SN261 – Hak Dan Tanggungjawab Non-Muslim Dalam Negara Khilafah
SN Keluaran 20 Mei 2011
HAK DAN TANGGUNGJAWAB NON-MUSLIM DALAM NEGARA KHILAFAH
[SN261] Setelah menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak tentang isu Kristian sebagai agama rasmi yang dibangkitkan Utusan Malaysia sejak lebih seminggu lepas, akhbar milik UMNO itu nampaknya mula reda dalam memainkan isu sensitif ini. Walaupun banyak laporan polis dibuat terhadap akhbar terbabit, namun, sebagaimana dijangkakan, akhbar tersebut tetap kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Inilah bukti ‘kedaulatan undang-undang’ sebagai rukun negara hanya sekadar formaliti apabila melibatkan pihak yang berkuasa. Mungkin sahaja selepas ini, isu-isu yang seumpamanya akan dibangkitkan lagi apabila ada kepentingan tertentu dari pihak pemerintah untuk berbuat demikian. Setidak-tidaknya, isu ini berjaya membuatkan beberapa kelompok tertentu berkokok di dalam mempertahankan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, yang sekaligus bermakna mempertahankan perlembagaan ciptaan penjajah dan mengekalkan kesekularan negara Malaysia yang menjadikan Islam hanya sebagai agama ritual.
Di luar negara, dalam perkembangan yang berlainan tetapi berkaitan, kerajaan Australia menolak permohonan sebuah pertubuhan Islam, Persekutuan Majlis Islam Australia (AFIC) supaya beberapa aspek undang-undang syariah, terutamanya undang-undang keluarga Islam digabungkan ke dalam sistem perundangan negara kangaroo itu. AFIC telah menggesa kerajaan menimbangkan ‘pluralisme undang-undang’ untuk penduduk Islam di negara itu dalam permohonannya kepada sebuah jawatankuasa inkuiri Parlimen yang sedang mengkaji dasar baru mengenai fahaman berbilang budaya (multikulturalisme). Peguam Negara, McClelland, bagaimanapun menolak sebarang perubahan dalam sistem perundangan Australia. “Seperti dijelaskan dalam ikrar kita sebagai warganegara, kedatangan kita ke Australia bermakna mematuhi undang-undang Australia dan menegakkan nilai-nilai hidup Australia,” katanya [UM 17/05/11].
Demikianlah betapa tegasnya kerajaan Australia di dalam menjaga dan menerapkan undang-undang kufur mereka di mana mereka langsung tidak mahu berkompromi dengan penerapan undang-undang Islam walaupun sedikit. Hal ini adalah logik dan boleh difahami dengan mudah, kerana mereka adalah orang-orang kafir. Namun, persamaan Malaysia dengan Australia di sini adalah di mana kerajaan Malaysia juga tidak akan sekali-kali berkompromi jika ada usaha-usaha untuk menegakkan undang-undang Islam di negara ini!! Para pemimpin Malaysia akan bermati-matian mempertahankan undang-undang kufur dan lebih redha berada di bawah naungan undang-undang ciptaan sendiri berbanding undang-undang ciptaan Allah.
Kita dapat lihat bahawa baik di Malaysia, Australia mahupun di mana-mana negara sekalipun, umat Islam dan bukan Islam sering sahaja ditakut-takutkan dengan undang-undang Islam yang selalu sahaja diberi label yang negatif. Banyak pihak yang menganggap bahawa penerapan hukum Islam ke atas non-Muslim hanya akan berakhir dengan kekejaman, rusuhan, pertumpahan darah, perpecahan dan sebagainya. Muncul ketakutan di kalangan non-Muslim seolah-olah hidup di bawah naungan hukum Islam akan menjadi titik awal kehancuran kehidupan mereka. Di dunia Islam, umat Islam ditakutkan lagi dengan langkah-langkah keras yang diambil oleh pemimpin di dalam menangani aktivis Muslim yang menyerukan penerapan hukum syariat melalui penegakan Negara Khilafah. Barat bersama dengan penguasa dunia Islam yang jahat ini, tidak putus-putus berusaha untuk merosakkan nama baik Islam supaya Islam tidak dipandang sebagai alternatif bagi ideologi Kapitalis yang diamalkan oleh mereka yang penuh dengan seribu macam kebusukan.
Untuk memberikan gambaran yang jernih perihal nasib orang-orang kafir dalam Daulah Islam, harus dijelaskan kepada kaum Muslimin mahupun non-Muslim, bagaimanakah Negara Khilafah memperlakukan orang-orang non-Muslim yang berada di dalamnya. Hal ini perlu dilakukan agar segala ketakutan, kekhuatiran dan kesalahfahaman pelbagai pihak akan terhakis, sekaligus dapat melawan pelbagai tuduhan keji dari musuh-musuh Islam yang tidak suka dengan kembali diterapkannya syariat Islam. Dalam ruangan yang sempit ini, Sautun Nahdhah cuba meringkaskan hak dan tanggungjawab kafir dzimmi di dalam Negara.
Dalam Negara Khilafah, Non-Muslim Adalah Ahlu Dzimmah
Allah SWT menurunkan syariat Islam kepada Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh umat manusia, apapun warna kulit, agama, ras atau latar belakang mereka,
“Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam” [TMQ al-Anbiya (21):107].
Jika kita mengkaji syariat Islam dengan baik, maka kita akan dapat lihat betapa Allah dan RasulNya telah memberikan panduan yang rinci bagaimana menangani urusan kaum Muslimin dan juga non-Muslim, yang hidup di bawah naungan Negara Khilafah. Penerapan syariat terhadap non-Muslim merupakan metode praktis dakwah Islam kepada non-Muslim. Tidak ada cara yang lebih baik bagi non-Muslim untuk melihat kebenaran dan keindahan Islam kecuali dengan mereka hidup di dalam sistem Islam dan merasai sendiri kedamaian dan keadilan hukum Allah SWT ke atas mereka. Dalam Islam, warganegara Khilafah yang non-Muslim disebut sebagai dzimmi. Istilah dzimmi berasal dari kata dzimmah, yang berarti “kewajiban untuk memenuhi perjanjian”. Islam menganggap semua orang yang tinggal di Negara Khilafah sebagai warganegara Negara Islam, dan mereka semua berhak memperoleh perlakuan yang sama. Tidak boleh ada diskriminasi antara Muslim dan dzimmi. Negara harus menjaga dan melindungi kepercayaan, kehormatan, akal, kehidupan dan harta benda mereka.
Kedudukan non-Muslim yang wajib dijaga di dalam Daulah Islam diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya,
“Barangsiapa membunuh seorang mu’ahid (kafir yang mendapatkan jaminan keamanan) tanpa alasan yang hak, maka ia tidak akan mencium wangi syurga, walaupun dari jarak empat puluh tahun perjalanan sekali pun” [HR Ahmad].
Imam Qarafi menyentuh masalah tanggungjawab Negara terhadap ahlu dzimmah, beliau menyatakan,
“Kaum Muslimin memiliki tanggung jawab terhadap para ahlu dzimmah untuk menyantuni, memenuhi keperluan orang-orang miskin mereka, memberi makan mereka yang kelaparan, menyediakan pakaian, memperlakukan mereka dengan baik, bahkan memaafkan kesalahan mereka dalam kehidupan bertetangga walaupun kaum Muslimin memang memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari mereka. Umat Islam juga harus memberikan masukan-masukan kepada mereka berkenaan dengan masalah yang mereka hadapi dan melindungi mereka dari siapapun yang bermaksud menyakiti mereka, mencuri dari mereka atau merampas hak-hak mereka”.
Non-Muslim Berhak Menjalankan Kepercayaan Mereka
Allah SWT berfirman,
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)” [TMQ al-Baqarah (2):256].
Ayat ini memberi maksud bahawa Negara Islam tidak diperbolehkan memaksa orang-orang bukan Islam untuk meninggalkan kepercayaan mereka dan masuk ke dalam agama Islam. Non-Muslim diseru masuk Islam dengan cara meyakini akidah Islam dengan akalnya secara intelektual. Dari fakta sejarah sekalipun, telah terbukti bahawa Negara Khilafah tidak pernah memaksa warganya yang non-Muslim untuk masuk Islam di mana sehingga ke hari ini kita masih boleh melihat adanya komuniti Yahudi dan Kristian yang tinggal di kawasan Timur Tengah (yang masih kekal dalam agama mereka) walaupun Khilafah telah berkuasa di kawasan tersebut selama 1300 tahun. Kita melihat penerapan peraturan ini secara praktis selama masa pemerintahan Khilafah Utsmaniyah.
Non-Muslim Mengikuti Aturan Agama Mereka Dalam Hal Makanan Dan Pakaian
Dalam hal makanan dan pakaian, non-Muslim berhak mengikuti aturan agama mereka tentang tatacara kehidupan. Mazhab Imam Abu Hanifah menyatakan,
“Islam membolehkan ahlu dzimmah meminum minuman keras, memakan daging babi dan menjalankan segala aturan agama mereka dalam wilayah yang diatur oleh syariat.”
Maka, selama hal tersebut dilakukan secara private dan tidak dilakukan di tempat awam, Khilafah tidak ada hak untuk mengganggu hal-hal peribadi mereka. Namun, jika seorang ahlu dzimmah membuka kedai yang menjual minuman keras di tempat awam, maka dia akan dihukum berdasarkan syariat Islam.
Urusan Pernikahan Dan Perceraian Antara Non-Muslim Dilakukan Menurut Aturan Agama Mereka
Non-Muslim dalam Negara Khilafah juga diizinkan untuk saling menikah antara mereka berdasarkan kepercayaan mereka. Mereka boleh dinikahkan di Gereja atau Sinagogoleh pendeta mereka. Mereka juga boleh bercerai menurut aturan agama mereka. Syariat Islam membolehkan kaum Muslimin memakan sembelihan Ahli Kitab dan seorang lelaki Muslim boleh menikahi perempuan Ahli Kitab [TMQ al-Maidah (5):5]. Dalam hal pernikahan antara lelaki Muslim dan perempuan Ahli Kitab, bermula dari pernikahan, perceraian, harta pusaka dan masalah-masalah keluarga lainnya, termasuk anak-anak, wajib diurus berdasarkan syariat Islam.
Sistem Uqubat
Muslim dan non-Muslim wajib dikenakan uqubat (hukuman) di atas kejahatan yang mereka lakukan, berdasarkan hukum Islam. Banyak nas yang yang menjelaskan hal ini. Rasulullah SAW bersabda,
“Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, akan ku potong tangannya.”
Umar bin Khaththab ra menghukum puteranya sendiri ketika ia menjawat sebagai Khalifah. Ibnu Umar meriwayatkan,
“Dua orang Yahudi didakwa kerana berzina dan dibawa ke hadapan Nabi SAW, beliau kemudian memerintahkan agar mereka direjam.” Anas meriwayatkan, “Seorang Yahudi membunuh seorang perempuan dengan batu, Rasulullah SAW pun kemudian membunuhnya.”
Kehakiman
Di mata hukum, tidak ada perbezaan antara non-Muslim dengan Muslim, kedua-duanya wajib dibicarakan menurut hukum Islam. Hakim (qadhi) wajib menggunapakai hukum pembuktian menurut syariat Islam semata-mata, bukan menurut aturan lain. Ada banyak contoh yang menunjukkan bagaimana non-Muslim dapat mengalahkan seorang Muslim di bidang pengadilan. Pada masa Khalifah Umar bin Khattab, beberapa orang Muslim merampas tanah yang dimiliki oleh seorang Yahudi dan mendirikan masjid di atas tanah tersebut. Ini jelas melanggar hak Yahudi tersebut sebagai ahlu dzimmah. Umar kemudian memerintahkan agar masjid tersebut dirobohkan dan tanah tersebut dikembalikan kepada Yahudi tersebut. Dalam kes lain, pada masa pemerintahan Ali, seorang Yahudi mencuri baju zirah milik Ali (Khalifah). Ali kemudian melaporkan hal berkenaan kepada qadhi dan membawa anaknya sebagai saksi. Hakim menolak hujah sang Khalifah, dan menyatakan bahawa seorang anak tidak dapat dijadikan saksi dalam perkara yang melibatkan bapanya di sidang pengadilan. Setelah menyaksikan keadilan tersebut, si Yahudi kemudian mengaku bahawa dia memang mencuri baju tersebut dan kemudian memeluk Islam.
Sistem Ekonomi
Non-Muslim wajib membayar pungutan tahunan yang disebut jizyah [TMQ at Taubah (9):29]. Sebagai balasannya, Negara Khilafah berkewajipan melindungi darah, harta dan nyawa mereka. Ali menyatakan,
“Dengan dibayarnya jizyah, maka harta mereka sama nilainya dengan harta kita, dan darah mereka pun sama seperti darah kita.”
Jizyah diambil dari orang-orang dewasa yang waras akalnya. Jizyah tidak dikenakan kepada anak kecil, orang gila atau wanita. Kadar jizyah diserahkan kepada pendapat dan ijtihad Khalifah. Khalifah wajib mempertimbangkan aspek-aspek kesejahteraan dan kemiskinan, sehingga tidak memberatkan kaum dzimmi. Rasulullah SAW pernah mengangkat Abdullah bin Arqam untuk mengurusi masalah jizyah para ahlu dzimmah, dan kala beliau hendak berganjak pergi, Nabi SAW memanggilnya kembali dan menyatakan,
“Siapapun yang menindas seseorang yang terikat perjanjian (mu’ahid), atau membebaninya melebihi kemampuannya dan menyakitinya atau mengambil apapun yang menjadi haknya tanpa kerelaan darinya, maka aku akan menuntut orang (penindas) tersebut pada Hari Perhitungan” [HR Abu Dawud].
Semasa zaman pemerintahan Umar, jumlah jizyah yang dipungut Umar adalah 4 dinar untuk golongan kaya, 2 dinar untuk golongan menengah dan 1 dinar untuk golongan miskin.
Non-Muslim Tidak Boleh Memegang Posisi Pemerintahan
Allah SWT berfirman,
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nisa (4):141].
Ayat ini menjelaskan larangan bagi non-Muslim (orang kafir) untuk memegang apa-apa jawatan yang bersifat ‘kekuasaan’ ke atas kaum Muslimin. Selain itu, non-Muslim juga tidak berhak terlibat di dalam urusan pemilihan Khalifah sebagai penguasa umat Islam.
Majlis Umat (Syura)
Siapapun yang memiliki kewarganegaraan, baligh dan waras, berhak untuk menjadi anggota Majlis Umat. Dalam hal ini, dia memiliki hak untuk memilih anggota-anggota Majlis, baik perempuan mahupun lelaki, Muslim mahupun non Muslim. Kaum non-Muslim berhak menjadi anggota Majlis Umat, tetapi haknya hanya sekadar untuk melaporkan kezaliman atau kelalaian penguasa terhadap mereka, atau untuk membetulkan kesalahan implementasi hukum Islam ke atas diri mereka. Rasulullah SAW pernah mendengar pengaduan Finhas (seorang Yahudi) terhadap Abu Bakar, sekalipun apa yang diadukannya adalah dusta. Kerana itu, apabila pengaduan diajukan oleh seseorang yang terikat perjanjian dengan negara, maka pengaduan tersebut perlu didengarkan, kerana dia terikat perjanjian sebagai ahlu dzimmah. Namun, non-Muslim tidak berhak menyuarakan pendapat mereka atas hal-hal yang berkenaan dengan hukum Islam, kerana hukum Islam merupakan terbitan dari akidah Islam. Non-Muslim meyakini doktrin kufur dan bertentangan dengan akidah Islam. Kerana itu, pendapat mereka tidak diperlukan dalam masalah hukum.
Militer
Melindungiahlu dzimmah merupakan kewajiban bagi seluruh umat Islam. Ahlu dzimmah tidak diwajibkan bergabung dalam pasukan militer dan berjihad. Ibnu Hazm menyatakan,
“Salah satu hak yang dimiliki oleh ahlu dzimmah adalah bilamana Negara Islam diserang dan mereka tinggal di wilayah Islam, maka umat Islam wajib melindungi mereka mati-matian. Dalam hal ini, perlakuan lemah lembut adalah hak para ahlu dzimmah.”
Namun bila mereka mahu, mereka boleh menjadi sebahagian dari tentera Islam dan berhak mendapat gaji atas kerja mereka. Namun mereka tidak diizinkan untuk memegang kedudukan pemimpin pasukan dalam tentera.
Kakitangan Awam
Siapa pun yang memiliki kewarganegaraan dan memiliki kemampuan, baik lelaki ataupun perempuan, Muslim ataupun non-Muslim, dapat dipilih menjawat jawatan pengarah atau apa-apa jawatan administratif lainnya. Ini diambil dari aturan tentang pekerja (ijarah), yang membolehkan seseorang memperkerjakan siapa sahaja tanpa mengira agamanya. Rasulullah SAW sendiri pernah mengupah seorang lelaki non-Muslim dari Bani ad-Dail. Ini menunjukkan bahawa seorang non-Muslim boleh diambil sebagai pekerja, sebagaimana seorang Muslim.
Khatimah
Dengan melihat kepada nas-nas dan juga fakta sejarah, sesungguhnya kewujudan Negara Khilafah dan penerapan syariat Islam di dalamnya bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh kaum non-Muslim, malah mereka akan pasti menyukainya. Khilafah adalah sebuah Negara yang akan membawa mereka keluar dari kegelapan dan penindasan sistem Kapitalisme, menuju cahaya dan keadilan Islam. Perlakuan Khilafah terhadap kaum non-Muslim yang begitu adil berdasarkan perintah dari Allah dan Rasul, telah pun dan pasti akan membuatkan mereka memeluk Islam beramai-ramai. Di sepanjang tinta emas sejarah peradaban Islam, jumlah non-Muslim yang memeluk Islam sangat besar sekali kerana mereka telah merasai sendiri keindahan dan keadilan Islam yang diterapkan oleh Khilafah ke atas mereka. Inilah sebabnya mengapa orang Kristian Asy-Syam sanggup berperang di sisi umat Islam dalam menghadapi serangan Tentera Salib Eropah yang hendak menyerang negara mereka. Keadaan ini sangat berbeza dengan kedudukan hari ini di mana bukan sahaja non-Muslim, malah kaum Muslimin sendiri ditindas dan dizalimi dengan teruk sekali di bawah penerapan undang-undang kufur/sekular, baik oleh pemerintah kuffar mahupun pemerintah Muslim sendiri. Namun kita yakin bahawa, apabila Allah SWT memberikan kemenangan kepada kita berupa tegaknya Negara Khilafah untuk kedua kalinya sedikit masa lagi, maka kita akan menyaksikan kebenaran firman Allah sebagaimana termaktub di dalam Surah an-Nasr –
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Menerima Taubat”.