikan kepada negara-negara kecil yang terpisah dan sempadan politik moden dilakar. Maka, umat yang satu ini terpecah kepada puluhan negara, bukannya bersatu sebagaimana perintah Allah:
﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعاً وَلَا تَفَرَّقُوا﴾
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai” [Ali-Imran (3): 103].
Perpecahan politik adalah antara punca terbesar kelemahan yang dialami umat hari ini. Tanah umat Islam menjadi medan konflik kuasa besar; Iraq pernah menjadi medan perang, begitu juga Afghanistan, Syam, dan hari ini ketegangan merebak ke wilayah baharu. Puncanya adalah ketiadaan kuasa politik tunggal yang melindungi umat.
Nabi (saw) telah mengkhabarkan tentang keadaan ini melalui sabda baginda:
»يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا» فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ«
“Hampir tiba masanya umat-umat lain memperebutkan kalian seperti orang-orang yang makan memperebutkan hidangan di atas talam.” Seseorang bertanya: “Adakah kerana kami sedikit pada waktu itu?” Baginda menjawab: “Bahkan kamu ramai, tetapi kamu seperti buih di lautan. Allah mencabut rasa gerun terhadap kalian dari hati musuh-musuh kalian, dan Allah akan mencampakkan penyakit ‘Wahn’ ke dalam hati kalian.” Seseorang bertanya: “Apakah ‘wahn’ wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”
Umat ini ramai bilangannya, tetapi lemah kerana perpecahan.
Kehadiran pangkalan tentera asing di tanah umat Islam dan pertukaran wilayah umat Islam menjadi pelantar pelancaran perang adalah bukti jelas hilangnya kedaulatan sebenar. Tanah umat Islam menjadi pangkalan tentera, medan konflik, dan zon pengaruh, manakala tentera-tentera tempatan tidak berdaya melindungi umat. Walhal Allah (swt) memerintahkan kita menyediakan kekuatan:
﴿وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ﴾
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka segala jenis kekuatan yang dapat kalian sediakan” [Al-Anfal (8): 60[.
Namun, penyediaan kekuatan tidak berlaku dalam keadaan tunduk kepada musuh, tetapi dengan kemerdekaan yang hakiki.
Antara perkara paling berbahaya yang menimpa umat adalah menyempitkan Islam hanya kepada ibadah individu dan menjauhkannya daripada urusan kehidupan, politik dan pemerintahan. Sedangkan Islam adalah sistem kehidupan yang syumul (lengkap). Rasulullah (saw) bersabda:
»كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُرُ». قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: «فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ«
“Bani Israel dahulu dipimpin oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, dia diganti oleh Nabi yang lain. Dan sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku, namun akan ada para Khalifah yang ramai.” Mereka (Sahabat) bertanya: “Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?” Baginda menjawab: “Penuhilah baiah yang pertama dan yang pertama itu sahaja, dan berikanlah hak mereka, kerana Allah akan menyoal mereka tentang apa yang mereka pimpin.”
Islam bukan sekadar ibadah, tetapi sistem pemerintahan yang memimpin umat. Oleh itu, penyatuan umat adalah suatu keperluan, dan ia bukan sekadar idea politik, tetapi sebuah hukum syarak. Allah (swt) berfirman:
﴿إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ﴾
“Sesungguhnya umat kalian ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku” [Al-Anbiya (21): 92].
Apa yang berlaku hari ini daripada konflik antarabangsa di tanah umat Islam hanyalah kesan langsung daripada ketiadaan entiti politik yang mempersatukan (Khilafah), yang melindungi umat, menjaga kesuciannya dan menghalang pencerobohan tanah airnya. Selagi umat ini berpecah, tanah mereka akan kekal menjadi medan konflik dan kuasa besar akan terus mengawal nasib mereka. Allah (swt) berfirman:
﴿إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ﴾
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Ar-Ra’d (13): 11].
Penyelesaian syarie bagi masalah sosial, politik, ekonomi, dan akidah umat adalah dengan kembali kepada pelaksanaan syariat Allah dan mendirikan entiti politik penyatu yang menyatukan mereka di atas asas Islam. Dengan itu, hukum-hukum-Nya diterapkan, kehidupan Islam diteruskan, kemuliaan serta kemerdekaan dicapai, dan berakhirlah segala bentuk kebergantungan serta konflik yang dipaksakan ke atas tanah air kita.
Ditulis untuk Radio Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Oleh: Baha’ al-Husaini – Wilayah Iraq
https://www.hizb-uttahrir.info/ar/index.php/sporadic-sections/articles/political/108165.html