Kekalahan Parti Islam di Sebalik Kemenangan

Pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan sudah menutup tirai dengan beberapa kejutan. Nampaknya gelombang yang menerpa Johor turut menerpa Negeri Sembilan sehingga sangat menggembirakan pereka formula “Melayu-Islam” dan para pengikut mereka. Gabungan PN-BN ternyata berjaya dan atas dasar itu sudah ada yang mula mendabik dada dan menzahirkan keyakinan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-16 nanti.
Sebagai Muslim, di sebalik kejayaan naratif dan sentimen “Melayu-Islam” yang dimainkan oleh gabungan PN-BN, terdapat satu soalan mendasar yang perlu dijawab – atas dasar apakah gabungan itu dibina dan ke manakah hala tujunya? Adakah ia terbina atas dasar Islam dan akan menuju kepada penerapan Islam?
Adakah terdapat dalam mana-mana perjanjian, persefahaman, manifesto atau pengumuman daripada gabungan tersebut, suatu komitmen untuk menegakkan hukum Allah (swt) dan membenamkan sistem sekular yang sedia ada? Atau yang ada hanyalah pembahagian kerusi, pembahagian kawasan, pembahagian jawatan, tolak ansur nama calon, dan strategi menewaskan pihak lawan? Parti manakah yang mendominasi gabungan dan menentukan hala tuju – parti sekular atau parti Islam?
Walaupun ini bukanlah kali pertama terbentuknya gabungan atau kerjasama antara parti Islam dan parti sekular dalam pilihan raya, namun kesemua persoalan tersebut amat wajar, malah mesti ditanyakan. Kita bukan menujukan persoalan secara spesifik kepada mana-mana parti Islam atau parti sekular, tetapi kepada seluruh umat Islam yang ingin melihat Islam didaulatkan.
Dalam banyak negara demokrasi di dunia, kita sering menyaksikan kerjasama antara parti Islam dengan parti sekular, malah dengan parti kafir sekali pun, demi satu tujuan iaitu untuk menang pilihan raya. Parti Islam dan parti sekular, walaupun menjadi musuh tradisi dalam politik, namun boleh bersatu dan berdamai apabila kedua-duanya memerlukan satu sama lain dalam usaha menuju kuasa. Inilah lumrah dan hakikat politik demokrasi yang sarat dengan kepentingan. Tidak pernah ana kawan abadi atau musuh abadi, apa yang ada hanyalah kepentingan abadi.
Di Malaysia, sentimen kaum dan agama sering dimainkan untuk meraih undi. Apabila kedua-dua sentimen ini digabungkan, ia ternyata membuahkan hasil yang lumayan di Johor dan Negeri Sembilan. Parti-parti gabungan yang memainkannya menang. Sepintas lalu, kemenangan ini memang manis didengar kerana ia dikatakan kemenangan Melayu-Islam. Tetapi di sebalik kemanisan itu tersembunyi satu persoalan dan kekeliruan iaitu apakah yang dimaksudkan dengan “kemenangan” bagi sebuah parti Islam?
Bagi parti sekular, kemenangan sangat mudah untuk didefinisikan iaitu mendapat undi terbanyak dan berjaya memerintah. Namun bagi parti Islam, jika ia menggunakan definisi yang sama, maka ia sesungguhnya tidak berbeza dengan parti sekular. Maksud “kemenangan” bagi parti Islam seharusnya berbeza, dan hal ini sebenarnya difahami oleh parti Islam, sayangnya mereka cuba mengalihkan maksud ini demi membuktikan kepada ahli-ahli dan penyokong-penyokong mereka bahawa mereka telah menang.
Menang Kerusi Bukan Bererti Kemenangan Islam
Diakui atau tidak, hakikatnya parti Islam tidak menang dalam pilihan raya ini, bahkan tidak pernah menang dalam mana-mana pilihan raya pun dalam erti kata yang sebenar. Ya, mereka mungkin menang dari segi nombor atau bilangan kerusi, namun nombor dan bilangan kerusi tersebut sama sekali tidak mewakili kemenangan ad-Deen.
Kemenangan sesebuah parti Islam tidak pernah diukur dengan jumlah kerusi, senarai jawatan, atau majlis angkat sumpah yang disiarkan secara langsung. Ia menang apabila ia berjuang untuk Islam — mendidik umat dengan akidah dan syariat, membongkar kerosakan sistem sekular dan berusaha membenamkannya, menggerakkan umat untuk menegakkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah, memuhasabah pemerintah sekular agar menerapkan hukum Allah secara kaffah, dan berusaha untuk mendirikan Negara Islam (Khilafah).
Jika parti Islam melakukan semua itu, maka ia sesungguhnya telah menang, walaupun hukum Allah belum tertegak, walaupun Khilafah belum berdiri, kerana ia sesungguhnya telah melaksanakan kewajipannya sebagaimana diperintahkan oleh Allah (swt). Fungsi dan peranan parti Islam bukannya memburu undi, bukan juga memburu kerusi, tetapi memburu keredhaan Ilahi.
Parti Islam sebenarnya telah kalah apabila matlamat perjuangannya bertukar daripada menegakkan Islam kepada memenangi pilihan raya. Lebih malang apabila ia sering menipu atau mengelirukan ahli-ahli dan para penyokongnya bahawa kemenangan pilihan raya merupakan jalan untuk mereka menerapkan Islam, yang hakikatnya tidak pernah berjaya direalisasikan. Kita sering mendengar bahawa ahli-ahli dan para penyokong parti Islam diminta bersabar menunggu “masa yang sesuai” untuk Islam berkuasa — masa yang tidak pernah tiba sejak berpuluh tahun mereka berjuang dalam demokrasi..
Apa yang berlaku ialah sebaliknya. Lihatlah siapa yang sebenarnya menang dalam setiap pilihan raya yang parti sekular didukung oleh parti Islam. Ternyata parti sekular yang sentiasa pulang membawa habuan yang paling besar. Parti sekularlah yang kemudiannya berkuasa, mendapat jawatan yang paling banyak dan memperolehi kedudukan dan pengaruh yang jauh lebih luas. Parti sekularlah yang memerintah dan menentukan dasar, memacu ekonomi ribawi, dan menjaga setiap tiang seri sistem yang mereka warisi daripada penjajah. Pendek kata, parti Islam pulang membawa kerusi, parti sekular pulang membawa negeri. Inikah yang dikatakan kemenangan oleh parti Islam?
Mengiktiraf Kebatilan, Kemudian Menolongnya
Sedar atau tidak, apabila parti Islam bergabung atau bekerjasama dengan parti sekular, parti Islam sebenarnya telah mengiktiraf legitimasi parti sekular berserta perjuangan mereka yang sentiasa memisahkan agama daripada kehidupan (faslu deen anil hayah). Parti yang sepatutnya menjadi sasaran muhasabah dan kritikan, bertukar menjadi teman seperjuangan. Parti yang sudah pun diketahui tidak akan menerapkan Islam diangkat menjadi bithanah (orang kepercayaan, teman rapat), tempat berunding, berkongsi rahsia dan berkongsi kuasa. Bahkan bertukar menjadi sebuah parti yang suci lagi dihormati – semuanya kerana undi dan kuasa.
Bagaimana mungkin parti Islam boleh redha dengan parti sekular, bahkan turut berkempen, berkorban tenaga, masa dan kewangan, serta menyerahkan undi sendiri dan menggalang undi umat untuk memastikan parti sekular menang? Sungguh malang apabila parti Islam tidak sedar (lebih malang sekiranya mereka sedar) bahawa perbuatan mereka bukanlah satu hikmah, tidak selari dengan siyasah Islamiyah, dan merupakan satu tolong-menolong di atas dosa dan maksiat. Firman Allah (swt):
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya” [Al-Ma’idah (5): 2].
Mungkin ada yang bertanya, apa salahnya untuk mempersatukan Melayu-Islam? Bukankan ini suatu yang baik dan dituntut oleh agama? Jawapannya, ya tidak salah untuk mempersatukan Melayu-Islam, tetapi wajib dipersatukan atas dasar Islam, bukan atas dasar Melayu, dan wajib penyatuan tersebut dilakukan atas dasar akidah demi menegakkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah, bukan atas dasar manfaat untuk menang pilihan raya demi mempertahankan hukum Lord Reid.
Bahaya Nifaq, Kongsi Kuasa dan Memanjangkan Umur Sekular
Melalui penggabungan parti Islam dan sekular, ada satu penyakit merbahaya yang dibimbangi meresapi ahli-ahli parti Islam iaitu nifaq (kemunafikan). Kemungkinan terdapat ramai dalam kalangan ahli parti Islam yang sebenarnya menolak, atau tidak suka atau tidak senang dengan sekularisme atau ahli parti sekular, dan hati mereka sememangnya ikhlas memiliki perasaan tersebut. Namun demi menjaga keutuhan gabungan, lidah terpaksa memuji, wajah terpaksa manis, dan tangan terpaksa berjabat mesra. Ini menjadikan apa yang tersembunyi di dada bercanggah dengan apa yang terzahir di pentas.
Sifat nifaq sangat berbahaya bagi seorang Muslim. Sabda Rasulullah (saw):
إِنَّ مِنْ شَرِّ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ
“Sesungguhnya antara seburuk-buruk manusia ialah orang yang bermuka dua, yang datang kepada golongan ini dengan satu wajah, dan kepada golongan itu dengan wajah yang lain” [HR al-Bukhari & Muslim].
Puncak paling buruk dalam penggabungan atau kerjasama antara parti Islam dan parti sekular ialah apabila parti Islam duduk bersama parti sekular dalam pemerintahan, lalu menerapkan dan mempertahankan sistem serta undang-undang yang bukan datang daripada Allah (swt). Parti Islam bukan lagi sekadar berdiam diri terhadap kemungkaran, tetapi telah menjadi pelaksana dan pengukuh kepada sistem sekular itu sendiri. Sedangkan Allah (swt) memerintahkan:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [Al-Ma’idah (5): 49].
Apabila berada dalam satu pemerintahan dengan parti sekular, dan bersekongkol dalam pemerintahan yang berpaksikan sekularisme, maka parti Islam sebenarnya telah berjaya dipesongkan oleh parti sekular. Natijahnya, parti Islam telah memanjangkan hayat parti sekular dan hayat sistem sekular itu sendiri, sistem yang sepatutnya dicabut dari akar-akarnya, dibakar-hanguskan dan diganti dengan sistem Islam.
Kesimpulan
Walaupun parti Islam telah menang beberapa kerusi hasil gabungannya dengan parti sekular, ia hakikatnya telah kalah, bahkan ia telah kalah sejak awal, kerana telah terlari daripada medan perjuangan yang sebenar. Kemenangan yang dilaungkan itu hanyalah kemenangan pada papan keputusan, bukan kemenangan pada neraca Allah (swt).
Sebagai Muslim, kita semua harus ingat bahawa tanpa Islam, banyak mana kerusi yang dimenangi pun, ia hanyalah angka, banyak mana jawatan yang dipegang pun, ia hanyalah beban – kemenangan kerusi tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah, dan jawatan pula akan menjadi penyesalan di akhirat. Umat ini bukan memerlukan kerusi dalam sistem yang rosak, tetapi ia memerlukan sistem Islam untuk menggantikan sistem yang rosak – sebuah sistem yang hanya terealisasi di bawah Negara Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj an-Nubuwwah.
Wallahu a’lam.