Serangan Amerika-‘Israel’ ke atas Iran bukti umat Islam amat perlukan Khilafah

Dunia sekali lagi menyaksikan siri keangkuhan dan kebiadaban kuasa imperialis Amerika. Serangan berskala besar yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) bersama entiti haram Yahudi ke atas Iran sekarang adalah bukti tidak terbantah tentang kejahatan dan permusuhan mendalam mereka terhadap negeri-negeri kaum Muslimin.

Bom-bom Amerika dan ‘Israel’ yang merobek langit dan bumi Iran, mengorbankan nyawa dan memusnahkan infrastruktur, semua ini bukanlah satu insiden yang berdiri sendiri. Ia adalah sebahagian daripada agenda panjang penjajahan Amerika untuk menundukkan, memecahbelahkan dan memastikan umat Islam sentiasa berada dalam keadaan lemah dan berada di bawah hegemoni mereka.

Ia juga menjadi bukti nyata bahawa para penguasa umat Islam, yang rata-ratanya adalah boneka Amerika, akan dihapuskan dengan mudah oleh Amerika apabila khidmatnya sudah tamat, atau apabila kepentingan Amerika memerlukannya untuk berbuat demikian. Sudah begitu banyak contoh yang terpampang di depan mata. Malangnya para penguasa yang ada sudah buta dan pekak untuk memahami semua itu, sehingga mereka terus-menerus mengabdi kepada Amerika, dari satu generasi ke satu generasi.

Namun, apa yang lebih menyayat hati dan membakar jiwa bukanlah semata-mata jatuhnya bom-bom musuh tersebut ke tanah umat Islam, tetapi pengkhianatan dan kebisuan para penguasa di dunia Islam atas semua itu. Tidak ada seorang pun yang bergerak untuk membantu saudara mereka, baik ketika Palestin diserang, Lubnan, Syria dan sekarang giliran Iran pula. Iran sendiri tidak pernah membantu Palestin selama ini walaupun mampu berbuat demikian.

Begitu sifat dan sikap rejim di dunia Islam. Mereka sedikit pun tidak merasa bahawa tanah yang diserang musuh itu adalah tanah mereka yang perlu dipertahankan dan dibebaskan; mereka tidak merasa bahawa orang-orang yang dibunuh itu adalah saudara-saudara mereka; mereka tidak merasa bahawa maruah saudara mereka adalah maruah mereka, kesakitan saudara mereka adalah kesakitan mereka – hati para penguasa ini sudah terbius dan rosak dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah yang diberikan oleh Barat.

Lebih buruk dari semua itu, mereka tetap menjalin hubungan dengan Amerika dan Yahudi, mereka tetap bermanis muka, bersalam dan berjoget dengan musuh Allah itu, dan melayan musuh Allah itu, yang juga merupakan musuh mereka, melebihi raja! Mereka mencari kemuliaan dan keredhaan di sisi Amerika, lebih daripada mencari kemuliaan dan keredhaan di sisi Allah. Demikianlah betapa khianat dan hinanya mereka!

Di saat Iran diserang dengan begitu dahsyat, walaupun di bulan Ramadhan, para penguasa ini tetap diam. Padahal Ramadhan adalah bulan kemuliaan, bulan di mana para penguasa (Khalifah) terdahulu tidak pernah berehat daripada jihad fi sabilillah dan mencapai kemenangan yang gemilang.

Namun, para penguasa pada hari ini terus mengurung tentera-tentera mereka, mengunci mati gedung-gedung senjata mereka dan merantai jet-jet tempur mereka – yang semua itu hanya akan dibuka, dipamerkan dan dibanggakan ketika perarakan hari-hari kebangsaan mereka. Perkataan jihad bukan sahaja sudah terhapus daripada benak mereka, malah ia merupakan perkataan terlarang untuk diucapkan di dalam negara mereka!

Orang yang paling baik dalam kalangan mereka hanyalah yang duduk menghitung jumlah korban dan menghantar mesej kecaman kosong kepada Washington dan Tel Aviv.

Sesungguhnya kejahatan Amerika dan entiti Yahudi ini tidak akan pernah berhenti selagi akar masalahnya tidak diselesaikan. Keberanian mereka meratah bumi umat Islam dari Palestin, Syria, hingga ke Iran hari ini bukanlah kerana kekuatan yang ada para mereka, tetapi kerana kebaculan dan pengkhianatan para penguasa Muslim.

Musuh Allah ini tahu bahawa umat Islam telah lama kehilangan perisainya (Khilafah), yang menjadikan umat Islam umpama buih di lautan – ramai jumlahnya tetapi lemah dan tidak memiliki kekuatan apa pun, kerana satu-satunya kekuatan politik yang menyatukan dan menguatkan mereka (Khilafah) telah lama berkubur.

Tanpa Khilafah, wilayah kaum Muslimin dirobek-robek oleh musuh dan menjadi lahan pertanian subur untuk mereka; darah kaum Muslimin sangat murah nilainya di mata musuh; maruah kaum Muslimin hilang sama sekali dan kegerunan terhadap kaum Muslimin telah tercabut daripada dada-dada musuh.

Sesungguhnya rejim-rejim di dunia Islam pada hari ini memang wajar dijatuhkan kerana pengkhianatan mereka terhadap umat Islam, tanah umat Islam, darah dan maruah umat Islam yang sudah berdekad lamanya. Bahkan mereka adalah rejim yang mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, yang mencampakkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah daripada pemerintahan mereka.

Namun, kita telah menyaksikan bahawa, jika pihak yang menjatuhkan rejim ini ialah Amerika secara langsung, atau melalui perancangan Amerika, maka Amerika akan melantik bonekanya yang lain sebagai ganti, dan itulah apa yang terjadi secara berterusan di dunia Islam.

Satu hal yang sangat ditakuti oleh Amerika dan entiti Yahudi ialah jatuhnya rejim kerana kebangkitan umat Islam, yang kebangkitan itu semata-mata didasarkan kepada Islam dan ikhlas kerana-Nya, maka yang bakal naik ialah seorang Khalifah yang akan menghancurkan hegemoni Amerika dan menghantarkan entiti Yahudi ke perkuburan mereka dalam keadaan hina.

Atas dasar itu, umat ini sangat memerlukan Khilafah sekarang. Hanya Khilafah yang akan mempersatukan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah panji tauhid, menggabungkan kekuatan militer, ekonomi dan lain-lain, seterusnya memobilisasi jihad fi sabilillah, memecahkan sempadan-sempadan negara bangsa yang memisahkan umat Islam selama ini, mengembalikan kegemilangan serta kemuliaan umat Islam.

Hari ini kita menyaksikan Iran diserang, setelah sebelumnya kita menyaksikan pembantaian dan serangan ganas musuh-musuh Allah ke atas Palestin, yang tidak pernah berhenti hingga sekarang. Tidak jauh sebelumnya kita menyaksikan Iraq dan Afghanistan diserang melalui perang yang sangat panjang. Lubnan, Syria dan Yemen juga tidak terlepas daripada serangan musuh-musuh Allah ini. Jika Amerika berjaya dalam serangannya di Iran dan seterusnya berjaya menggantikan rejim yang tunduk sepenuhnya kepadanya, negeri manakah selepas ini yang bakal menyusul?

Apa yang pasti ialah musuh Allah tidak akan pernah berhenti menyerang negeri umat Islam, kerana demikianlah sifat mereka sebagai musuh Islam. Maka, bukankah masanya untuk umat Islam sekarang memerlukan Khilafah yang akan menyelamatkan dan membebaskan wilayah mereka, melindungi nyawa dan darah mereka, mengangkat maruah mereka, mengalahkan musuh-musuh mereka, dan kembali menjadikan mereka sebagai umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia?

Wallahu a’lam.