Skandal Tabung Haji: Amanah Umat yang Jatuh ke Tangan Kapitalis

Selepas lebih tiga tahun tersimpan rapi, tiba-tiba sahaja laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji didedahkan kepada umum. Serta-merta ia menjadi bahan perbualan hangat, selain bahan spekulasi kerana masa pendedahannya di saat PRN Negeri Sembilan sedang berlangsung. Semua orang dapat mengagak bahawa tidak mungkin hal sebesar ini didedahkan sekarang tanpa kepentingan politik.

Apa yang didedahkan RCI? Tadbir urus yang lemah; perbelanjaan yang tidak wajar; audit “ceative accounting” yang cuba menutup angka sebenar; campur tangan politik dalam pengurusan dan pengagihan keuntungan; pelaburan yang merudum nilainya sehingga menelan kerugian berbilion ringgit dan banyak lagi.

Sebuah lembaga yang selama ini diwar-warkan untung atau kukuh, rupanya rugi kerana ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan. Ia bukan sekadar menyentuh nama-nama besar pengurusan lembaga tersebut, bahkan menjangkau campur tangan politik di peringkat tertinggi ketika itu.

Hakikatnya, skandal seperti ini bukanlah kemalangan sekali-sekala, bukan pula yang baru terjadi, bukan juga kes terpencil. Ia juga bukan cerita tentang “beberapa individu tamak” yang bila diheret ke mahkamah dan dihukum, maka selesailah masalah. Ia bukan seperti itu. Ia adalah salah satu daripada buah busuk yang tumbuh daripada pokok yang sama — sistem pemerintahan sekular-kapitalis yang diwarisi, yang dipertahankan, dan yang disanjung sampai ke hari ini oleh setiap yang memegang kuasa.

Skandal Berulang, Sistem Tak Pernah Dipersoal

Tolak ke tepi sekejap persoalan kenapa skandal ini baru didedahkan, persoalan penting untuk difahami sekarang bukan hanya sekadar “siapa yang bersalah”, tetapi kenapa hal ini boleh berlaku, dan kenapa skandal seperti ini sentiasa berulang?

Skandal 1MDB masih belum habis dibicarakan, kemudian muncul pula isu pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery yang rugi ratusan juta ringgit kerana terjebak dalam “penipuan yang dirancang”. Sebelumnya negara dikejutkan dengan isu dana kekayaan Khazanah Nasional dan syarikat pengurusan dana milik kerajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengalami kerugian bersama sebanyak puluhan juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang tempatan FashionValet. Hari ini, kita didedahkan pula dengan skandal Tabung Haji. Esok lusa entah apa pula skandal yang bakal meletup.

Setiap kali berlakunya skandal, alur ceritanya sama sahaja – skandal meletup, pada awalnya dinafikan, kemudian setelah tidak boleh disorok suruhanjaya ditubuhkan, laporan disimpan mengikut selera siapa yang berkuasa, akhirnya sama ada terus senyap atau didedahkan untuk dijadikan senjata politik. Selepas ribut reda, sistem yang sama kekal, pemain yang sama kekal, kelompok yang sama berkuasa, dan rakyat sekali lagi diminta percaya bahawa kali ini berbeza.

Pendek kata, penyakit berulang, sedangkan puncanya tidak pernah disentuh. Dari satu kerajaan ke satu kerajaan, Malaysia tidak pernah sunyi dengan skandal. Hatta kerajaan Madani yang kononnya melaungkan reformasi institusi, ketelusan, tadbir-urus yang baik dan pelbagai istilah penyedap telinga lainnya, akhirnya berkubang di lembah yang sama.

Ada kalanya tangkapan dilakukan, pelaku diheret ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, namun lingkaran kejahatan terus berulang. Di mana silapnya? Jawapannya ialah kerana “sistem” yang melahirkan manusia-manusia durjana tidak pernah disentuh! Ibarat pokok yang melahirkan buah-buah beracun tidak pernah ditebang atau dicabut dari akar-akarnya, maka ia akan sentiasa menghasilkan buah di sepanjang tahun.

Amanah Yang Dikhianati

Siapa tidak tahu yang dana Tabung Haji adalah amanah? Wang simpanan jemaah bukan sekadar nombor dalam lejar. Ia duit yang dikumpul sedikit demi sedikit hasil titik peluh rakyat marhaen, dengan satu niat yang suci — menunaikan rukun Islam kelima. Mereka menyerahkannya kepada pihak yang mereka rasakan paling amanah. Malangnya, amanah sesuci dan sebesar itu rupanya jatuh ke tangan orang yang tidak layak. Sesungguhnya pengkhianatan ini bukan calang-calang.

Lebih buruk, sebagai Muslim yang mengetahui betapa besarnya amanah dan betapa besar dosa dan azab orang yang mengkhianatinya, namun ia memilih untuk mengkhianati amanah tersebut. Sedangkan Rasulullah (saw) telah memberi amaran:

إِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ، قِيلَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَىٰ غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

“Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah as-Saat (kehancuran). Ditanya: Bagaimana amanah itu disia-siakan? Baginda menjawab: Apabila suatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (kehancuran itu).” [HR al-Bukhari]

Berapa ramai orang yang memegang amanah tidak mengendahkan amaran daripada Rasulullah (saw) ini? Situasi selalunya bertambah buruk apabila jawatan dalam badan yang menjaga amanah diletakkan di tangan orang politik. Mereka bukannya memegang amanah kerana kelayakan, bukan kerana takwa, tetapi kerana kepentingan parti dan peribadi. Itulah yang terjadi di akhir zaman menuju as-Saat (kehancuran) ini apabila “urusan diserahkan kepada bukan ahlinya”.

RCI hari ini cuma mengesahkan apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah (saw) lebih 1400 tahun dahulu. Walaupun terdapat cadangan agar ahli politik aktif dihalang daripada menerajui Lembaga Tabung Haji, ia kekal sebagai cadangan, dan biasanya ia hanya akan berakhir dalam tong sampah mereka yang memegang kuasa. Jika amanah pemerintahan untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah, yang jauh lebih berat daripada amanah menjaga wang, pun dikhianati oleh pemegang kuasa, maka apa sangatlah dengan amanah wang?

Wang Haji Jadi Alat Ketamakan Kapitalis

Persoalan amanah belum sampai ke akarnya jika kita berhenti setakat mencari “orang yang bersalah”. Persoalan yang lebih mendalam ialah – kenapakah sebuah tabung amanah wang jemaah haji boleh dilaburkan ke kancah pelaburan spekulatif — ladang, hartanah, usaha sama berisiko tinggi — sehingga terdedah kepada kerugian yang begitu besar?

Jawapannya, kerana ia beroperasi dalam acuan sistem sekular-kapitalis. Dalam sistem ini, wang tidak boleh sekadar dijaga, ia mesti dikembangkan atau dengan kata lain wang itu mesti “bekerja” supaya menghasilkan lagi banyak wang; mesti dilaburkan demi mengejar pulangan, demi membayar “dividen” yang kompetitif supaya kelihatan hebat berbanding bank konvensional. Inilah tujuan ekonomi ribawi dan ekonomi spekulatif –yang menjadikan pemburuan keuntungan sebagai matlamat tertinggi, walaupun dengan mempertaruhkan amanah rakyat yang paling suci.

Sistem kapitalis mengajar para pemerintah dan para pemegang amanah agar jangan hanya menjadi penjaga wang, tetapi wajib mempertaruhkan; jangan hanya menjadi pemelihara wang, tetapi wajib menggadaikannya. Inilah ajaran sistem kapitalis – wang mesti digunakan untuk menghasilkan lebih banyak wang walau dengan cara apa sekali pun, walaupun dengan mengkhianati amanah. Sistem ini tidak akan pernah menghasilkan orang yang amanah dalam menjaga wang.

Di bawah sistem kapitalis, sebuah institusi yang menaungi ibadah paling agung umat Islam pun tidak akan selamat. Bagaimana mungkin wang kita akan selamat apabila ia bukan sekadar diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, bahkan diserahkan kepada pemilik modal (kapitalis) yang sentiasa mahu memenuhkan poketnya dengan harta selagi tubuhnya masih belum dibalut dengan kain kafan?

Sebab Mendasar: Pemerintahan Selain Hukum Allah

Kerosakan yang berlaku dalam negara bukan kerana individu semata-mata, tetapi kerana sistem yang sudah mereput dari dalam. Semua penyelesaian yang dicadangkan — audit forensik, pindaan akta, halang ahli politik, perketat tadbir urus — semuanya bergerak dalam lingkaran yang sama. Ia merawat gejala, bukan penyakit. Ia menukar penjaga, tetapi mengekalkan sistem yang membiakkan pengkhianat.

Kita bukan sekadar memerlukan “individu” yang selayaknya untuk menjaga amanah, tetapi “sistem” yang selayaknya untuk mengatur negara. Selagi urusan umat ditadbir oleh bukan ahlinya, apatah lagi yang telah terbukti pengkhianatannya berkali-kali, maka selagi itulah masalah yang sama akan berulang. Telah terbukti pula bahawa individu yang baik, apabila bergelumang dalam sistem yang rosak, akan turut rosak.

Sistem pemerintahan sekular-kapitalis telah terbukti membuka seluas-luas pintu kepada segala bentuk penyelewengan dan ketirisan. Bukti sentiasa terhampar di depan mata. Skandal Tabung Haji ini hanyalah secebis daripada beribu-ribu bukti. Skandal-skandal lain bakal menyusul, yang akan dilepaskan apabila tiba masa yang sesuai dengan kalendar politik parti yang memerintah.

Mungkin ada yang akan menyanggah: “Tetapi Tabung Haji sudah pulih, sudah kembali stabil, hibahnya kembali kompetitif, kebanyakan saranan RCI sudah dilaksanakan, bukankah itu bukti yang sistem ini boleh membetulkan diri sendiri tanpa perlu ditukar?”

Jangan tertipu. Sebahagian besar “pemulihan” mana-mana institusi yang mengalami kerugian sebenarnya dilakukan dengan memindahkan aset-aset bermasalah kepada sebuah syarikat khas milik kerajaan — kerugian tidak diselesaikan, ia cuma dialihkan dan akhirnya tetap ditanggung ramai melalui duit rakyat juga. Dengan kata lain, racun yang sama masih tetap mengalir dalam darah sistem itu; ia cuma disuntik ubat penahan sakit sementara, lalu dijaja sebagai “kejayaan”. Ubat sebenar tidak pernah diberi, kerana penyakit sebenar tidak pernah diakui.

Kesimpulan

Skandal Tabung Haji yang didedahkan oleh RCI ini bukanlah soal beberapa individu yang bermasalah, tetapi ia adalah cerminan kepada sebuah sistem yang memang cacat dari akar umbinya. Selagi amanah umat ditadbir dengan acuan sekular-kapitalis, RCI demi RCI hanya akan mengesahkan penyakit yang sama. Kita tidak perlu terkejut dengan pendedahan ini, atau dengan pendedahan-pendedahan lain di masa akan datang. Malah, tidak ada siapa pun yang perlu berpura-pura terkejut setiap kali hal seperti ini berulang.

Sistem sekular-kapitalis ini sudah tidak boleh dibaiki, dan wajib diganti dengan sistem Islam, yang mana para pemegang amanah sedar akan tanggungjawabnya di hadapan Allah sebelum di hadapan manusia; yang akan mengurus harta umat sebagai amanah di bawah hukum syarak, bukan sebagai modal untuk dikembangkan secara ribawi dan spekulatif; yang berpegang kepada akauntabiliti tanpa memandang bulu dan tanpa menunggu musim pilihan raya – itulah sistem pemerintahan Islam, Khilafah ala Minhaj an-Nubuwwah.

Wallahu a’lam.